Tag: NGO

  • NGO serah memorandum tuntut pengeluaran kecemasan KWSP

    NGO serah memorandum tuntut pengeluaran kecemasan KWSP

    BEBERAPA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan memorandum dan petisyen bagi membantah Fasiliti Sokongan Akaun Dua (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

    Dalam memorandum tersebut turut menuntut agar pengeluaran kecemasan KWSP 2.0 secara bersasar diluluskan dengan segera.

    NGO terlibat ialah Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Global Human Rights Federation (GHRF).

    Presiden PGIRM, Azmi Mohd Tahir berkata, keputusan kerajaan menawarkan FSA2 dilihat sama sekali tidak membantu pencarum yang terkesan sebaliknya membebankan dengan penambahan hutang sedia ada.

    “Malah, memberi peluang kepada pencarum yang tidak terkesan dan mempunyai pendapatan stabil untuk mengambil kesempatan menggunakan FSA2 ini.

    “Bersama-sama PGIRM, PPIM dan GHRF hari ini ialah pencarum-pencarum yang datang dari setiap pelosok negara.

    “Walau dalam kesempitan, mereka datang untuk bersolidariti menunjukkan bantahan dan menuntut pengeluaran wang KWSP mereka diluluskan dengan segera,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyerahkan memorandum di Menara KWSP, Kwasa Damansara pada Jumaat.

    Dianggarkan seramai 50 orang pencarum yang turut berkumpul di pekarangan luar Menara KWSP bagi menyatakan bantahan FSA2 dan menuntut pengeluaran kecemasan KWSP 2.0 secara bersasar diluluskan dengan segera.

    Mengulas lanjut Azmi berkata, kebanyakan pencarum yang terkesan dan terdesak memerlukan suntikan wang tunai itu adalah mereka yang sudah muflis atau disenarai hitam dalam senarai Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), CTOS serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

    “Adakah golongan pencarum ini layak membuat pinjaman kepada pihak bank danmenggunakan FSA2 yang ditawarkan?

    “Telah diperincikan juga, syarat FSA2 ialah mempunyai baki minimum RM 3,000 di dalam Akaun 2.

    “Ini juga salah satu faktor FSA2 tidak membantu golongan terkesan kerana majoriti golongan pencarum terkesan ini sudah tidak mempunyai baki atau baki yang sangat kecil setelah melalui beberapa siri,” menurutnya.

    Sementara itu Azmi menegaskan, pengeluaran KWSP secara bersasar merupakan penyelesaian jangka pendek, panjang dan efektif dalam memberikan suntikan tunai segera kepada golongan pencarum terkesan tanpa perlu menambah lagi bebanan hutang dan komitmen yang baru.

    “Untuk pelan jangka panjang, pihak kerajaan boleh membantu dan memastikan bahawa baki di dalam akaun pencarum yang membuat pengeluaran ini akan bertambah dengan mewujudkan program pemulihan seperti menyediakan peluang pekerjaan tanpa had umur dan tahap kesihatan serta menyelaraskan pendapatan per kapita yang selari dengan sara hidup.

    “PGIRM, PPIM dan GHRE tidak dapat melihat apakah alternatif lain yang boleh ditawarkan kerajaan menjadi langkah penyelesaian segera dan efektif ke atas pelbagai masalah rakyat khasnya pencarum yang semakin meruncing.

    “Belum lagi mengambil kira rakyat yang keciciran dalam menerima bantuan kerana maklumat yang tidak dikemas kini,” tambahnya.

  • KWSP: NGO bantah pengeluaran bercagar, tuntut pengeluaran bersasar

    KWSP: NGO bantah pengeluaran bercagar, tuntut pengeluaran bersasar

    PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) yang mendesak pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berharap Yang di-Pertuan Agong dapat mendengar keluhan rakyat yang mahukan pengeluaran simpanan mereka secara bersasar bukan bercagar.

    NGO itu ialah Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIR), Global Human Rights Federation (GHRF) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

    Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat (PGIRM), Azmi Mohd Tahir yang mewakili NGO berkata, sebanyak 50,000 pencarum mengisi petisyen bantahan pengeluaran KWSP bercagar yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh dua hari.

    “Wang itu wang simpanan rakyat mengapa perlu dicagarkan, mengapa kami perlu berhutang dan bayar bunga pula sedangkan duit sendiri?,” katanya pada sidang media selepas selesai menyerahkan memorandum bersama tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Istana Negara di ibu negara, hari ini.

    Tegas Azmi, inisiatif itu hanya menambah beban hutang pencarum yang rata-rata mahukan pengeluaran bersasar untuk menyelesaikan hutang sedia.

    Menurutnya, pihaknya melihat isu terbabit sangat serius dan menggesa kerajaan membenarkan pengeluaran akaun satu secara bersasar kepada yang betul-betul memerlukan.

    Sehubungan itu, pihaknya berharap dengan penyerahan memorandum itu Yang di-Pertuan Agong dapat menasihati kerajaan untuk membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar.

    “Pencarum sangat-sangat terkesan, ini bukan perkara main-main. Kami akan terus desak kerajaan benarkan pengeluaran termasuk dari akaun satu.

    “Kalau pengeluaran akaun dua yang pasti buat pengeluaran bukan golongan M40 atau B40 tapi T20. Sebab golongan B40 dan M40 sudah tak ada baki dalam akaun dua. Mereka yang paling terkesan sebenarnya,” katanya.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, inisiatif mencagarkan simpanan KWSP untuk mendapatkan pinjaman bank bukan penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu kesempitan hidup rakyat.

    Beliau berkata, pihaknya tidak bersetuju jika inisiatif itu dilaksanakan oleh bank kerana ia dilihat hanya akan menambah hutang rakyat.

    “Kita tak setuju idea pinjaman bank ini. Kalau kerajaan bagi pinjaman menerusi agensi kerajaan yang ada kadar diskaun itu lain tapi yang ini komersial, konsepnya saya tak setuju.

    “Ini bukan pengeluaran tapi pinjaman, buatnya pencarum tak mampu bayar balik? Sudahlah pencarum dalam kesusahan.

    “Kalau dia tak mampu bayar pinjaman itu sudah habis hilang pula duit simpanan KWSP dia,” tambahnya lapor Harian Metro.

  • Dakwaan pihak hilang kuasa tiup sentimen kaum tak sepatutnya timbul

    Dakwaan pihak hilang kuasa tiup sentimen kaum tak sepatutnya timbul

    KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris menggesa semua parti politik bertanggungjawab untuk menjaga keharmonian pelbagai kaum di negara ini dan tidak menuding jari kepada pihak tertentu, termasuk pembangkang jika timbul isu yang menyentuh sentimen kaum dan agama.

    Menurut beliau, semua ahli politik tahu bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan tindakan yang menyentuh sensitiviti Islam boleh mengundang kemarahan umat, seperti program ziarah gereja oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang dibatalkan baru-baru ini.

    Sehubungan itu katanya, tidak seharusnya timbul dakwaan ada pihak yang hilang kuasa menggunakan program itu untuk meniupkan sentimen kaum dan agama, malah orang miskin didakwa digunakan untuk membuat kekacauan, seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

    “Pihak yang membuat laporan polis adalah NGO dan mereka antara yang lantang bersuara dalam isu ini. Parti politik tidak terbabit di luar dan hanya bercakap mengenainya di Parlimen.

    “Bukan saja NGO, malah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut mengeluarkan kenyataan membantah program itu.

    “Jadi, kenyataan Perdana Menteri bahawa ada pihak yang hilang kuasa cuba meniupkan sentimen perkauman, seolah-olah mahu merujuk kepada pembangkang tidak sepatutnya dibuat oleh seorang Perdana Menteri. Beliau sepatutnya mencari jalan meredakan keadaan, bukan lebih mengeruhkan suasana,” katanya kepada Berita Harian, hari ini.

    Semalam, Perdana Menteri menegaskan, ada usaha orang kehilangan kuasa menggunakan isu program ziarah rumah ibadah untuk meniupkan sentimen kaum dan agama di negara ini.

    Beliau berkata, biarpun ia masih terkawal ketika ini, jika tindakan itu melampau sehingga mengganggu gugat ketenteraman awam, pihak keselamatan akan keras dan tegas bertindak.

    Program ‘Jom Ziarah Gereja’ yang dijadualkan hari ini di sebuah gereja di Klang, menimbulkan kontroversi dan dibatalkan pihak penganjur, semalam.

    Program itu adalah inisiatif diterajui Impact Malaysia, NGO yang bernaung di bawah KBS.

    Jumaat lalu, Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai Chegubard, membuat laporan polis terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mendakwanya menyebarkan agama Kristian kepada belia Islam melalui program yang dikaitkan dengan kementeriannya.

    Mengulas program berkenaan, Razali berkata, prosedur operasi program (SOP) bagi program seumpama itu perlu diperketat.

    “Kita boleh mengunjungi gereja dan menganjurkan program dengan yang bukan Islam tetapi SOP perlu ketat, tidak boleh lebih kurang.

    “Jika program dibuat secara terbuka seperti mempromosi agama lain, dengan SOP yang tidak ketat, ia dibimbangi boleh menjejaskan akidah anak muda Islam,” katanya.

  • Kecewa kerajaan tak benarkan pengeluaran KWSP – NGO

    Kecewa kerajaan tak benarkan pengeluaran KWSP – NGO

    KEPUTUSAN kerajaan untuk tidak membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pencarum adalah amat dikesali.

    Menurut Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF), S Shashi Kumar, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya lebih bersikap praktikal dan memahami penderitaan rakyat.

    “PM begitu bimbang bercakap tentang persaraan, tetapi apa yang berlaku apabila kamu berdepan tindakan undang-undang kerana tidak membayar pinjaman dan terpaksa membayar keseluruhan faedah persaraan kamu untuk menyelesaikan tuntutan terhadap kamu, dengan faedah tambahan apabila mencapai umur 55 tahun?

    “Kami faham pengeluaran KWSP adalah penyelesaian sementara, tetapi pada ketika ini, ia membolehkan seseorang itu merancang masa depan mereka pada masa depan, dan meringankan beban mereka sementara kerajaan mencari penyelesaian kekal untuk perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Malaysiakini.

    Shashi mengulas pembentangan Belanjawan 2023 semalam apabila Anwar mengumumkan kerajaan akan menambah caruman simpanan KWSP sebanyak RM500 kepada ahli yang mempunyai simpanan kurang RM10,000 dalam akaun satu.

    Jumlah itu, kata perdana menteri, akan memanfaatkan sehingga dua juta pencarum KWSP berumur 40 hingga 54 tahun.

    Mengulas lanjut, Shashi berkata kos sara hidup terus meningkat dan rakyat menghadapi kesukaran untuk menguruskan perbelanjaan serta menyelesaikan hutang mereka pada masa yang sama.

    “Adalah tidak wajar atau tidak adil untuk PM mengatakan sekiranya pengeluaran KWSP dibenarkan, caruman RM500 oleh kerajaan kepada pencarum yang mempunyai akaun di bawah RM10,000 adalah tidak mungkin.

    “PM perlu lebih praktikal dalam memahami penderitaan, rayuan dan tangisan rakyat,” katanya.

    Pada 17 Feb, GHRF bersama NGO Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) dan Persatuan Pengguna Islam (PPIM), menyerahkan memorandum kepada Jabatan Perdana Menteri, menggesa kerajaan membenarkan satu lagi pusingan pengeluaran KWSP.

  • NGO budaya kecewa portfolio kebudayaan ‘ditiadakan’ dalam kabinet Kerajaan Perpaduan

    NGO budaya kecewa portfolio kebudayaan ‘ditiadakan’ dalam kabinet Kerajaan Perpaduan

    guane

    SEJAK Jumaat lalu hingga hari ini, di mana-mana sahaja orang bercakap mengenai politik.

    Ia adalah sebagai kesinambungan isu-isu yang berlaku selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November lalu.

    Kalau sebelum ini antara tumpuan isu diperbualkan adalah melibatkan soal pemilihan calon, parti yang menang dan siapakah yang bakal berkuasa sehingga kepada teka teki nama Perdana Menteri ke 10 (PM10).

    Kini, semua perkara tersebut sudahpun diketahui umum, tetapi isu yang masih hangat diperkatakan sekarang ialah mengenai ahli politik yang dipilih menduduki senarai kabinet kerajaan Perpaduan sekarang ini.

    Sebaik PM10, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai kabinetnya pada 2 Disember lalu, penulis mendapati banyak pihak meluahkan rasa kecewa dan tidak berpuas hati dengan kabinet pada kali ini.

    Kemana sahaja penulis pergi sama ada minum di warung kopi, di pasar basah, kedai runcit, taman reakrasi dan juga premis berurut, semua bercakap mengenai kabinet baharu dinamakan Kerajaan Perpaduan.

    Antara dua isu yang hangat diperbualkan dan menjadi kemarahan orang ramai ialah pembsbitan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam senarai kabinet dan juga ketiadaan porfolio kebudayaan.

    Banyak pihak kurang bersetuju dengan pelantikan Ahmad Zahid
    sebagai Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah.

    Mereka menyifatkan pelantikan tersebut seolah-olah mengesahkan isu yang dibangkitkan dan tular menerusi media sosial sebelum PRU15 berhubung dakwaan kerjasama antara Anwar- Ahmad Zahid membabitkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

    Ketika itu, kedua-dua pihak menafikan isu kerjasama berkenaan dengan pelbagai kenyataan yang bersifat retorik politik.

    Malah, kempen PH meminta rakyat menolak parti yang di pimpin oleh pelaku rasuah juga menyebabkan rakyat seperti percaya kerjasama di antara PH-BN tidak akan berlaku.

    Bagaimanapun, kita akhirnya terpaksa akur dengan pandangan sesetengah pihak mengatakan bahawa dalam dunia politik apa sahaja boleh berlaku.

    Bab lirik lagu berjudul Sekelip Mata Kau Berubah tulisan sahabat penulis iaitu Allahyarham Juwie nyanyian Kumpulan Lestari, begitulah dengan orang politik di negara ini.

    Hari ini mereka bergaduh dan bercakaran antara satu sama lain, tetapi pada keesokan hari mereka boleh berubah dengan sekelip mata sehingga sudah boleh berpelukan dan makan semeja.

    Selain pelantikan Ahmad Zahid, isu hangat dalam kabinet baharu Kerajaan Perpaduan PM10 ini turut memperkatakan mengenai portfolio Kebudayaan.

    Ramai pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) kebudayaan di Terengganu ada hubungi penulis meluahkan rasa kecewa dan tidak berpuas hati apabila nama porfolio kebudayaan disisihkan secara zahir dalam kabinet pada kali ini.

    “Kata Kerajaan Perpaduan, tetapi kenapa portfolio kebudayaan yang dijadikan sebagai teras kepada perpaduan ditiadakan.

    “Inilah pertama kali dalam sejarah pembentukan kabinet Malaysia portfolio kebudayaan tidak wujud secara zahir”, ujar Wan Ahmad Ismail, sahabat penulis yang juga merupakan seorang pemimpin dan aktivis budaya terkenal di Terengganu.

    Seorang lagi pemimpin budaya, Fauzi Yahya yang juga Pengerusi Persatuan Silat Kalimah Terengganu berpendapat, sebagai pertubuhan sukarela, sudah pasti mereka memerlukan perhatian sewajarnya daripada kerajaan Persekutuan.

    “Untuk itu, badan-badan NGO ini memerlukan seorang Menteri menaungi sebuah kementerian seperti sebelum ini.

    “Dahulu portfolio kebudayaan pernah diletakkan di bawah belia dan sukan diikuti pelancongan,” jelas beliau.

    Apapun, penulis berharap supaya PM10 serta barisan kabinetnya menilai semula perkara berkenaan.

    Pengecilan saiz kabinet, bukan bermakna turut menyisihkan portfolio sedia ada sejak sekian lama.

    Adakah ia sebagai satu pembaharuan atau isyarat awal aktiviti kebudayaan termasuk budaya etnik tidak lagi diberikan perhatian?

  • NGO gesa SPRM siasat aset jutaan ringgit Rafizi

    NGO gesa SPRM siasat aset jutaan ringgit Rafizi

    SEBUAH pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat harta sebanyak RM18.85 juta yang diisytihar Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

    Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, beliau tabik terhadap Rafizi kerana mengisytihar aset hartanya.

    Menurutnya, namun tersebar di media sosial yang mengaitkan penerimaan duit melalui syarikat, Invoke Solutions Sdn Bhd.

    “Invoke ditubuhkan pada 2016 dan dilaporkan mengalami kerugian sebanyak tiga kali dan untung hanya dua kali. Dari mana datang duit dan dana itu?.

    “Kita meminta SPRM menyiasat dan sekiranya benar Rafizi terlibat pengubahan wang haram, dia tidak layak untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu lihat dari segi undang-undang apakah Rafizi layak berganding di Parlimen Pandan,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini pada Khamis.

    Beliau berkata, tiada masalah sekiranya pengaliran wang itu dari sumber yang sahih.

    Ujar beliau, pihaknya tidak mengatakan Rafizi bersalah atau tidak namun mahu SPRM menyiasat perkara tersebut.

    “Kita hendak tahu duit jutaan ringgit itu dapat dari mana. Kita mohon SPRM lakukan siasatan segera. Jika sabit salah, dia (Rafizi) tidak layak bertanding,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Pada 2 November lalu, Rafizi mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta.

    Pengisytiharan harta itu dibuat menerusi akuan berkanun (SD) yang dimuat naik melalui laman blog peribadinya.

    Berdasarkan lampiran itu, kebanyakan asetnya diperoleh daripada pelaburan saham dalam Invoke Solutions Sdn Bhd, syarikat yang diasaskannya.

    Jumlah itu termasuk pelaburan dalam Boustead Holdings Berhad milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan polisi insurans di Prudential.

  • Hina institusi Diraja Pahang: NGO buat laporan terhadap Tengku Zulpuri

    Hina institusi Diraja Pahang: NGO buat laporan terhadap Tengku Zulpuri

    SEBELAS badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap Timbalan Setiausaha Agung DAP Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, yang didakwa menghina institusi Diraja Pahang semasa berceramah baru-baru ini.

    Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Dearah (IPD) Kuantan di sini hari ini. Antara NGO itu ialah Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Negeri Pahang.

    Bendaharinya Datuk Setia Penggawa Tengku Datuk Abdul Manan Tengku Temenggung Aziz menyifatkan tindakan ahli politik itu sebagai melampau batas. 

    “Saya memohon pihak berkuasa mengambil tindakan tegas bagi memberi pengajaran bahawa ada had dan batasan dalam berpolitik,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

    Abdul Manan berkata pihaknya juga kesal dengan tindakan Tengku Zulpuri Shah yang didakwa turut menyebut nama Yang di-Pertuan Agong dalam ceramah itu, seperti yang ditontonnya menerusi klip video berdurasi 1.53 minit yang diterimanya menerusi aplikasi WhatsApp. – BERNAMA

  • Perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’:Lima NGO buat laporan polis

    Perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’:Lima NGO buat laporan polis

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    LIMA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini berhubung perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan,’ yang dianjurkan Sabtu lalu.

    Gabungan lima NGO terbabit adalah Persatuan Anak Melayu Johor, Gabungan NGO 1 Malaysia, Pertubuhan Sosial dan Minda Prihatin, Dewan Perundingan NGO and Pertububan Salam Budi.

    Presiden Persatuan Anak Melayu Johor, Najmuddin Mahmood berkata, perhimpunan yang diadakan adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh kumpulan berkenaan.

    “Negara kini sedang berdepan dengan pandemik Covid-19, seharusnya individu-individu ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    “Kesalahan yang mereka lakukan adalah serius jadi kita berharap polis mengambil tindakan segera diambil pihak polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Beliau berkata, dalang di sebalik perhimpunan tersebut perlu dicari dan kesalahan yang dilakukan peserta tersebut adalah serius kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PP).

    Jelasnya, tindakan tegas perlu diambil supaya tidak berulang lagi pada masa depan.