Oleh RIZQI ZABIDI

Empat nelayan berdepan detik cemas apabila bot fiber dinaiki mereka terlanggar boya di posisi 0.5 batu nautika, selatan Pulau Lalang dekat Langkawi, Kedah hingga menyebabkan kesemua mereka tercampak ke laut, pagi tadi.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, kejadian itu yang berlaku kira-kira pukul 10 pagi tadi menyebabkan seorang daripada nelayan tersebut gagal dikesan.

Katanya, tiga individu lain yang berusia antara 18 hingga 53 tahun bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan kira-kira 20 minit selepas kejadian itu berlaku.

“Mangsa yang hilang dikenali sebagai Mohamad Ewandi Husnan, 22. Kejadian dipercayai berlau apabila bot fiber dinaiki mereka terlanggar boya menyebabkan keempat-empat individu berkenaan tercampak ke laut ketika bot masih bergerak.

“Bot PERKASA 1228 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) diatur gerak ke lokasi kejadian dengan maklumat turut disalurkan kepada Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta komuniti nelayan bagi membantu pencarian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, salah seorang mangsa terselamat patah hidung sementara dua yang lain, cedera ringan.

Kesemua mereka dilaporkan stabil dan telah dihantar oleh bot nelayan tempatan ke daratan yang berpangkalan di Sungai Menghulu, Langkawi,” katanya.

Tambahnya, kejadian itu dipercayai berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang dari menangkap ikan.

“Bot tanpa pengemudi itu ditemukan tersadai di daratan Pulau Lalang kira-kira jam 12.20 tengah hari tadi.

“Operasi mencari dan menyelamat masih dipergiatkan di kawasan berhampiran,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here