Tag: MyCC

  • Kartel ayam: 5 pengeluar diberi lanjutan masa kemuka representasi

    Kartel ayam: 5 pengeluar diberi lanjutan masa kemuka representasi

    LIMA syarikat pengeluar ayam diberi lanjutan masa sehingga 19 Dis depan untuk mengemukakan representasi, bagi menafikan dakwaan penglibatan mereka dalam aktiviti kartel ayam di negara ini.

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata lima syarikat tersebut yang beroperasi di Pantai Barat sebelum ini, telah diberi arahan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk mengemukakan representasi pada 21 Okt, namun dilanjutkan atas beberapa faktor termasuk keadaan kes yang kompleks.

    “MyCC telah menjalankan siasatan terperinci dan mendapati terdapat bukti atau unsur-unsur penglibatan mereka dalam aktiviti kartel ayam.

    “Bagaimanapun atas permintaan mereka (syarikat) dan selepas membuat beberapa pertimbangan, MyCC bersetuju memberi tempoh lanjutan untuk kemukakan bukti-bukti penafian, memandangkan ia kes yang kompleks,” katanya selepas Program ‘CA2010@University’ bersama MyCC dan sesi dialog program Food Bank Malaysia bersama mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, hari ini.

    Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniSZA Datuk Prof Madya Dr Mohd Hafiz Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Iskandar Ismail dan Ketua Pusat Kebudayaan dan Kesenian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT Badruhisham Darus.

    Pada majlis itu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), turut mengagihkan sebanyak 300 kotak sumbangan barang keperluan kepada pelajar UniSZA dan UMT.

    Dalam perkembangan lain Rosol berkata pihaknya ada menerima aduan berkaitan kenaikan harga tiket kapal terbang, terutama yang melibatkan destinasi Sabah dan Sarawak.

    Beliau berkata walaupun kawalan harga tiket itu bukan di bawah tanggungjawab KPDNHEP, pihaknya akan bekerjasama dengan cara menyalurkan aduan berkenaan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT).

    “Kita harap pihak berkaitan membuat siasatan dan mengambil tindakan segera, supaya isu ini tidak menghalang rakyat menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi.

    “Segala masalah pengguna akan lapor melalui kita (KPDNHEP). Masalah yang mereka kemukakan ini kita akan salur kepada kementerian untuk bantu rakyat,” katanya. – BERNAMA

  • Kartel ayam: MyCC nafi siasat ahli politik

    Kartel ayam: MyCC nafi siasat ahli politik

    SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) menafikan bahawa pihaknya sedang menyiasat ahli politik tertentu berhubung siasatan terhadap industri ayam.

    Menegaskan pihaknya memandang serius penyebaran maklumat tidak tepat dan mengelirukan, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, siasatan berkaitan perkara itu sedang berjalan lancar dan hanya menumpukan kepada sekumpulan pemain industri ayam dengan tingkah laku mereka mungkin menimbulkan isu persaingan tertentu di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.

    “Anggapan bahawa MyCC sedang menyiasat ahli politik tertentu adalah spekulasi semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, terdapat juga kekeliruan dalam kalangan orang ramai mengenai definisi ‘kartel’ di bawah Akta Persaingan 2010.

    “Kartel dibentuk melalui perjanjian sulit antara pesaing-pesaing dalam pasaran sama. Sebelum mana-mana kartel boleh dibentuk, perlu ada sekurang-kurangnya dua pesaing yang bersetuju bersekongkol untuk tidak bersaing dalam pasaran berkaitan. Biasanya, kumpulan pesaing ini telah bersetuju, antara lain, untuk menetapkan harga produk mereka pada harga yang sama, atau membahagikan pasaran mereka, atau mengehadkan pengeluaran mereka,” katanya.

    Iskandar berkata, kartel bukanlah monopoli dan begitu juga sebaliknya dengan monopoli adalah satu perusahaan yang mempunyai kawalan sepenuhnya dalam sesuatu pasaran produk atau perkhidmatan.

    “Jika terdapat lebih daripada seorang pemain dalam pasaran tersebut, satu atau lebih daripada satu perusahaan boleh berada dalam kedudukan dominan jika mereka memegang lebih kurang 60 peratus pasaran. Oleh itu, percubaan untuk menyamakan kartel dan monopoli sebagai satu konsep yang sama adalah salah sama sekali,” katanya.

    Beliau berkata, sehubungan itu, MyCC berharap orang ramai dan rakan-rakan media memahami kerumitan penyiasatan yang melibatkan ramai pemain dalam rantaian bekalan yang luas dengan pelbagai subsektor.

    “Penyiasatan yang teliti dan terperinci diperlukan dan ia mungkin mengambil masa. Kami menggalakkan pihak yang merasakan mereka terlibat dalam amalan kartel dalam industri ayam datang ke MyCC untuk memohon kelonggaran di bawah Seksyen 41 Akta Persaingan 2010 sebelum mereka disiasat,” katanya yang menggesa semua pihak supaya berhenti daripada membuat sebarang spekulasi bagi mengelak gangguan terhadap penyiasatan MyCC dan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

    MyCC turut menggalakkan perusahaan, pihak berkepentingan yang berkaitan dan orang ramai untuk tampil ke hadapan dalam membantu MyCC dengan pihak yang berminat dinasihatkan menghubungi MyCC di talian 03-2273 2277 (IED) atau emel di [email protected].

    Media tempatan sebelum ini melaporkan campur tangan politik sejak sekian lama dalam isu membabitkan dominasi kartel dalam industri penternakan ayam di seluruh negara menyebabkan pihak terbabit terus bermaharajalela.

    Laporan media berkenaan turut mendedahkan bahawa kartel turut menguasai pasaran harian berjumlah 1.5 juta ekor ayam, iaitu 70 peratus daripada keseluruhan 2.2 juta ekor ternakan itu yang dijual di seluruh negara setiap hari. – BERNAMA

  • MyCC pantau pelaksanaan RFID jika ada isu persaingan

    MyCC pantau pelaksanaan RFID jika ada isu persaingan

    SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) akan memantau pelaksanaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di bawah PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Touch ‘n Go Sdn Bhd agar kepentingan pengguna lebuh raya terpelihara.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya, Iskandar Ismail berkata, walaupun inovasi seperti pengenalan RFID dalam sistem kutipan tol ini dialu-alukan, MyCC percaya bahawa pelaksanaan sistem itu perlu dilaksanakan dengan lebih berkesan bagi mencapai objektifnya.

    Menurut beliau, MyCC mengambil maklum tentang rancangan untuk memastikan peralihan lancar kepada RFID untuk pengguna lebuh raya dan kerjasama antara PLUS dan Touch ‘n Go dalam sistem kutipan tol.

    “Memandangkan terdapatnya peningkatan aduan pengguna mengenai isu berkaitan pelaksanaan RFID di seluruh Lebuhraya PLUS, MyCC turut berkongsi penilaian dan kebimbangannya dalam mesyuarat yang sama mengenai pelaksanaan tersebut termasuk memberikan akses kepada platform pembayaran lain untuk pembayaran tol bukan sahaja melalui kad debit atau kad kredit tetapi juga sistem e-dompet yang lain,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Iskandar mengulas tentang hasil perjumpaan antara MyCC dengan PLUS dan Touch ‘n Go pada 17 Januari lalu berhubung pelaksanaan RFID.

    Perbincangan itu merupakan satu inisiatif yang diambil oleh MyCC untuk mendapatkan pemahaman yang lebih lanjut berkenaan perlaksanaan tersebut serta perkembangan terkini berhubung pelaksanaan RFID.

    Beliau menambah, MyCC juga akan menumpukan usahanya dengan memantau secara konsisten perkembangan pelaksanaan tersebut selaras dengan peranannya dalam memperjuangkan dan mempromosikan persaingan bagi kepentingan semua rakyat Malaysia.

    “Dengan mengambil kira tanggungjawab khas yang ada pada kedua-dua perusahaan dominan ini dalam pasaran-pasaran relevan, MyCC akan terus memantau keadaan dari masa ke semasa dan apabila sebarang isu persaingan telah dikenal pasti, Akta Persaingan 2010 akan dikuatkuasakan.

    “Seterusnya, adalah penting untuk diingatkan bahawa pasaran berkaitan inovasi boleh mewujudkan ketidakpastian.

    “Oleh itu, MyCC akan bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk memastikan perubahan ini sentiasa memberi manfaat terbaik kepada semua pengguna,” jelasnya.

    Sejak Isnin lalu, ramai netizen berkongsi kekesalan mereka akibat terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk akibat kegagalan beberapa kenderaan melepasi imbasan RFID di plaza tol.

    Kesesakan bertambah teruk pada waktu puncak ketika ramai pengguna lebuh raya mahu ke tempat kerja masing-masing.

    Kelmarin, PLUS dalam satu kenyataan menjelaskan, pengguna lebuh raya yang mengalami masalah pengesanan di lorong RFID tidak perlu risau kerana kakitangan tol akan menggunakan peranti mudah alih bagi mengimbas tag RFID mereka.

    Sekiranya tag masih tidak dapat dikesan, kupon untuk diagnostik pengesanan penuh di pusat fitmen Touch ‘n Go (TNG) yang terdekat akan disediakan dan jika masih mempunyai isu pengesanan selepas ujian, TNG akan menggantikannya dengan tag RFID baru secara percuma.

    PLUS juga berjanji akan melakukan penambahbaikan terhadap pelaksanaan RFID.

    Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, baru-baru ini memaklumkan sudah memanggil PLUS dan TNG untuk memastikan semua isu berkaitan pelaksanaan RFID berupaya diselesaikan secepat mungkin.