Tag: Pas

  • PN yakin BN kembali gabung bentuk kerajaan pusat – Takiyuddin

    PN yakin BN kembali gabung bentuk kerajaan pusat – Takiyuddin

    PERIKATAN Nasional (PN) yakin dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain, terutama Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, beliau menjangkakan BN akan menerima penggabungan itu.

    “Saya yakin kita dapat bentuk kerajaan persekutuan sama ada kita sendiri atau gabungan dengan pihak lain, termasuk BN. Apa yang pasti kita tidak menerima Pakatan Harapan (PH) walaupun perlu gabungan.

    “Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ada menyebut sekiranya kita tidak boleh bergabung sebelum PRU-15, mungkin selepas (PRU-15) kita boleh wujudkan hubungan itu.

    “Rujukan pertama kita adalah BN, bagaimanapun sebarang perbincangan belum dibuat sepanjang tempoh berkempen ini, namun saya yakin BN akan terima. Perbincangan dulu sudah ada, namun ketika kita tidak bersama pun kita ada maklum mungkin kita boleh bersama selepas PRU-15,” lapor Berita Harian.

    Terdahulu, Takiyuddin yang juga calon Parlimen Kota Bharu dalam ucapannya berkata, PRU15 adalah pilihan raya paling getir buat rakyat.

    Katanya, berdasarkan kajian penganalisis politik tiada mana-mana parti yang akan mendapat 112 kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan, sebaliknya perlu bergabung dengan mana-mana parti.

  • Wujud bukti DAP pro-komunis, tapi tiada bukti Pas dan Taliban ada kaitan

    Wujud bukti DAP pro-komunis, tapi tiada bukti Pas dan Taliban ada kaitan

    PAS membidas naratif yang dimainkan semula oleh DAP dengan mengaitkan Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan jika Pas memerintah, sedangkan terbukti tiada ahli atau pemimpin parti itu yang terlibat dengan Taliban.

    Setiausaha Perhubungan Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim berkata sudah terbukti parti itu tidak ada hubung kait dengan kegiatan keganasan sebagaimana pembabitan DAP yang secara terang-terang mengangkat perjuangan komunis.

    Malah katanya, ada pemimpin DAP yang agresif dan radikal amat bangga memperkenalkan diri berketurunan datuk moyang daripada kalangan penggerak kegiatan komunis di Malaysia suatu ketika dahulu.

    “Mereka sanggup bawa abu mayat Chin Peng balik (ke Malaysia), mengadakan majlis memperingati komunis kononnya sebagai pejuang di Tanah Melayu dan mengangkat komunis untuk dikatakan sebagai sebahagian pejuang kemerdekaan.

    “Ini merupakan satu pembohongan manipulasi kepada sejarah. Hakikatnya komunis telah membunuh ramai anggota pertahanan keselamatan Tanah Melayu ini ketika zaman 60-an, 70-an atau sebelum itu lagi.

    “Komunis telah menembak mati ramai pejuang-pejuang pasukan keselamatan tanah air dalam kalangan polis, tentera yang mereka lakukan dengan secara subversif,” katanya lapor Harakahdaily.

    Mengulas lanjut Iszuree berkata, DAP tidak boleh menafikan mereka pro komunis dengan cuba menuding jari kepada Pas kononnya pro-Taliban yang bersifat agresif atau tuduhan seumpama tanpa bukti, sedangkan bagi DAP telah ada bukti nyata.

    Sebelum ini, pemimpin DAP Perak Nga Kor Ming sekali lagi memainkan naratif dengan mengaitkan PAS dan ‘negara Taliban’ bertujuan mengurangkan pengundi bukan Islam kepada Perikatan Nasional.

    Media melaporkan Kor Ming sebagai berkata, sekiranya PN yang terdiri daripada Bersatu yang berasaskan Melayu dan PAS (Islamik) berkuasa, Malaysia akan menjadi seperti ‘Afghanistan’.

    DAP adalah anggota parti komponen dalam Pakatan Harapan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta AMANAH.

  • PRU-15: ‘Selamat tinggal UMNO’ merebak ke Rantau Panjang

    PRU-15: ‘Selamat tinggal UMNO’ merebak ke Rantau Panjang

    FENOMENA ‘Selamat tinggal UMNO’ di Kelantan bukan sahaja berlaku di Bachok dan Kubang Kerian, malah ia turut merebak ke Parlimen Rantau Panjang.

    Ketua Muslimat Pas Kelantan, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, beberapa Unit Daerah Mengundi (UDM) UMNO di beberapa DUN terutamanya Apam Putra, di mana ramai mengisytihar keluar daripada UMNO.

    Katanya, mereka berpendapat tiada gunanya lagi bersama dengan UMNO ekoran perkembangan politik yang berlaku sekarang.

    “Mereka menganggap politik UMNO tidak lagi bersih apabila ramai pemimpin UMNO dihadap ke mahkamah atas dakwaan rasuah dan penyelewengan dana kerajaan.

    “Kita tidak paksa mereka, namun mereka sukarela hadir pada program anjuran Pas. Mereka mahu pilih sebuah kerajaan yang benar-benar bersih.

    “Apa yang jelas mereka tidak suka pemimpin yang terbabit dengan amalan rasuah,” kepada Harakah Daily di sini semalam.

    Siti Zailah yang juga calon Perikatan Nasional Parlimen Rantau Panjang berkata, pengisytiharan keluar UMNO sebelum ini berlaku di UDM Nibong, UDM Ipoh, Pengkalan Machang dan beberapa lagi.

    Menurutnya juga sebelum ini mereka merupakan penyokong kuat UMNO di UDM terbabit.

  • PRU-15: Pas yakin menang 36 kerusi Parlimen

    PRU-15: Pas yakin menang 36 kerusi Parlimen

    PAS yakin mampu mencapai sasaran menang 36 kerusi Parlimen seluruh negara dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keyakinan itu susulan mendapat sokongan kuat melalui gabungan parti di bawah Perikatan Nasional (PN), selain kedudukan pihaknya sebagai sebahagian daripada kerajaan.

    “Kita optimis dengan sokongan rakyat kepada PN, selain berpuas hati melihat proses berkempen, sekali gus memberi keyakinan bahawa PAS boleh memenangi lebih daripada 18 kerusi yang disandang ketika ini.

    “Dahulu kita (Pas), hanyalah sebagai pembangkang sahaja yang hanya berpengaruh besar di Kelantan, namun kini sokongan dilihat lebih luas melalui gabungan di bawah PN,” katanya di Pasir Mas, hari ini.

    Dalam perkembangan sama, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) berkata, tidak timbul persoalan susulan lantikan Datuk Mumtaz Mat Nawi, sebagai calon PN bagi kerusi Parlimen Tumpat.

    “Apabila pegawai pengurus PRU sudah menerima borang pencalonan, bermaksud beliau layak untuk bertanding walaupun memegang jawatan bergaji sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Kelantan.

    “Saya sendiri masih memegang jawatan dalam KeTSA dan nasihat perundangan menunjukkan pemegang jawatan seperti kami layak untuk bertanding dalam PRU-15,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Rosol hormat Idris sebagai ‘sifu’ politik, anggap tuduhan tiada modal

    Rosol hormat Idris sebagai ‘sifu’ politik, anggap tuduhan tiada modal

    PENYANDANG kerusi Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid menegaskan beliau tetap menghormati Tan Sri Idris Jusoh di sebalik kenyataan bekas Ahli Parlimen Besut itu yang meminta orang Pas lebih baik berhati-hati dengan beliau.

    Rosol yang juga calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Hulu Terengganu menyifatkan tuduhan bekas Menteri Besar Terengganu itu kerana tiada modal kempen untuk menyerang keperibadiannya.

    “Saya anggap itu provokasi politik yang sengaja direka-reka untuk melemahkan keperibadian dan mengeruhkan hubungan baik saya dengan pimpinan dan penyokong Pas,” katanya.

    Menurut Rosol, beliau tetap menghormati Idris sebagai ‘sifu’ yang banyak mengajarnya untuk menjadi pemimpin dan menguruskan kerjaya di pentas politik.

    Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu itu memaklumkan, Idris juga antara individu yang maklum dan merestui penghijrahannya dari UMNO untuk menyertai Bersatu.

    “Saya tetap hormat beliau sebagai seorang yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya mengenai politik, namun untuk mengatakan saya berjiwa UMNO walaupun bersama Pas (komponen PN), itu hanyalah satu provokasi politik.

    “Sekarang saya nampak pihak lawan tiada isu untuk menyerang dan melemahkan saya, sama ada rasuah atau salah guna kuasa, tak bermoral atau main projek. Setakat ini Alhamdulillah sejak menceburkan diri dalam politik pada 1999, saya tidak terpalit sebarang isu seumpamanya.

    “Jadi parti lawan terpaksa mencari-cari isu untuk melemahkan saya,” katanya lapor Berita Harian.

    Beliau turut menyatakan penghargaan kepada seluruh kepemimpinan dan jentera parti yang memberikan sokongan kuat bagi memastikan kemenangan PN pada PRU-15.

    Selasa lalu, portal memetik Idris meminta orang Pas lebih baik berhati-hati dengan Rosol yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha UMNO Terengganu kerana Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu adalah individu yang berjiwa UMNO.

    Atas sebab itu, Idris yang menjadi Menteri Besar Terengganu pada 2004 hingga 2008 melihat PN sukar untuk memenangi kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada PRU15 ditandingi bekas EXCO kerajaan negeri di bawah pentadbiran UMNO itu.

    Mengenai perkembangan kempennya, Rosol berkata, sejak bermula kempen Sabtu lalu, beliau sudah menemui 50 peratus pengundi di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Hulu Terengganu, iaitu Ajil, Kuala Berang, Manir dan Telemong.

    “Alhamdulillah, sepanjang saya turun berkempen, termasuk ke lubuk UMNO sokongan amat kuat dan saya lihat mereka bersama dengan saya, insya-Allah. Saya nampak akar umbi menyokong kesepaduan dan menunjukkan kebersamaan yang jitu terhadap PN.

    “Sokongan dan semangat ditunjukkan akar umbi termasuk yang di atas pagar dan tidak berparti, mereka semua mengharapkan perpaduan dan kesatuan parti-parti Melayu. Itu mesej yang saya terima setakat ini.

    Rosol satu-satunya calon Bersatu mewakili PN bertanding kerusi Parlimen di Terengganu pada PRU15 menggunakan lambang Pas, manakala tujuh lagi kerusi Parlimen ditandingi wakil Pas.

  • Lebih 6,000 PPS siap siaga hadapi banjir – Rina

    Lebih 6,000 PPS siap siaga hadapi banjir – Rina

    SEBANYAK 6,010 pusat pemindahan sementara (PPS) dikenal pasti di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlaku bencana banjir sepanjang musim tengkujuh atau monsun timur laut.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata pihaknya, melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, telah siap siaga mendepani bencana itu dengan semua barangan keperluan bagi kegunaan mangsa banjir ditempatkan di depoh simpanan seluruh negara dan hanya menunggu arahan untuk dihantar ke PPS yang memerlukan.

    Beliau berkata bagaimanapun, timbul sedikit kegusaran apabila 35 peratus PPS yang dikenal pasti adalah pusat pengundian untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov ini. 

    “Jadi kita sama-sama berdoa agar banjir tidak berlaku dalam masa terdekat atau pada masa yang sama dengan hari mengundi nanti,” katanya kepada pemberita di Pentas PRU15 Perikatan Nasional (PN) untuk Parlimen Kuala Langat di sini hari ini.

    Turut hadir calon PN bagi Parlimen Kuala Langat iaitu Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Terdahulu, Jabatan Pengairan dan Saliran mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat bagi empat negeri iaitu Pahang, Selangor, Johor serta Sarawak. – BERNAMA

  • Shahidan ‘Panglima Perang’ bantu PN gempur Perlis

    Shahidan ‘Panglima Perang’ bantu PN gempur Perlis

    TOKOH politik yang tidak asing lagi di negara ini, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam arena politik Perlis akan menjadi ‘panglima perang’ kepada Perikatan Nasional (PN) untuk mengatur strategi serta menggempur negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Shahidan yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Arau, digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada PRU15 dan kini beliau menjadi taruhan PN dalam misi mempertahankan kerusi itu dan menggempur Perlis.

    Pengerusi PN Perlis Mohd Shukri Ramli yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis berkata Shahidan akan melaksanakan tugasnya sebagai ‘panglima perang PN’ bagi membantu rakan-rakan ahli gabungan lain melepaskan Perlis daripada genggaman BN.

    “Kita (PN) yakin dengan kemampuan beliau (Shahidan) dapat membimbing gabungan jentera PN. PAS Perlis akan memberi sokongan dan bantuan penuh kepada Shahidan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Pengerusi Bersatu Perlis Abu Bakar Hamzah turut menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Shahidan sebagai perancang utama yang mampu membawa perubahan di Perlis yang sebelum ini dikenali sebagai kubu kuat BN.

    “Dengan bantuan Shahidan, saya yakin jentera parti gabungan PN akan lebih kukuh dan kebal kerana beliau mempunyai pengetahuan dan pengalaman luas sebagai panglima perang BN sebelum ini.

    “Shahidan bukan hanya akan membantu dari sudut sokongan moral tetapi mungkin boleh membantu kita (PN) dari sudut lain seperti menyusun gerak kerja dan strategi,” katanya yang merupakan Naib Pengerusi PN Perlis.

    Shahidan yang digugurkan keahliannya daripada UMNO kerana bertanding atas tiket PN berkata beliau akan menggunakan pengalamannya sebagai Pengarah Pilihan Raya BN Perlis sebelum ini bagi membawa kemenangan kepada PN.

    “Sebelum ini saya orang yang bertanggungjawab menyusun strategi dari ‘A to Z’ bagi memastikan kemenangan BN di Perlis pada PRU14 dan tidak mustahil saya dapat membantu PN pula,” katanya.

    Shahidan berkata beliau bukan hanya berkempen untuk Parlimen Arau sebaliknya akan membantu rakan-rakan dalam gabungan PN yang lain sehingga hari mengundi pada 19 Nov nanti.

    Beliau meletakkan sasaran untuk menawan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu empat yang terletak dalam Parlimen Arau dan masing-masing tiga kerusi DUN di Kangar dan Padang Besar.

    Pengerusi PN Tan Sri Muhyidin Yassin pada Selasa dilaporkan berkata PN mampu menawan Perlis pada PRU15  berdasarkan gelombang sokongan yang ditunjukkan oleh pengundi di negeri ini.

    Shahidan memenangi kerusi Parlimen Arau pada pilihan raya umum 1986, 1990, 2013 dan 2018 serta pernah menjadi Menteri Besar Perlis dari 1995 hingga 2008.

    Sejak 1986, Shahidan tidak pernah tewas bertanding DUN atau parlimen dalam gelanggang pilihan raya umum dan pernah mengalahkan dua Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Haron Din dan Datuk Hashim Jasin.- BERNAMA

  • Tak dicalonkan bertanding PRU-15, ini perkara dilakukan Nik Abduh

    Tak dicalonkan bertanding PRU-15, ini perkara dilakukan Nik Abduh

    PENYANDANG kerusi Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang tidak dicalonkan semula oleh Pas bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) giat membantu calon parti yang menggantikannya di kawasan itu, Mohd Syahir Che Sulaiman berkempen.

    Beliau yang merupakan anak bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat antara nama besar pemimpin parti itu yang tidak dicalonkan semula.

    Turut digugurkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) adalah penyandang kerusi Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang kemudian dipilih Barisan Nasional (BN) sebagai calon langsungnya bertanding mempertahankan kerusi sama.

    Sejak penamaan calon pada Sabtu lalu, anak bekas Menteri Besar Kelantan itu dirakam bergerak seiring dengan Mohd Syahir untuk memberi sokongan walaupun nama beliau tidak tercalon pada PRU kali ini.

    “Sepanjang berkempen, beliau juga bersama-sama dengan saya turun padang untuk berjumpa pengundi serta melawat jentera Pas kawasan.

    “Saya berasa cukup bertuah apabila anak bekas Menteri Besar Kelantan itu menyatakan komitmen untuk membantu sepanjang tempoh berkempen,” kata Mohd Syahir pada sidang media di Pejabat Penerangan Pas Kelantan, di sini hari ini.

    Sebelum ini, ada pihak menjangkakan Nik Mohamad Abduh mungkin tetap bertanding PRU-15 untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bachok diwakilinya walaupun tidak mewakili Pas, namun bukan itu yang berlaku.

    Media melaporkan, Pas menyifatkan tindakan parti itu tidak mencalonkan semula Nik Mohamad Abduh bagi mempertahkan kerusi Parlimen Bachok, bukan untuk mematikan legasi Allahyarham Nik Abdul Aziz.

    Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, turut menegaskan Nik Mohamad Abduh sebaliknya secara sukarela memberi laluan kepada calon muka baharu.

    Mengulas lanjut, Mohd Syahir berkata, bagi beliau, bukan mudah untuk menandingi aura legasi Allahyarham Nik Abdul Aziz yang kini dibawa Nik Mohamad Abduh.

    “Walaupun sedikit gentar, saya perlu menggalas tanggungjawab ini sebaik mungkin dan memastikan kemenangan PAS pada PRU15,” katanya, lapor Berita Harian.

    Dalam perkembangan lain, Setiausaha Politik Presiden Pas itu memperkenalkan konsep 5K, iaitu kefahaman agama, kecemerlangan akademik, keusahawanan dalam kalangan belia, keberhasilan pertanian dan keunikan pelancongan khususnya di daerah Bachok.

  • Tiada pertembungan ‘tajam’ di Jerantut beri peluang PN

    Tiada pertembungan ‘tajam’ di Jerantut beri peluang PN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Jerantut, Ir Khairil Nizam Khirudin menyifatkan pertembungan antara calon-calon bertanding bagi kawasan itu lebih kepada pertembungan anak-beranak atau atau adik-beradik.

    Oleh itu katanya, gerak kerja kempen antara jentera parti yang bertanding lebih seronok. Berikut merupakan wawancara antara Harakahdaily dan Khairil Nizam selepas selepas Majlis Ceramah Umum dan Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional Pahang di dataran Majlis Daerah Jerantut, malam tadi.

    HARAKAHDAILY: Sehingga sekarang, bagaimana saudara melihat perkembangan dari sudut gerak kerja jentera Perikatan Nasional di Parlimen Jerantut.

    IR TS KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN: Di Jerantut, kelebihan kepada kita ialah kita sudah pun mempunyai dua ADUN di sini yang memenangi pada PRU14, iaitu ADUN Tahan (staz Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin) dan ADUN Damak (Ustaz Zuridan Md Daud). Sejurus selepas PRU14, kita ambil pendekatan untuk melakukan kerja yang sama di (DUN) Pulau Tawar. Jadi, dalam erti kata lain, gerak kerja di peringkat ketiga-tiga DUN berlaku lebih awal.

    Jadi, apabila berlaku pembubaran Parlimen, ia tidak mengejutkan jentera di peringkat Jerantut ini, sebab memang dia sudah ada dua incumbent, jadi satu itu dia sudah jadi macam YB dah. Sebab Pulau Tawar ini consist of a Tanah Rancangan Felda, dan Ustaz Yohanis pula anak jati Felda, jadi dia memahami jerit perih orang Felda, isu-isunya.

    Secara mudahnya, apabila DUN kuat, jentera establish, jadi tugas di peringkat Parlimen, tidaklah terlampau sukar. Jadi, mudah untuk kita chip in sahaja program-program yang dibuat di peringkat DUN, begitu.

    HARAKAHDAILY: Berdasarkan gerak kerja berkenaan, bagaimana saudara melihat sambutan masyarakat kepada Perikatan Nasional.

    Perikatan Nasional adalah satu produk baharu dan ia bebas daripada baggage yang ada pada parti-parti lain. Kalau UMNO, Barisan Nasional dia ada bagage rasuah, salah guna kuasa yang terbabit kepada pemimpin-pemimpin dia. DAP dengan sewaktu 22 bulan memerintah PH, jadi wave yang saya nampak, wave DAP itu kurang menyengat di sebelah Pahang seperti yang berlaku pada PRU14.

    Sebab itu jika lihat strategi PKR atau PH adalah untuk membuat corridor of hope di sebelah Utara, daripada Pulau Pinang, Perak dan Selangor dan juga Johor. Dia tak pergi ke arah Utara hujung ataupun sebelah Timur membawa ke Barat, maknanya dia tak cover wave di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

    Jadi, saya tidak bimbang kepada PH, tetapi kita berusaha untuk mengubah dimensi pemikiran Cina yang dalam lingkungan pengundi bukan Melayu sebanyak 20 peratus, agak tinggi juga number itu berbanding dengan Kuala Krau.

    Kuala Krau lebih rendah, 3 peratus sahaja. Jadi, menjadi cabaran juga sebab kita tahu pengundi Cina ini dia ada fix mind dari awal, tetapi barangkali oleh kerana suasana dalaman pengundi Jerantut ini, yang kita tahu, biasanya kerusi Damak ini diberikan kepada MCA, tetapi kali ini diberikan kepada UMNO.

    UMNO ambil kerusi itu, jadi kita tidak tahu apa ekspresi daripada MCA atau pengundi Cina, apakah mereka akan ekspres ketidakpuasan hati mereka atas kertas undi? Jadi tugas kita untuk turun menghadap undi Cina ini.

    Dalam erti kata lain, pengundi Melayu, di sini mudah. Sebab di sini banyak undi kekeluargaan, jadi kalaupun Ustaz Yohanis itu bertanding, tetapi yang bertanding UMNO itu pun anak saudara dia. Dia memang dekat, jadi apabila begitu, dia tiada pertembungan yang ‘tajam’, dia lebih kepada pertembungan adik-beradik. Jadi kita di peringkat Parlimen ini, jadi tidaklah berlaku pertembungan yang ‘tajam’ seperti di Jerantut ini.

    HARAKAHDAILY: Jika dilihat daripada apa yang disebut saudara tadi, apa usaha dalam masa ini untuk melonjakkan lagi sokongan pengundi kepada Perikatan Nasional, khususnya di Jerantut.

    Kita ada pengundi dalam 80,000 lebih, kalau kita hendak cover 80,000 lebih pengundi dalam masa dua minggu, ia agak mustahil. Tetapi seperti yang saya katakan, ia lebih kepada kerja buat yang telah dibuat oleh ADUN-ADUN kita dan juga Pulau Tawar, Ustaz Yohanis yang telah bekerja lebih awal.

    Jadi, di antara cara untuk meningkatkan lonjakan undi itu selain daripada gerak kerja yang dibuat daripada awal, kita juga berjumpa dengan individu yang berpengaruh, itu yang paling penting. Sebab mereka ini mewakili ratusan, ribuan di bawah mereka, jadi we need to work smart. Jadi saya jumpa dengan Tok Empat, saya jumpa dengan Tok Penghulu, juga dengan tokoh-tokoh masyarakat. Semalam, saya berjumpa dengan Maulana Hilmi, figura tabligh, dia peluk saya lama, dan dia nyatakan beberapa perkara yang dia menjadi motivasi untuk kita move lagi.

    Saya boleh katakan ada feedback feedback yang positif daripada Al-Malak ini, tetapi kita tidak complaisant, kita terus bekerja bersungguh-sungguh dan saya tengok jentera Jerantut ini telah bersiap untuk pilihan raya. Jadi dia memudahkan saya orang baharu daripada Temerloh ke Jerantut ini untuk bersama dengan medan gelanggang ini.

    HARAKAHDAILY: Nasihat ataupun pesanan saudara kepada petugas dan juga para pengundi Jerantut.

    Jerantut ini telah pun diwakili oleh Barisan Nasional sebelum ini, dan belum lagi diberikan peluang kepada PAS secara keseluruhan. Kita telah pun melihat prestasi yang ditunjukkan oleh dua tokoh daripada PAS untuk DUN Damak dan juga DUN Tahan. Jadi, kita mohon kepada rakyat jelata ini agar mengambil prestasi cemerlang kedua-dua ADUN ini agar kita boleh memberikan keyakinan yang sama untuk meneruskan kedua-dua DUN ini dan menambahkan jumlah DUN lain seperti di Pulau Tawar, dan terus memberikan undi kepada Parlimen.

    Sebab pada kami di peringkat Perikatan Nasional, dengan manifesto yang dibuat seperti yang kita lancarkan tadi, apa yang saya nyatakan, barangkali 10 peratus sahaja yang saya ucapkan tadi daripada keseluruhan pakej yang diberikan oleh Perikatan Nasional Pahang. Dalam erti kata lain, pakej itu adalah pakej yang berpegang pada realiti, dia bukan satu perkara yang fantasi, bukan satu ‘kitab suci’ yang tidak perlu diikuti.

    Jadi saya mohon kepada semua, ibu-ibu, ayah-ayah, ahli keluarga besar Jerantut ini, kita berkempen dengan cara yang sihat, secara berkeluarga, jangan bergaduh-gaduh. Jerantut ini saya dapat maklumat tadi, Jerantut antara yang paling aman. Jadi kempennya lebih seronok, lebih welcome kepada orang luar, kepada orang-orang luar yang mengundi, jadi saya harapkan kekalkan perkara itu. Cuma undi nanti, walaupun anda UMNO dan keluarga anda UMNO tetapi beri peluang kepada Perikatan Nasional untuk mengundi, untuk kita memajukan lagi Jerantut.

    Saya yakin, insya Allah jika Perikatan Nasional memerintah, banyak pembangunan dan ekosistem yang lebih baik untuk kita utarakan dan tambah baik di Jerantut ini. Tagline saya ‘Kas ade untuk deme’.

  • Tak jadi calon, tak dapat jawatan itu ujian Allah – Hadi

    Tak jadi calon, tak dapat jawatan itu ujian Allah – Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, ahli parti yang wala’ dan setia, rela diletakkan di mana sahaja mereka ditugaskan tanpa mengikut pilihan mereka bagi menegakkan Islam.

    Menurutnya, sama ada ahli muslimin, muslimat, orang muda dan lain-lain, mereka sepatutnya mengikut arahan diputuskan jemaah kerana adanya keberkatan di situ.

    “Bukannya ikut pilihan kita sendiri tetapi ikut (keputusan) jemaah letak.

    “Ini tak puas hati, nak diletak ditempat yang dapat habuan banyak.

    “Tak boleh jadi calon marah. Tak beroleh jawatan merajuk, itu semua ujian daripada Allah. Inilah perjuangan Islam yang kita kena faham ,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam klip video yang disiarkan dalam akaun Facebook beliau hari ini.

    Abdul Hadi menjelaskan, bertugas satu hari dalam perjuangan Islam lebih baik daripada dunia dan isinya.

    Ini kerana, ia kelebihan ahli parti dalam menjalankan tugas diberikan.

    “Hanya mereka yang taat, yang wala yang setia kepada jemaah rela diletak di mana sahaja dia ditugaskan.

    “Sama ada Muslimin, Muslimat orang tua, orang muda dan lain-lain,” katanya.