Tag: PAC

  • Pelantikan pembangun aplikasi MySejahtera tak ikut prosedur

    Pelantikan pembangun aplikasi MySejahtera tak ikut prosedur

    PELANTIKAN KPISoft Malaysia Sdn Bhd sebagai pembangun aplikasi MySejahtera tidak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Putrajaya.

    Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berkata, tidak ada satu minit mesyuarat atau dokumen sokongan mengenai pelantikan KPISoft (sebelum ini bernama Entomo).

    “Satu-satunya dokumen yang wujud ialah perjanjian tanpa pendedahan (NDA) yang ditandatangani oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi pihak kerajaan dan KPISoft,” katanya dalam satu kenyataan yang dilapor Free Malaysia Today.

    Menurut Wong, pelantikan KPISoft pada Mac 2020 didapati adalah tidak teratur serta tidak berlandaskan tatacara perolehan kerajaan.

    Katanya, penetapan harga siling yang dibuat Kementerian Kewangan sebanyak RM196 juta untuk perolehan MySejahtera bagi tempoh dua tahun iaitu RM98 juta setahun juga adalah tinggi, selain bercanggah dengan konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR).

    “Konsep CSR yang dicadangkan oleh KPISoft (Entomo) telah menyebabkan kerajaan tidak jelas akan hala tuju sebenar perolehan aplikasi MySejahtera. Kerajaan adalah keliru dari segi pelantikan KPISoft, konsep CSR dan tempohnya serta pemilikan aplikasi MySejahtera,” Tambah kenyataan PAC itu.

  • Tuduh laporan PAC didalangi DAP, Najib cuba alih isu bayar hutang 1MDB

    Tuduh laporan PAC didalangi DAP, Najib cuba alih isu bayar hutang 1MDB

    DAKWAAN bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kononnya DAP mendalangi pendedahan isu pembelian tanah oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditempelak oleh Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh.

    Pada masa yang sama, Kah Woh menuduh Najib cuba mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu tersebut.

    Beliau juga mengkritik kenyataan Najib yang dilihat cuba mencemarkan sikap saksama PAC, dengan menyatakan hanya dua wakil rakyat DAP yang menganggotai jawatankuasa itu.

    “Senang sahaja PM6 (perdana menteri keenam iaitu Najib) untuk sebut DAP dalam jawapannya. Kaitkan DAP sahaja PM6 dapat lepas tangan.

    “PM6 perlu tahu ini laporan PAC, bukan laporan mana-mana parti.

    “PAC ada 14 anggota. Tiga dari UMNO, Bersatu (3), DAP (2), PAS (2), GPS (1), PKR (1), Amanah (1) dan Warisan (1),” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

    Baru-baru ini, PAC mengesahkan bahawa satu plot tanah yang dibeli BNM daripada kerajaan Persekutuan pada 2017 adalah untuk membayar hutang 1MDB.

    Menurut PAC, BNM membayar sebanyak RM2.07 bilion untuk tanah itu, sedangkan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) meletakkan harganya sebagai RM1.422 bilion.

    Walau bagaimanapun, Najib dalam hantaran Facebook semalam menyifatkan PAC sebagai ‘jawatankuasa diketuai DAP.

    Malah, beliau mendakwa bahawa kesimpulan itu adalah usaha DAP untuk meneruskan propaganda yang dimainkan sejak tahun 2017 sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Kah Woh menegaskan bahawa setiap keputusan dalam PAC dibuat secara konsensus dan menerusi perbincangan semua anggotanya.

    “Dalam PAC, kesemua 14 kami – tidak kira baju apa kami pakai dan lambang mana kami wakili – kami bertanggungjawab kepada rakyat, dengan mandat daripada Dewan Rakyat.

    “PAC buat keputusan secara konsensus. Kami bincang, buat rumusan dan bagi cadangan,” jelasnya.

    Beliau turut menyindir Najib dengan mengatakan mungkin PAC pada masa ini tidak sama seperti ketika pentadbiran Najib dahulu.

  • BNM beli tanah RM2.07 bilion, hasil jualan bayar hutang 1MDB – PAC

    BNM beli tanah RM2.07 bilion, hasil jualan bayar hutang 1MDB – PAC

    PENJUALAN Tanah Geran 18335, Lot 41, Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur (Tanah Lot 41) kepada Bank Negara Malaysia (BNM) oleh kerajaan melalui Syarikat SPV Hartanah Mampan Sdn Bhd adalah untuk tujuan pendanaan pelan rasionalisasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh berkata pembayaran harga perolehan RM2.07 bilion dibuat BNM pada 19 Dis 2017 (RM1.035 bilion) dan 27 Dis 2017 (RM1.035 bilion), dengan hasil jualan itu telah digunakan untuk tujuan pembayaran di bawah pelan rasionalisasi 1MDB pada 31 Dis tahun sama.

    PAC yang menjalankan mesyuarat prosiding berhubung isu tanah itu pada 20 Sept lepas, antara lain merumuskan BNM tidak pernah merancang membeli Tanah Lot 41 sebelum tawaran dikemukakan oleh Kementerian Kewangan (MOF).

    “Perancangan perolehan Tanah Lot 41 tidak wujud dalam perancangan strategik tahunan BNM bagi tempoh 2015 hingga 2017 walaupun BNM menyatakan tujuan pembelian adalah untuk membangunkan hab pendidikan perkhidmatan kewangan untuk jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wong berkata tiga saksi dipanggil pada mesyuarat prosiding berkenaan iaitu Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi) Patimah Ramuji, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Asri Hamidon dan Gabenor Bank Negara Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

    Hasil prosiding itu juga PAC mendapati BNM tidak melaksanakan usaha wajar secukupnya dalam pembelian Tanah Lot 41, selain Lembaga Pengarah BNM membuat keputusan untuk membeli tanah lot itu dalam masa sembilan hari selepas perbincangan dengan MOF pada 15 Ogos 2017, dan tiga hari selepas tawaran dikemukakan oleh MOF pada 21 Ogos tahun sama.

    “Transaksi perolehan diselesaikan dalam tempoh yang singkat iaitu empat bulan. Kesemua itu membangkitkan keraguan sama ada BNM menghadapi tekanan daripada pihak kerajaan dalam membuat keputusan,” kata Wong.

    PAC turut merumuskan harga perolehan Tanah Lot 41 berjumlah RM2.07 bilion berdasarkan penilaian yang dilaksanakan Tetuan Suleiman & Co adalah tinggi.

    “Penilaian JPPH (Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Malaysia) yang berdasarkan status hak milik yang sedia ada iaitu Kategori Kegunaan Tanah “Tiada”, Syarat Nyata “Tiada” dan zoning institusi dengan nisbah plot 1:2 adalah sebanyak RM1,421,650,000,” katanya.

    Wong memaklumkan pembayaran harga perolehan RM2.07 bilion adalah tidak wajar dilakukan tanpa penukaran status Kategori Kegunaan Tanah daripada “Tiada” kepada “Bangunan” dan pecah sempadan dengan bahagian tanah yang dimiliki oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) disempurnakan terlebih dahulu.

    Justeru, PAC mengesyorkan supaya BNM mampu membuat keputusan berkait pelaburan serta pembangunannya dengan bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak di samping menghormati transaksi jualan hartanah yang menguntungkan kerajaan.

    BNM juga perlu dengan segera menyelesaikan isu penukaran Kategori Kegunaan Tanah dan pecah sempadan Tanah Lot 41, selain rancangan rapi untuk mengoptimumkan penggunaan tanah lot itu perlu dimuktamadkan, katanya.

    Menurut Wong, isu berhubung tanah berkenaan adalah sebahagian daripada penemuan Jabatan Audit Negara (JAN) dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan yang dibentangkan di Parlimen pada 10 Dis 2020. – BERNAMA

  • PAC syor kerajaan tidak bayar aplikasi MySejahtera

    PAC syor kerajaan tidak bayar aplikasi MySejahtera

    JAWATANKUASA Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan agar kerajaan tidak membuat bayaran untuk penggunaan aplikasi MySejahtera kerana pembangunannya adalah bersifat tanggungjawab sosial korporat (CSR).

    Memetik laporan Bernama, PAC turut menyarankan agar kerajaan mengambil alih pengoperasian aplikasi itu tanpa melibatkan apa-apa kos tambahan memandangkan ia telah menjadi sebahagian daripada sistem kesihatan negara.

    Selain itu, mengambil maklum bahawa kerajaan akan mula membuat bayaran untuk penggunaan aplikasi MySejahtera mulai April tahun ini walaupun pada asalnya ia dibangunkan secara konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR), PAC berpandangan konsep berkenaan telah digunakan sebagai suatu mekanisme untuk mendapatkan projek kerajaan tanpa melalui prosedur perolehan sepatutnya.

    Dalam perkembangan berkaitan, PAC mendapati urusan perolehan vaksin dilaksana secara teratur mengikut tatacara kewangan yang dibenarkan Kementerian Kewangan.

    Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, PAC berpuas hati dengan harga perolehan vaksin daripada pelbagai portfolio oleh kerajaan yang didapati munasabah.

    Bagaimanapun, katanya, PAC mendapati harga premium iaitu peningkatan antara 16.78 hingga 18.12 peratus perlu dibayar kerajaan dalam pembelian sebahagian vaksin Sinovac, antaranya akibat kelewatan syarikat Pharmaniaga dalam penghantaran pada April, Mei dan Jun 2021 serta atas keperluan mendesak dalam tempoh tersebut.

    “PAC berpendapat kerajaan harus berpegang kepada harga sama seperti yang termaktub dalam perjanjian awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    PAC hari ini membentangkan laporan berhubung perolehan vaksin COVID-19 dan penggunaannya terhadap rakyat Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat.

    Dalam pada itu, PAC mendapati kerajaan tidak mampu meletakkan wang tempahan kepada syarikat-syarikat pengeluar vaksin untuk tempahan awal tanpa maklumat klinikal disebabkan sumber kewangan yang terhad.

    Menurut PAC, ini merupakan satu daripada faktor Malaysia tidak mendapat bekalan vaksin dengan lebih cepat, namun proses perolehan vaksin bertambah proaktif dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) pada Oktober 2020.

    PAC juga mendapati jumlah peruntukan RM3 bilion untuk Kumpulan Wang COVID-19 (KWC) yang diumumkan MOF semasa pembentangan Bajet 2021 tidak diambil kira dalam keseluruhan anggaran perbelanjaan berjumlah RM322.5 bilion.

  • Isu kapal peronda: Zahid beri keterangan kepada PAC

    Isu kapal peronda: Zahid beri keterangan kepada PAC

    BEKAS Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberikan keterangan dan penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung kegagalan pembekalan enam kapal peronda generasi kedua Littoral Combatant Ship (LCS) oleh Kementerian Pertahanan melibatkan nilai lebih RM9 bilion.

    Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, menjawat jawatan Menteri Pertahanan dari 10 April 2009 hingga 16 Mei 2013, telah memberikan penjelasan hampir dua jam berhubung isu kapal peronda itu yang merupakan perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan (MINDEF).

    Beliau berkata, Ahmad Zahid merupakan saksi keenam yang dipanggil PAC untuk isu ini, selain Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Seri Muez Abdul Aziz, bekas Panglima Tentera Laut Jen (B), Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Ketua Pegawai Operasi Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), Low Kok Chiang.

    “PAC memandang serius isu ini memandangkan sehingga Oktober 2020, sejumlah RM6.083 bilion telah dibayar namun tidak ada sebuah pun kapal LCS yang siap dibina walaupun mengikut jadual sepatutnya dua kapal LCS telah siap dibina setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Isu tersebut telah dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1 (Pengauditan Pematuhan Kementerian/Jabatan Persekutuan) dan juga dalam Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) Jabatan Perdana Menteri yang diterbitkan pada 2019.

    Wong berkata bagi melengkapkan siasatan isu itu, PAC turut bercadang mengadakan lawatan ke limbungan kapal LCS yang dimiliki BNS di Lumut, Perak dalam masa yang akan ditetapkan. – BERNAMA