Tag: parang

  • Padah ugut bapa dengan parang, lelaki ditahan polis

    Padah ugut bapa dengan parang, lelaki ditahan polis

    SEORANG lelaki ditahan selepas mengugut bapa sendiri dengan parang kerana menyangka anaknya dihalau keluar dari sebuah rumah di Kampung Kubang Lintah, mukim Lepai di sini kelmarin.

    Sinar Harian melaporkan, dalam kejadian lebih kurang pukul 3 pagi itu, suspek berusia 48 tahun mengejutkan bapanya berusia 84 tahun sebelum bertanya di mana anaknya.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, suspek yang tidak berpuas hati lalu turun ke bawah rumah serta membawa sebilah parang dan mengeluarkan kata-kata ugutan.

    “Warga emas itu melarikan diri ke rumah seorang lagi anaknya yang lain dan kemudian ke balai polis membuat laporan.

    “Siasatan mendapati punca pertengkaran kerana suspek beranggapan mangsa telah menghalau anaknya keluar dari rumah, sedangkan anak suspek kini tinggal di rumah sewa bersama rakan,” katanya dalam kenyataan semalam.

    Ahmad Shukri berkata, tiada sebarang kecederaan dialami oleh mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

    Katanya, suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat.

  • Lelaki ditahan miliki pistol, parang, sembilan pedang, dua keris

    Lelaki ditahan miliki pistol, parang, sembilan pedang, dua keris

    POLIS menahan seorang lelaki dalam serbuan di Kampung Air Belaga, Ulu Sat, Machang, pada pukul 11.50 malam, Isnin lalu kerana memiliki pistol dan pelbagai senjata tajam.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam serbuan itu pihaknya terpaksa memecahkan pintu hadapan untuk membuat pemeriksaan.

    “Semasa serbuan, berlaku pergelutan dengan seorang lelaki yang berasal dari Gua Musang yang ketika itu berada di atas katil dalam sebuah bilik.

    “Hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut menjumpai sepucuk pistol jenis Glock 19 Austria warna hitam dan sebiji peluru di dalam ‘chamber’,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, hari ini.

    Beliau berkata, turut ditemui empat butir peluru hidup dalam kelopak, dua bilah keris kecil, sembilan pedang dan sebilah parang berhulu kayu.

    Muhamad Zaki berkata, satu plastik lut sinar mengandungi 165 biji pil berwarna kemerahan, satu straw berisi serbuk warna putih dan empat papan aluminium foil berwarna silver yang mengandungi 20 biji pil warna putih disyaki dadah turut dirampas.

    Katanya, suspek yang mempunyai enam rekod jenayah lampau dan empat rekod narkotik itu turut dikesan positif dadah jenis methamphetamine.

    “Suspek direman bermula 16 hingga 29 Ogos untuk siasatan lanjut,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Kes akan disiasat bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958, Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12 (3) akta sama.

  • Penjara 5 tahun gara-gara miliki 2 bilah parang tanpa kebenaran

    Penjara 5 tahun gara-gara miliki 2 bilah parang tanpa kebenaran

    SEORANG penganggur dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini kerana memiliki dua bilah parang pemotong daging di kawasan awam tanpa kebenaran, tahun lepas.

    Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohammad Zamani Muhammad, 31, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan hari ini.

    Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 13 Okt 2021.

    Mohammad Zamani didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu dua bilah parang pemotong daging tanpa kebenaran sah di tepi jalan berhampiran jambatan menuju ke Kampung Pasir Pantai di sini pada 7.10 malam, 13 Okt tahun lepas.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan ingin berjumpa dengan keluarganya. – BERNAMA

  • Buruh tetak peguam dipenjara setahun, denda RM10,000

    Buruh tetak peguam dipenjara setahun, denda RM10,000

    SEORANG buruh yang sebelum ini didenda RM5,000 kerana menetak bahagian kepala dan tangan kiri seorang peguam menggunakan parang selepas berang ditegur tidak memakai pelitup muka, hari ini diperintah menjalani hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah turut mengenakan denda RM10,000 ke atas M. Samasiveng, 57, selepas membuat semakan terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Selayang pada 11 Mac lepas.

    “Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak dan menyemak hukuman yang dijatuhkan sebelum ini, mahkamah mendapati hukuman yang dijatuhkan tidak mencukupi.

    “Oleh itu, mahkamah mengetepikan hukuman Mahkamah Majistret dan mengenakan hukuman penjara setahun bermula hari ini dan denda RM10,000 atau 12 bulan penjara, jika gagal membayar denda,” kata hakim itu.

    Sebelum ini, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman denda RM5,000 ke atas Samasiveng selepas mengaku bersalah mencederakan Gurcharan Singh, 60, menggunakan sebilah parang yang mungkin menyebabkan kematian terhadap mangsa di sebuah pasar raya di Taman Bersatu Rawang, Gombak pada 9 Mac lepas.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Isa Mohamed berhujah tertuduh sebagai rakyat Malaysia, seharusnya lebih peka dengan keadaan negara yang dilanda COVID-19 dan tidak membuka pelitup mukanya dan merokok di tempat awam.

    “Mengikut fakta kes, tertuduh juga telah menunggu mangsa di kaki lima pasar raya selepas ditegur, dan ini menunjukkan jenayah yang dilakukan adalah terancang.

    “Tertuduh telah mengambil senjata iaitu parang dari keretanya selepas bertengkar mulut dengan mangsa dan ini menunjukkan penggunaan senjata bukanlah bertujuan mempertahankan diri. Serangan dengan parang boleh menyebabkan kematian kepada mangsa,” katanya.

    Peguam T.P Aravind Raj, yang mewakili Samasiveng merayu hukuman ringan atas alasan Mahkamah Majistret telah mengambil kira faktor umur mangsa yang sudah tua dan perlu menjaga isteri serta cucunya.

    “Punca kejadian ini adalah perbalahan mulut selepas mangsa menegur anak guam saya yang sedang merokok dan tidak memakai pelitup muka. Ia bukanlah kejadian yang dirancang kerana ketika kejadian dia hanya membeli barangan runcit bersama isteri dan cucunya,” kata peguam itu.

    Prosiding hari ini turut dihadiri peguam pemerhati dari Badan Peguam Malaysia Nicholas Cheoh. – BERNAMA

  • [VIDEO]Lelaki agresif ditahan selepas panjat kereta polis, libas sabit

    [VIDEO]Lelaki agresif ditahan selepas panjat kereta polis, libas sabit

    SEORANG lelaki ditahan selepas bertindak agresif dengan memanjat kereta peronda polis sambil melibaskan sebilah sabit panjang di hadapan Balai Polis Gopeng di sini, seperti yang tular di media sosial hari ini.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata dalam kejadian jam 8 pagi tadi, lelaki berumur 61 tahun itu berjaya ditahan selepas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang hadir ke lokasi kejadian untuk membantu, bertindak menyembur air ke arahnya.

    Beliau berkata suspek datang ke balai polis berkenaan dengan menaiki motosikal dan membawa parang dan sabit, lalu memasuki kawasan balai sehingga berada di hadapan pintu masuk pejabat pertanyaan. 

    “Pegawai polis yang bertugas telah bertindak untuk menenangkan suspek serta menghubungi bantuan bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini.

    “Suspek telah bertindak keluar dari kawasan balai dan menuju ke Jalan Ipoh-Kuala Lumpur namun telah disekat pihak polis di hadapan pagar balai polis tersebut. Polis juga telah meletakkan sebuah kereta peronda di tengah jalan sebelum itu bagi menghalang orang ramai melalui kawasan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Mior Faridalathrash berkata hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine serta heroin, selain mempunyai 16 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik.

    “Turut dirampas bersama-sama suspek adalah sebilah parang, sebilah sabit panjang, sebuah motosikal dan empat bilah kunci.

    “Berdasarkan maklumat awal juga, suspek telah mengamuk serta merampas motosikal milik orang awam di kawasan Pasar Awam Lawan Kuda dan kemudian menuju ke kawasan perumahan Kopisan sebelum bertindak masuk ke Balai Polis Gopeng,” katanya.

    Mior Faridalathrash berkata suspek kini ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.- BERNAMA