Tag: nelayan

  • Peruntukan RM1.4 juta bina 25 rumah baharu nelayan

    Peruntukan RM1.4 juta bina 25 rumah baharu nelayan

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KERAJAAN negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM1.4 juta bagi pembinaan 25 unit rumah baharu untuk nelayan di setiap daerah, pada tahun ini.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim, rumah nelayan menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) itu berharga RM56,000 seunit.

    Katanya, projek berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu.

    “Sehingga ini kita berjaya menyiapkan sebanyak 12 unit rumah baharu kepada nelayan termasuk di Paka, Marang, Setiu dan Besut.

    “Manakala baki 13 unit lagi dijangka dimulakan dalam tempoh terdekat, bergantung kepada situasi semasa pandemik Covid-19,” katanya.

    Beliau memberitahu demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Bina Baru Rumah Nelayan di bawah PKPN LKIM Terengganu di Kampung Alor Ketitir Merchang, Marang, hari ini.

    Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.

    Menurut Dr Azman, selain bina baru rumah, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan kepada nelayan berpendapatan rendah yang melibatkan baikpulih rumah disamping membangunkan semula penempatan nelayan.

    Katanya, usaha ini adalah bertujuan untuk memberi kesejahteraan kepada keluarga nelayan agar mereka dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan selesa.

  • Mayat nelayan ditemukan terapung

    Mayat nelayan ditemukan terapung

    MAYAT nelayan yang hilang ketika keluar menangkap ikan kira-kira satu batu nautika dari Jeti Kuala Lukut, dekat sini semalam ditemukan terapung di pesisiran Pantai Bagan Kurnia, Port Dickson pagi ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson Mohd Hairul Izam Mazelan berkata mayat Yap Fok Swe, 64, yang berpakaian lengkap ditemukan kira-kira 2.5 kilometer daripada lokasi kejadian, oleh pasukan penyelamat kira-kira pukul 7.50 pagi tadi.

    “Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) telah memulakan pencarian seawal 6.30 pagi tadi dan kemudiannya kami mendapat petunjuk setelah dimaklumkan oleh orang awam ternampak objek terapung di sekitar lokasi berkenaan.

    “Tiada sebarang kecederaan ditemukan pada badan mangsa dan operasi SAR ditamatkan kira-kira pukul 9.20 pagi. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi semalam, Yap telah hilang dan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut ketika keluar untuk menangkap ikan, yang mana kehilangannya disedari  seorang nelayan yang menjumpai sebuah bot tiada pemilik berserta peralatan menangkap ikan sahaja.

    Operasi SAR yang memasuki hari kedua hari ini turut melibatkan anggota penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia selain komuniti nelayan setempat.

    Dalam pada itu Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru telah mengaktifkan operasi CARILAMAT di perairan Kuala Lukut pada pukul 4.30 petang semalam, melibatkan aset Maritim Malaysia iaitu bot Petir 91 dan Benteng 04 bagi membantu usaha pencarian.

    “Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730,” katanya.- BERNAMA

  • 19 warga Vietnam menyamar nelayan tempatan ditahan

    19 warga Vietnam menyamar nelayan tempatan ditahan

    CUBAAN 19 warga Vietnam menyamar sebagai nelayan tempatan dengan menggunakan nombor pendaftaran Malaysia pada dua bot mereka gagal setelah taktik berkenaan berjaya dihidu penguat kuasa di perairan Kelantan, Selasa lepas.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan Kapten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata kedua-dua bot itu ditahan berasingan ketika menangkap ikan pada kedudukan 93 dan 95 batu nautika dari muara Tok Bali, pada pukul 9.31 pagi dan 10.21 pagi.

    Cubaan 19 warga Vietnam menyamar sebagai nelayan tempatan dengan menggunakan nombor pendaftaran Malaysia pada dua bot mereka gagal setelah taktik berkenaan berjaya dihidu penguat kuasa di perairan Kelantan, Selasa lepas. Foto MARITIM MALAYSIA

    Beliau berkata kedua-dua bot dengan 19 kru termasuk dua tekong berusia dalam lingkungan 18 hingga 60 tahun itu ditahan oleh Kapal Maritim (KM) Tok Bali.

    “Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot dicat nombor pendaftaran Malaysia menggantikan nombor pendaftaran Vietnam. Kedua-dua bot itu disyaki menyamar dengan memalsukan nombor pendaftaran tempatan yang tidak wujud dalam sistem pangkalan data Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya pada sidang media di Jeti Maritim Negeri Kelantan, Tok Bali, di sini hari ini.

    Syed Nor Adli berkata siasatan juga mendapati nelayan warga asing itu disyaki memalsukan dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia

    “APMM akan membuat siasatan lanjut sama ada terdapat sindiket yang memalsukan dokumen berkenaan,” katanya.

    Tambah beliau dua bot itu dipercayai baru memasuki perairan negara berdasarkan hasil tangkapan salah satu bot dengan 50 kilogram sotong manakala bot kedua tiada sebarang hasil tangkapan dan bahan bekalan api diesel masih berbaki sebanyak 9,500 liter.

    Katanya, pihaknya terpaksa menunda kedua-dua bot itu selama lebih 26 jam untuk sampai ke Jeti Maritim Negeri Kelantan, Tok Bali, berikutan salah satu daripada bot berkenaan mengalami kerosakan enjin.

    Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

    “Nilai keseluruhan tangkapan termasuk bot, diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan berjumlah RM2.5 juta,” katanya.- BERNAMA

  • 23 nelayan langgar syarat lesen, ikan RM3 juta dirampas

    23 nelayan langgar syarat lesen, ikan RM3 juta dirampas

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PADAH akibat melanggar syarat lesen menangkap ikan, seramai 27 nelayan ditahan ketika sedang melakukan aktiviti berkenaan pada jarak kurang 12 batu nautika dari Kuala Merchang, Marang, awal pagi semalam.

    Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat, 22 nelayan yang ditahan kerana melanggar syarat lesen itu merupakan warga tempatan, manakala lima lagi adalah warga Myanmar.

    Katanya, mereka ditahan di dalam dua buah bot pukat jerut dan pukat tunda kelas C antara pukul 1 hingga 4.30 pagi di lokasi tersebut.

    Beliau memberitahu, penahanan itu dibuat berdasarkan operasi pemantauan, pengawalan dan survelan (MCS) oleh Unit Perlindungan Sumber Perikanan Terengganu di kawasan perairan Pulau Kapas hingga Dungun.

    Justeru ujarnya, kesemua kru dan dua bot yang berpangkalan di Kuala Besut dan Kuantan, Pahang itu dibawa masuk ke Pangkalan Perlindungan Sumber Pulau Kambing untuk tindakan lanjut.

    ” Selain itu, kita turut menyita dua bot dan hasil tangkapan sebanyak 4,000 kilogram dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM3 juta,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Menurut Ruzaidi, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan kompaun.

    “Pemantauan dan tindakan akan dilakukan dari masa ke semasa bagi memastikan tiada pihak yang melanggar peraturan ditetapkan.

    “Malah, kita juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi Akta Perikanan 1985,” jelas beliau.

  • Terengganu salur bantuan RM45,000 kepada 90 petani, nelayan, penternak positif Covid-19

    Terengganu salur bantuan RM45,000 kepada 90 petani, nelayan, penternak positif Covid-19

    MOHD LAZIM ENDUT

    SEBANYAK RM45,000 disalurkan Kerajaan Terengganu bagi membantu 90 nelayan, petani dan penternak yang disahkan positif Covid-19 sejak Mac tahun lepas hingga Jun lalu.

    Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim memberitahu, sehingga ini seramai 80 orang masing-masing di Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Marang telah menerima bantuan berkenaan.

    Malah katanya, bantuan secara ‘one off’ sebanyak RM500 seorang ini diserahkan secara berperingkat sebagai keprihatinan kerajaan negeri kepada mereka yang terjejas pendapatan akibat dijangkiti Covid-19.

    “Bagi daerah Dungun dan Hulu Terengganu, bantuan akan disampaikan dalam masa terdekat,” ujarnya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Lesen Sampan Nelayan, Bantuan Touch Point (Peralatan Menangkap Ikan), Kerja-kerja Melabuh Unjam, Bantuan One Off Covid-19 Sektor Pertanian dan Bakul Makanan MAFI Sempena Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021 di Pengkalan Merchang, Marang hari ini.

    Seramai 42 nelayan daerah Marang hadir menerima bantuan pada majlis itu yang diadakan secara pandu lalu.

    Dr. Azman berkata, jumlah penerima bantuan petani, penternak dan nelayan dijangkiti Covid-19 itu adalah mengikut bancian dilakukan melalui Jabatan Pertanian Negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) pada Jun lalu.

    Malah katanya, jumlah tersebut tidak statik dan ada kemungkinan akan bertambah mengikut perkembangan situasi semasa.

    “Golongan petani dalam bidang pertanian merupakan yang paling ramai positif Covid-19,” ujar beliau.

    Mengulas mengena rungutan pengusaha keropok keping di Terengganu berhubung masalah kekurangan bekalan isi ikan ketika ini, Dr. Azman memberitahu, beliau akan menyiasat perkara tersebut.

  • Maritim Malaysia tahan bot nelayan langgar syarat lesen, kru

    Maritim Malaysia tahan bot nelayan langgar syarat lesen, kru

    TINDAKAN sebuah bot nelayan tempatan Kelas B melanggar syarat sah lesen Akta Perikanan mengundang padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak semalam.

    Bot itu dikesan sedang menangkap ikan pada kedudukan kira-kira 4.4 batu nautika barat daya perairan Pulau Buloh, dekat Lumut pada pukul 6.45 petang.

    Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, tangkapan dibuat oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Benteng dan Op Pintas di sempadan perairan negeri Perak.

    “Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan empat kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 21 hingga 49 tahun dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Semasa ditahan, bot terbabit didapati sedang melakukan aktiviti perikanan berhampiran Pulau Buloh dengan menggunakan pukat tunda sebagai alat penangkapan ikan,” katanya hari ini.

    Mengulas lanjut, Shahrizan berkata, bot itu dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan kurang daripada lima batu nautika seperti kebenaran syarat sah lesen serta Akta Imigresen 1959/63.

    Ujar beliau, bot serta empat kru termasuk tekong dan hasil tangkapan yang dianggarkan lebih kurang 400 kilogram dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu.

    “Sejurus tiba kira-kira pukul 9 malam, mereka kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Perak untuk tindakan lanjut,” tambahnya.

  • 137 nelayan pesisir peroleh lesen sampan khas

    137 nelayan pesisir peroleh lesen sampan khas

    Oleh Mohd Lazim Endut

    ISU kesukaran nelayan pantai untuk memiliki lesen sampan khas yang seringkali diperbualkan sebelum ini akhirnya terlerai apabila permohonan mereka diluluskan.

    Malah, berita gembira tersebut dikongsi oleh 137 nelayan dari daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang masing-masing berjaya menerima lesen sampan khas hari ini.

    Penyerahan lesen berkenaan diuruskan kerajaan negeri Terengganu bersama-sama Jabatan Perikanan negeri secara pandu lalu.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim, penyerahan secara pandu lalu dibuat bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    “Alhamdulillah, akhirnya kita dapat menyelesaikan salah satu isu utama dihadapi nelayan iaitu perlesenan,” ujar beliau.

    Dr. Azman memberitahu, berdasarkan pemutihan dibuat, terdapat seramai 800 orang nelayan sampan kategori Zon A menjalankan aktiviti menangkap ikan di seluruh Terengganu.

    Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 600 permohonan lesen diberikan kelulusan pada tahun ini.

    “Pada hari ini sebanyak 137 lesen diserahkan kepada nelayan Kuala Terengģanu dan Kuala Nerus dalam usaha membantu mereka yang menjadikan aktiviti menangkap ikan sebagai punca pendapatan utama.

    “Bagi nelayan daerah lain, penyerahan akan dilakukan dalam tempoh terdekat ini,” katanya selepas program tersebut di Pangkalan Batu Rakit, hari ini.

    Menurut Dr. Azman, penyerahan lesen tersebut merupakan satu keistimewaan kepada nelayan tempatan.

    Ini kerana katanya, golongan itu telah berpuluh tahun menangkap ikan, tetapi tidak pernah memiliki lesen.

    Beliau berkata, apabila tiada lesen, mereka dinafikan dalam banyak perkara termasuk elaun sara hidup nelayan dan minyak bersubsidi.

    “Jika berlaku kemalangan di laut pula, mereka tidak layak mendapat bantuan bencana,” jelasnya.

    Sebelum ini, penyerahan pertama lesen sampan khas telah diagihkan kepada 84 nelayan di Besut dan Setiu, pada awal tahun ini.

  • Maritim Malaysia tahan 17 nelayan Vietnam guna bot nelayan tempatan tanpa lesen

    Maritim Malaysia tahan 17 nelayan Vietnam guna bot nelayan tempatan tanpa lesen

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 17 kru termasuk seorang tekong nelayan warga Vietnam di perairan Kelantan kerana menggunakan bot nelayan tempatan tanpa lesen yang sah, semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Kelantan Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata bot itu dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan sekitar kedudukan 48 batu nautika dari Muara Tok Bali pada 10.29 pagi.

    “Mereka diarah berhenti untuk pemeriksaan dan mendapati kesemua nelayan itu merupakan warga Vietnam berumur antara 20 hingga 25 tahun tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata berikutan itu, mereka ditahan serta dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kelantan Tok Bali untuk disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah untuk menjalankan aktiviti perikanan.

     “Mereka boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

    Syed Nor Adli berkata bagi kesalahan itu mahkamah juga boleh melucutkan hak bot, hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan kepada kerajaan Malaysia.

    Beliau berkata verifikasi awal status bot melalui data Jabatan Perikanan mendapati lesen bot berkenaan telah tamat tempoh sejak 2019 dan berstatus tidak aktif.

    Katanya, nilai rampasan termasuk bot dan 300 kilogram (kg) ikan, 200 kg sotong kering, 4,000 liter bekalan minyak diesel dan peralatan menangkap ikan yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM1 juta. – BERNAMA

  • Empat nelayan, bot pukat tunda ceroboh zon laut ditahan

    Empat nelayan, bot pukat tunda ceroboh zon laut ditahan

    JABATAN Perikanan Pulau Pinang menahan sebuah bot pukat tunda zon C serta empat nelayan pada kedudukan 4.7 batu nautika dari Pulau Rimau dekat sini semalam.

    Bot nelayan itu ditahan Pasukan Cawangan Perlindungan Sumber jabatan itu menerusi Ops Harimau bermula pukul 2.30 petang.

    Pengarah Jabatan Perikanan Pulau Pinang, Noraisyah Abu Bakar berkata, penahanan itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan awam berhubung aktiviti haram yang dijalankan bot berkenaan di kawasan laut berkenaan.

    Menurut beliau, kesemua nelayan yang ditahan itu merupakan warga tempatan berusia antara 35 hingga 60 tahun.

    Tambahnya, pemeriksaan juga mendapati nelayan-nelayan itu melekat kod palsu iaitu Zon B1 sedangkan kelas bot tersebut adalah kelas C.

    “Turut dirampas dalam operasi itu adalah sebanyak 500 kilogram (kg) ikan pelbagai jenis dan peralatan menangkap ikan dengan nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM650,000,” katanya dalam sidang akhbar di Pangkalan Hadapan Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Pulau Pinang, di sini hari ini.

    Noraisyah berkata, kesemua nelayan itu ditahan bagi membantu siasatan di bawab Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar apa-apa syarat dalam lesen yang dikeluarkan berkenaan vesel tersebut.

    Jika sabit kesalahan, jelasnya, mereka boleh dikenakan kompaun sehingga RM10,000, peralatan menangkap ikan dirampas dan lesen vesel digantung selama setahun.

    Dalam pada itu, tambah beliau, sebanyak 27 bot pukat tunda berjaya ditahan pihaknya sepanjang tahun ini setakat semalam iaitu peningkatan berbanding hanya 26 buah bot sepanjang tahun lalu.

    Malah jelasnya, kes pencerobohan bot pukat tunda itu juga menunjukkan trend peningkatan berbanding beberapa tahun kebelakangan ini iaitu hanya 17 tangkapan pada 2018 dan 28 (2019).

    “Dengan trend peningkatan tangkapan ini, kita akan mempergiatkan lagi operasi untuk menahan mereka yang terlibat.

    “Kita juga memohon semua pihak yang mempunyai maklumat berkenaan aktiviti haram di laut ini segera menyalurkannya kepada kami disebabkan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang salah boleh menyebabkan ekosistem hidupan laut terjejas,” katanya.