Tag: minuman keras

  • Perbincangan larangan jual minuman keras masih berjalan

    Perbincangan larangan jual minuman keras masih berjalan

    PERBINCANGAN mengenai larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina di ibu negara masih diteruskan untuk mencapai kata sepakat semua pihak terlibat sebelum penguatkuasaan larangan penjualannya dilaksanakan.

    Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, sebelum ini terdapat beberapa perjumpaan bersama pihak terlibat termasuk Teresa Kok (PH-Seputeh) untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai Garis Panduan Lesen Minuman Keras (LMK).

    Beliau berkata, keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menangguhkan pelaksanaan penguatkuasaan garis panduan itu hingga 31 Oktober sebelum ini adalah bagi memberi ruang untuk perbincangan lanjut.

    “Perjumpaan ini belum habis lagi…kita bukan sahaja perlu fikir tentang (kepentingan) penjual, malah tentang orang yang membeli. Kerajaan Keluarga Malaysia menghormati orang Islam dan bukan Islam.

    “Saya tak mahu buat keputusan dengan keadaan Yang Berhormat (Teresa) terbuku di hati (tidak puas hati) dan saya pun tak seronok untuk membuat keputusan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan Teresa yang bertanya adakah kementerian itu akan meneruskan perbincangan dengan semua pihak terlibat dalam isu berkenaan.

    Mengulas lanjut, Shahidan menjelaskan jumlah LMK yang diluluskan sebelum ini adalah mencukupi, namun penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan kerana penjualan minuman keras secara terbuka adalah tidak wajar.

    “Ini melibatkan (masalah) anak muda membeli minuman itu dan terdapat juga minuman yang tidak dibenarkan Kementerian Kesihatan dijual di mana-mana. Ini membimbangkan dan kita terpaksa adakan undang-undang untuk menyekat kemudahdapatan minuman itu,” katanya.

    Beliau berkata walaupun terdapat larangan jualan minuman keras di premis tertentu, masyarakat bukan Islam masih boleh mendapatkan minuman itu di lokasi yang dibenarkan seperti hotel, pub, bar dan kedai runcit yang dikhususkan untuk menjual produk itu. – BERNAMA

  • PGA rampas rokok seludup, minuman keras lebih RM2j

    PGA rampas rokok seludup, minuman keras lebih RM2j

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) Briged Utara merampas pelbagai jenis rokok dan minuman keras tanpa kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang dianggarkan bernilai RM2.02 juta, dan menahan dua lelaki disyaki penyeludup dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Stesen di sini awal pagi tadi.

    Kedua-dua lelaki berusia 51 dan 59 tahun itu ditahan hasil maklumat dan risikan menerusi Op Kontraban yang dijalankan Cawangan Risik Briged Utara pada kira-kira pukul 2.15 pagi.

    Timbalan Komander PGA Briged Utara ACP Noh Khamis berkata serbuan di premis yang dijadikan stor penyimpanan itu membawa kepada penemuan 4,105 karton pelbagai jenis rokok, 38,628 tin arak dan 3,421 botol minuman keras.

    “Kita turut merampas sebuah lori dan kenderaan pacuan empat roda. Penyeludupan dilakukan dengan menggunakan lori, dan bungkusan plastik digunakan untuk mengelak dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

    Beliau berkata hasil risikan mendapati kumpulan itu telah aktif sejak enam bulan lepas dan barangan seludup itu diambil dari kawasan Lembah Klang untuk diedar ke kawasan perkampungan Orang Asli serta kedai runcit berhampiran di Bidor, Kampar, Tapah, Teluk Intan dan Cameron Highlands di Pahang.

    Noh berkata kedua-dua tangkapan serta rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah untuk siasatan lanjut, dan beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan itu supaya menghubungi Cawangan Risik dan Gerakan Briged Utara dengan menelefon 05-5406666 bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan haram.- BERNAMA

  • Tiga lelaki ditahan seludup minuman keras lebih RM900,000

    Tiga lelaki ditahan seludup minuman keras lebih RM900,000

    Polis menahan dua lelaki warga tempatan dan seorang warga asing, kerana disyaki terlibat menjalankan penyeludupan minuman keras tidak bercukai dianggarkan bernilai RM972,729 dalam serbuan di sekitar Petaling Jaya dan Subang Jaya, di sini semalam.

    Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am SAC Muhammad Abdul Halim dalam kenyataan hari ini berkata kesemua suspek berusia 28 hingga 58 tahun itu memiliki 631 kotak minuman keras.

    Beliau berkata dalam serbuan pertama pihaknya merampas 230 kotak bir pelbagai jenis dipercayai tidak bercukai, tiga buah kenderaan dipercayai digunakan dalam menjalankan aktiviti penyedulupan dan empat  telefon bimbit.

    Muhammad berkata serbuan kedua, polis merampas 401 kotak bir pelbagai jenis juga tidak bercukai dan jumlah keseluruhan rampasan arak adalah sebanyak 11,827 tin serta botol yang mengandungi alkohol 4 hingga 40 peratus melibatkan 6,338 liter.

    Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 manakala serbuan itu berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran minuman keras yang tidak bercukai beroperasi di rumah bertingkat di sekitar Lembah Klang.- BERNAMA