TOKOH politik yang tidak asing lagi di negara ini, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam arena politik Perlis akan menjadi ‘panglima perang’ kepada Perikatan Nasional (PN) untuk mengatur strategi serta menggempur negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Shahidan yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Arau, digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada PRU15 dan kini beliau menjadi taruhan PN dalam misi mempertahankan kerusi itu dan menggempur Perlis.

Pengerusi PN Perlis Mohd Shukri Ramli yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis berkata Shahidan akan melaksanakan tugasnya sebagai ‘panglima perang PN’ bagi membantu rakan-rakan ahli gabungan lain melepaskan Perlis daripada genggaman BN.

“Kita (PN) yakin dengan kemampuan beliau (Shahidan) dapat membimbing gabungan jentera PN. PAS Perlis akan memberi sokongan dan bantuan penuh kepada Shahidan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pengerusi Bersatu Perlis Abu Bakar Hamzah turut menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Shahidan sebagai perancang utama yang mampu membawa perubahan di Perlis yang sebelum ini dikenali sebagai kubu kuat BN.

“Dengan bantuan Shahidan, saya yakin jentera parti gabungan PN akan lebih kukuh dan kebal kerana beliau mempunyai pengetahuan dan pengalaman luas sebagai panglima perang BN sebelum ini.

“Shahidan bukan hanya akan membantu dari sudut sokongan moral tetapi mungkin boleh membantu kita (PN) dari sudut lain seperti menyusun gerak kerja dan strategi,” katanya yang merupakan Naib Pengerusi PN Perlis.

Shahidan yang digugurkan keahliannya daripada UMNO kerana bertanding atas tiket PN berkata beliau akan menggunakan pengalamannya sebagai Pengarah Pilihan Raya BN Perlis sebelum ini bagi membawa kemenangan kepada PN.

“Sebelum ini saya orang yang bertanggungjawab menyusun strategi dari ‘A to Z’ bagi memastikan kemenangan BN di Perlis pada PRU14 dan tidak mustahil saya dapat membantu PN pula,” katanya.

Shahidan berkata beliau bukan hanya berkempen untuk Parlimen Arau sebaliknya akan membantu rakan-rakan dalam gabungan PN yang lain sehingga hari mengundi pada 19 Nov nanti.

Beliau meletakkan sasaran untuk menawan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu empat yang terletak dalam Parlimen Arau dan masing-masing tiga kerusi DUN di Kangar dan Padang Besar.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyidin Yassin pada Selasa dilaporkan berkata PN mampu menawan Perlis pada PRU15  berdasarkan gelombang sokongan yang ditunjukkan oleh pengundi di negeri ini.

Shahidan memenangi kerusi Parlimen Arau pada pilihan raya umum 1986, 1990, 2013 dan 2018 serta pernah menjadi Menteri Besar Perlis dari 1995 hingga 2008.

Sejak 1986, Shahidan tidak pernah tewas bertanding DUN atau parlimen dalam gelanggang pilihan raya umum dan pernah mengalahkan dua Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Haron Din dan Datuk Hashim Jasin.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here