Tag: Myvi

  • Myvi bertembung treler, tiga nyawa melayang

    Myvi bertembung treler, tiga nyawa melayang

    TIGA individu maut apabila kereta Perodua Myvi dinaiki dipercayai bertembung dengan sebuah treler di hadapan Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah, Hulu Selangor, awal pagi tadi.

    Mangsa yang maut dikenali sebagai B Janani Sri, 25, PS Thamilselvam, 25, dan PS Sasitaran,18.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.30 pagi.

    “Sebaik tiba, pasukan penyelamat mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Perodua Myvi dan treler yang dipercayai telah bertembung.

    “Kereta berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Rawang ke Serendah manakala treler datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kesemua mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu treler berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. – BERNAMA

  • Pemandu Myvi hayun kayu ada kaitan kes curi kenderaan

    Pemandu Myvi hayun kayu ada kaitan kes curi kenderaan

    PEMANDU kereta Perodua Myvi yang ditahan kerana melakukan provokasi serta menghalang pemandu lain di jalan raya Isnin lepas ditahan semula berhubung kes mencuri kenderaan di sekitar Lembah Klang dan Johor.

    Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan semalam pada 4.05 petang di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sentul.

    “Penangkapan pemandu kereta Perodua Myvi itu berjaya menyelesaikan kes kecurian kenderaan yang dilaporkan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Johor,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Susulan penangkapan itu, polis telah merampas satu kunci kereta berlambang Perodua bersama alat kawalan jauh, sebuah kereta Perodua Myvi putih bernombor pendaftaran PGT124 yang disahkan palsu dan sebilah rotan berukuran 90 sentimeter.

    Polis turut merampas dua rangkai kunci motosikal berlambang Yamaha dan tiga motosikal dengan nombor pendaftaran palsu iaitu Yamaha Ego Avantiz (JFV124), Yamaha Nouvo LC (MALAYSIA124) dan KTM 790 Adventure (QQ124) serta serangkai kunci berlambang KTM.

    Beh berkata, lelaki itu ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad untuk siasatan lanjut.

    “Semakan rekod mendapati suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau melibatkan penyalahgunaan dadah,” katanya.

    Isnin lepas, pemandu terbabit ditahan selepas tular di media sosial apabila video berdurasi 27 saat dimuat naik melalui laman Facebook ‘Inforoadblock’ memaparkan kejadian memandu secara berbahaya dan ugutan menggunakan sebatang kayu di Jalan MRR2 berhampiran Taman Layang-Layang di Kuala Lumpur. – BERNAMA

  • [VIDEO] Pandu bahaya, hayun kayu, apa masalah pemandu Myvi ini?

    [VIDEO] Pandu bahaya, hayun kayu, apa masalah pemandu Myvi ini?

    ENTAH apa masalah seorang pemandu Perodua Myvi berwarna putih yang memandu secara berbahaya serta menghayun sebatang kayu di Jalan Lingkaran Tengah 2 (JLT2) Kuala Lumpur.

    Memetik laporan FMT, dia secara tiba-tiba menekan brek kenderaannya sedikit demi sedikit di hadapan kereta lain sehingga hampir menyebabkan berlaku perlanggaran.

    Kejadian dikatakan berlaku berhampiran Taman Layang-layang, Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis telah menerima laporan tentang kejadian daripada seorang lelaki pada pukul 9 malam semalam.

    “Suspek mengeluarkan sebatang kayu panjang melalui tingkap keretanya sambil menjerit-jerit, namun mangsa tidak pasti apa yang dituturkan lelaki itu.

    “Mangsa mengabaikan perkara itu dan meneruskan pemanduan seperti biasa, namun kejadian yang dialami mendatangkan kegusaran kepadanya,” katanya dalam kenyataan.

    @utusantvofficial

    Reply to @wancarlos . Ye betul Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik KL sahkan nombor palsu. #beritaditiktok #fyp #TrendingNewsMalaysia

    ♬ original sound – UtusanTV – UtusanTV

    Eng Lai berkata, polis kini sedang mengesan suspek dalam video dirakam mangsa untuk membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Ahmad Syukor di talian 012-76774731 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222,” katanya.