Tag: orang Melayu

  • Jangan terlalu angkuh hingga bukan Islam tak boleh diraikan – Anwar

    Jangan terlalu angkuh hingga bukan Islam tak boleh diraikan – Anwar

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata orang Melayu Islam yang merupakan kumpulan majoriti di negara ini tidak harus berasa terlalu selesa dan angkuh sehingga menganggap kelompok lain tidak boleh diraikan.

    Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata ia adalah antara pengajaran yang dilihatnya ketika melakukan lawatan kerja ke Kemboja baru-baru ini, iaitu penduduk beragama Islam hanyalah 10 peratus di dalam negara yang majoritinya beragama Buddha.

    Di Kemboja, katanya umat Islam diraikan, masjid tidak dirobohkan, hak mereka dipertahankan, malah diangkat sebagai menteri untuk mewakili kepentingan mereka.

    “Jadi bila saya diberi penghormatan untuk sampaikan ucapan sebelum ke masjid, saya sebut bahawa langkah ini menunjukkan negara majoriti penganut Buddha meraikan minoriti umat Islam dengan Iftar dan beberapa ruang (lain) termasuk menteri seorang Muslim.

    “Saya kata satu pengajaran, sebab kita kadang-kadang bila majoriti, kita rasa terlalu selesa dan angkuh dengan menganggap, oleh yang demikian tidak boleh raikan kelompok-kelompok yang lain,” katanya pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

    Anwar berkata sementara menjaga kepentingan majoriti Melayu Islam di Malaysia, beliau memilih untuk memegang prinsip saling homat-menghormati dan meraikan serta memberi hak kewarganegaraan kepada semua. – BERNAMA

  • “Saya tidak lihat orang Melayu gembira dengan senario politik PH-BN,” kata Peja

    “Saya tidak lihat orang Melayu gembira dengan senario politik PH-BN,” kata Peja

    PINTU kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) hanya akan terbuka sekiranya kepimpinan koalisi itu adalah bersih daripada kelompok kleptokrat serta komited memperjuangkan agenda mengangkat kepentingan agama, bangsa dan negara.

    Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau secara peribadi kurang bersetuju sekiranya agenda penyatuan dua koalisi terbesar itu hanya digerakkan menerusi idea kerjasama parti tanpa mengambil kira soal integriti kepimpinannya.

    Jelasnya, PN dan BERSATU sehingga kini konsisten mengekalkan agenda perjuangan rakyat terutama dalam mempertahankan kepentingan kaum Melayu, Bumiputera dan kedaulatan agama Islam.

    Beliau yang juga Timbalan Presiden BERSATU turut menuntut UMNO-BN membuktikan terlebih dahulu bahawa kepimpinan koalisi itu benar-benar bersih daripada amalan kleptokrasi, tidak menggadaikan prinsip demi kuasa serta selari dengan perjuangan membela rakyat dijuarai PN.

    “Secara peribadi saya tidak bersetuju PN bekerjasama dengan UMNO-BN pada masa hadapan hanya berasaskan kehendak parti tanpa mengambil kira soal integriti dan prinsip kepimpinannya.

    “Dengan kerajaan gabungan diketuai Pakatan Harapan (PH) dan BN tidak layak dianggap Kerajaan Perpaduan, pada saat ini saya tidak melihat orang Melayu gembira dengan senario politik sedia ada di mana pucuk kepimpinan UMNO seolah-olah menggadaikan prinsip parti demi meraih kuasa melalui penyertaan kerajaan sekarang.

    “Dengan pengundi Melayu dan Bumiputera melihat PN merupakan parti alternatif paling konsisten memperjuangkan hak mereka, saya hanya bersetuju PN membuka pintu kerjasama dengan UMNO-BN setelah pucuk kepimpinan mereka bukan lagi terdiri daripada kelompok kleptokrat,” katanya kepada Sinar Premium, semalam.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menegaskan koalisi itu berpendirian terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana gabungan parti politik pada masa depan termasuk BN.

    Ketua Pembangkang Dewan Rakyat itu bagaimanapun enggan merujuk cadangan kerjasama itu sebagai Muafakat Nasional (MN) dan menegaskan ia hanya boleh direalisasikan jika semua pemimpin bersetuju dengan satu matlamat yang sama.

    Pendirian Hamzah itu dibuat di tengah-tengah spekulasi satu gerakan politik dipanggil Langkah London kini sedang hangat diperkatakan melibatkan beberapa pemimpin PN dan UMNO.

    Terdapat pihak tertentu mendakwa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan sulit bersama beberapa pemimpin UMNO di London bagi tujuan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan Malaysia dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Ditanya mengenai dakwaan Langkah London dikaitkan dengan penglibatan Muhyiddin dan beberapa pemimpin PN, Ahmad Faizal enggan mengulasnya kerana menyifatkan perkara itu sebagai mengarut.

    “Saya tidak berminat untuk ulas isu spekulasi sebegini. Ia menunjukkan seolah-olah mentaliti kita terlalu sempit sehinggakan orang pergi bercuti di luar negara pun dianggap cuba mengadakan gerakan politik sulit.

    “Kalau begitu, selepas ini kalau saya singgah (kedai serbaneka) 7-Eleven pun, takkan dianggap Langkah 7-Eleven pula?” ujarnya.

    Sementara itu, Ahmad Faizal yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan percaya PN dengan kekuatan parti-parti komponen sedia ada masih mampu mengekalkan momentum kejayaan koalisi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri yang tertangguh sebelum ini.

  • DAP tak akan ubah sikap ekstrem terhadap Melayu, Raja

    DAP tak akan ubah sikap ekstrem terhadap Melayu, Raja

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, DAP, parti gabungan yang membentuk Pakatan Harapan (PH) bersama PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak akan mengubah sikap ekstrem serta fahaman haluan kiri mereka dengan mudah.

    Presiden Bersatu itu menceritakan bahawa beliau menerusi seorang pemimpin DAP telah meminta biro politik parti itu supaya mengubah sikap ekstrem mereka, tetapi ditolak.

    Belia berkata, permintaan itu dibuat ketika BERSATU berada bersama-sama PH dalam kerajaan, di mana beliau adalah Menteri Dalam Negeri.

    “Satu hari saya panggil (Liew) Chin Tong (Timbalan Setiausaha Agung DAP) yang juga pemimpin tertinggi DAP. Saya panggil dia. Kami bincang.

    “Saya kata… Chin Tong… sekarang saya bersama kamu… kerana BERSATU sokong PH untuk menolak kleptokrat… Jadi saya beritahu bahawa orang Melayu tidak sukakan DAP.

    “Tapi sekarang kerana kita sudah bersama… saya kata boleh tak you sarankan kepada biro politik DAP supaya jangan terlalu ekstrem. Dia pun kata ekstrem.

    “Apa ekstremnya? Menyentuh soal-soal yang berkaitan dengan perkara-perkara penting dalam Perlembagaan Negara. Soal Melayu dan macam-macam hak Raja-Raja dalam Akta Hasutan…. banyak perkara yang mereka lakukan. Dia kata akan bawa balik pada biro politik (DAP).

    “Tetapi lepas itu dia maklumkan kepada saya dia dah bawa, tetapi biro politik DAP tak bersetuju,” katanya lapor portal BeritaBersatu.

    Beliau berkata demikian pada Program Jelajah Prihatin PN Parlimen Sepang di Dataran Sadiman, Bukit Changgang, di Sepang, malam tadi.

    Muhyiddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Pagoh berkata, jawapan Chin Tong itu bermakna DAP mahu mengekalkan dasar yang didapati tidak sesuai dengan majoriti rakyat negara ini.

    Beliau berkata ketika Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan beberapa peruntukan, termasuk kepada institusi pengajian tinggi yang ditaja MCA yang menganggotai Barisan Nasional (BN), telah dipotong.

    Bagaimanapun, katanya peruntukan-peruntukan itu dikembalikan semula ketika Kerajaan PN memerintah.

    Untuk rekod, pada PRU-15 ini, DAP meletakkan lebih ramai calon Melayu, termasuk di luar bandar, bagi menarik sokongan, sedangkan hanya seorang sahaja calon Melayu yang terpilih menduduki Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP pada pemilihan sesi 2022-2025, itu pun berada pada tangga ke tujuh daripada 30 anggota CEC yang dipilih menerusi undian 4,149 perwakilan.