Tag: OKU

  • OKU penglihatan buntu cita-cita jadi pensyarah belum tercapai

    OKU penglihatan buntu cita-cita jadi pensyarah belum tercapai

    GURU tuisyen, Chow Sak Chin menjadi insan yang paling gembira selepas berjaya menggenggam ijazah kedoktoran pada awal tahun lepas, meskipun berdepan pelbagai kesukaran sebagai orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

    Hilang penglihatan akibat kemalangan pada 1996, beliau bangkit daripada kegelapan untuk menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan khas di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kampus Tanjung Malim.

    Chow, 45, mempunyai harapan menggunung untuk menjadi seorang pensyarah bagi membantu insan sepertinya menimba ilmu pengetahuan dan berjaya dalam kehidupan.

    Bagaimanapun, bapa kepada dua anak itu buntu kerana sehingga kini, masih belum menerima sebarang tawaran berkhidmat sebagai pensyarah walaupun banyak permohonan dihantar ke institut pengajian tinggi sejak Jun tahun lepas.

    “Saya OKU, jadi saya lebih memahami golongan ini sekiranya dilantik menjadi pensyarah dalam bidang pendidikan khas tetapi malangnya tidak diberikan peluang…banyak panggilan dibuat dan e-mel dihantar kepada pelbagai pejabat dan agensi tetapi tiada respons,” katanya kepada pemberita di sini.

    Chow berkata beliau kini meneruskan kerjayanya sebagai guru tuisyen bahasa Inggeris sejak 11 tahun lepas di sebuah pusat tuisyen di sini.

    Katanya beliau berupaya mengajar pelajar dengan baik menggunakan teknologi seperti aplikasi pembaca skrin pada komputer dan peralatan untuk proses pengajaran dan pembelajaran.

    “Saya sudah lebih sedekad menjadi guru tuisyen, ibu bapa juga yakin dengan saya untuk mendidik anak-anak mereka,” katanya.

    Masih menyimpan hasrat untuk menjadi pensyarah, Chow berharap para majikan dapat memberikan peluang pekerjaan kepada golongan OKU terutama yang berpelajaran dan berkelayakan. – BERNAMA

  • PRU-15: OKU guna van jenazah ke pusat pengundian

    PRU-15: OKU guna van jenazah ke pusat pengundian

    FAKTOR Orang Kelainan Upaya (OKU) bukannya penghalang bagi Nor Adnisa Muhammad Nasir, 24 untuk menunaikan tanggungjawab keluar mengundi.

    Berbekalkan semangat satu undi boleh membawa perubahan, beliau diiringi ibunya, Syuhaida Saad membuang undi di Pusat Pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Ahmad, Tambun Tulang, Perlis pagi tadi.

    Nor Adnisa merupakan pengundi kali pertama yang menginap penyakit Dystonia Cerebral Palsy pertama di Malaysia.

    Dia dibawa ke pusat mengundi menaiki Van Jenazah Wakaf Perlis (VJWP).

    Adnisa yang terlantar dan tidak berupaya untuk bangun diberi pengecualian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat pengundian dari dalam kenderaan dengan ditemani ibunya.

    “SPR beritahu ini adalah kes terpencil. Walaupun ambil masa sikit untuk siapkan anak istimewa ini, tetapi alhamdulillah sebagai ibu saya merasa puas dapat membawanya melaksanakan tanggungjawab mengundi.

    “Dia faham bila kita beritahu 19 November kita akan mengundi, pilih kerajaan dan dia pun memang teruja bila diberitahu layak mengundi,” kata ibunya semasa ditemui di pusat pengundian, lapor Harakahdaily.

    Kedua-dua beranak itu selesai mengundi pada pukul 11.30 pagi.

    Sementara itu, aktivis masyarakat Hanizan Hadrus berkata, ibu Adnisa menghubunginya untuk menggunakan khidmat VJMP bagi membawa anaknya ke tempat pengundian dari rumah mereka di Taman Cempaka Putih.

    “Alhamdulillah, urusan kami dipermudahkan. Selepas ini saya akan mengambil seorang lagi pesakit kronik di Guar Jentik untuk membawanya ke pusat pengundian,” katanya.

  • Bapa, kekasih ditahan dera anak OKU

    Bapa, kekasih ditahan dera anak OKU

    SEPASANG kekasih ditahan selepas disyaki mendera  wanita Orang Kurang Upaya (OKU) masalah saraf di sebuah rumah di Lembah Jaya Selatan, Taman Sri Intan Ampang dekat sini, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Ampang ACP Mohamad Farouk Eshak berkata wanita OKU berusia 31 tahun itu merupakan anak kepada seorang lelaki berumur 60 tahun yang ditahan bersama kekasihnya berumur 47 tahun pada 8.30 malam.

    “Tangkapan dibuat selepas menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Ampang yang menerima pesakit iaitu mangsa yang dibawa oleh ambulans dari tempat kejadian selepas dilaporkan terjatuh oleh ahli keluarganya pada 12 tengah hari.

    “Hasil rawatan mendapati ada beberapa kesan kecederaan yang mencurigakan seperti lebam di bahagian mata kanan mangsa disyaki dipukul dan ditumbuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata beberapa objek seperti kayu penyapu, penyangkut baju dan kayu mop disyaki digunakan untuk mendera mangsa turut dirampas.

    Beliau berkata bapa mangsa yang bekerja sebagai buruh dan teman wanitanya yang tidak bekerja itu tiada rekod jenayah serta saringan ujian air kencing terhadap mereka didapati negatif.

    “Kedua-dua individu direman empat hari bermula hari ini hingga 24 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.- BERNAMA

  • Jangan sebar maklumat peribadi wanita bersama makcik OKU

    Jangan sebar maklumat peribadi wanita bersama makcik OKU

    SEORANG wanita yang video mengenainya tular selepas dilihat bersama warga emas orang kurang upaya (OKU) menaiki motosikal roda tiga dalam cuaca panas terik di Kuala Terengganu, memohon agar semua pihak menghentikan penyebaran maklumat peribadinya.

    Wanita berusia 40 tahun yang dikenali sebagai Hijrah Soleh itu, berkata dia berasa tidak selesa apabila terlalu ramai menghubunginya untuk menzahirkan simpati dan mahu memberi pelbagai bantuan selepas video serta butiran peribadinya tular di media sosial sejak Sabtu lepas.

    “Alhamdulillah, rakyat Malaysia memang sangat prihatin dan ia terbukti apabila saya ‘dihujani’ terlalu banyak panggilan serta mesej yang mahu menyampaikan pelbagai bentuk bantuan.

    “Namun, dengan rendah hati saya ingin tegaskan bahawa hasil jualan saya masih mampu menampung perbelanjaan dan keperluan hidup setakat ini. Saya lebih gembira jika bantuan tersebut diberikan kepada golongan lebih memerlukan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Video tersebut dirakam di Jambatan Angkat di sini, tanpa pengetahuannya dan tersebar di media sosial menyebabkan warganet tersentuh hati menyaksikan warga emas OKU tersebut yang terpaksa berbaring di bahagian tempat meletak barangan motosikal roda tiga tersebut.

    Hijrah Soleh berkata, pelbagai kenyataan tidak tepat dibuat oleh warganet di bahagian komen media sosial tersebut, seperti warga emas OKU itu adalah ibunya yang baru pulang mendapatkan rawatan di hospital, menyebabkan lebih ramai bersimpati dan mahu menghulur bantuan.

    Wanita tersebut menjelaskan bahawa warga emas OKU itu bukanlah ibu kandungnya sebaliknya ibu saudara yang tinggal bersamanya untuk sementara waktu.

    “Saya sangat hargai keprihatinan semua pihak, namun cukuplah sekadar itu, jangan kongsikan lagi maklumat saya seperti nombor telefon dan alamat. Jika mahu membantu, saya lebih suka ia dilakukan dengan cara menyokong perniagaan saya,” katanya yang menjual aiskrim potong dan produk kesihatan di sekitar bandar ini. – BERNAMA

  • Persatuan Sahabat OKU Perak buat laporan polis terhadap Kak Long 7E

    Persatuan Sahabat OKU Perak buat laporan polis terhadap Kak Long 7E

    PERSATUAN Sahabat Orang Kelainan Upaya (OKU) Perak hari ini membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook Wan Nor Baizura atau lebih dikenali sebagai ‘Kak Long 7E’ yang didakwa telah menghina golongan itu.

    Timbalan Presidennya, Muhamad Firdaus Ibrahim berkata, laporan dibuat di Balai Polis Sungai Senam di Ipoh pada 5.20 petang tadi bagi menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap wanita itu.

    “Tindakan ini (laporan) dibuat untuk memberi pengajaran bukan sahaja kepada beliau (Kak Long 7E) tetapi rakyat Malaysia, jadi kami harap masyarakat lebih sensitif dan hormat kepada golongan OKU.

    “Perbuatan mempersendakan dan menghina OKU bukan sesuatu yang boleh dijadikan permainan…kami ada perasaan, jadi ia perlu dihentikan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

    Muhamad Firdaus berkata, pihaknya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sekurang-kurangnya mengarahkan Kak Long 7E melakukan kerja amal sebagai pengajaran kepada dirinya dan orang lain.

    Beliau berkata, persatuan itu yang memiliki 150 ahli juga mendesak Kak Long 7E mengakui kesilapannya kerana walaupun telah membuat permohonan maaf, tiada pengakuan bahawa beliau sengaja mempersendakan OKU.

    Wanita itu didakwa menghina dan memperlekeh golongan OKU apabila dengan sengaja memuat naik video yang mengajuk mimik muka serta gaya berjalan golongan berkenaan menerusi laman sosial baru-baru ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan itu. – BERNAMA

  • Kepala ibu tiri dipenggal, lelaki OKU dituduh membunuh

    Kepala ibu tiri dipenggal, lelaki OKU dituduh membunuh

    SEORANG penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Gua Musang hari ini atas pertuduhan membunuh ibu tirinya, minggu lepas.

    Abdul Aziz Abdullah, 33, yang merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) mental mengangguk sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah.

    Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Abdul Aziz didakwa membunuh Rahana Abd Razak, 55, di dalam bilik sebuah rumah di Kampung Batu Machang, Jerek, antara 3.30 hingga 4.30 petang pada 16 Feb lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 21 April untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan hasil bedah siasat mangsa.

    Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki dipercayai membunuh ibu tirinya dengan cara memenggal kepala mangsa menggunakan sebilah parang sehingga menyebabkan leher terputus di dalam bilik sebuah rumah di Jerek.

    Suspek bagaimanapun menyerah diri di Balai Polis Bertam selepas kejadian dan memberitahu telah membunuh ibu tirinya dengan parang. – BERNAMA

  • OKU cerebral palsy dipukul bertubi-tubi, kamu dah kenapa?!

    OKU cerebral palsy dipukul bertubi-tubi, kamu dah kenapa?!

    INSIDEN seorang orang kurang upaya (OKU) di sebuah pusat jagaan yang dipukul bertubi-tubi dengan sesuatu yang dipercayai objek keras tular dalam media sosial hari ini.

    Rakaman video insiden OKU dipukul itu dikongsi oleh Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Radzi dalam laman Twitter miliknya.

    “Kamu ingat kamu siapa?! Saya mengenali saudara OKU kita yang cerebral palsy ini sejak dia 4 tahun.

    “Dia tidak boleh pertahankan dirinya dan perlu sokongan untuk menjaga dia dan kamu biar beliau dibuli sebegini!

    “Rumah xxxx xxxxx xxxxxx, kamu dah kenapa! Luluh hati saya,” luah beliau dalam ciapan tersebut.

    https://twitter.com/SenatorRasAdiba/status/1476788611727036417?t=6NC1Sg9giYYDnxJ9sb78sw&s=08

    Video berdurasi 22 saat itu dipercayai diambil dari rakaman televisyen litar tertutup di lokasi kejadian telah ditonton lebih 60,000 kali setakat pukul 6.30 petang tadi.

    Rata-rata netizen yang menonton video berkenaan meluahkan kekesalan mereka dan berharap tindakan sewajarnya diambil oleh pihak bertanggungjawab.

  • Walaupun sudah minta maaf, tetap buat laporan polis individu persenda OKU

    Walaupun sudah minta maaf, tetap buat laporan polis individu persenda OKU

    PRESIDEN OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, beliau tetap membuat laporan polis ke atas individu yang mempersendakan Orang Kurang Upaya (OKU) walaupun mereka telah memohon maaf secara terbuka.

    Beliau berkata, laporan polis itu bertujuan menghalang insiden menghina OKU terus berlaku dalam kalangan masyarakat seterusnya menjadikan orang ramai lebih prihatin terhadap golongan berkenaan.

    “Ada juga persatuan OKU dan individu lain yang menjaga OKU akan buat laporan polis, jika tidak ini (menghina OKU) akan berterusan, tidak akan berhenti.

    “Kita perlu pastikan bahawa (menghina OKU) bukan sesuatu yang boleh dipermainkan dan kami tidak boleh diperkotak-katikkan kerana kami OKU. Kami mempunyai perasaan, kami mempunyai kehendak dan maruah jadi ini mesti dihentikan,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Travers, Brickfield di sini, pada kira-kira 2 petang.

    Dua pemuda yang merakam perbuatan mereka menggunakan parkir khas bagi OKU di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur sehingga viral dan mendapat kecaman orang ramai telah membuat permohonan maaf kepada komuniti OKU menerusi klip video.

    Selain itu, beberapa individu yang turut tular kerana mempersendakan OKU semasa menggunakan tandas khas untuk golongan tersebut di sebuah stesen minyak juga telah mengemukakan permohanan maaf secara bertulis kepada Ras Adiba.

    Sementara itu, Ras Adiba meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya membantu memperkasakan OKU antara lain dengan meminda Akta Orang Kurang Upaya 2008.

    “Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 juga mesti benarkan pendakwaan dibuat ke atas mana-mana tingkah laku, timbanglah hukuman maksimum terhadap mereka (yang menghina OKU).

    “Seksyen 233 Akta Komunikasi 1988 juga perlulah membenarkan suatu dakwaan jenayah terhadap mana-mana pihak yang buat komen atau kenyataan jelik dan sebagainya terhadap OKU,” katanya.

    Beliau turut mencadangkan supaya penganjuran kempen jenayah kebencian OKU untuk memastikan OKU terus dilindungi.

    Ras Adiba juga menasihati orang ramai supaya tidak menggunakan kemudahan khas untuk golongan OKU. – BERNAMA

  • KTMB penuhi hasrat remaja terlantar naik kereta api

    KTMB penuhi hasrat remaja terlantar naik kereta api

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Setiap kali melihat kereta api melalui landasan di depan rumahnya, hati seorang remaja perempuan, Aziana Shaari, 17, sentiasa bergejolak untuk merasai sendiri pengalaman berada di dalam pengangkutan awam itu sambil menikmati keindahan di sepanjang perjalanannya.

    Namun keterbatasan yang ada pada dirinya menyebabkan hasrat itu terpaksa dipendam sejak sekian lama. Sementelah dirinya hanya mampu terlantar di katil akibat tulang belakang yang hancur kerana dihempap dinding konkrit ketika berusia sembilan tahun, ibu Aziana sendiri, Fatimah Hashim, 49 merasakan seolah-olah impian tersebut hampir mustahil untuk dilaksanakan.

    Namun hari ini impian tersebut akhirnya tercapai apabila Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengambil inisiatif menyediakan sebuah tren khas bagi menunaikan hasrat remaja tersebut untuk menikmati perjalanan dari Stesen Sungai Petani ke Butterworth sebelum berpatah balik ke Sungai Petani.

    Menurut Pengerusi KTMB, Datuk Musa Sheikh Fadzir, inisiatif tersebut dibuat sebagai salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya dalam memenuhi impian remaja berkenaan.

    “Sebelum ini kami memang memikirkan untuk membawa Aziana menaiki kereta api menggunakan kerusi roda namun apabila pertimbangan dibuat, langkah itu dilihat agak menyukarkan buat Aziana,” katanya.

    “Justeru pihak pengurusan bersetuju menyediakan tren khas agar Aziana dapat menaikinya bersekali dengan katil yang boleh ditolak,” katanya.

    Beliau bercakap kepada pemberita selepas turut serta mengiringi perjalanan Aziana bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KTMB, Mohd. Rani Hisham Shamsuddin, hari ini.

    Selain menunaikan hasrat remaja itu, KTMB turut menyampaikan sumbangan berupa pek susu dan lampin pakai buang untuk kegunaan remaja itu.

    Layanan diterima Aziana nyata cukup istimewa apabila tren tersebut turut berenti sebentar di lokasi kediamannya di Bakar Bata, di mana kalangan penduduk kampung turut berdiri berhampiran landasan bagi melambai kepadanya.

    Sementara itu, Aziana ketika ditemui pemberita nyata tidak mampu banyak bercakap bagi menyatakan perasaannya diberi peluang merasai pengalaman istimewa tersebut selain mengungkapkan rasa seronok.

    Manakala Fatimah yang merupakan seorang ibu tunggal pula tidak henti-henti menyatakan rasa terima kasih kepada KTMB serta semua pihak yang terlibat untuk menunaikan impian anak bongsunya itu.

    “Impian Aziana untuk menaiki kereta api ini sudah dinyatakan sejak dia mula-mula sakit lagi. Namun melihat kepada keadaannya, memang susah untuk saya tunaikan hasratnya.

    “Apa yang boleh saya lakukan hanya menolaknya ke bawah pokok di depan rumah dan menanti kereta api lalu untuk dia melihat kenderaan awam itu. Namun hari ini saya amat gembira kerana impiannya menjadi kenyataan,” katanya.

    Selain tulang belakang yang hancur, kemalangan melibatkan dinding konkrit itu turut menyebabkan buah pinggang Aziana rosak, usus tidak berfungsi selain tidak mempunyai rasa dari paras pinggang hingga kaki.

    Fatimah boleh dihubungi di talian 014-3148891 atau bagi yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0230-0290-0058-8382 (Fatimah Hashim).

  • Bajet 2022: Kerajaan tanggung sepenuhnya bayaran LKM persendirian OKU

    Bajet 2022: Kerajaan tanggung sepenuhnya bayaran LKM persendirian OKU

    KERAJAAN menanggung sepenuhnya bayaran lesen kenderaan persendirian yang dimiliki orang kelainan upaya (OKU) bagi tahun depan.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata perkara itu dapat meringankan kos sara hidup golongan itu.

    Beliau berkata selain itu, kerajaan memperuntuk RM30 juta bagi menaik taraf infrastruktur bangunan kerajaan supaya mesra OKU antaranya dengan menyediakan banyak laluan khas untuk golongan cacat penglihatan.

    “Sebanyak RM10 juta turut diperuntuk kepada Pusat Latihan Berdikari serta sebuah Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Kerajaan bagi melaksanakan program latihan serta bimbingan ajar kepada golongan OKU,” katanya.

    Tengku Zafrul berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2022 yang bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata kerajaan turut menyediakan kuota khas sebanyak satu peratus menerusi program Pekerjaan Jangka Pendek (MySTEP) bagi memastikan golongan muda OKU menceburi bidang pekerjaan.

    “Bagi meningkatkan akses terhadap media selain membolehkan golongan OKU cakna dengan berita semasa dan informasi terkini, dengan bantuan Bernama, semua rangkaian televisyen termasuk saluran swasta akan menyediakan jurubahasa isyarat dalam penyampaian berita mereka,” katanya. – BERNAMA