Tag: Mexico

  • 47 mayat dalam guni ditemui bawah lantai kelab malam

    47 mayat dalam guni ditemui bawah lantai kelab malam

    SEBUAH kubur besar yang ditanam dengan 47 mayat dalam guni di bawah lantai sebuah kelab malam di Tenango del Valle, ditemui pihak berkuasa Mexico, minggu lalu.

    Penemuan kubur itu dipercayai ada kaitan dengan Kartel Generasi Baharu Jalisco, kartel paling kejam di Mexico susulan penahanan sembilan individu yang didakwa anggota kumpulan berkenaan.

    Lapor The US Sun, suspek membawa anggota polis ke sebuah gudang perindustrian yang bertukar menjadi kelab malam di Tenango del Valle, kira-kira sejam dari Mexico City.

    Semua mayat berkenaan ditemui selepas polis terpaksa menggunakan penggali tapak bangunan untuk memecahkan lantai bangunan di kejiranan La Joya.

    Pegawai penyiasat terkejut dengan penemuan kubur besar di bawah tanah, di mana sekurang-kurangnya 20 mayat ditemui.

    Sebanyak 47 guni berisi mayat manusia dikeluarkan untuk pemeriksaan forensik.

    Jumlah sebenar mangsa dan identiti mereka masih belum diketahui.

    Pakaian lelaki dan wanita turut ditemui di tapak berkenaan.

    Polis turut dibawa ke beberapa lokasi berbeza, termasuk gudang di Tenango del Valle.

    Antara yang ditahan ialah ketua kartel, Jaime Luis ‘El Pozolero’, yang dituduh menculik seorang wanita di Tenancingo tahun lalu

  • Mayat wartawan bebas Mexico ditemukan, petugas media ke-14 dibunuh tahun ini

    Mayat wartawan bebas Mexico ditemukan, petugas media ke-14 dibunuh tahun ini

    MAYAT Juan Arjon Lopez, seorang wartawan bebas,ditemukan di utara Mexico, menjadikan jumlah wartawan dan petugas media yang dibunuh setakat ini pada 2022, kepada 14 orang, kata pegawai pada Selasa.

    Semasa satu sidang media, Peguam Negeri Sonora, Claudia Indira Contreras Cordova berkata Lopez hilang sejak 9 Ogos, lapor Agensi Anadolu.

    “Kami baru menerima maklumat terdapat penemuan yang bertepatan dengan orang yang ditemukan mati dengan maklumat kami mengenai beberapa tatu di badan wartawan itu,” katanya.

    Menurut rakan sekerja dan ahli keluarga Lopez, wartawan portal maklumat A Qué Le Temes yang berusia 62 tahun itu kali terakhir dilihat pada 8 Ogos, dan mereka mula melaporkan kehilangannya melalui media sosial.

    Selepas berita mengenai kehilangan Lopez tersebar luas, pihak berkuasa di Sonora menganjurkan pasukan mencari. Bagaimanapun, pencarian itu tidak rasmi kerana tiada laporan rasmi dibuat.

    Pada 10 Jan, wartawan Jose Luis Gamboa ditemukan mati di negeri Veracruz. Sejak itu, berlaku gelombang pembunuhan yang menjadikan 2022 tahun paling banyak mencatat pembunuhan wartawan.

    Keganasan terhadap pengamal media telah berleluasa dan menjadi sumber kritikan terhadap Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador.- BERNAMA

  • [VIDEO] Ketua kartel dadah antarabangsa ditangkap

    [VIDEO] Ketua kartel dadah antarabangsa ditangkap

    PIHAK berkuasa Mexico pada Jumaat memaklumkan Rafael Caro Quintero, anggota pengasas sebuah daripada kartel dadah terbesar Mexico, ditahan tentera laut.

    Caro Quintero, bersama rakan kongsi, Miguel Angel Felix Gallardo, menjadi pengasas bersama Kartel Guadalajara, sebuah daripada tiga kartel dadah terbesar Mexico.

    Kartel Guadalajara didakwa menerajui penyeludupan ganja, kokain dan heroin ke Amerika Syarikat (AS), menjadikannya sebagai sasaran utama pihak berkuasa AS, lapor Agensi Anadolu.

    Pernah ditahan pada 1985 atas pelbagai tuduhan termasuk menculik, mendera dan membunuh ejen Agensi Penguatkuasaan Dadah AS (DEA), Enrique “Kiki” Camarena, Caro Quintero dibebaskan pada 2013 selepas merengkuk selama 28 tahun di penjara.

    Camarena berjaya menyusup ke dalam Kartel Guadalajara dan menjadi tamparan hebat terhadap kartel berkenaan.

    Menerusi satu operasi bersama dengan DEA pada 1984, pihak berkuasa Mexico merampas 4,000 tan marijuana di sebuah ladang milik Caro Quintero dan dianggap rampasan dadah terbesar dalam sejarah negara berkenaan.

    Caro Quintero menyalahkan Camarena yang mengakibatkannya kerugian berpuluh juta dolar dan mengarahkan supaya ejen DEA itu diculik dan dibunuh.

    Selepas hakim persekutuan membenarkan dia dibebaskan pada 2013, Pejabat Peguam Negara Mexico mengeluarkan satu lagi waran tangkap terhadap Caro Quintero, kali ini untuk diekstradisi ke AS.

    Sejak itu, Caro Quintero sentiasa menjadi buruan. Dia menjadi pelarian paling dikehendaki DEA dan agensi berkenaan menawarkan ganjaran sehingga AS$20 juta untuk mendapatkan maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah itu.

    Dia berulang kali menafikan terbabit dalam pengedaran dadah. – BERNAMA

  • Penyerang bunuh wartawan, anak perempuan cedera

    Penyerang bunuh wartawan, anak perempuan cedera

    PENYERANG yang tidak dikenali bertindak membunuh wartawan Antonio de la Cruz dari akhbar tempatan Expreso dan mencederakan anak perempuannya di kediaman beliau di Ciudad Victoria, Tamaulipas, lapor Sputnik.

    “Pagi ini, de la Cruz, wartawan akhbar Expreso, dibunuh.

    “Menurut maklumat awal, beliau diserang di rumahnya sendiri di jalan Puerta de la Luna, di kawasan Puerta de Tamatán di Ciudad Victoria,” menurut akhbar itu dalam satu kenyataan pada Rabu.

    Anak perempuannya turut cedera dalam serangan itu.

    Pada 2021, tujuh wartawan Mexico dibunuh, disifatkan sebagai angka tertinggi di dunia, menurut pertubuhan hak asasi manusia Articulo 19.

    Dalam pada itu, seramai 35 wartawan terkorban dalam tempoh tiga tahun Presiden Andres Manuel Lopez Obrador memerintah.- BERNAMA