PERIKATAN Nasional (PN) sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, mengikut ‘perjanjian’ yang ditandatanganinya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, gabungan itu perlu dimaklumkan terlebih dahulu sekiranya pemimpin nombor satu negara itu ingin menentukan tarikh pilihan raya.

Ini kerana katanya, sebagai sebuah parti yang menganggotai gabungan kerajaan yang dipimpin oleh Ahli Parlimen Bera itu, PN juga perlu perlu dilibatkan dalam rundingan penting tersebut.

“Kita tahu bahawa PRU15 akan diadakan selewat-lewatnya pada tahun hadapan, walaupun kita dengar ura-ura berkemungkinan ianya diadakan dalam masa terdekat. Semasa kita berhimpun di sini, pihak di sebelah sana (UMNO) juga berhimpun. Dengar katanya nak desak Perdana Menteri (Ismail Sabri) supaya bubar Parlimen lebih awal.

“Walau apa pun, kita bersedia untuk menghadapi pilihanraya pada bila-bila masa. Kalau ikut adat kebiasaannya pun, kita telah masuk ke tahun terakhir bagi penggal pilihanraya ini.

“Jadi kalau esok Perdana Menteri menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk mohon perkenan bagi membubarkan Parlimen, kita anak jantan sedia masuk gelanggang,” katanya.

Beliau berkata demikain ketika berucap merasmikan Konvensyen PN 2022 dan Sambutan Ulang Tahun PN Kedua di Serdang hari ini.

Hadir sama, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yang Teck Lee; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH), Datuk Seri DR Jeffrey Kitingan serta kepimpinan yang lain.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut menyindir Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan hasrat supaya PRU15 perlu diadakan tahun ini, bukannya tahun depan.

“Saya baca kenyataan Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN (Ahmad Zahid). Dia kata pilihan raya mesti diadakan pada tahun ini bukan tahun depan. Kalau tunggu tahun depan, BN mungkin akan kalah. Saya seronok baca kenyataan ini. Maknanya, mereka tu taklah kuat sangat,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin turut mendakwa terdapat laporan mengatakan kepercayaan rakyat terhadap BN makin merosot, apatah lagi tujuan desakan supaya pilihan raya diadakan lebih awal adalah semata-mata untuk mendapatkan kembali kuasa bagi menyelamatkan pihak-pihak tertentu daripada hukuman mahkamah.

“Saya tidak fikir rakyat Malaysia akan membiarkan perkara ini berlaku. Jadi sama ada pilihan raya tahun ini atau tahun depan, bagi kita sama saja. Prinsip kita ialah lawan yang mungkar, pilih integriti dan terus prihatin kepada rakyat kerana itu lah tujuan kita berada di dalam wadah PN,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here