Tag: Oh Tong Keong

  • Lantik Ahmad Zahid, Nurul Izzah punca indeks rasuah Malaysia makin buruk

    Lantik Ahmad Zahid, Nurul Izzah punca indeks rasuah Malaysia makin buruk

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) melahirkan rasa kecewa dengan kedudukan Malaysia dalam laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 yang dikeluarkan Transparency International Malaysia (TI-M) yang hanya mendapat 47 daripada 100 mata, iaitu merosot selama tiga tahun berturut-turut.

    Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong berkata, beliau percaya kedudukan terbaharu itu turut dipengaruhi dengan tindakan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik individu yang terlibat dalam kes rasuah sebagai pegawai tinggi kerajaan.

    Ujarnya, selain melantik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi pelbagai pertuduhan dimahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri, Anwar turut melantik anaknya, Nurul Izzah sebagai penasihat kanan.

    “Keputusan itu membuktikan Kerajaan Perpaduan Anwar meninggalkan prinsip anti rasuah demi kuasa, dan juga menunjukkan Kerajaan Perpaduan tiada kemahuan dan keazaman untuk memerangi rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam kalangan 180 negara yang dinilai, Malaysia menduduki tempat ke-61 tahun lepas dengan memperoleh 47 mata iaitu penurunan 6 mata daripada 53 mata pada 2019, yang merupakan penurunan ketara.

    Dalam pada itu, Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang menggesa Kerajaan Perpaduan menyelesaikan isu persepsi rasuah itu termasuk memecat mereka yang terlibat dalam kes rasuah dan membiarkan kes mahkamah berakhir untuk dibuktikan tidak bersalah sebelum dilantik menjadi pegawai kerajaan.

    Beliau berkata, pada Januari 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Ahmad Zahid dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah.

    “Bagaimanapun, selepas pilihan raya umum pada November 2022, Ahmad Zahid dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri membuatkan orang ramai mempersoalkan kesungguhan Anwar untuk menghapuskan rasuah,” katanya.

  • Tidak bubar DUN Pulau Pinang, DAP tidak berkuasa dalam PH

    Tidak bubar DUN Pulau Pinang, DAP tidak berkuasa dalam PH

    KEPUTUSAN Majlis Tertinggi Pakatan Harapan (PH) untuk tidak membubarkan ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pentadbiran mereka supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan serentak dengan Parlimen menunjukkan DAP tidak berkuasa di dalam Pakatan Harapan (PH).

    Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, keputusan itu juga tidak menghormati DAP apabila permintaan pemimpin parti itu untuk mengadakan pilihan raya DUN serentak ditolak Majlis Tertinggi PH.

    Beliau yang juga Timbalan Presiden Gerakan Pusat berkata, situasi itu seolah-olah menunjukkan Ketua Menteri yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow serta Pengerusi DAP Pusat, Lim Guan Eng tidak mempunyai pengaruh.

    “Kita kecewa dengan keputusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menyerah kalah kepada PH.

    “Keputusan PH dan ketidakupayaan DAP Pulau Pinang untuk menentang itu meletakkan rakyat Pulau Pinang dalam masalah dan malu kerana buat pertama kali dalam PRU terpaksa keluar mengundi dua kali.

    “Jika mereka berdepan kesukaran dari segi untuk mengatur kerja dan masa kerana terpaksa mengundi dua kali, ia akan menghalang sistem demokrasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

    Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, fokus tiga kerajaan negeri itu kini lebih tertumpu ke arah masalah mendesak berkait banjir.

    Dalam pada itu, Tong Keong merayu pengundi Pulau Pinang melihat dengan jelas ketidakcekapan DAP dalam isu pembubaran DUN dan mengadakan pilihan raya serentak tersebut.

    Jelasynya, penduduk Pulau Pinang perlu menyatakan rasa tidak puas hati terhadap PH dan DAP pada pilihan raya akan datang.

  • Henti segera perbalahan politik, tumpu bantu rakyat

    Henti segera perbalahan politik, tumpu bantu rakyat

    AHLI politik di semua peringkat diingatkan menghentikan segala perbalahan politik dan menumpukan usaha membantu rakyat yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.

    Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Oh Tong Keong berkata, sekarang bukan masa yang sesuai untuk semua ahli politik memikirkan mengenai kedudukan dan kuasa masing-masing.

    Tegasnya yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, ketidaktentuan politik negara disebabkan sikap ahli politik yang saling berebut kuasa juga menyebabkan pelabur luar bimbang dan hilang keyakinan terhadap negara.

    “Sekiranya keadaan politik di negara kita tidak stabil, siapa lagi yang berani melabur di negara kita?

    “Akhirnya, rakyat dan negara kita yang mengalami kerugian,” katanya.

    Menurut Tong Keong, semua Ahli Parlimen tanpa mengira kerajaan atau pembangkang juga perlu segera mengedarkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan menerusi Program Bakul Makanan yang diperuntukkan Kerajaan Pusat.

    Jelasnya, pemimpin Gerakan di seluruh negara sedia bekerjasama dengan pemimpin dan ahli di setiap bahagian, Pusat dan Perikatan Nasional (PN) untuk memberi bantuan kepada orang yang memerlukan pertolongan.

    “Dalam tempoh masa yang kritikal ini, kehidupan kebanyakan rakyat terkesan, apatah lagi dengan impak yang bakal dibawa varian Delta yang sedang menyerang negara kita.

    “Maka, semua pihak harus mengutamakan kepentingan dan keselamatan rakyat dan menyelesaikan masalah kehidupan rakyat dengan segera,” katanya.