Tag: Mohd Amar Abdullah

  • ‘Janji sembelih lembu akan ditepati’ – Nik Amar

    ‘Janji sembelih lembu akan ditepati’ – Nik Amar

    “Janji insyaAllah akan ditepati,” itu jawapan ringkas Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah.

    Beliau diajukan soalan mengenai janjinya untuk menyembelih 20 ekor lembu sekiranya calon Parlimen Tumpat Datuk Mumtaz Md Nawi mendapat majoriti 20,000 undi.

    Beliau menjawab soalan itu melalui aplikasi WhatsApp kepada Harakahdaily malam tadi.

    Sebelum ini ketika menyampaikan ceramah memperkenalkan calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tumpat, beliau antara lain menyebut akan mengorbankan 20 ekor lembu sekiranya Mumtaz memperolehi majoriti 20,000 undi.

    Ucapan Timbalan Menteri Besar Kelantan secara spontan itu diikuti laungan takbir hadirin, ketika menyampaikan ceramah di Padang Puteri Saadong Wakaf Bharu.

    Pada malam itu juga Mohd Amar mengingatkan calon UMNO tanpa menyebut nama dalam ceramahnya itu supaya tidak lagi mengakui sebagai orang Pas.

    Mumtaz berjaya memperolehi majoriti sebanyak 34,793 undi setelah memperolehi undi 65,426 undi jauh meninggalkan lawannya dari Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Putra.

  • Mahkamah Malaysia terbukti bebas – Mohd Amar

    Mahkamah Malaysia terbukti bebas – Mohd Amar

    KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak membuktikan mahkamah di Malaysia bebas daripada sebarang campur tangan mana-mana pihak.

    Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah berkata, keputusan tersebut merupakan perkembangan yang positif.

    “Kalau kita melihat secara terbuka keputusan mahkamah ini membuktikan bahawa mahkamah di Malaysia bebas dan tidak dipengaruhi atau tunduk kepada tekanan mana-mana pihak.

    “Ini merupakan satu mesej yang baik kepada masyarakat dan masyarakat antarabangsa kerana isu ini melibatkan seorang yang berkedudukan tinggi dan dunia memberikan perhatian besar kepada negara kita. Ini satu perkembangan yang positif,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

    Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata demikian ketika mengulas tentang keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan bersalah terhadap Najib.

    Sebelum ini, Najib memohon untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang mendapati beliau bersalah atas satu pertuduhan salah guna jawatan sebagai perdana menteri, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

    Semalam, panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara menolak rayuan Najib untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan.

    Dua lagi hakim yang mendengar permohonan tersebut ialah Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Has Zanah Mehat.

    Walau bagaimanapun hukuman dan denda terhadap Najib ditangguhkan sementara kes dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan.

    Mengulas lanjut, Mohd Amar menegaskan, keputusan tersebut jelas menunjukkan tiada campur tangan politik seperti yang didakwa pihak-pihak tertentu.

    “Kita boleh tengok daripada keputusan ini tidak ada sebarang tekanan dan campur tangan politik.

    “(Ini disebabkan) banyak pihak sebelum ini bercakap atau memberi pandangan bahawa akan berlaku campur tangan politik dalam kes ini,” jelasnya.