Tag: Nahas Hawk TUDM

  • Ikmal Hisham ziarah keluarga Allahyarham Kapten Affendi

    Ikmal Hisham ziarah keluarga Allahyarham Kapten Affendi

    KEBAJIKAN keluarga pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy yang terkorban dalam nahas pesawat Hawk 16 November lalu diberi keutamaan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menziarahi keluarga Allahyarham di Taman Redan Perdana, Muadzam Shah.Pahang, semalam.

    Kementeriaan Pertahanan dalam kenyataan media berkata, Ikmal Hisham telah bertemu dengan balu Allahyarham, Nurul ‘Izati Shari serta kedua ibu bapa Allahyarham, Bustamy Tuahara dan Siti Razilah Daud bagi menzahirkan rasa simpati beliau di atas insiden yang telah berlaku.

    Beliau turut menyampaikan salam takziah daripada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan pucuk pimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan.

    Semasa lawatan itu juga, Ikmal Hisham telah menyampaikan sumbangan peribadi ikhlas daripada Menteri Kanan Pertahanan dan sumbangan peribadi daripada beliau sendiri kepada balu dan keluarga Allahyarham.

    Selain itu, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad turut menyampaikan sumbangan dari Yayasan Veteran ATM kepada balu Allahyarham.

    Di akhir lawatan, Ikmal Hisham dan delegasi juga telah meluangkan masa bersama-sama keluarga Allahyarham untuk menyempurnakan Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil untuk Allahyarham.

    Lawatan ini adalah sebagai tanda keprihatinan Kementerian Pertahanan terhadap insiden kemalangan yang telah menimpa Allahyarham Mohamad Affendi.
    Kebajikan keluarga anggota ATM sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Pertahanan dan akan memastikan keluarga Allahyarham diberikan bantuan dengan sewajarnya.

    Yang turut hadir, delegasi lawatan adalah Asisten Ketua Staf Tadbir Markas Tentera Udara, Brigadier Jeneral Mohd Suhaimi Sahri.

  • Nahas Hawk TUDM: Kapten Mohamad Affendi maut, Mejar Mohd. Fareez cedera

    Nahas Hawk TUDM: Kapten Mohamad Affendi maut, Mejar Mohd. Fareez cedera

    ANGGOTA Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut dalam nahas pesawat Hawk 108 yang terhempas ketika sedang melakukan latihan penerbangan di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang disahkan sebagai Kapten Mohamad Affendi Bustamy.

    Sementara itu, seorang lagi mangsa dalam kejadian kira-kira pukul 10.07 malam tadi itu ialah Mejar Mohd. Fareez Omar yang cedera dan kini sedang diberikan rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) namun berada dalam keadaan selamat dan stabil. 

    Dalam pada itu, Timbalan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Asghar Khan Goriman Khan berkata, TUDM akan menjalankan siasatan teknikal dan terperinci berhubung insiden terbabit.

    “Kita akan buat siasatan terperinci,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita di pekarangan HSJ awal pagi tadi.

    Terdahulu, beliau tiba di HSJ pukul 1.52 pagi dan meluangkan masa hampir 20 minit melawat Mohd. Fareez.

    Sementara itu, beberapa portal berita yang memetik kenyataan saksi melaporkan terdengar dua letupan kuat seperti letupan bom sebelum melihat api marak di atas landasan di Pangkalan Udara berkenaan ketika nahas berlaku.

    Peniaga kedai makan di Kampung Benggali, Sungai Puyu, Butterworth, Mastura Mohammad Nordin, 44, berkata, dia mendengar deruan pesawat yang agak kuat berbanding kebiasaan kerana kedainya terletak berdekatan pangkalan udara itu.

    “Saya sudah biasa dengar bunyi enjin pesawat kerana gerai makanan saya terletak berhampiran pangkalan udara itu, tetapi bunyi enjin malam tadi agak berbeza sebelum saya dikejutkan dengan letupan kuat di landasan berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita.