Tag: Mustapha Kamal

  • Mustapha Kamal perintis konsep rumah mampu milik – Muhyiddin

    Mustapha Kamal perintis konsep rumah mampu milik – Muhyiddin

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan keluarga melahirkan perasaan dukacita dengan pemergian tokoh korporat terkenal, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar hari ini.

    Menurut beliau, Allahyarham ialah nama besar yang cukup dikenali dan antara anak Melayu yang berjaya dalam dunia korporat tanah air.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, selaku pengasas syarikat hartanah MK Land, Mustapha Kamal banyak menyumbang dalam pembangunan sektor hartanah negara terutama yang melibatkan pembinaan rumah untuk rakyat.

    “Allahyarham juga antara ahli perniagaan terawal yang merintis konsep pembinaan rumah mampu milik bagi memberi peluang kepada orang ramai memiliki rumah pertama.

    “Marilah kita sama-sama berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang soleh.

    “Saya juga berdoa moga ahli keluarga Allahyarham tabah dan sabar menghadapi saat-saat yang mendukacitakan ini. Al-Fatihah,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Terdahulu, Bernama melaporkan, Mustapha Kamal, 73, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.45 pagi tadi kerana sakit tua.

    Dilahirkan di Kampung Changkat, Pusing, Perak, Allahyarham Mustapha Kamal pernah mendapat jolokan sebagai ‘Raja Perumahan Mampu Milik’ kerana bertanggungjawab membangunkan lebih 12,000 rumah kos rendah di sekitar Selangor dan Perak.

    Mustapha Kamal merupakan pengasas Kumpulan Syarikat EMKAY yang menawarkan rumah mampu milik.

    Syarikat hartanah miliknya itu telah ditukar nama kepada MK Land Holdings Berhad selepas ia disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur pada Ogos 1999.

    Pada awal kerjayanya, Allahyarham yang juga siswazah Universiti Malaya (UM) dan penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Hartanah Lestari) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ijazah Kehormat Doktor Perniagaan dan Keusahawanan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), antara lain pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah di Kuala Kubu Baru, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Petaling antara 1971 hingga 1976.

    Allahyarham juga pernah berkhidmat dalam sektor awam dengan memegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Jabatan Tanah dan Galian, Selangor pada 1978 sebelum menyertai sektor swasta dalam bidang hartanah.

  • Tokoh korporat, Mustapha Kamal meninggal dunia

    Tokoh korporat, Mustapha Kamal meninggal dunia

    TOKOH korporat ternama, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua pada pukul 7.45 pagi tadi.

    Difahamkan, pengasas syarikat hartanah MK Land itu meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN).

    Allahyarham yang berusia 73 tahun akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara hari ini.

    “Buat masa ini jenazah ayah masih di IJN dan pihak keluarga sedang melakukan persiapan untuk proses selanjutnya,” kata anak Allahyarham, Felina, kepada Astro Awani ketika dihubungi.

    Dilahirkan di Kampung Changkat, Pusing, Perak pada 18 Mac 1949, Allahyarham merupakan graduan Universiti Malaya dalam jurusan Sejarah dan menerima Ijazah Kedoktoran dari Universiti Utara Malaysia.

    Allahyarham memulakan kerjayanya dengan berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Daerah dan Tanah Selangor.

    Selepas dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tanah & Galian Selangor, beliau beralih ke sektor swasta dengan memegang jawatan Pengarah Urusan Shah Alam Properties Sdn. Bhd.

    Pada 1983, beliau menubuhkan secara rasminya Kumpulan Syarikat EMKAY yang menawarkan rumah mampu milik, terutamanya kepada pembeli rumah pertama, sehingga beliau digelar ‘Raja Rumah Mampu Milik’.

    Pada Ogos 1999, nama syarikat itu ditukar kepada MK Land Holdings Berhad selepas disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur.

    Setakat tahun 2018, kumpulan itu telah membina lebih 60,000 unit kediaman, komersial dan ruang pejabat dengan keluasan 10 juta kaki persegi dengan nilai pembangunan RM20 bilion.

    Ia juga berjaya menjual lebih daripada 35,000 unit kediaman dengan harga bawah RM100,000 termasuk di Damansara Damai dan Bandar Baru Sungai Buloh.

    Sepanjang kariernya, beliau dikurniakan pelbagai jenis anugerah dan penghargaan termasuk daripada Yang di-Pertuan Agong pada 2002 dan daripada Raja Muda Perak pada 2003.