Tag: Parti Pribumi Bersatu Malaysia

  • Bertanding calon Bebas, Bersatu bakal pecat Ali Biju?

    Bertanding calon Bebas, Bersatu bakal pecat Ali Biju?

    TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bahawa partinya tidak menyokong tindakan Datuk Ali Biju mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian yang disandangnya sebagai calon Bebas di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

    “Tindakan Ali Biju tidak selari dengan keputusan parti.

    “Perikatan Nasional (PN) menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam PRN Sarawak dan tidak meletakkan calon di semua kerusi,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

    Namun , beliau tidak menjelaskan adakah Ali akan diambil tindakan disiplin kerana melanggar keputusan Bersatu.

    Ali memberi alasan bahawa permintaan pengundi mendorongnya terus mempertahankan kerusi DUN Krian walaupun sebagai calon Bebas, menurut Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu.

    Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu berkata, atas dasar menghormati permintaan pengundi di kawasan berkenaan, beliau hadir mendaftarkan diri sebagai calon di Dewan Masyarakat Sri Krian, hari ini.

    Bagaimanapun Ahli Parlimen daripada Bersatu itu berkata, keputusannya mendaftarkan diri sebagai calon Bebas hari ini, tidak diketahui oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Ahmad Faizal menegaskan, partinya tetap dengan keputusan Muhyiddin sebelum ini mengumumkan gabungan itu tidak akan menyertai PRN Sarawak bagi menghormati kehendak kepimpinan GPS.

    “Saya mendoakan GPS akan diterima oleh para pemilih dan akan berjaya menubuhkan kerajaan di negeri Sarawak untuk meneruskan pembangunan demi kepentingan rakyat,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, parti tidak membenarkan ahli bertanding dalam pilihan raya tanpa kebenaran.

    “Tindakan tatatertib boleh diambil termasuk dipecat. Peraturan ini terpakai kepada Sarawak dan parti akan membuat pengumuman tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan media hari ini tanpa menamakan Ali.

    Beliau menegaskan, ahli Bersatu telah diarahkan oleh Presiden parti untuk berkempen bagi sekutu GPS pada PRN Sarawak.

  • Struktur pentadbiran Bersatu perlu ditambah baik

    Struktur pentadbiran Bersatu perlu ditambah baik

    PENAMBAHBAIKAN dalam struktur pentadbiran Bersatu wajar dilakukan bukan hanya di peringkat negeri malah secara keseluruhan, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

    Katanya penambahbaikan dalam pengurusan Bersatu itu perlu dilakukan, bagi membolehkan asas perjuangan penubuhan parti berkenaan dapat dikembalikan.

    “Mengambil kira senario yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru ini, saya berpendapat bukan sahaja rombakan di (peringkat) negeri wajib dibuat, tetapi (parti) perlu melihat semula struktur pentadbiran secara keseluruhan yang melibatkan pengurusan parti itu sendiri,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Alor Gajah di A Famosa Resort di sini hari ini.

    Katanya struktur pentadbiran itu adalah seperti siapa yang telah dipilih, manakala yang dilantik dikekalkan namun kena ada penambahbaikan dari segi pengurusan parti, termasuk keahlian dan gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas peletakan jawatan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, Jumaat lalu.

    Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata terpulang kepada pucuk pimpinan, untuk menilai semula gerak kerja dalam meneruskan agenda parti untuk menjadi sebuah parti alternatif yang mendukung perjuangan bangsa dan agama.

    “Ini bukan saja melibatkan struktur penyusunan semula negeri, tetapi memperhalusi cara (parti) mengurus dan mentadbir peringkat pusat dan itu terpulanglah kepada presiden.

    “Ia pentingnya untuk semua kembali kepada perjuangan asal Bersatu, yang mana jika asasnya parti ini ditubuhkan dahulu. Kita akui kelemahan dalam gerak kerja parti yang telah menjadi antara punca kepada kekalahan Perikatan Nasional (PN) pada PRN (Melaka), dan harap ia dapat dijadikan iktibar,” katanya. – BERNAMA

  • Jentera Bersatu Sabah perlu pendekatan baharu berkempen

    Jentera Bersatu Sabah perlu pendekatan baharu berkempen

    JENTERA pilihan raya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sabah perlu kreatif dan berinovatif dalam berkempen bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang di era COVID-19, kata Naib Presidennya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

    Mengambil contoh pendekatan berkempen secara dalam talian pada Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini, beliau berkata pendekatan itu mungkin lebih mencabar bagi menjayakan pilihan raya umum (PRU) akan datang di Sabah dengan capaian Internet yang masih rendah terutamanya di kawasan pedalaman.

    “Sekarang adalah amat penting (ketika PRU belum dipanggil) bagi jentera pilihan raya setiap parti untuk mendekati pengundi.

    “Bersatu Bahagian Beluran kini ada 104 cawangan dan lebih 8,000 ahli yang boleh memanfaatkan masa sekarang untuk menyantuni rakyat, khususnya pengundi,” katanya yang juga Ketua Bersatu Bahagian Beluran kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Beluran, hari ini.

    Ronald yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan, berkata meskipun Bersatu Beluran mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi, namun pendekatan kempen secara dalam talian juga perlu diselami dan diberi perhatian setiap jentera pilihan raya. – BERNAMA

  • Keputusan tidak bertanding bukti Bersatu faham politik Sarawak

    Keputusan tidak bertanding bukti Bersatu faham politik Sarawak

    KEPUTUSAN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk tidak meletakkan calon mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak adalah bukti semangat politik yang baik antara pihak berkenaan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata keputusan itu menunjukkan bahawa Bersatu memahami keadaan politik di Sarawak, yakni hanya parti tempatan mengetahui kehendak dan keperluan penduduk negeri.

    “Saya ucapkan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu) atas pengumuman tidak sertai PRN ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sungai Asap, Belaga di sini hari ini.

    “Kita (bersama Bersatu) adalah partner dalam kerajaan Persekutuan. Keputusan ini adalah semangat (politik) yang baik dalam kalangan kita.. Saya yakin mereka (Bersatu) faham politik di Sarawak, biarlah orang Sarawak yang menentukan apa yang berlaku di Sarawak dan kita (GPS) boleh menjadi partner dalam gabungan Malaysia untuk rakyat dan negara

    Semalam Muhyiddin mengesahkan parti itu tidak akan bertanding pada PRN Sarawak.

    Terdahulu Abang Johari turut mengadakan lawatan kerja ke Gereja Umum Borneo Evangelical Mission Apau Koyan dan tapak projek bangunan Pejabat Daerah Kecil Sungai Asap, di sini.

    Dalam ucapannya di majlis berkenaan Abang Johari mengesahkan bahawa penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon akan mempertahankan kerusi DUN itu pada PRN Sarawak nanti.

    “Saya nak umumkan bahawa Kennedy Chukpai akan tetap dicalonkan dalam PRN12 akan datang. Kalau anda memberikan sokongan kepada beliau, maka akan banyak lagi projek pembangunan di sini,” katanya.

    Pada awalnya Chukpai semasa berucap di majlis itu meminta kerajaan negeri di bawah pentadbiran GPS untuk menimbangkan cadangan membangunkan10 projek rakyat di Belaga, dan Abang Johari kemudiannya menjelaskan, semua permintaan itu hanya akan boleh dikaji dan diluluskan sekiranya rakyat kekal memberikan mandat kepada kerajaan pimpinanannya.

    “Sayang sekali, permintaan ini dibuat semasa kerajaan negeri (GPS) tidak lagi memiliki mandat, namun sekiranya anda semua ingin projek ini (direalisasikan), berilah sokongan kepada GPS,” tambahnya.

    Chukpai merupakan penyandang kerusi Dun Murum sejak 2016 dan pada PRN yang lepas, beliau berjaya memperoleh 3,265 undi menewaskan tiga calon lain iaitu Mathew Silek (DAP), Stanley Ajang Batok (Bebas) dan Abun Sui Anyit (PKR).

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-12 ialah pada 18 Dis, manakala hari penamaan calon pada 6 Dis.

  • Tegak kebenaran, lawan kemungkaran punca rakyat sokong Bersatu

    Tegak kebenaran, lawan kemungkaran punca rakyat sokong Bersatu

    PRINSIP menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran seperti rasuah dan salah guna kuasa membolehkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjaya menarik sokongan dan dukungan rakyat.

    Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun masih baru, beliau berbangga dengan pencapaian luar biasa parti itu pada hari ini.

    Sehubungan itu beliau mengingatkan ahli Bersatu agar menilai parti itu bukan sahaja dari segi kekuatan dan perpaduan malah juga dari aspek tanggungjawab serta amanah yang perlu dilaksanakan demi rakyat, bangsa dan negara.

    Menurutnya, selain mengukuhkan parti, setiap ahli ada tanggungjawab kepada rakyat di kawasan masing-masing yang kebanyakannya terkesan dengan pandemik Covid-19.

    “Justeru setiap ahli parti perlu meneruskan usaha bagi memberi khidmat kepada setiap lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang mereka.

    “Saya tegaskan sepanjang berhadapan dengan pandemik, rakyat menghargai apa yang telah kerajaan Perikatan Nasional (PN) lakukan bagi membantu menyelamatkan nyawa dan kehidupan mereka.

    “Walaupun masih baru, saya juga boleh berbangga kerana parti ini berjaya mencatat pencapaian yang agak luar biasa dari aspek sokongan dan dokongan rakyat kerana parti ini berpegang kepada prinsip menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran seperti rasuah dan salah guna kuasa,” katanya seperti dilaporkan Satu Berita.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata demikian semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pagoh Kali Ketiga di Pagoh.

    Mengulas mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 yang dijangka diadakan tidak lama lagi, Muhyiddin meminta seluruh ahli Bersatu meningkatkan kesiapsiagaan terutama dalam aspek memperkukuhkan jentera parti.

    Ujarnya, beliau percaya pengalaman bekerja bagi membantu calon-calon PN pada Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini sangat berharga bagi menghadapi pilihan raya yang lebih besar tidak lama lagi.

    “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan kepimpinan dan sayap parti seperti Armada dan Srikandi kerana telah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik,” katanya.

    Sementara itu, Muhyiddin pada majlis sama menyampaikan sumbangan barangan perniagaan kepada peniaga kecil dan bantuan perahu dan bot penambang kepada beberapa nelayan kecil kawasan Pagoh.

  • Ramai pemimpin, akar umbi UMNO mahu kerjasama dengan Bersatu – Azmin

    Ramai pemimpin, akar umbi UMNO mahu kerjasama dengan Bersatu – Azmin

    prn melaka

    DATUK Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa, ramai pemimpin dan akar umbi UMNO mahu parti tersebut menjalinkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, mereka berharap untuk melihat kuasa politik Melayu dikekalkan di Melaka pada PRN tersebut.

    Beliau yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri percaya bahawa pandangan berkenaan menggambarkan harapan akar umbi UMNO menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Walau bagaimanapun, Mohamed Azmin menyatakan, PN dan Bersatu tidak mahu mencampuri urusan dalaman UMNO dan pada masa yang sama, menghormati pandangan pemimpin dan akar umbi parti itu.

    “Pandangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu adalah pandangan beliau.

    “Bagaimanapun, saya dapat banyak maklumat pemimpin dan akar umbi UMNO yang mahu diwujudkan kerjasama dengan Bersatu, tetapi itu adalah masalah dalaman UMNO dan kami tidak mahu campur,” katanya seperti dilaporkan BH.

    Ahli Parlimen Gombak itu berkata demikian selepas menghadiri program perjumpaan dengan jentera pilihan raya PN Bahagian Masjid Tanah, di Dewan Tan Sri Abu Seman Yusof, di Masjid Tanah, Melaka, hari ini.

    Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO telah memuktamadkan kepuutusan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRN Melaka.

    Berikutan kenyataan Ahmad Zahid itu, Pengerusi PN dan Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan PN akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

    Perkembangan terkini melibatkan dua parti Melayu itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan akar umbi dan penyokong tentang kemungkinan Melaka akan jatuh semula ke tangan Pakatan Harapan (PH), seperti apa yang berlaku selepas PRU-14.

    Ramai pemerhati politik berpandangan, pertembungan tiga penjuru atau lebih di kerusi-kerusi majoriti pengundi Melayu akan memberi kelebihan kepada calon-calon PH.

    Sehubungan itu, kerjasama antara parti-parti Melayu iaitu UMNO, PAS dan Bersatu mampu mengekang kemaraan PH di Melaka.

    Bersatu dan PAS telah berulang kali mempelawa UMNO untuk bekerjasama namun masih belum mendapat sambutan daripada Ahmad Zahid.

  • Buktikan Bersatu jaga kepentingan pelbagai kaum – Mahathir

    Buktikan Bersatu jaga kepentingan pelbagai kaum – Mahathir

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan platform bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuktikan bahawa ia adalah sebuah parti yang menjaga kepentingan rakyat pelbagai kaum.

    Ketua Bersatu Bahagian Segambut, Mahathir Mohd Rais berkata, pemimpin Bersatu juga perlu menyedari hakikat bahawa mereka kini bukan hanya perlu menjaga kepentingan dan mewakili orang Melayu sahaja malah kebajikan masyarakat pelbagai kaum yang menjadi asas kekuatan politik negara.

    “Ini adalah masa sesuai bagi semua pemimpin supaya tidak hanya fokus kepada hanya satu kaum tertentu sahaja sebaliknya mereka perlu fokus kepada usaha menjaga kepentingan semua kaum sebagai asas kekuatan parti politik masing-masing.

    “Ini penting kerana jatuh dan bangunnya serta kekuatan sesebuah kerajaan bergantung kepada sokongan dari peringkat akar umbi,” katanya seperti dilaporkan PNBBC Portal hari ini.

    Bersatu kaum Mahathir Mohd Rais
    MAHATHIR MOHD RAIS

    Beliau menambah, Bersatu juga tidak boleh lagi bersembunyi di sebalik perancangan yang nampak sempurna di atas kertas namun hakikat sebenarnya adalah berbeza.

    Mahathir memberitahu, semua pemimpin Bersatu perlu melihat dan mengkaji realiti politik semasa serta mengambil kira pandangan akar umbi parti sebelum membuat sebarang keputusan muktamad.

    Katanya lagi, pemimpin politik juga harus ingat bahawa jatuh bangun mereka adalah bergantung kepada kehendak akar umbi.

    Malah, Mahathir berkata, sejarah sudah membuktikan bahawa keakraban hubungan rapat antara pemimpin dan akar umbi membolehkan Barisan Nasional (BN) kekal memerintah selama lebih 60 tahun.

    Dalam perkembangan sama, beliau mencadangkan agar Bersatu memberi lebih banyak ruang kepada golongan muda untuk memainkan peranan penting dalam PRN Melaka dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

  • Muhyiddin umum bertanding PRU-15, PN akan kembali

    Muhyiddin umum bertanding PRU-15, PN akan kembali

    PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa beliau akan bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Walau bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi PN tidak menyatakan dengan jelas sama ada akan mempertahan kerusi Parlimen Pagoh yang disandangnya.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun kelima Bersatu yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook beliau, malam ini.

    “Pada masa itu (PRU-15), PN dan saya sebagai Pengerusinya akan mengambil bahagian dalam pilihan raya.Insya-Allah, dengan izin Allah dan sokongan rakyat, kita akan bangkit semula!” katanya.

    *Kalau tidak terlibat pemilihan PM baharu, PH dan kleptokrat mungkin jadi kerajaan

    Beliau juga menegaskan, Pakatan Harapan (PH) dengan sokongan kumpulan kleptokrat berkemungkinan kembali menjadi kerajaan sekiranya beliau tidak menetapkan pendirian dalam pemilihan Perdana Menteri baharu.

    ”Saya boleh memilih untuk berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa selepas saya meletak jawatan. Lagipun saya telah berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan kedudukan Kerajaan PN. Tetapi saya masih mempunyai tanggungjawab sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi PN.

    ”Apa jadi kalau saya dan semua Ahli Parlimen Bersatu tidak mengambil apa-apa pendirian dalam pemilihan Perdaba Menteri bahatu dan pembentukan kerajaan selepas itu. Pertama keadaan politik negara akan terumbang ambing kerana suasana pada ketika itu menunjukkan tidak ada sesiapapun yang mendapat majoriti,” katanya.

    Kedua tegas beliau, PH dengan sokongan kumpulan kleptokrat berkemungkinan kembali menjadi kerajaan dan Bersatu menjadi pembangkang.

    ”Saya berfikiran rasional.Kerana itu saya berbincang dengan ahli-ahli Parlimen Bersatu dan pimpinan parti-parti dalam Perikatan Nasional iaitu Pas, STAR, SAPP dan Gerakan serta pucuk pimpinan parti rakan kita iaitu GPS dan PBS supaya mencalonan Datuk Seri Ismail Sabrei sebagai Perdana Menteri yang baharu,” katanya.

    Dengan itu tegas Muhyiddin Bersatu dan parti-parti komponen PN untuk terus berada dalam kerajaan bagi meneruskan usaha-usaha memulihkan negara sehinggalah tiba suatu masa pilihan raya dapat diadakan dengan selamat dan mandat dikembalikan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

    Beliau juga menyeru ahli-ahli Bersatu supaya terus memberi sokongan kepada Perdana Menteri dalam usaha Ismail Sabri dan barisan Jemaah Menterinya untuk menjaga kebajikan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi dan memulihkan negara.

    Muhyiddin menambah, semua ahli Bersatu perlu melakukan segala persiapan menghadapi PRU-15 dengan menumpukan usaha memperkuatkan parti di akar umbi.

    “Jangan bersengketa sesama kita. Elakkan perasaan dengki dan irihati. Kukuhkan perpaduan, tingkatkan kerjasama dan lipat gandakan usaha untuk menjadikan Bersatu sebagai parti pilihan rakyat.

    “Perkukuhkan kerjasama kita dengan parti-parti komponen PN di semua peringkat khususnya di bahagian dan cawangan. Dasar kita ialah kita tidak boleh bersendirian dalam menghadapi pilihan raya.

    “Kita memerlukan sokongan parti-parti komponen PN dan parti-parti rakan kita yang lain untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan,” jelasnya.

    • Buktikan budaya politik Bersatu berbeza

    Beliau meminta semua pemimpin dan ahli Bersatu meneruskan kerja-kerja amal dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan rakyat.

    “Buktikan budaya politik Bersatu ini berbeza. Politik kita ialah politik khidmat. Politik prihatin. Politik jasa kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Politik kita bukan politik iri hati dan hasad dengki. Bukan politik perkauman yang melampau. Bukan politik adu-domba, tamak haloba dan kemaruk kuasa,” tegasnya.

    Muhyiddin berkata, Bersatu mesti membuktikan nilai kepimpinannya berteraskan prinsip integriti dan amanah serta tidak boleh berkompromi dengan perbuatan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

    “Kita tidak mencampuri urusan mahkamah. Kita menghormati prinsip pengasingan kuasa antara badan Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman. Kita juga komited dengan agenda reformasi institusi yang menjamin tatakelola kerajaan yang baik,” ujarnya.

    Beliau turut mengumumkan penubuhan Akademi Kepimpinan Bersatu yang akan mengadakan siri latihan berteraskan nilai, roh dan semangat perjuangan parti sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan parti.

    “Akademi ini juga akan memberi tumpuan kepada penerapan semangat kebangsaan berteraskan Islam yang menyantuni masyarakat pelbagai kaum dan agama sebagai ideologi Bersatu,” jelasnya.

    Muhyiddin menambah, sebagai sebuah parti pribumi, Bersatu akan terus membela nasib orang Melayu dan bumiputera termasuk menjaga kebajikan serta memperbaiki taraf hidup golongan B40 yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan berkenaan.

    “Perhatian juga akan diberikan kepada usaha mewujudkan lebih banyak peluang penyertaan Melayu dan bumiputera dalam bidang-bidang pertumbuhan ekonomi utama yang berdaya maju.

    “Dalam konteks ini, agenda Wawasan Kemakmuran Bersama yang bertujuan untuk menangani jurang pendapatan antara kaum, wilayah dan kelas sosial akan terus menjadi keutamaan kita,” jelasnya.

  • Ketepi perbezaan, perbaharu iltizam nasional

    Ketepi perbezaan, perbaharu iltizam nasional

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyeru kepada semua pihak untuk mengetepikan segala perbezaan yang ada dan seterusnya memperbaharui iltizam nasional secara kolektif untuk terus fokus kepada agenda membangunkan negara dan membela rakyat.

    Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha yang berterusan adalah perlu untuk mengukuhkan perpaduan antara rakyat Malaysia yang majmuk dan seterusnya menjadi pemangkin atau pemacu kepada kemajuan negara di masa hadapan dari segala aspek seperti ekonomi, pendidikan dan sosial.

    “Bersatu juga menyambut baik konsep Keluarga Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob dan menyifatkan bahawa pendekatan tersebut adalah amat bertepatan bagi memelihara keharmonian antara rakyat Malaysia yang berbilang agama, bangsa dan budaya.

    “Justeru, Bersatu yakin bahawa barisan Jemaah Menteri yang baru dilantik mampu untuk mentadbir negara selari dengan aspirasi rakyat yang mahukan proses pemulihan negara yang telah dirancang berjalan dengan lebih lancar dan inklusif,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Beliau menambah, bagi menghayati tema Hari Kebangsaan 2021 iaitu Malaysia Prihatin, Bersatu berazam dan bertekad untuk memperkasakan amalan politik khidmat bakti kepada rakyat di semua peringkat terutamanya untuk membantu rakyat yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara.