Tag: MIC

  • ‘UMNO dipersila bertanding guna logo sendiri’, kata MIC

    ‘UMNO dipersila bertanding guna logo sendiri’, kata MIC

    NAIB Presiden MIC, Datuk T Mohan berkata, UMNO dipersilakan untuk bertanding menggunakan logo sendiri dalam mana-mana pilihan raya, jika parti itu yakin menjadi pilihan pengundi kawasan.

    Tegas beliau, MIC tidak mempunyai halangan untuk UMNO berbuat demikian sekiranya parti itu mendapat kepercayaan pengundi di kawasan yang dipertandingkan.

    Beliau bagaimanapun berkata, konsep utama Barisan Nasional (BN) adalah kebersamaan antara parti komponen yang dipegang sejak puluhan tahun lalu.

    “Terpulang kepada fikiran UMNO jika mahu bertanding atas tiket sendiri, sekiranya mereka mendapat kelebihan majoriti kaum. Jika kawasan itu Melayu, mungkin itu boleh dilakukan.

    “Tetapi mengikut konsep kebersamaan BN yang dipegang sejak puluhan tahun, walau siapa pun calon yang dipilih tanpa mengira Melayu atau India, kita sentiasa bersama MCA, parti Sabah dan Sarawak.

    “Apa yang mustahak kita perlu tanya ialah, adakah parti itu masih kekal relevan dan pemimpin parti itu sendiri masih relevan,” katanya kepada Berita Harian, hari ini.

    Semalam, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said melontarkan persoalan sama ada parti itu boleh mempertimbang untuk bertanding atas tiket UMNO berbanding logo BN pada pilihan raya akan datang.

    Ia dilontarkan Azalina ketika UMNO kini berdepan penolakan orang Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu, selain ‘perselisihan’ dalaman dikhabarkan meletus antara kepimpinan parti komponen BN sejak berakhir Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.

    “Izinkan saya untuk melontarkan persoalan ini, adakah sudah tiba masanya untuk UMNO bertanding atas tiket UMNO pada pilihan raya akan datang atau masih lagi di bawah bendera BN, ataupun di bawah BN dengan gabungan baharu?” katanya.

    Mengulas lanjut, Mohan berkata, MIC sendiri mengakui mereka sukar untuk menang sekiranya bertanding atas tiket sendiri tanpa kehadiran parti komponen BN.

    “Pendirian kita jika mahu bertanding bukan berdasarkan perkauman atau menggunakan logo sendiri. Kita tahu kita sukar menang walaupun mempunyai majoriti kaum,” katanya.

    Beliau turut berkata, MIC sebenarnya tidak terkejut dengan persoalan yang dikeluarkan oleh Azalina itu malah menganggap ia sebagai kenyataan peribadi selagi ia tidak dikeluarkan oleh Presiden UMNO.

    “Itu pendirian dia, bukan hadir daripada Presiden UMNO,” katanya yang mengesahkan, tiada perbincangan antara pemimpin parti komponen berhubung perkara itu setakat ini.

  • MIC, MCA tak tanding PRN sebab diketepi rundingan kerusi – Vigneswaran

    MIC, MCA tak tanding PRN sebab diketepi rundingan kerusi – Vigneswaran

    PRESIDEN MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran mendakwa, MCA dan MIC diketepikan dalam soal pembahagian kerusi antara sebab kedua-dua parti itu mengambil keputusan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

    “Antara sebab MIC tidak bertanding dalam PRN ini adalah kerana dasar pihak yang menang akan dikekalkan di kerusi tersebut, sementara kerusi yang dimenangi pembangkang akan dibincangkan dalam rundingan.

    “Tapi, semasa rundingan tidak pernah membincangkan memberi kerusi kepada MCA dan MIC khususnya di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. Selain itu UMNO juga tidak bersungguh-sungguh ketika mengadakan perbincangan kerusi bagi pihak MCA dan MIC.

    “Walaupun, mereka kata akan beri kerusi kepada kami, tapi perkara itu tidak dibincang dalam rundingan. Atas faktor itu, kami mengambil keputusan untuk tidak bertanding dalam PRN ini,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat MIC, di Kuala Lumpur hari ini.

    Bagaimanapun, tidak jelas jika MCA secara rasmi berkongsi pandangan sama dengan Vigneswaran dan Malaysiakini sedang menghubungi kepimpinan MCA bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

    Sebelum ini, MCA dan MIC dalam kenyataan berbeza menjelaskan punca dua parti itu tidak akan bertanding dalam PRN yang akan diadakan pada 12 Ogos ini.

    Bagaimanapun, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker ketika itu berkata, partinya tidak bertanding PRN bertujuan untuk mengendurkan ketegangan kaum.

    Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung MIC, R.T. Rajasekaran berkata, dengan keputusan tersebut, parti itu juga secara rasmi tidak akan mempertahankan Dewan Undangan Neeri (DUN) Jeram Padang di Negeri Sembilan yang dimenangi L. Manickam pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Menjelaskan pendirian MIC, Rajasekaran berkata, pengagihan kerusi dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak pernah dibincangkan di peringkat parti berkenaan.

    Untuk rekod, hanya UMNO mewakili BN dalam rundingan kerusi bersama PH.

    Selain itu, Vigneswaran juga berkata, formula ‘kerusi yang menang akan dikekalkan’ tidak sesuai kepada MIC.

    “Kalau kita setuju dengan formula yang sama pada PRU16, MIC hanya boleh bertanding di kerusi Parlimen Tapah sahaja.

    “Jadi, rundingan sebegini tidak sesuai kepada MIC. Masa depan parti lebih penting berbanding bertanding dalam PRN,” katanya.

    Untuk rekod, pada PRU15, MIC hanya menang satu kerusi Parlimen daripada 10 kerusi yang ditandingi oleh parti itu.

    Timbalan Presiden MIC, DatuK Seri M. Saravanan berjaya mempertahankan kerusi Tapah bagi penggal keempat dalam pertandingan enam penjuru dengan majoriti 5,064 undi pada pilihan raya umum 2022 itu.

  • Saravanan tak nafi ahli MIC terlibat tuntutan palsu PenjanaKerjaya

    Saravanan tak nafi ahli MIC terlibat tuntutan palsu PenjanaKerjaya

    MENTERI Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan hari ini tidak menafikan ada individu dalam kalangan anggota MIC terlibat dalam tuntutan palsu berkaitan Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya).

    Beliau yang juga Timbalan Presiden MIC berkata, bagaimanapun penglibatan individu dalam tuntutan palsu itu tidak mempunyai kaitan dengan parti MIC.

    “Saya setakat ini tidak ada sebarang maklumat (mengenainya) tapi saya tidak boleh nafikanlah penglibatan individu, tapi itu tidak ada kaitan dengan MIC,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Beliau ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Flex Penang berhubung usaha memperkasa penempatan pekerjaan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), di kilang Flex Plan 5, di Bukit Mertajam hari ini.

    Saravanan berkata demikian sebagai mengulas dakwaan beberapa pihak yang didengarinya, mengenai beberapa anggota parti politik itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terlibat tuntutan palsu berkaitan PenjanaKerjaya.

    SPRM sebelum ini dilaporkan menahan reman 40 individu bagi membantu siasatan isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif PenjanaKerjaya di beberapa negeri menerusi Op Hire beberapa hari lepas.

    Sementara itu, Kementerian Sumber Manusia mahu lebih banyak syarikat yang berjaya membantu melahirkan peluang pekerjaan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

    Saravanan berkata, ketika ini, pihaknya sedang bekerjasama dengan beberapa syarikat besar bagi membantu memberi pekerjaan kepada golongan itu dan ia selari dengan aspirasi kerajaan supaya tiada mana-mana lapisan masyarakat tercicir daripada arus pembangunan.

    “Saya mengucapkan terima kasih kepada Flex Pulau Pinang yang telah mengambil inisiatif bekerjasama dengan Perkeso bagi memberi ruang dan peluang kepada OKU untuk mendapatkan peluang pekerjaan kepada golongan itu, saya harap lebih ramai majikan mencontohi inisiatif proaktif tersebut bagi merancakkan penempatan pekerja OKU.

    “Maka dengan adanya perjanjian ini, Perkeso akan kenal pasti OKU dan akan dipanjangkan kepada Flex Pulau Pinang untuk memberi peluang pekerjaan dengan memberi temu duga kepada mereka, kita lihat Flex melahirkan suasana seperti ini dan saya yakin syarikat lain jua akan mengikutinya,” katanya.

    Perkeso diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed manakala Flex Pulau Pinang oleh Naib Presidennya, P Viswanathan.

    Pada majlis itu, Saravanan turut merasmikan Hab Satelit MYfutureJobs@Flex.

    Antara bidang kerjasama strategik di bawah MoU itu merangkumi aspek penyelidikan dan pengajaran, program kebolehpasaran kerjaya, perkhidmatan pekerjaan menerusi Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs, sesi Training of Trainers (TOT) dan Program Return to Work (RTW) Perkeso. – BERNAMA

  • MIC tidak setuju PRU-15 dalam masa terdekat

    MIC tidak setuju PRU-15 dalam masa terdekat

    MIC tidak bersetuju dengan cadangan agar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat.

    Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, masa terbaik untuk mengadakan PRU adalah ketika orang ramai selesa untuk keluar mengundi.

    Menurut beliau, keadaan sekarang tidak mengizinkan perkara itu berikutan pandemik Covid-19.

    “Kita boleh adakan PRU bila-bila masa. Tetapi untuk merasai demam pilihan raya adalah dengan memberi keselesaan kepada rakyat bergerak dan pembangkang serta kerajaan boleh berkempen.

    “Masa terbaik untuk mengundi adalah ketika rakyat selesa untuk keluar mengundi. Sudah pasti sekarang bukan masanya,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

    Kebelakangan ini timbul gesaan daripada kumpulan dalam UMNO agar PRU-15 dipercepatkan.

    Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat antara yang mengetuai gesaan tersebut susulan kemenangan besar UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan lepas.

    Menurut Ahmad Zahid, memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH) bukanlah ‘kitab suci’ untuk menghalang PRU lebih awal.

    Sebelum ini Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan juga menggesa Ismail Sabri mempertimbangkan cadangan untuk mempercepatkan PRU-15 dengan mengatakan sentimen rakyat kini teguh bersama BN.

    Sementara itu terdapat kumpulan dalam UMNO tidak bersetuju PRU diadakan dalam waktu terdekat, sebaliknya menggesa pemilihan parti itu diadakan segera sebelum November tahun hadapan.

  • PRU-15: MIC minta BN beri kerusi boleh menang

    PRU-15: MIC minta BN beri kerusi boleh menang

    MIC meminta Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi kerusi boleh menang kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran membuat rayuan tersebut ketika menyampaikan ucapan dasar pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-75 MIC di Kuala Lumpur, hari ini.

    “MIC terbuka untuk bertanding di kawasan tradisional atau kawasan baharu, berdasarkan keperluan politik semasa,” katanya seperti memetik laporan Free Malaysia Today.

    Walau bagaimanapun, beliau meminta supaya calon-calon dari partinya diberikan kawasan Parlimen atau kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana mereka mempunyai peluang untuk bertanding.

    Beliau turut menggesa BN memperuntukkan kerusi secepat mungkin supaya parti komponen boleh melantik penyelaras bagi memulakan persediaan menghadapi pilihan raya.

    Pemimpin BN yang hadir pada mesyuarat agung itu termasuk Ahmad Zahid; Bendahari Agung UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dan Timbalan PPresiden MCA, Datuk Mah Hang Soon.

    Vigneswaran juga yakin MIC mampu memenangi semula kerusi parlimen yang tewas pada pilihan raya sebelum ini jika diberi peluang sepenuhnya.

    Beliau juga berkata kredibiliti parti yang semakin pudar dalam kalangan pengundi India bukan hanya akibat fitnah pembangkang, tetapi juga disebabkan ‘perang dingin’ dengan sebuah ‘rakan parti dalam BN’.

    Sehubungan itu,Vigneswaran meminta Pengerusi BN untuk memastikan agar ‘rakan’ tersebut tidak dibenarkan bertanding di mana-mana kerusi MIC, sambil mempersoal keupayaan mereka untuk memenangi undi bagi gabungan politik berkenaan.

    “Selain persahabatan, apa lagi yang mereka bawa ke meja (gabungan)?” soalnya.

    Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, BN berjanji menawarkan MIC ‘peluang bertanding’, sambil menambah, beliau akan memutuskan agihan kerusi dalam tempoh dua minggu akan datang.

  • Raven Kumar menang tanpa bertanding Ketua Pemuda MIC

    Raven Kumar menang tanpa bertanding Ketua Pemuda MIC

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, K. Raven Kumar dipilih menjadi Ketua Pemuda MIC baharu bagi penggal 2021-2024 selepas diumumkan menang tanpa bertanding pada penamaan sayap peringkat kebangsaan dan negeri parti itu hari ini.

    Keputusan itu diumumkan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran selepas proses pencalonan selama tiga jam di ibu pejabat parti itu di sini, ditutup pada 1 tengah hari.

    Raven Kumar, 38, sebelum ini merupakan Ketua Putera MIC dari 2015 hingga 2018 menggantikan R.Thinalan yang tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda.

    Sementara itu, jawatan Ketua Wanita pula bakal menyaksikan pertembungan antara penyandangnya J. Usha Nandhini dengan bekas Ketua Wanita 2013 hingga 2018 Datuk Mohana Muniandy.

    Usha Nandhini, 49, pernah menjawat jawatan Ketua Puteri dari 2003 hingga 2013 sebelum menjadi Ketua Wanita setelah menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti pada 2018.

    Mohana, 45, tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti pada 2018, namun membuat kemunculan semula pada pencalonan hari ini.

    Vigneswaran turut mengumumkan A. Kishva, 30, menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Putera bagi menggantikan penyandangnya S. Padmarajah yang tidak mempertahankan jawatan tersebut.

    Selain itu, R. Puvaneswary, 34, diumumkan sebagai Ketua Puteri parti selepas menang tanpa bertanding bagi menggantikan CM Hemalatha yang juga tidak mempertahankan jawatan berkenaan.

    Pemilihan peringkat sayap parti itu dijadualkan pada 30 Okt ini.

    Penamaan calon bagi jawatan tertinggi parti termasuk ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC akan berlangsung pada 19 Nov manakala pemilihan pada 26 Nov.

    Raven Kumar ketika ditemui pemberita berjanji akan meningkatkan taraf hidup pemuda India di negara ini khususnya melalui bidang pendidikan, sukan dan kebudayaan.

    “Kami juga akan fokus dan bantu usaha kerajaan dalam pelaksanaan Undi 18,” katanya. – BERNAMA

  • Kurang komitmen laksana Undi 18 jauhkan pengundi muda

    Kurang komitmen laksana Undi 18 jauhkan pengundi muda

    SEBARANG tindakan yang seolah-olah menunjukkan kerajaan tidak komited untuk melaksanakan Undi 18 akan hanya terus menjauhkan lagi pengundi muda dari terlibat dalam sebarang usaha kerajaan.

    Ketua Pasukan Khas Undi Automatik 18 Tahun Barisan Nasional (BN), Datuk Sivarraajh Chandran berkata, untuk berdepan dengan pandemik, kerajaan memerlukan penglibatan segenap masyarakat.

    Beliau yang juga Naib Presiden MIC memberitahu, ia termasuk penglibatan secara langsung ataupun tidak langsung pengundi muda dalam pentadbiran dan pengurusan negara.

    “Sekretariat Undi Automatik 18 Tahun BN juga berharap pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan segera bergerak untuk melaksanakan beberapa usaha termasuk penganjuran kelas-kelas pendidikan politik dan pentadbiran secara dalam talian melibatkan kerjasama rentas parti disamping menggerakkan pelbagai inisiatif untuk menggalakan pengundi muda untuk terus bersiap sedia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Sivarraajh mengulas tentang pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengarahkan SPR bersiap sedia melaksanakan Undi 18 sebelum 31 Disember 2021 seperti yang diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuching.

    Beliau menambah, walaupun Wan Junaidi dalam pengumuman yang sama telah menyatakan bahawa kerajaan belum memutuskan sama ada untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuching atau sebaliknya, sekretariat berharap agar kerajaan tidak akan merayu keputusan tersebut.

    SivArraajh juga berpandangan, pengumuman Wan Junaidi itu menunjukkan komitmen kerajaan melaksanakan inisiatif berkenaan adalah selaras dengan gagasan Keluarga Malaysia yang memberi penekanan pada usaha membina negara bangsa yang lebih inklusif dengan penglibatan segenap masyarakat.

    “Sekretariat Undi Automatik 18 Tahun BN berharap agar semua pihak yang terlibat akan terus mendukung dan menyokong usaha pemerkasaan hak anak muda demi ini masa hadapan masyarakat dan negara,” jelasnya.

    Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan SPR dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini.

    Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.