LIMA syarikat pengeluar ayam diberi lanjutan masa sehingga 19 Dis depan untuk mengemukakan representasi, bagi menafikan dakwaan penglibatan mereka dalam aktiviti kartel ayam di negara ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata lima syarikat tersebut yang beroperasi di Pantai Barat sebelum ini, telah diberi arahan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk mengemukakan representasi pada 21 Okt, namun dilanjutkan atas beberapa faktor termasuk keadaan kes yang kompleks.

“MyCC telah menjalankan siasatan terperinci dan mendapati terdapat bukti atau unsur-unsur penglibatan mereka dalam aktiviti kartel ayam.

“Bagaimanapun atas permintaan mereka (syarikat) dan selepas membuat beberapa pertimbangan, MyCC bersetuju memberi tempoh lanjutan untuk kemukakan bukti-bukti penafian, memandangkan ia kes yang kompleks,” katanya selepas Program ‘[email protected]’ bersama MyCC dan sesi dialog program Food Bank Malaysia bersama mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniSZA Datuk Prof Madya Dr Mohd Hafiz Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Iskandar Ismail dan Ketua Pusat Kebudayaan dan Kesenian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT Badruhisham Darus.

Pada majlis itu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), turut mengagihkan sebanyak 300 kotak sumbangan barang keperluan kepada pelajar UniSZA dan UMT.

Dalam perkembangan lain Rosol berkata pihaknya ada menerima aduan berkaitan kenaikan harga tiket kapal terbang, terutama yang melibatkan destinasi Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata walaupun kawalan harga tiket itu bukan di bawah tanggungjawab KPDNHEP, pihaknya akan bekerjasama dengan cara menyalurkan aduan berkenaan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT).

“Kita harap pihak berkaitan membuat siasatan dan mengambil tindakan segera, supaya isu ini tidak menghalang rakyat menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi.

“Segala masalah pengguna akan lapor melalui kita (KPDNHEP). Masalah yang mereka kemukakan ini kita akan salur kepada kementerian untuk bantu rakyat,” katanya. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here