Tag: Muhammad Sanusi Md Nor

  • “Kalau dia jahat, kena duduk dalam hutan” MB Kedah tempelak siapa?

    “Kalau dia jahat, kena duduk dalam hutan” MB Kedah tempelak siapa?

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menempelak pihak tertentu yang dikatakan seolah-olah ‘bergembira’ dengan kejadian ban pecah di Terusan Tengah dekat Struktur Alor Limpah, Sungai Santap di Pelubang, Kedah semalam.

    Beliau menyifatkan golongan tersebut sebagai ‘bermasalah’ dan sepatutnya ‘duduk dalam hutan’ jika merasakan diri mereka ‘jahat’.

    “Saya fikir ini budaya yang tidak baik kerana apabila berlaku kecemasan, kita sudah tentu mengharapkan supaya perkara ini dapat diatasi menerusi tindakan pihak berwajib.

    “Tak patutlah kalau ada orang sebarkan perkara tak betul untuk timbulkan kontroversi atau kebimbangan kepada umum.

    “Kalau ada orang gembira dengan kejadian sebegini, rasanya dia itu bermasalah atau dirinya memang jahat dan kalau dia jahat, dia tak patut hidup dengan kita sebalikya kena duduk di hutan,” katanya ketika meninjau lokasi runtuhan ban tersebut.

    Dalam kejadian kira-kira 12.15 tengah hari semalam, ban milik Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) itu runtuh dipercayai akibat hujan lebat kelmarin.

    Kejadian itu pada mulanya dijangka akan menyebabkan lebih 80,000 akaun pengguna terjejas dan mengalami gangguan air berikutan kegagalan LRA untuk beroperasi, berikutan kehilangan air di terusan berkenaan.

    Bagaimanapun keadaan ketika ini terkawal dengan pihak MADA sudah pun membelat beberapa kawasan bagi meningkatkan air di terus berkenaan ke paras normal, sebelum melepaskan air di baraj Pelubang untuk membolehkan semua LRA dapat kembali beroperasi seperti biasa.

    Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi menambah, masalah bekalan air di kawasan yang terjejas berikutan kejadian ban pecah itu dijangka bakal pulih secara berperingkat bermula esok.

    Beliau berkata, jumlah akaun pengguna (Syarikat Air Darul Aman) yang terjejas dalam kejadaian itu juga setakat ini hanyalah 13,500 saja dan bukannya 80,000 seperti jangkaan awal.

    Katanya, keadaan itu disebabkan hanya satu saja Loji Rawatan Air (LRA) yang dihenti tugas buat masa ini iaitu LRA Pokok Sena yang menjejaskan bekalan air daerah tersebut.

    “LRA Jenun Lama dan LRA Jenun Baru setakat yang membekalkan bekalan air di Alor Setar, Pendang dan Yan masih beroperasi. Namun saya menasihatkan orang ramai supaya berjimat-cermat kerana kita tidak tahu berapa lama bekalan mampu bertahan sebelum keadaan kembali pulih sepenuhnya.

    “Apa pun kerja-kerja pembaikan sudah pun berjalan dengan bekalan air di kawasan terjejas dijangka pulih secara berperingkat bermula esok. Kos membaik pulih kerosakan akibat insiden ini dijangka menelan belanja antara RM1.5 hingga RM1.8 juta,” katanya.

  • Tahanan Rohingya lolos tak ancam keselamatan penduduk – MB Kedah

    Tahanan Rohingya lolos tak ancam keselamatan penduduk – MB Kedah

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menganggap tahanan etnik Rohingya yang masih bebas setelah melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen, tidak akan mengancam keselamatan penduduk.

    Beliau berkata, mereka yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap dekat Bandar Baharu pada Rabu lepas itu juga tidak mempunyai hala tuju serta tidak arif mengenai keadaan di negara ini.

    “Saya difahamkan mereka sudah duduk lama di dalam depot tahanan itu, selama dua tahun, dalam keadaan sesak. Saya tidak pasti apa isu di dalam depot itu, tapi saya percaya mereka ini ‘tidak tahu apa-apa’.

    “Bagi saya (mereka) bukan satu ancaman, yang mengancam (keselamatan) adalah penjenayah seperti pengedar dadah, itu adalah ancaman, mereka (etnik Rohingya yang masih bebas) bukan ancaman, mereka cuma nak hidup,” katanya kepada Bernama di Alor Setar hari ini.

    Beliau diminta mengulas sama ada tahanan etnik Rohingya yang belum ditemui berkemungkinan akan mengancam keselamatan penduduk khususnya di daerah Bandar Baharu di Kedah.

    Muhammad Sanusi berkata, beliau amat mengenali etnik Rohingya khususnya sewaktu aktif menjalankan misi kemanusiaan di bawah PAS Relief ke Arakan, Myanmar dan Kem Pelarian Rohingya di Bangladesh.

    Beliau berkata, etnik Rohingya bukanlah bangsa yang jahat sebaliknya menjadi mangsa kejahatan dan ditindas di negara asal mereka sehingga terpaksa melarikan diri untuk meneruskan kehidupan.

    “Mereka ini saya kenal mereka tidak jahat, mereka bangsa yang ditindas, bangsa yang paling ditindas di dunia, sama dengan rakyat Palestin.

    “Dalam keadaan masyarakat antarabangsa tidak mempedulikan penindasan di negara mereka, mereka ambil keputusan untuk lari dari negara mereka dan menumpang di sana sini,” katanya.

    Muhammad Sanusi turut berasa sedih dan simpati dengan nasib enam pelarian etnik Rohingya termasuk dua kanak-kanak yang maut selepas dirempuh kereta di KM165 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Jawi, Pulau Pinang.

    Dalam kejadian awal pagi Rabu lepas, seramai 528 warga asing terdiri daripada etnik Rohingya melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap dekat Bandar Baharu dan setakat ini 96 daripada mereka belum ditemukan. – BERNAMA

  • Kalau penyeludup ketum sanggup beri pandangan, apa salahnya? – MB Kedah

    Kalau penyeludup ketum sanggup beri pandangan, apa salahnya? – MB Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KERAJAAN negeri Kedah akan mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pihak terlibat bagi mendapatkan pandangan dan pendapat mereka sebelum mengusulkan cadangan kepada kerajaan Persekutuan untuk membenarkan pengeksportan ketum ke Thailand.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, antara pihak yang dimaksudkan termasuklah agensi penguatkuasaan, pekebun serta penanam ketum.

    Malah menurut beliau, sesi libat urus itu juga mungkin akan turut disertai penyeludup ketum sekiranya ada dalam kalangan mereka yang mahu memberi pandangan.

    “Kalau dapat jumpa orang yang seludup ketum itu, mungkin ada sesi libat urus bersama mereka. Kalau mereka sanggup beri pandangan, apa salahnya?

    “Semua itu kemudiannya akan kita kemukakan kepada kerajaan Persekutuan. Kita akan buat ikut peraturan dan tak salah untuk kita buat cadangan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas berakhir Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Alor Setar, hari ini.

    Minggu lalu Muhammad Sanusi memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan mengusulkan kepada kerajaan Persekutuan untuk membenarkan Kedah mengeksport ketum ke Thailand.

    Selain membolehkan kerajaan memperolehi cukai eksport, langkah itu katanya akan turut membantu mengatasi masalah penyeludupan ketum yang berleluasa di sempadan Malaysia Thailand.

    Ketika ini Thailand membenarkan penggunaan ketum secara terbuka dengan tumbuhan tersebut turut digunakan dalam bidang perubatan di negara jiran itu.

    Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri Kedah menyerahkan sepenuhnya segala keputusan kepada kerajaan Persekutuan untuk membuat pertimbangan terhadap perkara tersebut.

    “Kalau kerajaan Persekutuan buat keputusan bahawa cadangan ini tak dapat dipertimbangkan, maka kita akurlah dan kita hadapilah suasana yang sememangnya sedang terjadi pada masa ini,” katanya lagi.

  • Kalau nak main politik hati jangan tisu, Sanusi tempelak UMNO

    Kalau nak main politik hati jangan tisu, Sanusi tempelak UMNO

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempertahankan kenyataan dibuatnya mengenai kestabilan politik tanah air yang didakwa akan lebih terjamin sekiranya UMNO memiliki jumlah kerusi yang sedikit.

    Katanya, kenyataan itu dibuat bersandarkan pemerhatiannya sendiri dengan beliau sudah pun mengemukakan fakta berkaitan dalam pentas ceramah tersebut.

    Justeru katanya, mereka yang mahu membalas kenyataan tersebut perlu turut melakukannya secara berfakta selain menampilkan testimoni kepadanya.

    “Kerusi UMNO banyak di Perak, Melaka, Johor termasuklah di kerajaan Persekutuan. Semuanya bergolak dengan tukar Menteri Besar, tukar Ketua Menteri serta dibuat Pilihan Raya Negeri (PRN).

    “Semua itu disebabkan ketidakstabilan politik, antaranya disebabkan kerusi UMNO banyak. Mereka nak jawab, kena ada hujahlah, bawa testimoni kepada saya,” katanya.

    Muhammad Sanusi bercakap kepada pemberita selepas bersama-sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan melancarkan Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka Peringkat Negeri Kedah di Dewan Al-Hana Sik, hari ini.

    Dalam beberapa siri ceramah di Johor baru-baru ini, Muhammad Sanusi mendakwa terdapat formula politik mudah yang mampu membawa kestabilan politik di tanah air iaitu dengan memastikan UMNO memiliki jumlah kerusi yang sedikit.

    Muhammad Sanusi menambah, kenyataannya itu juga dibuat dalam konteks PRN dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan perkara lain yang tidak berkaitan.

    “Janganlah orang kaitkan benda lain… Bawa balik Kedah kononnya negeri ini bergoncang dan sebagainya kerana itu bukan dalam konteks dia. Konteks saya berucap itu dalam pilihan raya.

    “Bila berlaku pertembungan takkanlah saya nak berkempen untuk parti yang bertembung dengan parti saya? Kalau nak main politik, hati jangan tisu, kena kental,” katanya.

  • Jangan pandai-pandai buat andaian pengguguran Khairuddin

    Jangan pandai-pandai buat andaian pengguguran Khairuddin

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Alasan pengguguran Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali daripada jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat tidak perlu diceritakan secara terperinci kepada umum.

    Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan sedemikian hanya akan menimbulkan masalah lain.

    Lagi pun katanya, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sudah pun memaklumkan bahawa puncanya adalah lebih kepada isu berkaitan disiplin.

    “Presiden pun dah maklumkan sebabnnya, jadi tak perlulah nak ceritakan perincian sebab apa. Tindakan sedemikian akan menimbulkan masalah lain pula.

    “Saya rasa tuan tubuh (Mohd Khairuddin) sendiri tahu sebab-musababnya. Rakan-rakan yang menulis hal ini di Facebook pun tahu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan seorang lagi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz di Facebook semalam yang mahu supaya alasan pengguguran Mohd Khairuddin diperjelaskan kepada umum dan bukan hanya kepada ahli parti.

    Menurut Nik Mohamad Abduh, penjelasan itu perlu dibuat kerana pengguguran tersebut telah ‘dimasyhurkan’ kepada publik secara rasmi oleh pimpinan PAS dan bukan bocor atau tular di media sosial.

    Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, beliau percaya kalangan ‘orang lama’ yang berada dalam kepimpinan PAS tidak akan menggunakan media sosial untuk meluahkan perasaan.

    Katanya, perkara sebegitu boleh dianggap sebagai isu disiplin juga.

    “Saya ada cakap bahawa pandai dialu-alukan, pandai-pandai tak dialu-alukan. Tindakan menulis di Facebook ini pun ‘pandai-pandai’ juga dan tak dialu-alukan,” katanya.

    Tambahnya, setiap parti memiliki keunikan masing-masing dengan PAS juga berdiri teguh selama ini kerana memegang kepada disiplin tertentu.

    “Dalam PAS, jalan dan strategi politiknya ditentukan pemimpin menerusi AJK PAS Pusat serta Majlis Syura Ulama yang akan menentukan sama ada tindakan diambil bertepatan dengan syarak serta syariah atau tidak.

    “Bukan saja ahli malah pemimpin pun tertakluk kepada disiplin PAS itu. Andai satu hari nanti saya melanggar disiplin, maka saya juga perlu bersedia dikenakan dengan apa jua tindakan tidak hanya oleh Lembaga Disiplin Parti malah oleh pemimpin dalam jemaah ini,” katanya.

  • Penduduk Kg Baru Pulau Tiga diusir, Sanusi usaha cari tanah baharu

    Penduduk Kg Baru Pulau Tiga diusir, Sanusi usaha cari tanah baharu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PRIHATIN dengan nasib penduduk di Kampung Baru Pulau Tiga, Sungai Layar dekat Jalan Lencongan Darat di Sungai Petani yang terpaksa mengosongkan rumah berikutan perintah mahkamah, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor segera mengarahkan pegawai berwajib untuk mencari tanah kerajaan bagi membolehkan penduduk terlibat mempunyai tapak untuk membina rumah baharu dengan kadar segera.

    Menurut Muhammad Sanusi, beliau amat simpati dengan kesukaran dihadapi kira-kira 30 keluarga yang terlibat dan mahu memastikan mereka memiliki tapak untuk mendirikan rumah baharu bagi dijadikan tempat berteduh.

    “Saya sudah minta Pegawai Daerah Kuala Muda, Datuk Abdullah Hashim mencari lokasi tanah kerajaan yang bersesuaian bagi membantu penduduk seramai 30 keluarga itu.

    “Menteri Besar pada tahun 2014 (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) ada berjanji mahu membantu tetapi tidak ada sebarang tindakan selama beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Sebelum ini penduduk terlibat merayu campur tangan kerajaan negeri setelah tanah yang diteroka untuk dijadikan tapak rumah sejak 40 tahun lalu kini, dikatakan telah menjadi hak milik seorang individu bergelar Datuk.

    Pada 19 Disember lalu, penduduk telah menerima notis dari Mahkamah Tinggi Alor Setar supaya mereka mengosongkan tanah tersebut selewat-lewatnya pada 3 Januari depan.

    Gambar: Facebook Muhammad Sanusi Md Nor

    Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, apabila Mahkamah Tinggi sudah membuat penghakiman, kerajaan tidak boleh lagi campur tangan kerana konsep pengasingan kuasa dalam sistem di negara ini tidak membenarkan perkara itu daripada dilakukan.

    “DO bersama pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Muda sedang berikhtiar. Saya berharap mereka dapat menemukan apa yang diperlukan untuk sama-sama kita membantu menyelesaikan masalah ini.

    “Semoga ada sinar yang cerah untuk semua penduduk terlibat. Begitu pun sementara proses ini diselesaikan, penduduk perlu berikhtiar sendiri mencari rumah sewa atau penempatan sementara di sekitar mereka,” katanya.

  • Kalau nak beli nombor ekor, beli di Pulau Pinang

    Kalau nak beli nombor ekor, beli di Pulau Pinang

    KERAJAAN negeri Kedah akan melarang semua kedai nombor ekor daripada terus beroperasi, dengan tidak memperbaharui lesen perniagaan mereka dalam usaha menjadikan negeri itu bebas aktiviti perjudian.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, aktiviti perjudian telah menyebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan dan tamadun, selain masalah hutang.

    “Kerajaan tidak akan beri lesen (baharu), kalau you nak beli (nombor ekor), beli di Pulau Pinang.

    “Saya Islam tak boleh main judi. Nanti kat akhirat saya kena tanya, aktiviti macam ni anda buat apa? Kalau saya cakap saya tak buat, saya kena tibai. Sementara saya ada kuasa, baik saya gunakan,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Bajet 2022 Kedah, hari ini.

    Beliau berharap semua pihak, termasuk penduduk negeri itu memahami keputusan kerajaan negeri tidak memperbaharui lesen premis perjudian.

    “Kerana bila ada premis, ada aktiviti, bukan saja bukan Islam (yang terlibat), jadi saya harap (keputusan ini) dapat difahami dengan seadil-adilnya.

    “Manfaat kepada premis judi tak banyak pun, melainkan hanya tauke saja yang untung, (selain itu) lebih banyak mudarat kepada orang ramai,” katanya.

    Sanusi berkata, mesyuarat Exco kerajaan negeri Kedah minggu lalu turut memutuskan untuk mengehadkan penjualan minuman keras di semua premis, khususnya kawasan luar bandar yang tiada permintaan.

    “Di PBT (pihak berkuasa tempatan) yang tiada permintaan, khususnya di luar bandar, penjualan di premis minuman keras juga akan dihadkan.

    “Kita juga telah berbincang dengan kedai bebas cukai di Langkawi dan kedai lain yang tidak mempunyai lesen, tidak lagi menjual arak secara terbuka untuk menjamin akal fikiran rakyat kita agar kekal waras,” jelasnya.

  • Bantuan khas kewangan RM1,000 untuk penjawat awam negeri Kedah

    Bantuan khas kewangan RM1,000 untuk penjawat awam negeri Kedah

    KERAJAAN negeri Kedah bersetuju meluluskan bantuan khas kewangan RM1,000 untuk diberikan kepada setiap seorang penjawat awam dan anggota pentadbiran negeri, bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan mereka.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika membentangkan Bajet Kedah 2022 bertemakan ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Alor Setar hari ini berkata, kerajaan melihat penjawat awam tetap menunaikan amanah dan tanggungjawab, walaupun dalam suasana kerja yang terhad dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

    Beliau berkata ia berdasarkan hasil semua urusan kerajaan tetap berjalan lancar, dan kutipan hasil negeri telah meningkat.

    “Tahun 2021 menyaksikan pelbagai cabaran dan dugaan yang melanda negeri Kedah. Seluruh jentera pentadbiran awam negeri sentiasa bekerjasama dan memberi komitmen yang tinggi semasa pengurusan bencana ketika krisis pandemik COVID-19.

    “Penglibatan jentera awam negeri bagi menguruskan PKOB (Pusat Kawalan Operasi Bencana), PPV (Pusat Pemberian Vaksin), PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19) dan PICK (Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan), telah memudahkan pelbagai penyaluran bantuan.

    “Terkini pula, kerajaan negeri menghadapi bencana banjir di beberapa daerah disebabkan hujan lebat luar jangka dan fenomena air pasang besar. PKOB Daerah diaktifkan 24 jam dan beberapa pusat pemindahan sementara telah dibuka bagi membantu mereka yang ditimpa musibah,” katanya.

    Sehubungan itu, Muhammad Sanusi mengharapkan pemberian itu dapat menyuntik semangat semua penjawat awam negeri untuk terus meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.- BERNAMA

  • Sanusi tak akan minta maaf kepada Mukhriz

    Sanusi tak akan minta maaf kepada Mukhriz

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor tidak akan sama sekali membuat permohonan maaf berikutan pendedahannya berhubung pemindahan wang bernilai RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah yang didakwa dilakukan ketika Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menjadi Menteri Besar.

    Menurutnya, ketika ini beliau amat mengharapkan supaya pihak berkuasa melakukan siasatan seadil-adilnya memandangkan dokumen-dokumen berkaitan hal itu sudah pun sampai kepada pihak berkuasa.

    “Saya takkan maaf dan sudah melakukan apa yang sepatutnya. Saya berharap jika benar pemindahan wang itu berlaku, satu hari nanti wang itu dapat dipulangkan.

    “Lain-lain perkara saya tak mahu ulas kerana dibimbangi mengganggu siasatan. Ke negara mana duit itu sampai, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan siasat,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

    Semalam Mukhriz meminta Muhammad Sanusi membuat laporan kepada pihak berkuasa agar dakwaan tersebut dapat disiasat sepenuhnya.

    Jika tidak, kata Mukhriz, Muhammad Sanusi perlu membuat permohonan maaf kerana membuat tuduhan yang dianggap liar itu.

    Sementara itu Muhammad Sanusi berkata, terdapat empat transaksi dilakukan dalam pemindahan wang tersebut yang dilakukan pada 2014.

    “Empat transaksi itu bernilai RM3.295 juta, RM3.315 juta, RM3.305 juta dan RM3.278 juta,” jelasnya.

    Sementara itu Mukhriz berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan penasihat perundangannya untuk membincangkan mengenai tindakan yang akan diambil selepas ini.

    “Dalam masa sama, saya tegas menafikan apa yang didakwa itu dan sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis atau SPRM yang menyiasat isu ini,” katanya.

  • RM13j wang MBI ke Kanada semasa Mukhriz jadi MB?

    RM13j wang MBI ke Kanada semasa Mukhriz jadi MB?

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Sebanyak RM13 juta wang milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah didakwa dipindahkan ke dalam akaun di luar negara ketika Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menjadi Menteri Besar Kedah sebelum ini.

    Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa, beliau sehingga kini masih lagi menyimpan slip bank berkaitan pemindahan wang tersebut yang didakwa berpangkalan di Kanada.

    Bagaimanapun beliau tidak langsung mendedahkan siapa pemilik akaun tersebut dan tujuan ia dipindahkan ke luar negara.

    “Saya tak ungkitkan hal lama tetapi dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Mukhriz sebut mengenai membangkitkan hal lama. Rasanya selama ini saya tak pernah bangkitkan hal beliau.

    “Ada hal lama pemindahan wang Menteri Besar Incorporated (MBI) ke satu akaun luar negara di Kanada. Berlaku pada zaman Mukhriz jadi Menteri besar, saya tak pernah sebut pun mengenainya sebelum ini, hari ini baru sebut,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

    Mengulas kenyataan Mukhriz dalam Sidang DUN mengenai kehadiran penasihat yang didakwa membantu dirinya membuat keputusan semasa menjadi Menteri Besar, Muhammad Sanusi secara sinis menegaskan selama ini Mukhriz bukanlah dikelilingi oleh penasihat sebaliknya ‘punah sihat’.

    “Saya bawa satu cerita saja iaitu apabila saya jadi kerajaan, dibawa dalam mesyuarat Exco untuk dibayar satu perbelanjaan yang dibuat oleh penasihat-penasihat Menteri Besar pada masa itu, untuk membekalkan kuih raya. Saya dapati harga beg untuk bekalan itu lebih mahal daripada harga kuih.

    “Sebab itu saya katakan, beliau bukan dikelilingi penasihat sebaliknya dikelilingi ‘punah sihat’,” ujarnya.

    Sementara itu Mukhriz ketika ditanya mengenai dakwaan tersebut dalam sidang akhbar bersama ADUN-ADUN pembangkang pada petang ini mendakwa, beliau mengharapkan Menteri Besar dapat mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung dakwaan itu.

    “Ini satu dakwaan yang cukup serius dan kita mengharapkan Muhammad Sanusi dapat mengeluarkan satu kenyataan rasmi. Tak bolehlah lontar dakyah atau tohmahan begitu saja seolah-olah ‘hit and run’.

    “Ini pertama kali saya dengar mengenai dakwaan tersebut. Jadi saya ingin sarankan supaya Muhammad Sanusi buat laporan polis kalau dia betul percaya benda itu berlaku,” katanya.