Tag: Nazifuddin Najib

  • Ahmad Bashah, Nazifuddin Najib menang Ketua UMNO Alor Setar dan Langkawi

    Ahmad Bashah, Nazifuddin Najib menang Ketua UMNO Alor Setar dan Langkawi

    Oleh BADLISHAH MAT

    PEMIMPIN veteran UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah yang juga bekas Menteri Besar Kedah kembali dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Alor Setar mengalahkan calon jauh lebih muda pada pemilihan parti itu hari ini.

    Ahmad Bashah, 73, meraih 306 undi daripada perwakilan bahagian itu berbanding 141 undi yang diterima lawannya, Zambri Mat, 44.

    Zambri sebelum ini merupakan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Setar menggantikan Datuk Mohd. Yusof Ismail yang digantung parti itu selama enam tahun.

    Sementara itu, keputusan tidak rasmi menyaksikan anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Datuk Mohd. Nazifuddin pula menang bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Langkawi.

    Mohd. Nazifuddin yang baru berusia 39 tahun menjadi ketua bahagian termuda di Kedah setelah mengalahkan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Nor Saidi Nanyan.

    Dalam pada itu, bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Johari Baharum yang pernah menyandang Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu gagal dalam percubaannya untuk kembali menduduki jawatan itu.

    Beliau ditewaskan oleh Datuk Aminuddin Omar yang merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu dalam penggal sebelum ini.

    Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula tidak berdepan masalah mempertahankan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Jerai dalam saingan empat penjuru di bahagian itu menerusi keputusan tidak rasmi yang diperolehi.

    Sementara itu, antara yang dipercayai turut mengekalkan jawatan ketua bahagian ialau Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling); Datuk Muhar Hussain (Kulim Bandar Baharu); Datuk Suraya Yaacob (Pendang) dan Datuk Syed Ali Syed Rastan (Pokok Sena).

    Bagi Bahagian Kuala Kedah pula, Naib Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Abdul Muthalib Harun berjaya menewaskan Dr. Zaki Zamani Abd. Rashid serta dua calon lain.

    Manakala calon Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid sudah diumumkan menang tanpa bertanding di Bahagian Padang Terap, sebelum ini.

  • Cukai tertunggak RM1.7b: Najib, anak berjaya gantung penghakiman terus

    Cukai tertunggak RM1.7b: Najib, anak berjaya gantung penghakiman terus

    DATUK Seri Najib Razak dan anaknya Mohd Nazifuddin berjaya mendapatkan perintah mahkamah tertinggi negara untuk menggantung pelaksanaan penghakiman terus dalam kes cukai tertunggak lebih RM1.7 bilion dihadapi mereka sementara menunggu pelupusan rayuan.

    Memetik laporan Malaysiakini, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan permohonan penangguhan itu, berikutan tiada bantahan yang dibangkitkan oleh wakil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), peguam kanan persekutuan al-Hummidallah Idrus.

    Panel itu juga dianggotai oleh hakim mahkamah persekutuan Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Rhodzariah Bujang membenarkan penangguhan sementara menunggu pelupusan pendengaran merit rayuan oleh bekas perdana menteri dan Nazifuddin di Mahkamah Persekutuan.

    “Perintah untuk menggantung pelaksanaan penghakiman terus dibenarkan sementara menunggu pelupusan rayuan kedua-dua perayu di Mahkamah Persekutuan,” kata Tengku Maimun dalam prosiding yang dijalankan melalui sidang video, hari ini.

    Terdahulu, peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee, yang mewakili Najib dan Mohd Nazifuddin memaklumkan kepada panel tiga hakim bahawa LHDN selaku responden tidak membantah permohonan dua beranak itu untuk menggantung pelaksanaan penghakiman terus diperoleh LHDN sementara menunggu rayuan mereka diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

    Perkara itu turut disahkan oleh Peguam Kanan Hasil Al-Hummidallah Idrus mewakili LHDN.

    Pada 10 Mei lepas, Najib dan Mohd Nazifuddin diberi kebenaran oleh Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN memasukkan penghakiman terus itu bagi mendapatkan semula lebih RM1.7 bilion cukai tertunggak daripada mereka.

    Pada 2020, dua Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin, bagi tempoh antara 2011 dan 2017.

    Penghakiman terus adalah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

    Najib dan Mohd Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 9 Sept 2021 untuk mengetepikan penghakiman terus itu.

  • Badan Peguam Malaysia mohon jadi sahabat mahkamah rayuan Najib, Nazifuddin

    Badan Peguam Malaysia mohon jadi sahabat mahkamah rayuan Najib, Nazifuddin

    BADAN Peguam Malaysia memohon untuk menjadi ‘amicus curiae’ atau sahabat mahkamah dalam prosiding kebenaran merayu yang difailkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan anak lelakinya, Datuk Mohd Nazifuddin berhubung pembayaran cukai pendapatan masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Mahkamah Persekutuan.

    Berdasarkan surat bertarikh 13 Okt yang dihantar kepada Mahkamah Persekutuan, Badan Peguam Malaysia memohon mahkamah membenarkan lapan peguamnya diterima masuk sebagai ‘amicus curiae’ bagi mendengar rayuan itu.

    Najib dan Mohd Nazifuddin memfailkan notis usul kepada Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan kebenaran merayu perintah Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan mereka bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pembayaran cukai itu.

    Badan Peguam Malaysia antara lain menyatakan bahawa kes itu melibatkan isu perlembagaan yang penting iaitu sama ada Seksyen 106(3) Akta Cukai Pendapatan 1967 bercanggah atau bertentangan dengan Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan dan memohon peguamnya diterima sebagai ‘amicus curiae’ untuk membentangkan hujahan serta pandangan bagi membantu mahkamah mencapai keputusan sewajarnya.

    Peguam Wee Yeong Kang, yang mewakili Najib dan Mohd Nazifuddin, ketika dihubungi pemberita mengesahkan pihaknya telah menerima surat itu menerusi e-mel hari ini.

    Beliau berkata pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 29 Okt ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Rasidah Roslee.

    Pada 9 Sept lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus bagi menuntut tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin.

    Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan

    Perintah terhadap Najib dan Mohd Nazifuddin dikeluarkan masing-masing pada 22 dan 6 Julai tahun lepas oleh Hakim Datuk Ahmad Bache dan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

    Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

    LHDN, melalui kerajaan Malaysia, turut memfailkan writ saman terhadap Mohd Nazifuddin pada 24 Julai 2019 yang didakwa masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019. – BERNAMA