Tag: P Ramasamy

  • Ramasamy dakwa sekolah kebangsaan amalkan ‘diskriminasi etnik’

    Ramasamy dakwa sekolah kebangsaan amalkan ‘diskriminasi etnik’

    SEORANG pemimpin DAP kini menyerang pula sekolah kebangsaan yang dikendalikan kerajaan, mengatakan mereka mengamalkan diskriminasi terhadap etnik bukan Melayu, hanya sebulan selepas menggesa supaya monopoli kaum Melayu dalam perkhidmatan awam ditamatkan.

    “Selain kualiti pendidikan, fenomena diskriminasi etnik bukan Melayu cukup ketara di sekolah kebangsaan,” kata Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy menerusi entri di Facebook, lapor MalaysiaNow.

    Ramasamy mendakwa terdapat “kesukaran” dalam pengajaran bahasa Tamil dan Mandarin di bawah program bahasa ibunda murid (POL) di sekolah kebangsaan, menyebabkan kanak-kanak bukan Melayu hilang minat dalam kelas pendidikan bahasa ibunda mereka.

    Beliau mencadangkan supaya pihak berkuasa mewajibkan pelajar bukan Melayu menghadiri kelas bahasa.

    “Langkah sebegitu mungkin sedikit sebanyak dapat menangani perpecahan semasa dalam dua sistem pendidikan,” katanya.

    Bulan lalu, Ramasamy menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mereformasikan perkhidmatan awam, sambil berkata sektor itu kini didominasi oleh orang Melayu kerana apa yang dikatakannya sebagai dasar yang dilaksanakan ketika era Dr Mahathir Mohamad.

    Beliau juga mendakwa “diskriminasi kaum secara rahsia” menghalang prospek kenaikan pangkat untuk etnik bukan Melayu dalam sektor awam.

  • Pemuda PN dakwa wujud pilih kasih isu pemain hoki dan TKM P. Pinang

    Pemuda PN dakwa wujud pilih kasih isu pemain hoki dan TKM P. Pinang

    KETUA Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari mendakwa wujud amalan pilih kasih dalam pentadbiran negara sekarang ini apabila seorang pemain hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn dihukum gara-gara didakwa mengeluarkan komen bersifat perkauman.

    Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas bagaimanapun berkata, kenyataan oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy yang mendesak dominasi Melayu dalam perkhidmatan awam negara dipecahkan tidak pula dikenakan tindakan.

    Menurutnya Hanis Nadiah memberikan komen secara bergurau, malah telah memohon maaf dan memadam ulasannya dalam media sosial, dicop sebagai rasis dan telah digantung daripada menyertai skuad kebangsaan dalam semua acara antarabangsa.

    “Double standard dalam negara! Seorang atlet memberikan komen secara bergurau, dicop rasis dan digantung.

    “Seorang lagi pula, Timbalan Ketua Menteri, mengeluarkan kenyataan menggambarkan orang Melayu ‘terlalu dominan’ dalam perkhidmatan awam, sehingga hari ini masih berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri.

    “Jangan butakan mata kita untuk membuat penilaian!,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Agenda Daily.

    Hanis Nadiah adalah antara pemain yang dianggap terbaik oleh Jurulatih Hoki Negeri Sembilan, K Rajan yang turut membayangkan penyerang kebangsaan itu bukan seorang yang rasis.

    “Saya seorang India, saya akan merasakannya lebih awal jika dia seorang yang bersifat perkauman,” kata Rajan.

    Terdahulu, Hanis Nadiah, 27, pemain kebangsaan didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman di media sosial berhubung konsert AR Rahman di Stadium Nasional yang membayangkan tempat itu pasti berbau.

    Keputusan menggantung pemain negara itu mendapat sokongan pula Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang diterajui oleh seorang Menteri DAP.

    Tindakan tersebut diambil dengan pantas tanpa menghiraukan alasan diberikan Hanis Nadiah yang tidak mempunyai niat untuk menguris perasaan mana-mana individu dan kumpulan kaum dalam negara.

    Kelmarin, Ramasamy dalam satu kenyataan semalam, menggesa kerajaan Anwar, melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam, supaya ia tidak lagi hanya didominasi oleh satu kaum.

    Katanya, perdebatan bahawa penyertaan ramai orang Melayu dalam sektor awam, bagi mengimbangi dominasi kaum Cina dalam ekonomi seperti dinyatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak lagi boleh diguna pakai.

    Ramasamy berkata, dasar perkauman sedemikian tidak lagi boleh dipertahankan terutama ketika kerajaan sekarang berada di tampuk kuasa.

    Susulan itu, Parti Amanah Negara (AMANAH) – parti gabungan bersama DAP dalam Pakatan Harapan (PH) – menyindir Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, kerana cuba menjadi hero kaum India dengan mengeluarkan kenyataan dan mencari publisiti murahan.

    Sementara hari ini pula, Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin berkata beliau tidak terkejut dengan kenyataan Ramasamy, kerana itu adalah suara hati DAP yang amat alergik kepada sesuatu yang didominasi oleh orang Melayu.

  • Dominasi Melayu sektor awam: Ramasamy wajar dipecat – AMK P.Pinang

    Dominasi Melayu sektor awam: Ramasamy wajar dipecat – AMK P.Pinang

    TIMBALAN Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy wajar dilucutkan jawatan ekoran kenyataan terbaharu beliau yang menggesa sektor perkhidmatan awam direformasikan kerana didakwa didominasi kaum Melayu.

    Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Abshar Nurasyraf berkata, Ramasamy wajar diganti dengan pemimpin lain yang lebih berkaliber dan layak untuk menjadi orang nombor dua di negeri itu.

    Tegas beliau, kenyataan Ramasamy yang menyentuh mengenai situasi orang Melayu di dalam kerajaan itu disifatkan bersifat kontroversi yang tidak menguntungkan kerajaan, rakyat atau negara malah, lebih malang boleh menjadi liabiliti kepada semua pihak termasuk Pakatan Harapan (PH).

    “Ini bukan kali pertama Ramasamy mengeluarkan kenyataan sebegini, sudah dibuat berulang kali.

    “Dalam usaha negara menuju ke arah menjadi Malaysia Madani, sebagai pemimpin nombor dua di Pulau Pinang, beliau harus lebih peka dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

    “Isu ramai pejawatan berbangsa Melayu bukanlah satu isu yang besar. Sebaliknya, beliau cuba ‘mencurah minyak ke api’ dengan tujuan untuk mencari perhatian dan sokongan murahan daripada pihak-pihak yang tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Abshar berkata, beliau yakin Kerajaan Pusat di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan wujud sebarang diskriminasi terhadap mana-mana kaum untuk mendapat tempat dalam mana-mana sektor pekerjaan.

    “Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak bertenang dan tidak melayani publisiti murahan yang keluar daripada mulut individu seperti ini,” katanya.

    Dalam pada itu, Abshar turut mengingatkan tunjang terhadap kekuatan dan kesepaduan yang dizahirkan oleh rakyat Malaysia pada hari ini wujud hasil daripada perpaduan rakyatnya.

    “Justeru, ia seharusnya kita semarakkan, bukan dipecahkan,” katanya.

  • Mana pemimpin utama UMNO ketika DAP bersuara

    Mana pemimpin utama UMNO ketika DAP bersuara

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    SEJAK memperoleh kuasa tidak sampai beberapa bulan, DAP yang dominan dalam kerajaan Perpaduan amat lantang dalam menyatakan agenda mereka yang terbuku satu persatu.

    Terbaru kenyataan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy meminta kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim supaya memecahkan monopoli Melayu dalam pentadbiran awam.

    Kata Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu, dasar perkauman sedemikian tidak lagi boleh dipertahankan terutama ketika kerajaan Perpaduan berada di tampuk kuasa.

    Walaupun Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengatakan kenyataan Ramasamy sebagai pandangan peribadi, penulis melihat Ramasamy sebagai jurucakap kepada DAP dan apa yang disampaikan itu adalah hasrat parti itu sebenarnya.

    Terbukti, DAP tidak senang duduk melihat komposisi dalam pentadbiran awam walaupun perkhidmatan yang disediakan adalah kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan kaum.

    Walaupun diakui ada kelemahan dalam pentadbiran awam, tetapi saranan untuk meningkatkan prestasi sepatutnya melalui cadangan peningkatan produktiviti dan bukannya dengan mengaitkan persoalan kaum.

    Lagipun peluang kepada mana-mana kaum untuk berkhidmat sebagai penjawat awam sentiasa terbuka tanpa ada sebarang sekatan menyebabkan penulis terfikir apa niat sebenar Ramasamy ketika mengusulkan cadangan itu?

    Beberapa hari sebelum ini juga kita dapat lihat pemimpin DAP tidak senang duduk dengan apa yang berlaku dalam universiti apabila muncul cadangan daripada pemimpin pemuda parti itu yang menggesa supaya etika pakaian di universiti dilonggarkan.

    ADUN Tanah Rata, Ho Chi Yang dilaporkan menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi dan universiti untuk melonggarkan kod pemakaian dan menghormati kreativiti dan kebebasan pelajar untuk berpakaian.

    Katanya, melaksanakan kod berpakaian ketat hanya mewujudkan undang-undang yang tidak penting di universiti.

    Pada pandangan penulis, pemimpin muda DAP itu tidak memahami peranan universiti dalam melahirkan graduan berilmu yang sentiasa berdisiplin kerana tanpa usaha seperti itu, bagaimana mereka mahu menjadi insan berkualiti di alam pekerjaan kelak.

    Dalam keadaan terdapat kod etika di universiti pun, masih ramai yang berpakaian sesuka hati maka apa akan jadi apabila penuntut diberi kebebasan untuk berpakaian dengan sesuka hati.

    Jika tunduk kepada gesaan pemimpin muda DAP itu, tidak mustahil tempat pengajian akan menjadi pusat pertunjukan fesyen hingga ada yang sanggup berpakaian mencolok mata.

    Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tok Mat mengenai sikap DAP yang tidak bermuka-muka, maka oleh sebab itu UMNO tidak perlu berpura-pura dalam menjalinkan kerjasama sesama mereka.

    Oleh kerana tidak perlu berpura-pura, pemimpin utama UMNO yang dalam beberapa bulan ini aktif meyakinkan ahli-ahli bawahan bahawa DAP adalah teman terbaru yang baik sudah pasti tidak berani menyanggah tindak-tanduk pemimpin DAP.

    Mereka lebih selesa berdiam diri dan hanya pemimpin bawahan UMNO sahaja yang berani untuk bersuara menyanggah kenyataan DAP terutama daripada Ramasamy.

    Apa yang penulis nampak, pemimpin atasan UMNO terpaksa diam kerana mereka sedar dalam kerajaan Perpaduan, UMNO sekadar parti kecil yang hanya mempunyai 26 kerusi berbanding DAP yang dominan dan lebih senior dengan 40 kerusi.

    PKR dan Amanah pula tidak boleh terlalu tegas terhadap DAP kerana mereka juga bergantung kepada kekuatan DAP yang sentiasa memperolehi sokongan yang ‘solid’ daripada pengundi Cina.

    Maka, tidak hairanlah apabila pemimpin utama UMNO menjadi kerdil setiap kali pemimpin DAP bersuara kerana semua sedar di mana kedudukan UMNO dan sukar untuk menegur DAP yang baru sahaja dipuji dengan melangit.

  • Ramasamy cerminan suara hati DAP yang alergik dengan Melayu, kata Radzi

    Ramasamy cerminan suara hati DAP yang alergik dengan Melayu, kata Radzi

    NAIB Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, tulisan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy yang menyentuh sensitiviti orang Melayu mencerminkan suara hati DAP.

    Radzi yang juga bekas Menteri Kanan Pendidikan berkata, hasil penulisan Ramasamy menunjukkan yang DAP amat alergik kepada sesuatu yang didominasi oleh orang Melayu.

    Menurutnya, usaha untuk memecahkan dominiasi orang Melayu khususnya dalam sektor perkhidmatan awam kini menjadi tumpuan DAP setelah menguasai kerajaan.

    “Perjuangan rasisme atau perkauman melampau sebegini jika tidak dibentung boleh menghancurkan masa depan tanah air yang tercinta ini.

    “Walaupun DAP cuba menunjukkan kononnya mereka bersemangat Malaysia dan menghormati masyarakat pelbagai kaum, sikap rasis itu ternyata masih amat tebal dalam diri mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Radzi turut mempersoalkan tulisan Ramasamy yang seolah-olah menggambarkan perkhidmatan awam di Malaysia menindas kaum bukan Bumiputera.

    Menurut Radzi, kenyataan Ramasamy itu tidak tepat kerana Ramasamy sendiri merupakan seorang profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang mana ianya mempunyai ramai orang Melayu.

    “Sekarang Ramasamy mahu kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN) ini melakukan reformasi dalam perkhidmatan awam.

    “Kita tahu reformasi bagi DAP hanyalah istilah untuk menghalalkan rombakan besar-besaran kepada asas-asas kenegaraan dan perlembagaan negara yang telah sekian lama menjadi pasak yang mengekalkan keharmonian Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.

    “Seperti yang dijangka, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentunya tidak akan reprimand Ramasamy.

    “Kata beliau sepertimana yang dipetik Malaysiakini, ‘Tapi kita jangan melarang orang bercakap, memberi pandangan. Boleh (beri pandangan) tapi ia tidak mempengaruhi keputusan DAP dan tidak mempengaruhi keputusan kerajaan,” kata Radzi.

    Radzi menambah, beliau melihat Perdana Menteri mempunyai kesukaran untuk berkeras dengan DAP.

    Jelas beliau, hal itu kerana DAP mempunyai jumlah kerusi terbesar dalam kerajaan campuran PH-BN.

    Menurut Radzi, keberadaan Anwar sebagai Perdana Menteri juga adalah atas ihsan DAP.

    “Maka untuk kekal sebagai Perdana Menteri, hubungan dengan DAP serta aspirasi parti itu mestilah diberi keutamaan.

    “Cuba bayangkan sekiranya perkara yang menyentuh kaum lain disentuh oleh pemimpin Perikatan Nasional, tentulah berduyun-duyun pemimpin gabungan PH-BN akan menuduh Perikatan sebagai rasis.

    “Tapi bila ‘Abang Besar’ DAP bersuara yang jelas bersikap perkauman, tiada pula yang kata Abang Besar ini rasis!

    “Cuma saya nak cakap, kita boleh baca grand design kerajaan PH yang di dalamnya ada DAP ini,” tambah Radzi, lapor UtusanTV.

  • Tindakan UMNO dibimbangi jejas sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan – DAP

    Tindakan UMNO dibimbangi jejas sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan – DAP

    DAP bimbang tindakan UMNO memecat dan menggantung beberapa pemimpinnya akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan, terutama ketika bakal berdepan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Menurut Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, merangkap Timbalan Ketua Menteri II, Dr P Ramasamy, ia diburukkan lagi dengan prestasi UMNO yang sudah lemah untuk meraih sokongan pengundi Melayu.

    Beliau sehubungan itu menasihatkan kepemimpinan UMNO supaya segera memperkukuhkan kedudukannya, selain menjalankan pelan mitigasi bagi memastikan kesan tindakan terbaharu parti itu dapat diminimumkan.

    “UMNO sudah mengambil tindakan tegas terhadap beberapa pemimpinnya. Apabila sesuatu berlaku dalam parti dan tindakan perlu diambil, ini saya rasa tidak berbeza dengan parti lain.

    “Saya lihat UMNO sudah lama berpecah, sejak 1998. Isu pemecatan dalam UMNO ini juga sudah lama berlaku, sehingga tertubuhnya PKR dan BERSATU, yang kini kebanyakan pemimpinnya adalah serpihan UMNO.

    “Ia terpulang kepada UMNO dan saya tidak mahu campur urusan kepemimpinan mereka. Namun, persoalannya, adakah ia (tindakan memecat dan menggantung beberapa pemimpin UMNO) wajar dibuat sekarang?” katanya kepada Berita Harian.

    Jumaat lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, memecat bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, susulan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan parti itu kerana kesalahan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Selain itu, MKT UMNO turut menggantung beberapa ahlinya, termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan; Ketua UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif.

    Mengulas lanjut, Ramasamy berkata, tindakan UMNO itu juga dikhuatiri menjejaskan peratusan sokongan pengundi Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH), yang ketika ini adalah antara 10 peratus hingga 15 peratus.

    Beliau yang juga EXCO Pembangunan Modal Insan, Pendidikan, Sains dan Teknologi Pulau Pinang, mengakui sokongan pengundi Melayu terhadap PH mencatatkan penurunan berbanding kepada Perikatan Nasional (PN), selain menyifatkan ia boleh berubah mengikut sentimen politik semasa.

    Ditanya kewajaran UMNO bertindak demikian, Ramasamy berpendapat, kepemimpinan parti itu tidak mempunyai pilihan lain berikutan tindakan beberapa pemimpinnya yang dilihat seolah-olah cuba melakukan pemberontakan dalaman.

    Beliau bagaimanapun mempersoal kewajaran UMNO hanya menggantung keahlian Hishammuddin berikutan Ahli Parlimen Sembrong itu dikatakan antara individu yang menggerakkan Langkah Sheraton dan mengumpul sokongan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas PRU15.

    “Khairy hanya mencabar Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta menyatakan pelbagai perkara lain, termasuk menggunakan undi hantu dan saya pun kurang pasti akan kesahihan dakwaannya itu.

    “Namun, kesalahan Hishammuddin lebih besar berbanding Khairy sebab dia antara orang di belakang Langkah Sheraton, selain menyokong Muhyiddin. Dia orang PN dalam UMNO,” katanya.