Tag: Nelayan hilang

  • Nelayan hilang dua hari tanpa makan, minum ditemukan selamat

    Nelayan hilang dua hari tanpa makan, minum ditemukan selamat

    SEORANG nelayan tempatan terpaksa menahan lapar dan dahaga selama dua hari selepas bot digunakannya kehabisan minyak di laut.

    Memetik laporan Berita Harian, mangsa, R Rajah, 43, bagaimanapun bernasib baik kerana ditemukan dalam keadaan selamat oleh sekumpulan nelayan, hari ini.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid, berkata mangsa ditemukan pada kedudukan 16.6 batu nautika barat daya Kuala Trong, dekat sini, pada jam 12 tengah hari tadi.

    Terdahulu, katanya pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mangsa daripada nelayan tempatan, sebelum menggerakkan sepasukan anggota menggunakan bot Benteng 3 untuk tindakan lanjut.

    Terdahulu, katanya pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mangsa daripada nelayan tempatan, sebelum menggerakkan sepasukan anggota menggunakan bot Benteng 3 untuk tindakan lanjut.

    “Menurut mangsa, bot digunakannya kehabisan minyak dan ia hanyut selama dua hari. Sepanjang tempoh itu, mangsa terpaksa bertahan di atas bot tanpa sebarang bekalan makanan, sebelum ditemukan nelayan tempatan yang melalui kawasan itu.

    “Mangsa kemudian dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Kuala Kurau untuk pengecaman dan disahkan oleh ahli keluarga sebelum dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kelmarin, satu laporan polis dibuat keluarga apabila seorang nelayan disyaki hilang ketika keluar melakukan aktiviti perikanan di perairan Kuala Gula, dekat sini.

    Susulan itu, operasi pencarian dilancarkan membabitkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Perikanan, Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta komuniti nelayan.

    Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat, mengesahkan kejadian itu termasuk penemuan mangsa.

  • Seorang nelayan dikhuatiri lemas di Sungai Jebungan

    Seorang nelayan dikhuatiri lemas di Sungai Jebungan

    SEORANG nelayan dikhuatiri hilang selepas gagal pulang ke jeti, selepas keluar menjala ikan di Sungai Jebungan, Mukah.

    Mangsa, Mohd. Rashdi Abdullah, 42, keluar menjala pada awal pagi tadi sebelum gagal dihubungi.

    Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, Bilik Kawalan Bomba dan Penyelamat Mukah menerima laporan kehilangan mangsa sekitar pukul 10.19 pagi.

    “Dua pacuan empat roda serta lima anggota kemudian segera diatur gerak ke lokasi, dengan sebuah bot bagi mengaktifkan gerakan mencari dan menyelamat.

    “Berdasarkan maklumat awal, perahu mangsa telah ditemui di tebing sungai sekitar jam 9.00 pagi, namun mangsa gagal dikesan,” katanya.

    Ini merupakan kejadian kehilangan ketiga melibatkan komuniti nelayan dan pemancing di negeri ini dalam tempoh seminggu.

  • Tiga nelayan selamat, seorang lagi masih hilang

    Tiga nelayan selamat, seorang lagi masih hilang

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Empat nelayan berdepan detik cemas apabila bot fiber dinaiki mereka terlanggar boya di posisi 0.5 batu nautika, selatan Pulau Lalang dekat Langkawi, Kedah hingga menyebabkan kesemua mereka tercampak ke laut, pagi tadi.

    Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, kejadian itu yang berlaku kira-kira pukul 10 pagi tadi menyebabkan seorang daripada nelayan tersebut gagal dikesan.

    Katanya, tiga individu lain yang berusia antara 18 hingga 53 tahun bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan kira-kira 20 minit selepas kejadian itu berlaku.

    “Mangsa yang hilang dikenali sebagai Mohamad Ewandi Husnan, 22. Kejadian dipercayai berlau apabila bot fiber dinaiki mereka terlanggar boya menyebabkan keempat-empat individu berkenaan tercampak ke laut ketika bot masih bergerak.

    “Bot PERKASA 1228 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) diatur gerak ke lokasi kejadian dengan maklumat turut disalurkan kepada Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta komuniti nelayan bagi membantu pencarian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, salah seorang mangsa terselamat patah hidung sementara dua yang lain, cedera ringan.

    Kesemua mereka dilaporkan stabil dan telah dihantar oleh bot nelayan tempatan ke daratan yang berpangkalan di Sungai Menghulu, Langkawi,” katanya.

    Tambahnya, kejadian itu dipercayai berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang dari menangkap ikan.

    “Bot tanpa pengemudi itu ditemukan tersadai di daratan Pulau Lalang kira-kira jam 12.20 tengah hari tadi.

    “Operasi mencari dan menyelamat masih dipergiatkan di kawasan berhampiran,” katanya.

  • Nelayan hilang ketika mencandat sotong

    Nelayan hilang ketika mencandat sotong

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG nelayan dilaporkan hilang setelah keluar mencandat sotong
    di perairan Pantai Sabak, Kota Bharu Kelantan sejak Rabu lalu.

    Kehilangan Mohd. Rafi Omar, 37, mula disedari kakaknya, Zakiah Omar, 51, pagi semalam ekoran mangsa tidak pulang selepas keluar rumah pada pukul 11.59, 18 Ogos lalu.

    Bimbang terhadap keselamatan adiknya, kakak mangsa kemudian membuat laporan pagi semalam.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman memberitahu, pencarian mangsa kini telah memasuki hari kedua dan dilakukan sekitar 67.35 batu nautika persegi dari jeti Pulau Gajah.

    “Operasi pencarian menggunakan kapal KM Tok Bali manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) menggunakan bot masing-masing dengan melibatkan kekuatan anggota terbabit seramai 25 orang.

    “Selain itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dibantu komuniti nelayan menggunakan enam bot di mana sektor pencarian menjurus kepada tepi pantai dan lokasi yang dikatakan mangsa sering berada,” katanya hari ini.

    Mohd. Rafi dilaporkan keluar seorang diri dengan menaiki bot gentian kaca miliknya untuk mencandat sotong dan keluarga membuat laporan selepas tiga hari lelaki berkenaan tidak pulang.

    Katanya, difahamkan pada malam Khamis, mangsa yang berasal daripada Kemumin dilihat oleh beberapa rakan nelayan lain berada kira-kira 34 kilometer dari muara Kuala Senok, Bachok.

    Beliau berkata, rakan-rakan mangsa telah mengajak pulang, namun ditolak oleh mangsa dengan alasan ingin memperoleh lebih banyak sotong.

    Menurut Syed Nor Adli, sejak dua hari misi SAR diadakan, pihaknya belum menemukan sebarang petunjuk.

    Malah, beliau juga menolak kehilangan mangsa ada kaitan dengan faktor cuaca kerana beberapa hari kebelakangan ini, cuaca dalam keadaan baik.

    “Setakat ini misi SAR berjalan lancar tanpa sebarang halangan, cuaca juga agak baik dan kita harap ia akan terus berjalan lancar,” ujarnya.

    Dalam pada itu syed Nor Adli turut menasihati orang ramai terutama nelayan yang keluar ke laut agar sentiasa berwaspada dengan menitikberatkan keselamatan diri.

    “Memandangkan sekarang sudah memasuki musim monsun timur laut, nelayan yang ingin turun ke laut mestilah menitikberatkan aspek keselamatan dengan menyediakan segala kelengkapan diri dan bot bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini,” jelas beliau.