Tag: Pas

  • Pertambahan keahlian baharu Pas memberangsangkan

    Pertambahan keahlian baharu Pas memberangsangkan

    PAS berjaya mencatatkan seramai 30,491 orang ahli baharu parti itu bermula Januari hingga Disember tahun lalu.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia menunjukkan pertambahan keahlian baharu parti itu amat memberangsangkan.

    “Mesyuarat bulanan Jawatankuasa Kerja Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat yang bersidang pada semalam telah meluluskan seramai 3,966 orang ahli baharu dan seramai 191 orang ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP)

    “Jumlah pertambahan keahlian baharu bulan ini adalah lebih baik dari bulanan lalu (Disember 2022) iaitu seramai 3,151 orang,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mengikut kenyataan dari laman Facebook Dewan Ulamak PAS Pusat, mereka yang berminat menyertai parti itu boleh berbuat demikian secara dalam talian menerusi pautan https://keahlian.pas.org.my/.

    Bagi mereka yang ingin memohon untuk menjadi ahli PAS yang aktif di cawangan dan kawasan pula perlu memuat turun dan melengkapkan Borang Permohonan Menjadi Ahli PAS dengan klik pautan berikut, https://pas.org.my/download/borang-keahlian-pas/ sebelum menyerahkannya kepada Ketua/Setiausaha PAS Cawangan terdekat.

  • ‘Wallahi… sehari selepas PRU, Tok Mat datang ke rumah saya’ – Hamzah

    ‘Wallahi… sehari selepas PRU, Tok Mat datang ke rumah saya’ – Hamzah

    TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan didakwa tidak bercakap jujur apabila menyatakan DAP lebih baik berbanding Pas yang menjadi antara alasan UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan.

    Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa, ia kerana Ahli Parlimen Rembau itu bercakap sebaliknya sebelum ini.

    “Saya wallahi nak cerita… sehari selepas Pilihan Raya Umum (PRU), beliau (Mohamad) ada datang ke rumah saya.

    “Apa yang disampaikan kepada saya ialah: ‘Brother, saya hendak maklumkan sekiranya Presiden UMNO mahu bekerjasama dengan DAP, saya orang pertama yang akan menentang’.

    “Malah, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut menjadi saksi pertemuan dan kata-kata itu.

    “Namun, apabila beliau kini menyatakan DAP lebih ikhlas dan lebih baik… apahal manusia macam ini. Sejak akhir-akhir ini, mereka sentiasa bercakap pusing-pusing,” dakwanya, yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN).

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Pasca Banjir, PN Sentiasa Bersamamu di Kampung Periok, di Tumpat, hari ini.

    Yang turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, dan Takiyuddin.

    Mohamad ketika berucap pada majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam, berkata UMNO bekerjasama dengan DAP pasca PRU15 kerana parti itu tidak bermuka-muka serta tidak berpura-pura dalam setia kawan.

    Sebaliknya, Mohamad berkata, UMNO sukar bekerjasama dengan Pas kerana mendakwa PAS tidak pernah setia atau ikhlas, malah tanpa segan berselingkuh atau curang dengan parti serpihan atau ‘janda’ UMNO.

    Mengulas lanjut, Hamzah mengaku terkejut apabila mendengar ucapan Mohamad pada perhimpunan agung parti itu, semalam.

    “Jika mereka menyatakan DAP lebih baik daripada Pas, ini bermakna UMNO sudah tidak betul… mana boleh DAP lebih baik (daripada PAS).

    “Justeru, saya yakin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, rakyat sudah pasti tidak akan menyokong mereka yang menyatakan DAP lebih baik berbanding Pas,” katanya.

  • ‘Gelombang hijau’ Pas akan berterusan dalam PRN – Hadi

    ‘Gelombang hijau’ Pas akan berterusan dalam PRN – Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yakin “gelombang hijau” yang disaksikan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) akan berterusan dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dikuasai Pakatan Harapan manakala Kedah, Kelantan dan Terengganu ditadbir Pas akan mengadakan PRN tahun ini.

    “Gelombang hijau” menyaksikan Pas dan Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih kesemua 14 kerusi Parlimen di Kelantan dan lapan di Terengganu.

    “Kami terlepas hanya satu kerusi di Kedah,” kata Hadi pada sidang media di ibu pejabat Gerakan Pulau Pinang, di George Town semalam, yang merujuk kepada Sungai Petani yang dimenangi oleh Mohammed Taufiq Johari dari PKR.

    “Ini (keputusan pilihan raya) menunjukkan kita (PAS dan PN) ada kekuatan. Kejayaan gelombang ini akan diteruskan,” katanya lagi, lapor Free Malaysia Today.

    Hadi berkata perbincangan mengenai peruntukan kerusi dalam kalangan parti komponen PN bagi kesemua enam negeri telah hampir 80 peratus selesai.

    Beliau berkata, perbincangan mengenai kerusi di Pulau Pinang bermula semasa PRU-15.

    Hadi berkata perbincangan mengenai peruntukan kerusi dalam kalangan parti komponen PN bagi semua enam negeri telah hampir 80% selesai. Beliau berkata perbincangan mengenai kerusi di Pulau Pinang bermula semasa PRU15.

    Dalam pada itu, Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang, mendakwa Putrajaya tidak menghormati semangat federalisme dengan campur tangan di negeri pimpinan PAS.

    Beliau menyebut pembentukan jawatankuasa kampung di Kelantan oleh agensi persekutuan, dan keengganan Putrajaya membayar royalti minyak kepada negeri itu sebagai contoh.

    “Mereka ‘merampas’ royalti petroleum dan melanggar perjanjian. Royalti belum dibayar kepada Kelantan yang merugikan ekonomi kita.

    “Namun, kita boleh bertahan kerana berjimat, integriti dan sokongan orang ramai,” katanya.

  • PRN: Agihan kerusi PN 80 peratus siap

    PRN: Agihan kerusi PN 80 peratus siap

    PERSEDIAAN Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk pengagihan kerusi telah siap 80 peratus.

    Timbalan Pengerusi PN Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata perbincangan berkenaan telah diadakan bersama parti-parti komponen dalam gabungan semasa menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lepas.

    “Persediaan untuk menghadapi PRN serta pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi asas perbincangan kami pada masa itu. 

    “Boleh dikatakan 80 peratus telah siap dan seterusnya kami akan perhalusi strategi untuk menghadapi PRN,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Gerakan Pulau Pinang di sini, malam tadi. 

    Terdahulu Abdul Hadi yang juga Presiden PAS mengadakan sesi dialog bersama pemimpin Gerakan termasuk Pengerusi Gerakan pusat Datuk Dr Dominic Lau dan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong.

    Enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini adalah Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

    Mengulas mengenai sesi dialog berkenaan, Abdul Hadi berkata ia bertujuan merapatkan hubungan antara parti itu dengan Gerakan serta memberi maklumat tepat kepada masyarakat khususnya yang bukan Islam termasuk isu Islamofobia. – BERNAMA

  • PRN Kelantan: Pas yakin menang 45 kerusi

    PRN Kelantan: Pas yakin menang 45 kerusi

    PAS yakin mampu memenangi kesemua 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan selewat-lewatnya Julai ini.

    Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, keyakinan itu berlandaskan kemenangan bergaya Pas yang menyapu bersih kesemua 14 kerusi Parlimen dengan majoriti puluhan ribu setiap kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.

    “Sasaran kita ialah untuk memenangi semua kerusi seperti mana PRU lalu dan kemungkinan mencapai kemenangan itu adalah tinggi.

    “PRN nak capai 90 peratus pun boleh. Termasuk kerusi dipegang Barisan Nasional (BN) manakala kerusi-kerusi lain yang sedia disandang akan kekal hak kami,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita dalam Majlis Penyerahan Kunci Rumah Dhuafa’ dan sumbangan RM60,000 kepada Masjid Al-Alaq di Kampung Pak Kemek di Kota Bharu hari ini.

    Pada PRU14, Pas mempertahankan Kelantan dengan penguasaan di 37 kerusi DUN negeri itu manakala BN menang tujuh (kerusi) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya memenangi satu kerusi.

    Dalam perkembangan lain, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan turut mengingatkan UMNO agar lebih berhati-hati dalam menjalin kerjasama dengan DAP.

    “Pas ada pengalaman dan jelas tidak boleh menerima parti terbabit.
    “Kami ingatkan UMNO supaya belajar daripada pengalaman kami. Selepas berkawan baru ada pengalaman. Harap UMNO tidak ulangi kesilapan Pas,” katanya, Sinar Harian.

    Dalam pada itu, ketika ditanya kemungkinan UMNO menjemput DAP bagi menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU), beliau berkata, UMNO berhak untuk menjemput sesiapa sahaja untuk menghadiri perhimpunan mereka.

    Akhbar sebelum ini melaporkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan parti itu mungkin akan menghantar jemputan kepada setiausaha agung setiap parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.

  • Pas, parti komponen PN tak akan ‘bunuh’ UMNO – Hadi

    Pas, parti komponen PN tak akan ‘bunuh’ UMNO – Hadi

    c

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, sejarah berulang kali membuktikan parti itu pernah menyelamatkan UMNO dan menjadi rumah tumpangan terhadap pemimpin yang disingkirkan parti itu.

    “Pas dan parti-parti komponen dalam PN tidak akan ‘membunuh’ UMNO sepertimana yang diiklankan oleh segelintir pemimpin yang hanya melompat ke pokok yang dilihat akan buahnya sahaja, laksana kera yang kelaparan.

    “Sejarah secara berulang kali telah membuktikan Pas bersama UMNO ketika bermulanya perjuangan kemerdekaan lagi khususnya bagi menyelamatkan keadaan ketika berlakunya darurat Komunis.

    “Apabila Pas menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan sewaktu berlakunya peristiwa 13 Mei 1969.

    “Pas juga laksana rumah tumpangan kepada pemimpin UMNO yang disingkirkan apabila berlaku krisis dalaman antara mereka,” kata Abdul Hadi menerusi ruangan Minda Presiden hari ini.

    Mengulas lanjut, Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN mendakwa, tidak mustahil DAP yang kini menjadi rakan sekutu UMNO dalam kerajaan sekarang akan menelan parti itu.

    Menurut beliau, situasi itu pernah dihadapi oleh UMNO seperti mana yang pernah berlaku di Singapura.

    “Sebaliknya, dalil tidak mustahil DAP ‘menelan’ UMNO sepertimana sejarah berlaku di Singapura, apabila UMNO ketika itu ditelan oleh PAP yang kemudiannya telah melahirkan DAP.

    “Sejarah juga membuktikan Pas banyak membantu UMNO dan dakwaan akan ‘membunuh’ UMNO jika kerjasama antara dua parti itu dilakukan adalah tidak benar serta mengarut.

    “Sesiapa yang kata bahawa Pas nak bunuh UMNO, tanya dulu siapakah yang bunuh UMNO di Singapura dahulu? Jawapannya ialah PAP (People Action Party) bukan Pas,” katanya.

    Pada masa sama, Hadi juga mengingatkan UMNO mengenai percaturan yang dibuat dengan memilih untuk bekerjasama dengan DAP yang menurut ahli Parlimen Marang itu akan merugikan orang Melayu dan Islam.

    Katanya, Pas yang pernah bekerjasama dengan DAP akhirnya terpaksa menolak parti itu kerana menentang perjuangan Islam yang dibawa olehnya.

    Antara penentangan yang dilakukan oleh DAP, katanya, termasuk menghalang dan mengkritik usaha Pas untuk mengharamkan arak kepada orang Islam sekali pun ia diizinkan kepada orang bukan Islam.

    Selain itu katanya, DAP turut menentang keras pelaksanaan syariat di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pas walaupun ia hanya dilaksanakan ke atas penganut Islam sahaja.

    “Ada orang kata mengapa dahulu Pas berkawan dengan DAP, maka jawabnya, dahulu kita berkawan dengan DAP berkonsepkan tahaluf siyasi yang membolehkan kita menentang kezaliman dan penyelewengan atas titik persamaan.

    “Akan tetapi DAP tidak menghormati konsep adanya perbezaan apabila mereka menentang Islam, malah menentang dasar-dasar dan perjuangan Pas. Bahkan, secara terbuka mereka membela orang Islam yang murtad,” dakwa beliau lagi.

  • Rafizi didakwa belum kemuka penyelesaian isu kenaikan harga makanan

    Rafizi didakwa belum kemuka penyelesaian isu kenaikan harga makanan

    MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli didakwa belum mengemukakan sebarang penyelesaian baharu dan konkrit mengenai masalah kenaikan harga makanan di negara ini.

    Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin berkata, pada sidang medianya baru-baru ini, Rafizi juga tidak menyatakan faktor sebenar yang menyumbang kepada masalah itu, sama ada ketiadaan bekalan, kenaikan kos atau peningkatan permintaan.

    Menurutnya, Rafizi juga tidak menyentuh secara keseluruhan mengenai langkah drastik bagi mengurangkan kadar inflasi subsektor makanan dan minuman bukan alkohol yang konsisten, yang mencecah 7.3 peratus pada bulan lalu, yang menjadi bahagian besar atau 30 peratus daripada perbelanjaan isi rumah.

    “Harga barang makanan tidak rasional dan memerlukan intervensi serta penguatkuasaan lebih kuat oleh kerajaan. Bukan hanya menyuruh rakyat kurang makan ayam!

    “Mekanisme subsidi bersasar dinyatakan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada hari pertama pentadbirannya tetapi belum dilaksanakan. Rafizi hanya mengulang perkara sama,” kata beliau dalam kenyataan, hari ini, lapor Berta Harian.

    Kelmarin, Rafizi pada sidang medinya, berkata pengguna perlu berperanan menjadikan penawaran dan permintaan terhadap barangan lebih anjal, termasuk dengan tidak membeli produk yang dijual pada harga lebih mahal, berbanding sebelum ini.

    Katanya, jika pengguna tidak membeli atau menggunakan produk yang menawarkan harga yang tidak berpatutan, ia akan memberi gambaran kepada peniaga dan pembekal untuk tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan.

    Ia termasuk bagi makanan dan minuman bukan alkohol serta ayam.

    Mengulas lanjut, Khairil Nizam, yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, dalam isu kenaikan harga telur dan ayam, ia kemungkinan disebabkan pihak penternak yang berdepan masalah kenaikan kos pengeluaran dan aliran modal atau monopoli dan manipulasi bekalan, yang tidak disentuh Rafizi.

    “Langkah mengimport telur tidak menyelesaikan masalah tuntas. Menurut Pengarah Urusan Mydin (Datuk Ameer Ali Mydin), harga telur import gred C (50 sen sebiji) lebih mahal daripada telur gred A tempatan (45 sen sebiji), malah ia melangkaui harga siling ditetapkan kerajaan.

    “Isu bekalan telur mungkin selesai tetapi masalah utama kenaikan harga yang ditanggung rakyat dan menangani isu monopoli tetap tidak terjawab!” katanya.

    Sebelum ini, Perdana Menteri memaklumkan, import telur sudah bermula sejak 15 Disember lalu dengan permulaan kemasukan sebanyak 100,000 biji telur, sebagai langkah kerajaan untuk menampung keperluan dan permintaan pasaran tempatan, selain bagi tujuan mengawal harganya.

  • Ketua Pemuda UMNO Seremban masuk Pas

    Ketua Pemuda UMNO Seremban masuk Pas

    KETUA Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussin mengesahkan akan menyertai Pas hujung minggu ini.

    Beliau berkata, borang keahlian penyertaannya akan diserahkan kepada Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha Sabtu ini.

    “Kita juga akan membuka kaunter untuk siapa yang mahu jadi ahli Pas pada Sabtu nanti,” katanya kepada Free Malaysia Today.

    Ditanya adakah ia membabitkan keseluruhan jawatankuasa Pemuda bahagian itu, Zool berkata keseluruhan ahli yang keluar UMNO akan diumumkan pada sidang media di kediamannya di Seremban selepas sesi penyerahan borang keahlian berkenaan.

    Zool sebelum ini antara yang lantang mengkritik kepimpinan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwanya menjadi punca orang Melayu hilang keyakinan terhadap parti itu.

    Sumber turut memaklumkan FMT, Zool telah dikeluarkan daripada kumpulan sembang WhatsApp “Ketua Pemuda Malaysia”.

    “Kami dah singkir dia (Zool) dari kumpulan (WhatsApp), dia keluar Umno sebab tak sokong presiden,” menurut sumber rapat dengan perkara itu.

    Berdasarkan jemputan yang dilihat FMT, Zool akan mengadakan penyerahan borang keahlian dan sidang media pada 5 petang Sabtu.

  • Kemenangan untuk masa depan anak muda

    Kemenangan untuk masa depan anak muda

    Oleh MOHD AMAR NIK ABDULLAH

    DENGAN bimbingan Allah S.W.T, anak muda bersatu hati menolak mereka yang mengambil ringan soal integriti dan maruah bangsa. Bukan hanya di Kelantan, malah di seluruh negara.

    Keputusan baru-baru ini, memberikan satu cabaran besar buat gerakan Islam untuk menguruskan kemenangan dan mempertahankan sokongan ini.

    Harga yang mahal

    Ketegasan untuk terus kekal bersih, menjadi bukti kepada dunia, kita bermaruah, berpendirian, teguh dasar dan prinsip perjuangan dan bukan gilakan kuasa semata-mata. Insya-Allah, kemenangan mutlak yang lebih besar akan bersama kita di masa akan datang.

    Kemenangan yang tertangguh

    Yakinlah masa kita akan tiba dengan kehendak Allah S.W.T, tanpa perlu menumpang atau terpaksa menerima syarat pihak tertentu. Lihat jauh ke depan dan optimis sebagaimana peristiwa Hudaibiyah dan Fathul Makkah.

    Anak muda genggam perjuangan

    Perjuangan Islam digenggam oleh anak muda sebagaimana pemuda Islam di Taif yang menguatkan pemerintahan Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Generasi yang membela Islam.

    Perjuangan dan kemenangan ini nanti, bukanlah untuk orang tua, tetapi untuk masa depan anak muda dan generasi seterusnya. Bersyukur kepada Allah S.W.T. Persiapkan diri dan bawalah sokongan ini dengan baik.

    Penulis adalah Naib Presiden Pas

  • Pas tuntut PM kemuka bukti, sedia ambil tindakan perundangan

    Pas tuntut PM kemuka bukti, sedia ambil tindakan perundangan

    PAS menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti nyata terhadap dakwaan dibuat beliau yang membayangkan kononnya dana pilihan raya Perikatan Nasional (PN) datang dari syarikat perjudian.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, jika gagal PN akan meneliti suatu tindakan perundangan terhadap pihak yang memfitnah.

    Ini kerana menurut beliau, tuduhan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tersebut langsung tidak berasas sekali.

    “Tuduhan tersebut langsung tidak berasas dan Pas menuntut Perdana Menteri PH memberikan bukti yang nyata terhadap tuduhan liar tersebut jika ada.

    “Sekiranya gagal Perikatan Nasional akan meneliti suatu tindakan perundangan terhadap pihak- pihak yang memfitnah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Pas amat kesal dengan tuduhan berunsur fitnah yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri itu.

    “Pas amat kesal dengan tuduhan berunsur fitnah yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Kerajaan Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim, yang membayangkan kononnya dana pilihan raya Perikatan Nasional datang dari syarikat perjudian,” katanya.

    Semalam, Anwar semasa sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya mendakwa dana pilihan raya untuk parti “Melayu” dan parti “Islam” datang dari syarikat perjudian.

    “Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.

    “Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi,” katanya.