Tag: Najib Razak

  • Pertikai kelayakan Muhyiddin: Kenapa Najib silap?

    Pertikai kelayakan Muhyiddin: Kenapa Najib silap?

    DALAM satu majlis di Bukit Kepong, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu pemberita Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak layak dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Johor jika Perikatan Nasional menang.

    Alasan Najib yang didapati bersalah atas kesemua tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM 42 juta milik SRC oleh dua buah mahkamah dan empat orang hakim ialah, Muhyiddin sewaktu menjadi PM telah menunjukkan rekod tidak baik dan gagal menguruskan negara.

    Benarkah Muhyiddin menunjukkan rekod tidak baik dan gagal menguruskan negara. Kita telusuri kembali dengan melihat bagaimana Muhyiddin melepaskan jawatan Perdana Menteri pada 16 Ogos 2021.

    Pertama, semua orang tahu Muhyiddin meletakkan jawatan bukan disebabkan rekod tidak baik dan gagal menguruskan negara dan jauh sekali didakwa di mahkamah atas kesalahan rasuah atau salah guna kuasa  

    Sebaliknya meletak jawatan kerana menjunjung tinggi keluhuran perlembagaan dan meletakkan kepentingan rakyat di atas melebihi segalanya.

    Bukan lagi rahsia, peletakkan jawatan itu berpunca daripada kumpulan Ahli Parlimen yang dikaitkan sebagai penyokong Najib dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin. 

    Tidak pernah sekali pun diperkatakan peletakkan jawatan itu kerana rekod tidak baik dan gagal urus negara seperti didakwa Najib.

    Seterusnya, selepas Muhyiddin berundur, tidak ada satu pun langkah memulihkan negara di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dirancang dan diperkenalkan Muhyiddin dan barisan Kabinetnya dihenti mahu pun diubah.

    Sebaliknya diteruskan oleh kerajaan masa kini yang diterajui pemimpin UMNO di mana Najib merupakan penasihat parti tersebut.

    Jika Muhyiddin gagal, sudah tentu PPN dirombak atau dihentikan. Ironinya, Muhyiddin juga kemudian dilantik menerajui Majlis Pemulihan Negara, sebuah organisasi penting yang ditubuhkan Kabinet bagi menjayakan pelan pemulihan negara, sekali gus mencapai objektif Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12)

    Hakikatnya apa yang rakyat termasuk Najib nikmati hari ini, boleh bergerak bebas dengan yakin, menikmati semula pertumbuhan ekonomi adalah hasil daripada kejayaan pentadbiran Muhyiddin sebelum ini.

    Pengenalan pakej-pakej rangsangan ekonomi berbillion ringgit, Pelaksanaan Program Imunisasi Covid Kebangsaan (PICK) dan pengenalan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang selalu dijaja Najib sebagai ‘separuh masak’ adalah kunci kepada kebebasan dan pemulihan ekonomi hari ini.

    Pemulihan ekonomi Malaysia bergerak seiring situasi semasa dengan merekod KDNK 3.1 peratus pada tahun lalu, selari dengan jangkaan sasaran ditetapkan iaitu antara tiga dan empat peratus. 

    Malah, pelaburan terus dari luar negara (FDI) juga meningkat mencecah RM50 bilion untuk tahun 2021 lebih tinggi dari tahun sebelumnya. 

    Tahun ini ekonomi negara diunjur tumbuh antara 5.5 hingga 6.5 peratus seperti diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. 

    Ini fakta ekonomi dan ia selari dengan lain-lain negara yang masih bergelut keluar daripada kesan pandemik Covid-19 yang masih menjadi ancaman termasuk kemunculan varian baharu seperi Omricon.

    Jelas sekali rekod buruk yang digembar-gemburkan Najib satu tuduhan tidak berasas.

    Oleh itu tidak mustahil, tuduhan Najib itu timbul kerana beliau takut jika rakyat Johor betul-betul memberi peluang kepada Perikatan Nasional (PN)  menerajui kerajaan negeri dan Muhyiddin menjadi Penasihat ekonomi maka tembelang Najib selama ini bahawa Muhyiddin dan Kerajaan PN gagal akan pecah.

    Jika bercakap soal rekod Perdana Menteri, sekurang-kurangnya negara sudah pun merasai hasil usaha Muhyiddin melalui PPN. 

    Setakat ini Muhyiddin belum meninggalkan rekod yang merimaskan dan memalukan rakyat. Ini berbeza rekod yang ditinggalkan Najib. 

    Tak fasal-fasal Malaysia malu kerana skandal 1MDB yang dianggap antara skandal kewangan yang menggemparkan dunia. Siapa buat 1MDB? Siapa yang tubuhkan 1MDB? Siapa kawan Jo Lho? 

    Ketika Najib berdegar-degar burukkan Muhyiddin, dunia sedang tekun mengikuti keterangan bekas Eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner dalam  prosiding berkaitan 1MDB di Amerika Syarikat (AS). 

    Macam-macam Leissner dedahkan termasuk nama Najib pun disebut. Inilah rekod ditinggalkan Najib. Najib sepatutnya malu memperkatakan tentang rekod Muhyiddin.

    Artikel dipetik dari portal SatuBerita.

  • Kes SRC: Najib mohon tangguh prosiding rayuan

    Kes SRC: Najib mohon tangguh prosiding rayuan

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memohon menangguhkan prosiding rayuan berkaitan bukti baharu dalam usahanya untuk mengetepikan sabitan dalam kes melibatkan dana SRC International Sdn Bhd, yang dijadualkan pada 15 dan 16 Mac di Mahkamah Persekutuan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul yang mengesahkan perkara itu berkata, peguam Najib telah menghantar surat kepada Mahkamah Persekutuan untuk meminta tarikh perbicaraan rayuan itu dilapangkan.

    “Pasukan pembelaan memohon penangguhan kerana mereka masih berusaha mendapatkan semua nota, bukti dan dokumen daripada perbicaraan SRC di Mahkamah Tinggi, untuk menyediakan penghujahan bertulis bagi rayuan bukti tambahan itu.

    “Bagaimanapun, mahkamah akan memaklumkan secara rasmi keputusan (penangguhan) kepada pihak-pihak terlibat dalam beberapa hari lagi,” katanya kepada media selepas prosiding secara maya yang dijalankan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Siti Hajar Mustaffa.

    Beliau berkata, mahkamah menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 8 April untuk peguam Najib mengesahkan tarikh permohonan Peguam Diraja (QC) akan dibuat.

    Pada 25 Jan, 2022, firma guaman Tetuan Shafee & Co menghantar sepucuk surat enam halaman kepada sekretariat Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berhubung hasrat Najib untuk melantik QC dari United Kingdom bagi membantu bekas perdana menteri itu dalam isu dan persoalan perundangan yang kompleks dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan.

    Pada 7 Dis 2021, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu bagi rayuannya dengan memutuskan bahawa Najib gagal memenuhi Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman secara kumulatif bahawa bukti baharu diperlukan untuk keadilan dalam kes itu.

    Sehari selepas itu, mahkamah sama mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

    Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

    Najib kemudiannya memfailkan notis rayuan dke Mahkamah Persekutuan. – BERNAMA

  • Jho Low senaraikan Najib antara individu perlu disuap – Leissner

    Jho Low senaraikan Najib antara individu perlu disuap – Leissner

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah salah seorang daripada beberapa pegawai kerajaan dari Malaysia dan Abu Dhabi yang disenaraikan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho sebagai individu yang perlu ‘disuap’ bagi membolehkannya mengumpul dan membelanjakan berbilion wang dari dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bekas pegawai bank Goldman Sachs ,Tim Leissner memberitahu mahkamah minggu ini.

    Memetik laporan Malaysia Now, Leissner yang merupakan saksi utama pendakwaan bagi perbicaraan rasuah 1MDB rakan sekerjanya, Roger Ng menjelaskan bagaimana Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low melukis beberapa kotak dalam sekeping kertas di mana setiap kotak itu mewakili pegawai dari Malaysia dan UAE yang perlu disogok.

    Selain Najib, seorang lagi pegawai kanan dalam senarai itu adalah Timbalan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan di mana beliau disifatkan oleh Low sebagai seorang lelaki “yang tidak akan bangun dari katil jika mendengar jumlah wang yang kurang dari AS$100 juta”.

    Leissner seterusnya mengatakan Low juga berkata bayaran sogokan kepada pegawai kanan di Malaysia dan UAE “perlu sama dan harus dilihat sama banyak”.

    “Dalam fikiran saya, ia bermaksud kedua-dua pihak perlu dapat wang sebanyak AS$100 juta,” kata Leissner seperti dilaporkan Bloomberg.

    Leissner adalah pegawai atasan Ng di Goldman sebelum menjadi saksi pendakwaan terhadap kesnya.

    Beliau memberikan keterangan sebagai saksi kerajaan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pengubahan wang haram dan rasuah, sementara Ng tidak mengaku bersalah bersubahat sama ada dalam jenayah pengubahan wang haram atau melanggar undang-undang anti rasuah.

    Pertuduhan itu berpunca daripada skandal kewangan terbesar dalam sejarah di mana pihak pendakwaan AS berkata AS$4.5 bilion dari AS$6.5 bilion yang diperolehi daripada jualan bon 1MDB diselewengkan kepada kakitangan kerajaan dan rakan subahat melalui rasuah dan suapan wang.

    Bercakap mengenai pertemuannya dengan Low pada 2012, Leissner berkata dia dan Ng bersetuju untuk mendiamkan berhubung pembayaran tersebut.

    “Rasuah perlu dibayar untuk bolehkan ia (penyelewengan) berlaku, namun kami sentiasa simpan perkara ini antara kami berdua,” katanya.

    Pemeriksaan balas Leissner di kandang saksi ditangguhkan sehingga minggu depan berikutan beberapa bukti baru dikemukakan oleh pendakwaan.

  • 1MDB dakwa Jho Low pengarah bayangan, proksi Najib

    1MDB dakwa Jho Low pengarah bayangan, proksi Najib

    1MALAYSIA Development Berhad (1MDB) mendakwa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low adalah pengarah bayangan dalam syarikat pelaburan strategik itu kerana beliau proksi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memberi arahan kepada lembaga pengarah dan pengurusan kanan 1MDB.

    1MDB dan empat anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited selaku plaintif menyatakan demikian menerusi jawapan kepada pernyataan pembelaan Jho Low, yang difailkan Tetuan Skrine di Mahkamah Tinggi di sini, pada 23 Feb lepas.

    1MDB mendakwa, Jho Low mempunyai kewajipan fidusiari terhadap plaintif-plaintif dan pada setiap masa material merupakan pemegang amanah kepada aset-aset kesemua plaintif.

    “Pembelaan yang didakwa oleh defendan pertama (Jho Low) bahawa dia tidak pernah mengaku liabiliti dalam prosiding yang difailkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat, kesemuanya adalah tidak relevan,” dakwa 1MDB dalam pernyataan jawapan itu.

    1MDB mendakwa Jho Low telah mendapatkan proksi-proksinya untuk bekerja dalam 1MDB termasuk bekas Pengarah Kewangan 1MDB, Terrence Geh Choh Heng; bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan; bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil.

    “Proksi-proksi tersebut memegang jawatan pengurusan kanan utama dalam plaintif pertama (1MDB) antara lainnya untuk memantau pengurusan dan lembaga pengarah 1MDB, melaksanakan keputusan penting menurut kehendak Jho Low dan Najib bagi memudahkan penggunaan dana plaintif-plaintif dengan niat penipuan Jho Low dan Najib,” dakwa 1MDB dan menambah Najib juga pengarah bayangan 1MDB.

    Menurut 1MDB, Jho Low telah menerima dana milik plaintif-plaintif yang mana beliau mengetahui bahawa dana tersebut milik kesemua plaintif dan wang tersebut telah dipindahkan kepadanya secara pecah amanah dan pelanggaran tugas fidusiari.

    “Tindakan (saman) terhadap Jho Low antaranya untuk pemulihan wang amanah kepunyaan kesemua plaintif yang telah diterima Jho Low yang beliau mengetahui bahawa wang tersebut telah dipindahkan kepadanya secara pecah amanah antara lainnya oleh Najib.

    “Oleh itu, defendan pertama (Jho Low) juga adalah pemegang amanah konstruktif plaintif-plaintif berkenaan dengan wang yang diterima olehnya,” kata 1MDB.

    Selain itu, 1MDB mendakwa, setelah dimaklumkan tentang Memorandum Ernst & Young bertarikh 26 Mac 2010, Najib, ketika itu sebagai pihak pemegang saham tunggal 1MDB, Menteri Kewangan (Diperbadankan) bersama dengan penglibatan Jho Low, mengarahkan penyingkiran Ernst & Young sebagai juruaudit bagi 1MDB melalui surat bertarikh 16 Ogos 2020.

    Menurut 1MDB, tindakan itu untuk menyembunyikan kerugian syarikat itu akibat pelesapan dana secara penipuan dan menghalang siasatan serta penemuan fakta-fakta dan bukti material berkenaan dengan penipuan tersebut.

    “Selain daripada AS$700 juta yang telah diterima oleh Jho Low pada 2009, semua wang telah dibayar kepada Jho Low selepas Mac 2010, oleh itu, ia adalah tidak dapat diterima bahawa kausa-kausa tindakan hanya terakru pada Mac 2010 seperti yang didakwa.

    “Dalam apa jua keadaan, tuntutan plaintif-plaintif adalah termasuk pecah amanah secara penipuan oleh Jho Low dan untuk mendapatkan semula daripadanya harta yang dipegang secara pecah amanah bagi pihak plaintif-plaintif yang telah ditukarkan untuk kegunaannya sendiri,” menurut 1MDB,

    Pada 7 Mei tahun lepas, 1MDB dan empat anak syarikatnya, memfailkan saman terhadap Jho Low, ayah dan ibunya Tan Sri Larry Low Hock Peng dan Puan Sri Goh Gaik Ewe, kakaknya May Lin, adik lelakinya Taek Szen serta rakan sekutunya Eric Tan Kim Loong.

    Berdasarkan writ itu, 1MDB menuntut AS$661 juta daripada Jho Low dan masing-masing AS$41 juta, AS$397 juta, AS$608 juta dan AS$1.9 bilion daripada Jho Low dan Tan serta AS$325 juta daripada Jho Low dan ayahnya.

    1MDB Global Investments Limited pula menuntut AS$630 juta daripada Hock Peng, Jho Low dan Tan serta AS$2 juta daripada Taek Szen, Jho Low dan Tan.

    Plaintif turut menuntut AS$3.5 juta daripada May Lin and Jho Low serta AS$1.695 juta daripada Goh, Jho Low dan Tan berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia selain AS$25.5 juta daripada Jho Low, Tan, Hock Peng dan Taek Szen.

    Jho Low dalam pernyataan pembelaannya mendakwa, beliau tidak mempunyai sebarang jawatan atau kewajipan fidusiari dalam 1MDB serta empat anak syarikatnya dan saman itu harus ditolak kerana gagal menyatakan kausa tindakan yang munasabah berhubung dakwaan pecah amanah atau kewajipan fidusiari.

    Dakwa Jho Low, beliau tidak pernah menjadi pengarah atau pemegang saham dalam 1MDB atau keempat-empat anak syarikatnya, dan juga bukan ahli lembaga penasihat dana kekayaan negara itu atau sebahagian daripada pasukan pengurusan kelima-lima plaintif. – BERNAMA

  • Mahkamah tolak permohonan Najib gantung prosiding saman SRC

    Mahkamah tolak permohonan Najib gantung prosiding saman SRC

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggantung prosiding saman sivil AS$1.18 bilion SRC International Sdn Bhd terhadapnya.

    Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin berkata, Najib, 68, tidak akan diprejudis jika saman itu diteruskan ketika beliau menunggu rayuan kes jenayah membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC di Mahkamah Persekutuan.

    Beliau berkata, mahkamah berpandangan bahawa keputusan rayuan dan permohonan di Mahkamah Persekutuan pada peringkat ini adalah bersifat spekulatif semata-mata.

    “Bagaimanapun, apa jua keputusan (rayuan) di Mahkamah Persekutuan tidak menghalang defendan (Najib) daripada membuat pindaan kepada tuntutannya, tertakluk kepada permohonan yang dibuat dan pendedahan pernyataan pembelaan juga tidak akan memprejudis defendan.

    “Permohonan untuk menggantung prosiding semasa sehingga tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi defendan diputuskan juga tidak dibenarkan kerana garis masa belum ditentukan. Justeru, Mahkamah berpandangan pengurusan saman ini perlu diteruskan dan adalah penting defendan memfailkan pembelaan bagi memastikan saman ini berjalan dengan efisien,” katanya pada prosiding yang berlangsung secara maya hari ini.

    Mahkamah kemudian menetapkan 24 Feb ini untuk pengurusan lanjut kes itu dan Najib turut diarah memfailkan pernyataan pembelaannya menjelang 31 Mac depan.

    Peguam Harvinderjit Singh hadir bagi pihak Najib manakala Datuk DP Naban mewakili SRC, yang merupakan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Semasa prosiding sebelum ini, Harvinderjit berhujah bahawa Najib ingin menangguhkan prosiding saman itu sehingga pelupusan penuh kes jenayah membabitkan RM42 juta dana SRC yang kini di peringkat akhir di Mahkamah Persekutuan selain tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana syarikat itu di Mahkamah Tinggi.

    Pada 7 Mei tahun lepas, SRC di bawah pengurusan baharunya, memfailkan saman terhadap Najib serta bekas-bekas pengarah syarikat itu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail.

    Bagaimanapun, syarikat itu kemudian menggugurkan keenam-enam nama daripada saman tersebut dan hanya mengekalkan Najib sebagai defendan.

    SRC mendakwa, Najib telah menyalah guna kuasanya dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan.

    Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

    SRC, yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan selain faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    Pada 7 Dis tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC selepas menolak rayuan beliau terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

    Pada hari sama, Najib memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan. – BERNAMA

  • Dihalang lupus aset: Najib mohon ketepi injunksi mareva

    Dihalang lupus aset: Najib mohon ketepi injunksi mareva

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan permohonan untuk mengetepikan injunksi mareva yang diperoleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan satu daripada anak syarikatnya untuk menghalangnya daripada melupuskan atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia sehingga AS$681 juta.

    Najib, 69, memfailkan permohonan itu melalui peguamnya Tetuan Shafee & Co, Jumaat lepas.

    Semasa prosiding di Mahkamah Tinggi semalam, Pesuruhjaya Kehakiman Atan Mustaffa Yussof Ahmad menetapkan 6 Mei untuk mendengar permohonan Ahli Parlimen Pekan itu dan melanjutkan injunksi itu sehingga perbicaraan.

    Peguam dari firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership, yang mewakili 1MDB, ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu.

    Pada 8 Feb, Atan Mustaffa membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) bagi injunksi mareva oleh 1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited), yang masing-masing merupakan plaintif pertama dan kelima, dalam saman 1MDB terhadap Najib dan beberapa orang lagi.

    Injunksi tersebut juga mengehadkan Najib mengeluarkan wang tidak melebihi RM100,000 sebulan yang diperlukannya untuk perbelanjaan sara hidup serta perbelanjaan guaman.

    Bagaimanapun, sekiranya beliau memerlukan lebih daripada jumlah itu, beliau perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam1MDB dan Global Diversified.

    Injunksi mareva adalah perintah menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara menunggu penyelesaian tindakan undang-undang.

    Perintah itu juga menyatakan, Najib mesti membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung asetnya sehingga pada nilai US$681 juta, sama ada di dalam atau di luar negara, sama ada di bawah namanya sendiri atau tidak, dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama defendan lain.

    Beliau dikehendaki memberikan nilai, lokasi serta segala maklumat aset dan maklumat itu perlu disahkan melalui suatu afidavit dan disampaikan kepada peguam plaintif pertama dan kelima.

    Sekiranya keseluruhan nilai bebas daripada gadaian atau apa-apa sekuriti asetnya di negara ini melebihi AS$681 juta, Najib boleh mengalihkan atau melupuskan aset itu asalkan jumlah nilai tanpa beban kekal berjumlah tidak kurang daripada AS$681 juta.

    Perintah itu juga menyatakan bahawa mana-mana individu dalam prosiding itu atau sebaliknya, yang dimaklumkan mengenai perintah berkenaan tidak seharusnya membantu atau membenarkan pelanggaran perintah, dan mereka boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah jika berbuat demikian.

    Dalam saman itu, 1MDB, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified selaku plaintif manakala Najib, Terrence Geh Choh Heng (bekas Pengarah Kewangan 1MDB), Jasmine Loo Ai Swan (bekas peguam 1MDB), Casey Tang Keng Chee (bekas Pengarah Eksekutif 1MDB), Vincent Beng, Radhi Mohamad (Ketua Pegawai Operasi 1MDB) dinamakan sebagai defendan.

    Turut dinamakan sebagai defendan ialah Kelvin Tan Kay Jim (bekas Pengarah Pelaburan) dan Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd).

    Saman AS$8 bilion itu adalah satu daripada 22 saman sivil yang difailkan untuk menuntut lebih AS$23 bilion bagi pihak 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International terhadap beberapa individu yang didakwa terlibat dalam skandal kewangan itu. – BERNAMA

  • Tun M ikrar terus meratib nama Najib,  halang ‘penyamun tongong’ berkuasa semula

    Tun M ikrar terus meratib nama Najib, halang ‘penyamun tongong’ berkuasa semula

    PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa beliau akan terus meratib nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau sesiapa sahaja yang cuba merosakkan negara dan menipu rakyat.

    Beliau menyatakan pendirian itu dalam surat kedua yang ditujukan kepada pengundi di Johor hari ini.

    Dalam surat yang turut disiarkan dalam laman Facebook miliknya, Dr Mahathir berkata, surat khabar luar negara menggelarkan Najib sebagai ‘plundering idiot’ atau seperti yang dikatakan oleh Ahli Parlimen Langkawi itu, ‘penyamun tongong’.

    Beliau menambah, Mahkamah Rayuan pula menghukum Najib sebagai ‘national embarassment’ atau orang yang memalukan negara.

    “Walaupun begita, Najib masih tidak malu dan sedang berusaha untuk mendapat kembali kekuatan politik. Dia percaya dengan memegang kembali kuasa politik, dia dapat lepas diri dari hukuman.

    “Dia perlu disekat kerana jika dia kembali berkuasa, ini bermakna negara akan dikuasai dan ditadbir oleh seorang kleptokrat dari kluster mahkamah untuk disamun dan dirompak,” kata bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu.

    Dr Mahathir memberitahu, tiada dendam peribadi antara beliau dan Najib.

    Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa adik Najib iaitu Tan Sri Nazir Razak sendiri telah menemuinya ketika skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memuncak.

    Dr Mahathir mendakwa, Nazir meminta beliau melakukan sesuatu kerana wang berbilion telah hilang dan keadilan belum lagi dicapai terhadap jenayah yang telah dilakukan.

    “Tan Sri Nazir menulis panjang lebar mengenai skandal 1MDB dan jenayah-jenayah yang dilakukan oleh abangnya.

    “Tulisan Nazir disebabkan perasaan malu keluarganya begitu bersalah,” jelasnya.

    Beliau berkata, banyak lagi yang didedahkan oleh Nazir yang mendedahkan skandal Najib secara terperinci.

    Dr Mahathir memberitahu, beliau sebenarnya berasa amat malu meratib nama Najib.

    “Dia memalukan negara, bangsa dan agama. Malangnya dia sendiri tidak malu malahan berpura-pura seolah-olah dia teraniaya termasuk oleh saya.

    “Dia berharap rakyat Malaysia akan percaya dia tidak bersalah dan sebenarnya adalah mangsa penganiayaan saya dan musuh-musuh politiknya.

    “Ada yang terpengaruh dan percaya dan tampil mempertahankannya malah sanggup memanggilnya Boss, cium tangannya,” katanya.

    Dr Mahathir menjelaskan, sebelum skandal 1MDB berlaku, beliau menyokong Najib malah memberi tekanan kepada Tun Abdullah Badawi ketika menjadi Perdana Menteri itu lambat melantik Najib sebagai timbalannya.

    “Akhirnya Abdullah lantik Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

    Dr Mahathir mengakui, selain percaya Najib layak memegang jawatan tersebut, beliau terhutang budi dengan bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein kerana membantu kerjaya politiknya.

    “Malangnya, Najib bukan seperti bapanya. Tun Razak seorang nasionalis dan pejuang bangsa yang bermaruah.

    “Najib pula curi harta negara dengan bantuan Jho Low,” jelasnya yang turut mengucapkan terima kasih kepada Najib yang mendoakan kesembuhannya semasa beliau menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini.

    Dalam surat kepada pengundi Johor sebelum ini, Dr Mahathir menyifatkan Najib sebagai seorang individu yang tidak tahu malu walaupun mahkamah telah mendapatinya bersalah.

    Najib menyindir kembali Dr Mahathir dengan menyatakan, apabila Pengerusi Pejuang itu meratib namanya, ia bermakna beliau benar-benar sudah sembuh.

  • RM9.5 juta diterima Shafee daripada Najib bukan pinjaman

    RM9.5 juta diterima Shafee daripada Najib bukan pinjaman

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa dua keping cek bernilai RM9.5 juta yang diterima peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada Datuk Seri Najib Tun Razak bukan satu pinjaman.

    Bekas pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad, sebaliknya berkata, berdasarkan dokumen dan fakta diperoleh semasa siasatan, wang itu adalah bayaran pendahuluan bagi perkhidmatan guaman diberikan Muhammad Shafee kepada bekas perdana menteri itu.

    “Untuk mengatakan ia satu pinjaman adalah satu kesalahan dan boleh menyebabkan ramai akan menukar invois masing-masing kepada pinjaman bagi elak bayar cukai,” katanya.

    Saksi pendakwaan ketujuh itu berkata demikian semasa disoal balas peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee pada perbicaraan kes peguam itu yang didakwa menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib dan dua pertuduhan membuat penyataan palsu kepada LHDN.

    Terdahulu, Harvinderjit merujuk kepada saksi berkenaan surat antara Muhammad Shafee dan Najib yang menyatakan bahawa bayaran upah guaman hanya akan ditentukan selepas semua kes berkaitan petisyen pilihan raya selesai.

    Berdasarkan surat bertarikh 12 Sept 2013, RM9.5 juta merupakan bil guaman dikenakan oleh firma Shafee & Co, kebanyakannya bagi 46 kes membabitkan petisyen pilihan raya yang Muhammad Shafee bertindak sebagai peguam bagi pihak UMNO dan Barisan Nasional (BN).

    Surat itu turut menyatakan Muhammad Shafee memohon Najib untuk mengeluarkan cek bernilai RM4.3 juta atas namanya sebagai pendahuluan atau pinjaman sebelum bil akhir dikeluarkan untuk kegunaan segera tertuduh selain peguam itu turut memohon sekeping lagi cek bernilai RM5.2 juta dikeluarkan bagi tujuan serupa.

    Cek berjumlah RM9.5 juta yang dimasukkan ke akaun peribadi Muhammad Shafee merupakan jumlah selepas potongan bayaran asal RM11.5 juta.

    Ditanya Harvinderjit sama ada saksi itu bersetuju bahawa sekiranya wang RM9.5 juta yang diterima Muhammad Shafee adalah satu pinjaman, ia tidak perlu dilaporkan kepada LHDN sebagai cukai pendapatan, Syed Nasrul Fahmi menjawab “setuju”.

    Berdasarkan pernyataan saksi, Syed Nasrul Fahmi berkata, Muhammad Shafee gagal melaporkan pendapatan RM9.5 juta yang diterima peguam itu kepada LHDN.

    Saksi itu berkata, pada ruangan pendapatan tahun kebelakangan yang belum dilaporkan di Borang B Bagi Tahun Taksiran 2013 dan 2014, mendapati Muhammad Shafee tidak pernah melaporkan pendapatan tersebut.

    “Tan Sri Shafee telah ingkar mengemukakan borang tersebut mengikut Seksyen 77 (1) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967. Borang itu lewat dikemukakan iaitu lebih kurang sembilan bulan daripada tarikh 30 Jun 2014 dan beliau hanya melaporkan pendapatan perniagaan sebanyak RM3,173,007 dan membayar cukai sebanyak RM264,720.10 bagi Tahun Taksiran 2013 itu,” katanya.

    Syed Nasrul Fahmi berkata, Borang B Tahun Taksiran 2014 pula perlu dikemukakan kepada LHDN pada 30 Jun 2015 dan LHDN menerimanya pada 29 Jun 2015.

    “Beliau (Muhammad Shafee) hanya melaporkan pendapatan perniagaan sebanyak RM3,391,108 dan membayar cukai RM319,959.96 bagi Tahun Taksiran 2014 tersebut,” katanya.

    Menurut Syed Nasrul Fahmi, terdapat peninggalan khusus bagi Tahun Taksiran 2013 berkaitan penerimaan bayaran sebanyak RM9.5 juta daripada Najib, dibayar dalam dua cek iaitu RM4.3 juta yang dikeluarkan pada September 2013 dan RM5.2 juta pada Februari 2014.

    “Berdasarkan kepada dokumen dikemukakan oleh pembayar cukai (Muhammad Shafee), penerimaan bayaran RM9.5 juta adalah berkaitan bayaran ke atas perkhidmatannya sebagai peguam kepada pihak UMNO dan BN berhubung 46 kes pilihan raya yang dikendalikan oleh beliau pada 2004 dan 2006,” katanya.

    Saksi itu berkata, berdasarkan kepada peruntukan perundangan tersebut dan merujuk kepada dokumen berkaitan bayaran RM9.5 juta yang diterima Muhammad Shafee, ia merupakan suatu pendapatan diterima daripada aktiviti perniagaan dengan memberi perkhidmatan guamannya.

    “Pendapatan tersebut adalah tertakluk kepada pengenaan cukai di bawah Seksyen 4 (a) ACP 1967. Pendapatan RM9.5 juta itu adalah terakru pada Tahun Taksiran 2013 dan Tan Sri Shafee telah gagal melaporkan pendapatan tersebut dalam tahun taksiran berkenaan,” katanya.

    Muhammad Shafee didakwa menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh Najib, yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

    Muhammad Shafee didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 Sept 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Feb 2014.

    Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram, iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung 22 Feb ini. – BERNAMA

  • Najib tak tahu malu walaupun didapati bersalah – Dr Mahathir

    Najib tak tahu malu walaupun didapati bersalah – Dr Mahathir

    Oleh DR MAHATHIR MOHAMAD

    Apabila Najib ditegur kerana menyalah guna kuasa dan mencuri duit Kerajaan, dia akan cuba alih perhatian dari kesalahannya dengan menuduh bahawa saya sebagai Perdana Menteri juga berbuat perkara yang sama.

    Semasa dia menjadi Perdana Menteri satu Royal Commission of Inquiry (RCI) ditubuh untuk menyiasat kononnya saya sembunyi kehilangan 30 bilion ringgit oleh Bank Negara. Tetapi RCI tidak dapat bukti yang saya sembunyi kehilangan ini. Bank Negara tidak dikehendaki lapor kepada saya akaun Bank Negara. Adalah mustahil bank melapor kehilangan 30 bilion dan meminta saya rahsiakan kehilangan ini. Akaun Bank Negara diaudit dan audit tentu dapat kesan yang bank telah sembunyi kehilangan ini jika benar dan akan lapor. Jika tidak pihak audit tentu bersalah jika tidak melapor kehilangan ini.

    Sementara Najib didapati memasuk wang dalam akaunnya, tidak ada satu sen pun dari wang yang dikatakan disembunyi masuk akaun saya.

    Akhirnya Najib didapati bersalah kerana bukti menunjuk yang ia mempunyai hampir satu bilion dalam akaunnya. Dan dia dihukum penjara 12 tahun dan denda 210 juta ringgit.

    Tidak ada persamaan antara jenayah yang dilaku oleh Najib dengan kononnya saya sembunyi kehilangan duit Bank Negara sebanyak 30 bilion ringgit.

    Dia merayu kepada Mahkamah Rayuan (Appeal Court) tetapi Appeal Court bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Najib bersalah dan hukuman jel 12 tahun serta denda 210 juta yang dikena kepada Najib diteruskan.

    Sekarang Najib cuba burukkan nama saya kerana semasa dalam parti lawan saya menolak projek Forest City di Johor. Projek ini bertujuan membangunkan sebuah bandar mewah dalam Selat Tebrau dengan menebus guna tanah.

    Perancangan yang dilulus ialah untuk bangun bandar mewah yang mampu dibeli hanya oleh jutawan dari negara China. Pemilikan tanah adalah secara kekal. Bandar ini pula akan diberi taraf bebas cukai. Walaupun penduduk bukan warganegara Malaysia tetapi mereka bebas ke tanah besar Malaysia atau ke Singapura.

    Saya telah lawat projek ini. Pekerjanya kebanyakan dari China. Berduyun-duyun pelawat datang dari China semasa saya buat lawatan. Mereka datang untuk membeli rumah-rumah mewah yang akan dibina. Pelawat warga Malaysia tidak pun sampai dua puluh. Mereka adalah pelancong yang ingin lihat taman yang cantik yang sudah siap dibina.

    Seperti biasa jika projek ini ditamatkan oleh Kerajaan PH ganti rugi beberapa bilion ringgit perlu dibayar. Kerana Najib telah hutang berbilion ringgit, Kerajaannnya terpaksa mendapat bantuan swasta sebanyak dua bilion untuk bayar faedah hutang. Yang mampu dibuat oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ialah menasihat Country Garden supaya rumah kos rendah yang boleh dibeli oleh orang Melayu dan Cina Malaysia perlu disediakan. Country Garden akur.

    Zuraida Kamaruddin, sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengadakan majlis perasmian Dasar Komuniti Negara pada 17 Februari 2019. Saya dijemput untuk sampaikan sijil kepada antara lain Forest City kerana mengubah perancangan mengikut kehendak Kerajaan Malaysia. Ia bukan pengiktirafan projek Forest City yang telah pun dilulus oleh Kerajaan Najib Razak.

    Berkenaan dengan projek Keretapi Pantai Timur, sekali lagi ia tidak dapat ditamat kerana perjanjian telah dibuat. Yang boleh ialah mengurang kos projek. Kerajaan PH dapat selamatkan 20 bilion ringgit melalui rundingan dengan pihak kontraktor.

    Hasil dari pemerintahan Kerajaan Najib hutang negara melebihi satu trilion ringgit. Masih ada tuduhan yang Najib telah seleweng berbilion ringgit lagi dari wang 1MDB. Najib juga dapat 150 juta ringgit yang dirampas di Pavillion yang dipercayai milik 1MDB.

    Tetapi mahkamah buat keputusan untuk beri balik kepada Najib wang ini dan lain-lain barang kerana orang ramai diberitahu Kerajaan tidak dapat bukti yang duit ini duit 1MDB, iaitu duit Kerajaan.

    Tentulah jelas Najib memiliki berbilion ringgit. Tetapi Najib masih buat permohonan supaya dihadiah tanah dan rumah yang bernilai RM100 juta. Najib sendiri pilih tanah ini.

    Selain dari membeban Kerajaan sekarang dan akan datang dengan hutang berbilion ringgit apakah yang dilakukan oleh Najib yang melayakkannya diberi hadiah RM100 juta ringgit.

    Perdana Menteri lain tidak diberi hadiah oleh Kerajaan sebanyak ini. Hingga sekarang Kerajaan belum batal keputusan Kabinet untuk memberi hadiah ini. Najib kononnya tolak tetapi ia tetap akan terima akhirnya.

    Sesuatu yang sudah hilang di Malaysia ialah perasaan malu. Najib tidak malu dan ramai penyokongnya tidak malu apabila disogok, apabila didapati bersalah. Nilai hidup yang hodoh ini jelas ternampak apabila penyokong Najib berkata, “Apa perlu malu, (Najib) boss kita.” Dengan itu diciumlah tangan Najib, pencuri Melayu Islam.

    Penulis ialah Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

  • Mahkamah keluar injunksi beku aset Najib hingga AS$681 juta

    Mahkamah keluar injunksi beku aset Najib hingga AS$681 juta

    1MALAYSIA Development Bhd (1MDB) dan satu anak syarikatnya memperoleh perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menghalang Datuk Seri Najib Tun Razak melupus atau mengurangkan nilai mana-mana aset miliknya di Malaysia sehingga AS$681 juta.

    Berdasarkan dokumen yang diperoleh media, injunksi tersebut juga mengehadkan Najib mengeluarkan wang tidak melebihi RM100,000 sebulan yang diperlukannya untuk perbelanjaan sara hidup serta perbelanjaan guaman.

    Sekiranya Najib memerlukan lebih daripada jumlah tersebut, beliau perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited (sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited).

    Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Atan Mustaffa Yussof Ahmad dalam prosiding dalam talian semalam selepas membenarkan permohonan injunksi mareva ex-parte (sebelah pihak) yang dipohon 1MDB dan Global Diversified yang merupakan plaintif pertama dan kelima dalam kes saman 1MDB terhadap Najib dan beberapa yang lain.

    Injunksi mareva adalah perintah menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara kes sedang berjalan.

    Perintah itu juga menyatakan, Najib mestilah membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung asetnya sehingga pada nilai US$681 juta sama ada di dalam atau di luar negara, sama ada di bawah namanya sendiri atau tidak, dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama defendan lain.

    Beliau hendaklah memberikan nilai, lokasi serta segala maklumat aset dan maklumat itu perlu disahkan melalui suatu afidavit dan disampaikan kepada peguam plaintif pertama dan kelima.

    Jika keseluruhan nilai bebas daripada gadaian atau apa-apa sekuriti asetnya di negara ini melebihi jumlah AS$681 juta, Najib boleh mengalihkan atau melupuskan aset itu asalkan jumlah nilai tanpa beban kekal berjumlah tidak kurang daripada AS$681 juta.

    Perintah tersebut juga menyatakan bahawa mana-mana individu dalam prosiding ini atau sebaliknya, yang dimaklumkan mengenai perintah berkenaan tidak seharusnya membantu atau membenarkan pelanggaran perintah di mana mereka boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah jika berbuat demikian.

    Perintah itu berkuat kuasa sehingga mahkamah mendengar permohonan injunksi inter-parte (dua pihak) pada 21 Feb.

    Seorang peguam Tetuan Skrine yang mewakili 1MDB ketika dihubungi mengesahkan keputusan mahkamah itu.

    Dalam saman itu, 1MDB, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited selaku plaintif manakala Najib, Terrence Geh Choh Heng (bekas Pengarah Kewangan 1MDB), Jasmine Loo Ai Swan (bekas Peguam 1MDB), Casey Tang Keng Chee (bekas Pengarah Eksekutif 1MDB), Vincent Beng, Radhi Mohamad (Ketua Pegawai Operasi 1MDB) sebagai defendan.

    Turut dinamakan sebagai defendan iaitu Kelvin Tan Kay Jim (bekas Pengarah Pelaburan) dan Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd).

    Saman AS$8 bilion itu adalah satu daripada 22 saman sivil yang difailkan untuk menuntut lebih AS$23 bilion bagi pihak 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International terhadap beberapa individu yang didakwa terlibat dalam skandal kewangan itu. – BERNAMA