Tag: parti liar

  • Remaja masih bersekolah antara ditahan sertai parti liar

    Remaja masih bersekolah antara ditahan sertai parti liar

    REMAJA bawah umur yang masih bersekolah merupakan antara 22 individu yang ditahan menyertai ‘parti liar’ di sebuah banglo di Batu Feringghi, Pulau Pinang ditahan polis dalam serbuan pada 13 Oktober lalu.

    Kesemua mereka iaitu 14 lelaki dan lapan wanita tempatan berusia 16 hingga 21 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 1.40 pagi.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mereka didapati berkongsi wang untuk menyewa banglo tiga tingkat itu dengan kadar bayaran RM1,000 sehari.

    Menurutnya, setiap peserta dijemput menghadiri parti itu menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp dengan bayaran antara RM80 hingga RM100 seorang.

    ”Kita juga mendapati lapan peserta perempuan yang ditahan tidak dikenakan sebarang bayaran kerana dibayar oleh peserta lelaki.

    “Dalam serbuan itu, polis juga telah merampas dua peket dadah jenis ketamin seberat 0.9 gram bernilai RM150 serta tiga biji pil ekstasi dengan anggaran berat 1.6 gram bernilai RM45,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Georgetown, Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Soffian, hasil saringan air kencing ke atas 22 individu berkenaan juga mendapati enam individu lelaki didapati positif dadah jenis methamphetamine.

    Tambahnya, kesemua tangkapan ditahan reman selama enam hari bermula 13 Oktober hingga 18 Oktober untuk siasatan mengikut Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta yang sama.

    “Kesemua tangkapan juga diserahkan kepada Unit Agama dan Kaunseling, Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) IPD Timur Laut untuk sesi kaunseling dan ceramah yang turut dihadiri waris terdekat mereka,” katanya.

  • Banglo mewah disewa RM2,000 sehari demi parti liar

    Banglo mewah disewa RM2,000 sehari demi parti liar

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG lelaki berusia 41 tahun sanggup mengeluarkan wang poketnya sehingga RM2,000 hanya untuk menyewa sebuah banglo mewah selama sehari di kawasan perumahan elit di Taman Perling, Johor Bahru untuk menganjurkan parti liar, kelmarin.

    Bagaimanapun, keseronokan lelaki itu bersama 13 individu lain tidak berpanjangan apabila diserbu polis setelah berhibur dengan alunan muzik kuat berserta jamuan minuman keras dan pelbagai jenis dadah.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, dalam serbuan pada pukul 2.30 pagi itu, polis menahan 14 suspek berusia lingkungan 20 hingga 41 tahun yang sedang asyik berparti.

    Sebuah banglo disewa sebelum dianjurkan parti liar yagn turut melibatkan dadah dan minuman keras

    “Semasa pasukan polis memasuki premis itu, didapati tujuh lelaki dan tujuh wanita tempatan sedang berhibur di ruang tamu dengan muzik dipasang kuat serta hidangan minuman keras.

    “Hasil serbuan itu, pihak polis turut menjumpai sejumlah dadah jenis ganja, ketamin dan
    ekstasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Rupiah berkata, hasil saringan ujian air kencing ke atas semua tangkapan mendapati lima suspek lelaki positif dadah jenis Methamphetamine termasuk lelaki yang menyewa banglo mewah terbabit.

    “Penganjur itu dikenakan kompaun RM2,000 manakala kesemua individu lain dikompaun RM1,500 kerana mengingkari prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1,” katanya.

    Tindakan 14 lelaki dan wanita berhibur di semuah banglo yagn disewa khas membawa padah apabila ditahan polis kerana melanggar SOP PPN Fasa 1

    Dalam serbuan itu juga, pihak polis telah merampas semua perkakasan muzik elektronik yang digunakan dan kesemua 14 individu direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

    Ujar Rupiah, kes disiasat di bawah Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Johor dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Polis tahan 18 individu terlibat parti liar di Kepong

    Polis tahan 18 individu terlibat parti liar di Kepong

    POLIS menahan 18 individu termasuk tujuh wanita dengan empat daripadanya wanita warga asing dipercayai menyertai parti liar di sebuah kondominium di Kepong, di sini, awal hari ini.

    Kesemua yang ditahan turut dikompaun sebanyak RM4,000 seorang di bawah Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Pelan Pemulihan Negara 2021.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata semasa serbuan pada 1 pagi itu, kesemua individu berusia 19 hingga 42 berkenaan sedang minum minuman keras selain memasang bunyi muzik yang kuat. 

    Beliau berkata siasatan ke atas dua lelaki berusia 19 dan 27 tahun yang juga penganjur parti itu mendapati aktiviti berkenaan dipromosi melalui aplikasi WeChat dan mengenakan bayaran RM150 bagi setiap bilik di kondominium itu.

    “Suspek juga dipercayai melakukan penganjuran parti liar itu sejak awal bulan ini manakala hasil ujian saringan air kencing mendapati 12 individu positif dadah jenis amphetaminemethamphetamine dan ketamin. Polis turut merampas dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 27.50 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beh berkata permohonan reman akan dibuat ke atas kesemua individu itu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.- BERNAMA

  • 11 termasuk 3 wanita Vietnam ditahan anjur parti hari lahir di kondominium

    11 termasuk 3 wanita Vietnam ditahan anjur parti hari lahir di kondominium

    PADAH berseronok menganjurkan majlis sambutan hari lahir, seramai 11 individu termasuk tiga wanita warga Vietnam ditahan polis di sebuah kondominium di Jalan Lestari, Butterworth, di sini malam tadi.

    Serbuan pukul 11 malam itu dilakukan selepas polis menerima aduan daripada orang awam memaklumkan terdapat bunyi bising di unit kondominium tingkat 19 berkenaan.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, turut ditahan bersama tiga wanita Vietnam itu ialah lapan lelaki tempatan kesemuanya berumur antara 19 hingga 35 tahun.

    Ujarnya, mereka yang ditahan merupakan bekerja sebagai sebagai peniaga haiwan, pekerja kilang serta pekerja kedai barangan sejuk beku.

    Jelas beliau, siasatan mendapati rumah tersebut di sewa dua lelaki dan wanita warga Vietnam yang merupakan pasangan kekasih.

    “Ketika serbuan dilakukan difahamkan mereka baru selesai acara memotong kek serta sedang leka berparti dengan bunyi muzik yang kuat.

    “Pemeriksaan mendapati sambutan hari lahir itu dianjurkan seorang daripada lelaki yang menyewa di situ untuk menyambut hari jadi teman wanitanya berusia 22 tahun dan dia kemudiannya mengajak enam lagi rakan lelakinya bagi meraikan bersama-sama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Menurut beliau, siasatan awal mendapati dua lelaki yang menyewa rumah itu mengenali wanita Vietnam berkenaan ketika mengunjungi pusat hiburan sebelum ini dan tinggal sebumbung.

    Jelas beliau, polis tidak menemui sebarang dadah di rumah tersebut ketika serbuan namun ujian air kencing mendapati empat lelaki positif dadah jenis methaphetamin manakala seorang wanita positif ketamin.

    “Dalam serbuan itu, kita turut merampas speaker, belon dan perhiasan sambutan hari lahir tersebut dan mereka direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

    Dalam masa sama, Rahimi menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

    “Kita turut memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah agar tindakan segera dapat diambil,” katanya.

  • Empat pelajar tingkatan 4 antara 15 remaja ditahan terbabit parti liar

    Empat pelajar tingkatan 4 antara 15 remaja ditahan terbabit parti liar

    SEBANYAK 15 remaja termasuk empat pelajar tingkatan empat ditahan selepas disyaki terbabit dalam parti liar dalam satu serbuan di sebuah kondominum mewah di Seksyen 7, Shah Alam di sini, awal pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, hasil dari aduan awam bahawa terdapat sejumlah individu berkumpul di lokasi terbabit, polis telah melakukan serbuan sekitar 1.30 pagi dan mendapati empat daripada mereka adalah remaja yang masih bersekolah.

    Katanya, ketika serbuan dibuat, suspek berumur antara 16 hingga 20 tahun dilihat dalam keadaan berkhayal dipercayai di bawah pengaruh dadah dan keletihan setelah berparti dari pukul 9 malam.

    “Pihak polis telah merampas satu peket disyaki ganja dengan anggaran berat 2.3 gram di lokasi kejadian.

    “Unit kondominium mewah tersebut disewa oleh salah seorang suspek dengan kadar RM200 semalam dan semua suspek berhubung menggunakan aplikasi WeChat,” katanya hari ini.

    Baharuddin berkata, semakan juga mendapati tiga termasuk penganjur parti liar itu yang bekerja sebagai penghantar makanan mempunyai satu rekod lampau membabitkan dadah.

    Ujarnya, hasil ujian saringan awal polis yang dijalankan mendapati seramai lapan remaja lelaki positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC), amphetamine, methamphetamine dan benzo.

    “Kesemua mereka kemudiannya dikompaun RM2,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

    Sementara itu, Baharudin berkata, Mahkamah Majistret Shah Alam pada hari ini telah membenarkan reman ke atas mereka yang terlibat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tiga hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Terbabit parti liar, 15 termasuk penjawat awam ditahan

    Terbabit parti liar, 15 termasuk penjawat awam ditahan

    SEBANYAK 15 individu termasuk seorang penjawat awam ditahan selepas dipercayai terlibat dalam pesta liar dan pengambilan dadah di sebuah unit kondominium mewah dekat Jalan Ceylon, Kuala Lumpur, awal pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, operasi pada pukul 1 pagi itu dilakukan hasil aduan awam dan risikan yang mendakwa terdapat aktiviti hiburan di premis berkenaan.

    Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, seorang daripada yang ditahan itu merupakan penjawat awam manakala sembilan yang lain terdiri daripada wanita.

    Katanya lagi, unit kondominium terbabit pula disewa dengan kadar RM600 semalam dan polis turut menemukan pelbagai peralatan audio dan juga kesan penggunaan dadah.

    “Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga lelaki dan lapan wanita positif dadah.

    “Kita akan mengeluarkan kompaun setiap seorang berjumlah RM4,000 dan keseluruhan nilai kompaun adalah sebanyak RM60,000,” katanya.

    Dalam pada itu, Mohamad Zainal memberitahu, kesemua individu yang ditahan berusia antara 17 sehingga 45 tahun dan kesemuanya tinggal di kawasan sekitar Kuala Lumpur.

    Ujar beliau, semasa disoal siasat, mereka turut mengaku beberapa kali berkunjung ke rumah tersebut sebelum ini untuk berhibur.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 5(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 17 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021,” katanya,

    Beliau menambah, kesemua individu yang ditahan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan selanjutnya.