Tag: Parti Amanah Negara

  • Bekas ADUN Telok MAS, Noor Effandi Ahmad sertai Amanah

    Bekas ADUN Telok MAS, Noor Effandi Ahmad sertai Amanah

    BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad menyertai Parti Amanah Negara (Amanah), Selasa lepas.

    Perkara itu dikongsikan beliau di laman sosial Facebook miliknya semalam, selepas menyerahkan borang keahliannya kepada Naib Presiden Amanah, Adly Zahari.

    “Inilah wadah baharu perjalanan politik saya. Sedikit sebanyak, pengalaman lalu baik suka mahupun duka akan dibawa bersama buat merencana suatu harapan yang lebih baik dan moga membawa manfaat kepada Malaysia tercinta. Kekuatan diri akan diperkasa, kelemahan diri menjadi pedoman berharga.

    “Kepada keluarga besar Amanah, saya sedar saya ini budak baharu belajar, banyak kekurangannya. Mohon tunjuk ajar dan kerjasama,” menurut catatan itu.

    Sementara itu, Adly, yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, juga di Facebooknya mengucapkan selamat datang kepada Noor Effandi, Afiq Nordin dan rakan-rakannya dalam keluarga Amanah.

    Noor Effandi bersama ADUN Sungai Udang Datuk Seri Idris Haron, ADUN Pantai Kundur Datuk Nor Azman Hassan dan ADUN Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga mengakibatkan kerajaan negeri Melaka tumbang pada tahun lepas dan pilihan raya negeri diadakan.

    Berikutan tindakannya itu, Noor Effandi dipecat keahliannya daripada Bersatu. – BERNAMA

  • Ku Li ketuai gabungan politik baharu, kerjasama Amanah Kelantan

    Ku Li ketuai gabungan politik baharu, kerjasama Amanah Kelantan

    AHLI Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah akan mengetuai gabungan politik baharu yang dinamakan Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan.

    Matlamat gabungan kerjasama antara tokoh politik veteran UMNO yang lebih dikenali sebagai Ku Li dan Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan itu adalah untuk membawa perubahan di negeri itu.

    Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

    “Tahniah dan terima kasih kepada Ayahanda ambo YBM Ku Li kerana sudi mengepalai gerakan Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan yang merentas batas kepartian dan kepuakan.

    “Amanah Kelantan bersedia bergabung tenaga dan memberi kerjasama yang sepenuhnya demi membawa dan menawarkan satu perubahan kepada rakyat Kelantan.

    “Allah tidak mengubah nasib dan situasi kita kecuali kita sendiri mengubah apa yang ada pada kita. Kita hanya menawarkan, rakyatlah yang memilih,” katanya.

    Beliau turut memaklumkan program pertama Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan adakan berlangsung pada 7 Mei ini.

    Setakat ini, masih belum ada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Ku Li atau UMNO berhubung perkara tersebut.

    Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, Tengku Razaleigh mengambil tindakan secara individu dan bukan diputuskan oleh parti.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita mengenai Tengku Razaleigh mengadakan satu pertemuan dan perbincangan awal antaranya dengan pimpinan Amanah Kelantan baru-baru ini.

    Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, prinsip UMNO adalah jelas, setiap keputusan mengenai sebarang hubungan hanya boleh diputuskan oleh parti.

    “Kalau sesiapa sahaja bertindak atas sifat individu, maka tindakan itu jadilah kerja individu. Individu tak semestinya serupa dengan kerja parti, jadi setakat yang saya tahu inisiatif yang dikatakan itu hanya inisiatif peribadi. Mudah sahaja, apa-apa perkara yang parti putuskan maka itulah yang kita pegang dan ikut,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Zakat Fisabilillah kepada 259 pelajar tingkatan enam Parlimen Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan, di Kota Bharu hari ini.

  • Ketua Wanita PKR Johor tuduh Amanah khianat

    Ketua Wanita PKR Johor tuduh Amanah khianat

    KETUA Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis Maharan tidak berpuas hati dengan keputusan Parti Amanah Negara (Amanah) menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

    Malah, beliau menganggap tindakan itu sebagai satu pengkhianatan.

    Beliau sebelum ini cuba berlapang dan apabila kerusi DUN Puteri Wangsa diberikan kepada Amanah atas dasar kesepakatan dalam Pakatan Harapan (PH).

    “Saya sudah siapkan jentera-jentera untuk calon Amanah… Tapi Amanah dengan mudah berikan kerusi ini kepada Muda?

    “Sayang dan kasihnya saya pada Puteri Wangsa kerana saya dilahirkan di sini, dibesarkan, sekolah, dari umur 10 tahun ikut bapa sebagai pembangkang di Tebrau..sehinggalah saya sendiri ceburi bidang politik.. saya bantu PKR sehingga kita menang di Parlimen Tebrau dan DUN Tiram. Dan kita ada puluhan ranting di sini.

    “Isunya bukan tentang saya.. tapi saya nak tempat ini untuk PKR kerana saya yakin hanya PKR yang boleh menjaga Puteri Wangsa ini.

    “Siapa pun calon mesti dari PKR atau kalau tak boleh juga boleh sahaja dari DAP atau Amanah tapi tulah.

    “Apabila perlu diberi kepada Amanah… atas sikap profesional dan taat pada arahan parti.. saya terima dan susun sebaiknya.

    “Kerana selepas Sheraton Move hanya team PKR yang bersungguh-sungguh pulihkan keadaan di Puteri Wangsa.

    “Kami bina semula kepercayaan rakyat. Apabila Amanah berikan kepada Muda.. Pada saya ini adalah pengkhianatan kepercayaan yang akar umbi berikan.

    “DUN ini menang majoriti 24 ribu, mudahnya memberi kerusi yang paling berharga di Johor kepada satu parti yang belum pasti kesetiaannya.

    “Seperti biasa…. LAWAN TETAP LAWAN,” luahnya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kerusi DUN Puteri Wangsa dimenangi oleh PH yang diwakili Mazlan Bujang.

    Selain Puteri Wangsa, PH memberi laluan kepada Muda yang diketuai Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk bertanding di lima lagi kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Kerusi-kerusi tersebut adalah Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap dan Bukit Permai.