Tag: Muktamar

  • Elak tiga penjuru di 27 kerusi: PAS mahu berunding dengan UMNO

    Elak tiga penjuru di 27 kerusi: PAS mahu berunding dengan UMNO

    PAS berharap masih ada ruang berunding dengan UMNO melalui platform Muafakat Nasional (MN) untuk memastikan tiada pertembungan di 27 kerusi ‘kritikal’ Parlimen antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yang akan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

    Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata perbincangan antara dua pihak iaitu PAS sebagai parti komponen PN dan UMNO yang menjadi tunjang BN perlu diadakan untuk mengelak pertembungan tiga penjuru terutama di kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.

    “Jadi tentulah (perebutan) kerusi-kerusi ini perlu dibincang, ada puluhan lagi kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) yang boleh kita bincang. Contohnya seperti (Parlimen) Raub dan Bentong, kerusi ini dimenangi PH sedangkan majoriti pengundi Melayu, tapi bila dua-dua bertembung, akhirnya dua-dua (BN dan PN) rugi.

    “Jika tidak boleh berpakat semua, jangan bertembung semua, itu kaedah kita buat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat sempena Muktamar PAS ke-68 di sini hari ini.

    Menjawab soalan sama ada MN masih wujud atau sudah terbubar, Tuan Ibrahim berkata setakat ini, sama ada UMNO atau PAS tidak pernah bercadang agar MN dibubarkan.

    Katanya muafakat itu perlu kekal demi menjadi wadah agenda kepentingan Melayu dan Islam dan bukan sekadar untuk perbincangan politik sewaktu pilihan raya.

    Namun, Tuan Ibrahim berkata jika UMNO dan BN mahu bergerak solo pada PRU15, PN bersedia untuk menghadapi pertembungan tiga penjuru.

    “PN bersedia dalam semua keadaan. Kalau UMNO buat keputusan bergerak solo kita terpaksa lawan dan kita bersedia untuk lawan. PN akan lawan tiga penjuru, tapi tiga penjuru (nanti) BN rugi, PN pun rugi,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air dalam ucapannya mengumumkan sambutan Hari Air Peringkat Kebangsaan 2022 akan diadakan di Kedah iaitu di sekitar Sungai Muda.

    Sambutan yang diadakan pada 25 Sept itu sebagai mengambil kira kepentingan peranan Sungai Muda membekalkan air di tiga negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

    “JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) sedang mengenal pasti lokasi sesuai untuk sambutan itu diadakan (di sepanjang Sungai Muda), kita akan umumkan nanti,” katanya.- BERNAMA 

  • Muktamar: Dewan Ulama PAS Kelantan lulus 10 usul

    Muktamar: Dewan Ulama PAS Kelantan lulus 10 usul

    DEWAN Ulama PAS Kelantan hari ini meluluskan 10 usul termasuk mewujudkan pasukan petugas khusus kepada pengundi baharu berusia 18 tahun bagi menarik minat mereka agar peduli kepada agama dan negara.

    Kesemua usul berkenaan diluluskan pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Kelantan ke-50 di Kompleks Pendidikan Islam, di Bachok hari ini, yang dihadiri 115 ahli daripada perwakilan seluruh negeri.

    Menjelas mengenai usul penubuhan pasukan petugas itu, Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan, Datuk Hassan Mohamood berkata. pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti akan disertai pengundi baharu yang terdiri daripada golongan belia berumur 18 tahun dan ke atas.

    Beliau berkata, susulan itu, senario yang bakal terjadi ialah pertambahan jumlah pengundi yang dijangka mendadak di semua kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

    “Angka yang kita peroleh daripada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ialah 5.8 juta pengundi muda seluruh negara. Bilangan tersebut tidak termasuk golongan dewasa yang selama ini tidak pernah mendaftar sebagai pemilih dalam PRU sebelum ini.

    Dengan berlakunya situasi begini maka kita perlu pastikan pengundi muda yang akan mengundi dalam PRU15 nanti benar-benar memberi sokongan mereka. Malah, dengan adanya ‘pasukan petugas’ ini nanti sekurang-kurangnya ia dapat menarik minat mereka agar peduli kepada negara dan agama,” katanya dalam ucapan pada muktamar itu.

    Antara usul lain yang diluluskan adalah seluruh ahli Dewan Ulama Pas setiap kawasan dapat mengeluarkan infak RM1 untuk disumbangkan kepada Dewan Ulama Pas Negeri setiap bulan, selain menaikkan elaun pegawai halakat di seluruh negeri sesuai dengan tuntutan semasa.

    Selain itu, usul yang diketengahkan juga adalah supaya PAS Pusat meluaskan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) merentasi parti politik agar PRU15 nanti hanya berlaku pertandingan antara dua penjuru sahaja.

    Menyentuh mengenai perkembangan politik semasa, Hassan mengingatkan semua ahli PAS supaya mengamalkan sikap berlapang dada dan bersangka baik dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya ingin meraih kemenangan pada PRU15.

    Beliau turut berkata PAS sebagai sebuah gerakan Islam perlu berjiwa besar untuk menjadi pendamai dalam agenda perpaduan ummah, malah untuk memastikan kerajaan sekarang kekal memerintah, maka pendokong PAS perlu lebih bijaksana serta cermat dalam berhadapan dengan pelbagai situasi.

    Muktamar Dewan Ulama PAS Kelantan ditangguhkan pada suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak. – BERNAMA