Tag: Muhyiddin Yassin

  • BN adalah musuh PN pada PRU-15 – Muhyiddin

    BN adalah musuh PN pada PRU-15 – Muhyiddin

    PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan kepada penyokong serta pimpinan parti itu bahawa musuh utama Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti adalah Barisan Nasional (BN).

    Beliau dalam laporan Free Malaysia Today berkata, ketetapan itu telah dibuat dalam parti-parti PN.

    “Kita dalam PN sudah ada kesepakatan, antara perkara disepakati ialah saya nak sebut di sini, bahawa musuh utama kita tidak lain adalah BN

    “Kalau ada kawan kata keadaannya begini-begini, nanti lepas esok mana mana kita nak buat. Itu strategi yang cukup salah,” katanya ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun ke-6 Bersatu.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata PN tidak perlu gentar untuk berlawan dengan BN pada PRU15.

    Beliau berkata apa yang penting adalah untuk PN menyelamatkan kerajaan.

    “Ada beberapa rakan datang jumpa saya di pejabat, tanya lawan ke tak dengan Umno? Lawan ke tak lawan?,” katanya sambil diiringi jawapan penyokong Bersatu yang ingin ‘lawan’ dengan BN.

    Muhyiddin juga enggan mengulas mengenai Pakatan Harapan (PH) dan tidak kisah sekiranya Umno mahu bertanding di semua kerusi dalam PRU15.

    Sementara itu, di dalam sidang medianya, Muhyiddin berkata perbezaan pandangan dengan PAS buat masa ini ‘dibenarkan’ kerana ia dibuat sebelum pilihan raya.

    Bagaimanapun katanya, apabila hampir dengan pilihan raya, PN akan mengambil keputusan bersama.

    “Itu tidak mengapa sebab PAS beri pandangan sebegitu sebelum pilihan raya.

    “Sekarang ini ialah masing-masing parti ada sedikit kebebasan untuk buat apa yang dia patut buat,” katanya.

  • Tanggungjawab besar Bersatu, selamatkan negara, tukar kerajaan – Muhyiddin

    Tanggungjawab besar Bersatu, selamatkan negara, tukar kerajaan – Muhyiddin

    AHLI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar menyelamatkan negara dengan memastikan kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum akan datang.

    Memetik laporan portal SatuBerita, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keadaan negara pada masa ini semakin tidak baik dan pilihan yang ada bagi membetulkan keadaan itu ialah dengan menukar kerajaan sedia ada.

    “Walaupun negara kita tidak hadapi ancaman peperangan, tetapi kita berhadapan peperangan lain iaitu menyelamatkan negara daripada jatuh ke satu paras kolam paling dalam.

    “Tahun depan masalah lebih teruk. Walaupun sudah ada usaha dibuat, walaupun sudah ada tanda-tanda pertumbuhan tetapi itu tidak mencukupi.

    “Sebab itu jawapan yang paling penting sekarang ialah bila mana pilihan raya sampai kita tukar kerajaan yang ada hari ini,” katanya berucap pada majlis sambutan ulang tahun keenam Bersatu di Putrajaya pada Sabtu.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional menambah, walaupun Bersatu bukan parti besar, namun mempunyai tekad besar selamatkan negara.

    Tegasnya, dengan keadaan tidak semakin tidak baik, usaha perlu dilakukan bagi membolehkan menentukan sendiri hala tuju negara.

    “Kita bina sebuah kerajaan Perikatan Nasional. Bukan sebab saya hendak jadi Perdana Menteri. Tidak kisah, sesiapa pun boleh menerajui negara dan menerajui kerajaan.

    “Yang paling penting Perikatan Nasional kembali berkuasa supaya menguruskan negara ini dengan lebih teratur, lebih berkesan dan yang paling penting rakyat jelata mesti ada cukup makan atas meja mereka,” katanya.

  • Moratorium PMKS bergantung kepada bank – Tengku Zafrul

    Moratorium PMKS bergantung kepada bank – Tengku Zafrul

    CADANGAN pemberian moratorium pinjaman kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bergantung kepada pihak bank.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan moratorium menyeluruh seperti dilaksanakan Ketika Perintah Kawalan Pergerakan tidak akan berhasil.

    Menurutnya, pertumbuhan ekonomi disokong oleh beberapa faktor, seperti pertumbuhan pinjaman, menunjukkan bank telah mula lebih banyak memberi pinjaman berbanding dengan sebelum wabak, termasuk kepada PKS.

    Beliau memberi jaminan bahawa bank akan menyediakan moratorium kepada syarikat yang memerlukannya, namun terpulang kepada institusi kewangan untuk membuat keputusan.

    “Kerajaan bukan pemilik bank namun kami boleh mengalakkan dasar yang membantu (orang ramai),” katanya sebagaimana laporan Free Malaysia Today.

    Tambah Tengku Zafrul, setakat ini ekonomi Malaysia telah berkembang dengan kukuh hasil daripada peningkatan penggunaan domestik, sektor eksport yang lebih kukuh dan pertumbuhan pinjaman yang lebih baik.

    Oleh itu katanya, langkah-langkah yang diambil semasa krisis ekonomi yang dicetuskan oleh pandemik Covid-19 mungkin bukan penyelesaian terbaik buat masa ini,

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan moratorium khas itu akan dibincangkan dengan Tengku Zafrul dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar.

    Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), menggesa bank menawarkan moratorium pinjaman kepada PKS, terutama yang masih bergelut untuk pulih selepas wabak termasuk kenaikan kadar OPR.

  • Kerajaan pertimbang moratorium khas untuk PMKS

    Kerajaan pertimbang moratorium khas untuk PMKS

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan mempertimbangkan mengenai pemberian moratorium khas untuk sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).

    Memetik laporan Berita Harian, Perdana Menteri berkata, untuk itu sesi perbincangan akan diadakan dengan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi serta Kementerian Kewangan.

    “Kita akan bincang …saya tidak boleh cakap sekarang…kita kena berbincang dengan Kementerian Keusahawanan dan Koperasi serta Kementerian Kewangan,” katanya ringkas kepada media, hari ini.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

    Ismail Sabri mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yasin, yang mencadangkan perkara itu memandangkan sektor itu masih belum pulih sepenuhnya dan ditambah dengan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

    Muhyiddin dilaporkan berkata, sektor PMKS kini menanggung beban hutang yang lebih tinggi dan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih.

    “Sektor PMKS penting kerana ia mewakili hampir 96 peratus kegiatan ekonomi negara.

    “Ramai rakyat yang bergantung kepada sektor ini untuk bekerja dan mencari sumber pendapatan. Hampir 50 peratus tenaga kerja di Malaysia bekerja dalam sektor ini,” katanya.

  • Curi barang kemas majikan bernilai RM69,000 amah kini diburu polis

    Curi barang kemas majikan bernilai RM69,000 amah kini diburu polis

    SEORANG pembantu rumah warga asing kini menjadi buruan polis selepas disyaki melarikan barang kemas milik majikannya dianggarkan bernilai sehingga RM69,000 dalam kejadian di sebuah rumah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Khamis lalu.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek berusia 27 tahun itu dilihat keluar dari rumah berkenaan kira-kira pukul 1 pagi sebelum melarikan diri menaiki sebuah kereta.

    Tambah beliau, majikan suspek kemudian membuat laporan polis selepas menyedari kehilangan pembantu rumah terbabit kira-kira pukul 6 pagi hari sama tanpa menyedari barangan kemas milik mereka turut dilarikan.

    Jelasnya, antara barangan kemas yang didapati hilang ialah dua pasang gelang bernilai RM12,000; satu set rantai (RM22,000) dan rantai kahwin (RM15,000).

    Turut dilaporkan hilang ujar beliau, empat pasang subang emas kecil bernilai RM6,000; dua utas rantai kecil (RM3,000) serta sebuah loket dan seutas rantai panjang masing-masing bernilai RM1,000 dan RM10,000.

    “Barang kemas itu disimpan di dalam sebuah almari yang berkunci, namun tiada sebarang kesan umpil pada almari tersebut,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Cheng San menambah, ketika kejadian mangsa berada di rumah bersama dua anak, namun tidak menyedari kehilangan barangan kemas itu yang disimpan di dalam bilik berasingan.

    Sehubungan itu ujarnya, susulan kehilangan barang kemas tersebut mangsa kemudian membuat satu lagi laporan polis Khamis lalu di Balai Polis Bukit Mertajam.

    “Kes ini disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan kita meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian ini menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Shuhaimi Ismail di talian 019-2909231,” katanya.

  • Kerajaan digesa beri perhatian serius cadangan moratorium khas PMKS

    Kerajaan digesa beri perhatian serius cadangan moratorium khas PMKS

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berharap kerajaan memberi perhatian serius terhadap cadangan pemberian moratorium kepada sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) yang kini turut terjejas dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, kenaikan OPR mengakibatkan pengusaha PMKS akan menanggung beban hutang yang lebih tinggi dan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih pasca Covid-19.

    Menurut beliau, sepertimana pelaksanaan moratorium sebelum ini, bank-bank di Malaysia tidak mengalami kerugian pun.

    “Jadi apalah salahnya kerajaan sekali lagi berbincang dengan institusi-institusi kewangan supaya memperkenalkan moratorium khas untuk PMKS.

    “Saya harap cadangan ini diberikan perhatian serius oleh kerajaan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menjelaskan, sektor PMKS penting kerana ia mewakili hampir 96 peratus kegiatan ekonomi negara.

    Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan, ramai rakyat yang bergantung kepada sektor ini untuk bekerja dan mencari sumber pendapatan yang mewakili hampir 50 peratus tenaga kerja.

    “Saya telah mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan moratorium khas untuk sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana.

    “Ramai rakyat yang bergantung kepada sektor ini untuk bekerja dan mencari sumber pendapatan. Hampir 50 peratus tenaga kerja di Malaysia bekerja dalam sektor ini,” kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu lagi.

    Kenaikan OPR sebanyak tiga kali tahun ini menimbulkan kegusaran orang ramai terhadap kesan dan sama ada kenaikan itu akan menjejaskan momentum pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19.

    Khamis lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus, yang merupakan kenaikan kali ketiga tahun ini selepas Mei dan Julai.

  • Jangan pandang rendah Perikatan Nasional

    Jangan pandang rendah Perikatan Nasional

    Oleh Zaini Alias

    TAN Sri Muhyiddin Yassin membuat penampilan hebat di Majlis Perasmian Muktamar PAS ke-68 pada Sabtu. Buat kali pertama dalam tempoh hampir lima dekad, muktamar diadakan ketika PAS merupakan ahli gabungan rasmi – Perikatan Nasional (PN) – yang membentuk Kerajaan Persekutuan dan Muhyiddin selaku Pengerusi PN dijemput menghadiri perhimpunan agung tahunan itu.

    Muhyiddin mendapat sambutan yang hangat. Beliau duduk di sebelah Tan Sri Abdul Hadi Awang di pentas utama dan para perwakilan bersorak setiap kali namanya disebut.

    Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung PAS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Muktamar, menyebut secara khusus dalam ucapannya mengenai sumbangan Muhyiddin untuk membawa PAS ke dalam Kerajaan Persekutuan pada Mac 2020.

    Hadi, dalam ucapan dasarnya juga, mengiktiraf sumbangan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

    Nampaknya, hubungan PAS dan BERSATU telah mencapai tahap baharu. Kedua-dua parti kini bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum di bawah panji PN, walaupun terdapat gesaan perwakilan supaya PAS menggunakan logo sendiri di Kedah, Kelantan dan Terengganu – yang akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi PN nanti.

    Tetapi Hadi selaku pemimpin yang cukup masak dengan politik – tahu permainan politik. Buat masa ini, PN tidak boleh membentuk Kerajaan Persekutuan secara bersendirian.

    Beliau mahu PAS kekal dalam Kerajaan Pusat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Dan untuk merealisasikannya, beliau perlu bekerjasama dengan ‘rakan-rakan dalam UMNO’ – yang bukan daripada `Kluster Mahkamah’ dan merupakan pemimpin dari kem Ismail Sabri.

    Hadi juga tahu adanya perbincangan pintu belakang di antara Ismail Sabri dengan DAP. Jika keadaan mendesak, Ismail Sabri mungkin boleh sahaja mengajak DAP menyertai Kerajaan Persekutuan dan PAS akan ditinggalkan. Hadi tidak mahu perkara ini berlaku.

    Oleh itu, beliau menyusun perkiraan dengan membuat langkah – iaitu PAS kekal dengan PN – tetapi terbuka untuk bekerjasama dengan kem bukan Kluster Mahkamah dalam UMNO.

    Sementara itu, perkembangan terkini mengenai sentimen sokongan pengundi terhadap gabungan parti yang bakal bertanding dalam PRU-15 telah dibincangkan dalam mesyuarat parti masing-masing.

    Dalam mesyuarat MT UMNO pada 27 Ogos lalu, Ismail Sabri berkongsi laporan rasmi yang menunjukkan BN hanya selesa di 40 kerusi Parlimen. Selebihnya kerusi sama ada ‘hitam’ atau ‘kelabu’. Jika pilihan raya diadakan sekarang – seperti yang dituntut Kluster Mahkamah – BN akan kalah teruk.

    Pada 24 Ogos, Pakatan Harapan (PH) juga mengadakan Mesyuarat Majlis Presiden, di mana pemimpin tertinggi parti diberi taklimat tentang situasi politik terkini.

    PH tidak berupaya menambah pengaruh di kawasan Melayu dan hanya boleh memenangi maksimum 55 kerusi Parlimen – iaitu di kerusi bukan majoriti Melayu di Semenanjung.

    PH juga perlu bekerjasama dengan parti lain selepas pilihan raya jika mahu berada dalam Kerajaan Persekutuan. Ini bermakna, Anwar akan kekal sebagai ‘PM tepi’.

    Maklumat juga muncul dari dalam BERSATU. Parti telah secara senyap sejak dua tahun lalu menjalankan banyak tinjauan mengenai sentimen pengundi di peringkat nasional dan tempatan.

    Hasil tinjauan tersebut, mereka telah merumuskan dalam Kertas Kerja Strategik yang kemudian diedarkan kepada pucuk pimpinan BERSATU.

    Intipati kepada rumusan berkenaan yang dilihat sendiri oleh penulis adalah seperti berikut:

    i. Sokongan kepada BN tidak berkembang, tetapi mengecut;
    ii. PN lebih popular berbanding BN dalam segmen pengundi bawah 40 tahun;
    iii. Muhyiddin masih menjadi pilihan paling diutamakan sebagai calon PM, mengatasi Ismail Sabri; dan
    iv. Jentera akar umbi BERSATU tidak sebesar UMNO atau PAS, tetapi penyandang Ahli Parlimen dari BERSATU mempunyai sokongan kuat.
    v. Perkara (v) merupakan penemuan yang menarik untuk diperhatikan. Ramai pemerhati politik gagal melihat perkara ini. Mereka menyangka BERSATU hanya sebuah parti nyamuk yang akan mati selepas PRU-15. Sama sebagaimana ramai pemerhati politik meramalkan BN akan memenangi PRU-14 dengan majoriti dua pertiga. Ternyata mereka silap!

    Jika anda pergi lebih jauh lagi, anda akan melihat senario yang berbeza. Kebanyakan penyandang Ahli Parlimen BERSATU adalah sama ada Menteri, Timbalan Menteri atau Ahli Parlimen yang sudah lama berkhidmat. Mereka mempunyai pengaruh peribadi mereka sendiri, dan itu adalah satu nilai tambah bagi BERSATU.

    Sebagai contoh, Hamzah Zainuddin, Ahli Parlimen Larut yang juga Menteri Dalam Negeri merangkap Setiausaha Agung BERSATU. Jentera akar umbi BERSATU di Larut mungkin tidak sekuat UMNO, tetapi Hamzah mempunyai sokongan kuat pengundi di sana. Dia akan memenangi kerusi Larut.

    Senario sama juga boleh diperhatikan di Pagoh, Tambun, Jeli, Tanah Merah, Gombak, Mersing, Indera Mahkota, Sungai Besar dan seluruh kerusi penyandang BERSATU. Terdapat 20 kerusi sedemikian di Semenanjung.

    Selain daripada kerusi-kerusi ini, terdapat sekurang-kurangnya 5 kerusi UMNO yang dikenal pasti boleh dimenangi BERSATU.

    Ayuh, kita menjadi konservatif sikit. Jangan anggap BERSATU akan memenangi kesemua 25 kerusi ini jika pilihan raya diadakan esok. Andaikan, seperti sekarang, BERSATU mempunyai 20 ‘kerusi putih’ dalam begnya.

    Bagaimana dengan PAS? PAS berkemungkinan besar menang di semua 18 kerusi disandangnya. Dan terima kasih kepada pengaruh PN dan Muhyiddin, parti itu mungkin dapat mengembangkan pengaruhnya di luar Kelantan, Kedah dan Terengganu, dan menawan beberapa lagi kerusi UMNO.

    Mari kita bersikap agak konservatif juga dalam hal ini. Katakan PAS ada 20 ‘kerusi putih’. Jumlah bilangan ‘kerusi putih’ PN ialah 40.

    Adakah benar begitu? Ya, memang begitu. ‘Kerusi putih’ BN juga kira-kira 40.

    Senario ini tentunya lebih menarik. Mari kita pergi lebih jauh.

    Terdapat 165 kerusi Parlimen di semenanjung. Daripada jumlah ini, 55 kerusi adalah kerusi majoriti bukan Melayu dan 110 kerusi majoriti Melayu.

    Memandangkan sokongan Melayu kepada PH tidak melebihi 10 peraturan, pertembungan utama di 110 kerusi ini adalah di antara BN dan PN. Setakat ini, BN mempunyai 40 kerusi putih dan PN juga mempunyai 40 kerusi putih. Terdapat baki 30 kerusi untuk direbut oleh kedua-dua pihak.

    Ya, keputusan di baki 30 kerusi ini akan menentukan gabungan mana yang akan menerajui Kerajaan Pusat selepas PRU-15 akan datang – PN atau BN?

    Seperti yang saya katakan dalam tulisan saya sebelum ini, saudara-saudara di Sabah dan Sarawak sedang memerhati dengan teliti perkembangan terkini di Semenanjung. Mereka akan menyokong pemenang di 110 kerusi majoriti Melayu.

    Memandangkan sentimen pengundi menunjukkan bahawa asas sokongan BN tidak berkembang tetapi semakin mengecil, dan pengundi dalam segmen bawah 40 tahun lebih cenderung untuk menyokong PN, kita mesti lebih berhati-hati dan jangan pandang remeh kepada PN bermula sekarang.

    Sekiranya peratusan keluar mengundi tinggi, terutamanya dalam kalangan pengundi muda Melayu yang layak mengundi kerana pendaftaran pengundi secara automatik, keadaan pasti tidak berpihak kepada BN. Apa yang PN perlukan adalah sedikit masa lagi untuk menghampiri kemenangan terutamanya di 30 kerusi Parlimen yang akan ditandingi hebat BN dan PN.

    Masa sudah tentu tidak menyebelahi BN. Semua penunjuk jelas memperlihatkan berlaku pertembungan dalam UMNO – antara Kluster Mahkamah dan Kluster Putrajaya – dalam beberapa minggu atau bulan akan datang. Sesiapa yang memenangi pertempuran akan mewarisi UMNO yang sudah hancur dan lemah.

    Ekonomi juga tidak bertambah baik. Ekonomi global semakin perlahan dan ia pasti akan melanda Malaysia juga. Tidak akan ada faktor ‘feel good’ untuk BN jual.

    Betul, sekarang bukan masa yang sesuai untuk BN pergi ke pilihan raya. Tetapi semakin lama Ismail Sabri memilih untuk menangguhkannya, PN akan menjadi semakin kuat dan BN akan semakin menderita.

    Jadi, tolong jangan pandang rendah kepada Perikatan Nasional ya!

    • *Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.
  • Pencapaian keluar dari fasa pandemik perlu dirai, disyukuri – Muhyiddin

    Pencapaian keluar dari fasa pandemik perlu dirai, disyukuri – Muhyiddin

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pencapaian negara masuk ke fasa pemulihan daripada fasa pandemik Covid-19 merupakan satu bentuk ‘kemerdekaan’ yang perlu diraikan.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara itu berkata, nikmat kebebasan yang sudah mula dirasai hari ini pula perlu sentiasa disyukuri oleh rakyat.

    Menurutnya, rakyat akhirnya semakin hampir untuk “memerdekakan” diri daripada dibelenggu pandemik berkenaan setelah diuji dengan cabaran yang amat getir sepanjang lebih dua tahun.

    “Dalam kita melangkah dengan berani memasuki fasa pra endemik ini, marilah kita kenang sejenak perjalanan awal menempuh pandemik sehingga ke hari ini.

    “Titipkan doa buat mereka yang tewas, dan mereka yang meratapi kehilangan,” katanya menerusi Warkah Merdeka 2022 Negaraku Malaysia yang disiarkan di akaun Facebook beliau.

    Dalam pada itu, Muhyiddin juga meminta rakyat agar bersatu hati dan menggembleng usaha memulihkan negara supaya kemakmuran dapat dikecapi bersama dan martabat bangsa terus dijulang tinggi.

    Untuk itu katanya, rakyat perlu berjanji kepada diri untuk tidak mempersiakan segala pengorbanan dan usaha sepanjang lebih dua tahun pandemik Covid-19.

    “Lindungilah ibu pertiwi ini. Pastikan Malaysia kekal aman, makmur dan merdeka, kini dan selamanya.

    “Saya berdoa semoga Allah terus memberi kekuatan kepada kita untuk sama-sama mengharungi apa sahaja cabaran mendatang dan merahmati serta melindungi Malaysia yang tercinta ini,” katanya.

    Sementara itu, Muhyiddin berkata, 31 Ogos merupakan tarikh keramat yang diraikan setiap tahun dan membawa seribu satu pengertian buat rakyat Malaysia.

    “Alhamdulillah, hari ini kita diberi kesempatan menyambut Hari Kebangsaan sempena ulang tahun kemerdekaan yang ke-65.

    “Pengorbanan generasi pembina bangsa yang menuntut kemerdekaan harus dihayati dan diinsafi setiap masa dan tidak hanya sekadar menjadi bahan rujukan dokumentari dan teks buku sejarah untuk diulang kaji,” tambahnya.

  • Cadang wujud agensi sehenti kumpul data penerima bantuan

    Cadang wujud agensi sehenti kumpul data penerima bantuan

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan sebuah agensi sehenti diwujudkan untuk mengumpul data mengenai individu dan isi rumah yang benar-benar memerlukan bantuan.

    Beliau berkata agensi itu yang juga bertujuan menyelaras segala bentuk bantuan, boleh mengambil model Centrelink yang dilaksanakan di Australia dalam mengurus penyaluran bantuan kepada penerima yang layak. 

    Beliau berkata sistem semakan kelayakan dan penyaluran bantuan yang cekap, cepat dan seragam adalah supaya tiada pertindihan penerima bantuan, sekali gus memastikan tidak berlaku keciciran.

    “Dengan cara ini sumber kewangan kerajaan dapat dioptimumkan di samping memastikan tiada sesiapa yang tertinggal,” katanya dalam ucaptama pada Konvensyen Perikatan Nasional (PN) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata kerajaan membelanjakan lebih RM70 bilion setahun dalam bentuk subsidi dengan jumlah itu meningkat saban tahun, selain tidak mapan untuk jangka panjang.

    Justeru, beliau berkata penyaluran subsidi lebih bersasar perlu diwujud untuk memastikan subsidi kerajaan dinikmati golongan yang benar-benar memerlukan, tiada ketirisan dan tiada seorang pun ketinggalan.

    Menerusi penyaluran subsidi lebih bersasar, sistem bantuan rakyat yang seragam dan pengurusan kewangan kerajaan lebih optimum, Muhyiddin berkata beberapa bentuk bantuan baharu juga boleh diwujudkan seperti bantuan sewa rumah kepada kumpulan miskin bandar bagi memastikan setiap individu dan keluarga mempunyai tempat berteduh, selain mengatasi masalah gelandangan. 

    Pelbagai bentuk bantuan yang penting dalam menjamin kesejahteraan hidup rakyat seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan latihan kemahiran khususnya untuk golongan muda yang sedang mencari pekerjaan juga mesti diberikan keutamaan, katanya. 

    Dalam pada itu, Muhyiddin menyarankan agar negara segera beralih kepada industri berteknologi tinggi dengan nilai tambah lebih tinggi serta tawaran gaji lebih lumayan. 

    “Walaupun usaha ini telah dimulakan, hasilnya masih belum dapat dilihat secara ketara, justeru suatu daya usaha lebih berfokus, pantas dan tangkas mesti digembleng melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan industri untuk memastikan peralihan kepada Revolusi Industri 4.0 di negara ini berlaku dengan lebih deras,” katanya.

    Beliau berkata kerajaan juga perlu meningkatkan daya saing Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terutamanya dalam meningkatkan nilai tambah termasuk melalui penguasaan automasi dan pendigitalan, sekali gus dapat mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi kepada rakyat.- BERNAMA

  • ‘Kalau esok PM bubar Parlimen, kita sedia masuk gelanggang’

    ‘Kalau esok PM bubar Parlimen, kita sedia masuk gelanggang’

    PERIKATAN Nasional (PN) sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, mengikut ‘perjanjian’ yang ditandatanganinya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, gabungan itu perlu dimaklumkan terlebih dahulu sekiranya pemimpin nombor satu negara itu ingin menentukan tarikh pilihan raya.

    Ini kerana katanya, sebagai sebuah parti yang menganggotai gabungan kerajaan yang dipimpin oleh Ahli Parlimen Bera itu, PN juga perlu perlu dilibatkan dalam rundingan penting tersebut.

    “Kita tahu bahawa PRU15 akan diadakan selewat-lewatnya pada tahun hadapan, walaupun kita dengar ura-ura berkemungkinan ianya diadakan dalam masa terdekat. Semasa kita berhimpun di sini, pihak di sebelah sana (UMNO) juga berhimpun. Dengar katanya nak desak Perdana Menteri (Ismail Sabri) supaya bubar Parlimen lebih awal.

    “Walau apa pun, kita bersedia untuk menghadapi pilihanraya pada bila-bila masa. Kalau ikut adat kebiasaannya pun, kita telah masuk ke tahun terakhir bagi penggal pilihanraya ini.

    “Jadi kalau esok Perdana Menteri menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk mohon perkenan bagi membubarkan Parlimen, kita anak jantan sedia masuk gelanggang,” katanya.

    Beliau berkata demikain ketika berucap merasmikan Konvensyen PN 2022 dan Sambutan Ulang Tahun PN Kedua di Serdang hari ini.

    Hadir sama, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yang Teck Lee; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH), Datuk Seri DR Jeffrey Kitingan serta kepimpinan yang lain.

    Sementara itu, dalam perkembangan sama, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut menyindir Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan hasrat supaya PRU15 perlu diadakan tahun ini, bukannya tahun depan.

    “Saya baca kenyataan Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN (Ahmad Zahid). Dia kata pilihan raya mesti diadakan pada tahun ini bukan tahun depan. Kalau tunggu tahun depan, BN mungkin akan kalah. Saya seronok baca kenyataan ini. Maknanya, mereka tu taklah kuat sangat,” katanya.

    Selain itu, Muhyiddin turut mendakwa terdapat laporan mengatakan kepercayaan rakyat terhadap BN makin merosot, apatah lagi tujuan desakan supaya pilihan raya diadakan lebih awal adalah semata-mata untuk mendapatkan kembali kuasa bagi menyelamatkan pihak-pihak tertentu daripada hukuman mahkamah.

    “Saya tidak fikir rakyat Malaysia akan membiarkan perkara ini berlaku. Jadi sama ada pilihan raya tahun ini atau tahun depan, bagi kita sama saja. Prinsip kita ialah lawan yang mungkar, pilih integriti dan terus prihatin kepada rakyat kerana itu lah tujuan kita berada di dalam wadah PN,” katanya.