Tag: menteri kewangan

  • Radzi cadang perkenal akta halang PM jadi menteri kewangan

    Radzi cadang perkenal akta halang PM jadi menteri kewangan

    DATUK Dr Radzi Jidin, (PN-Putrajaya) mencadangkan satu akta diperkenalkan bagi menghalang perdana menteri memegang portfolio menteri kewangan.

    Jelas Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu, Malaysia perlu mengambil iktibar daripada skandal 1MDB, yang berlaku ketika perdana menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak, menerajui kementerian itu.

    Tegas beliau, apa yang disuarakan bukan bermaksud merujuk mana-mana individu tertentu tetapi berkenaan dengan sistem.

    “Kita tak bercakap tentang Tambun (Perdana Menteri Anwar Ibrahim), ini bukan soal individu.”

    “Ini adalah tentang sistem. Kita perlu faham bahawa pemusatan kuasa boleh meningkatkan risiko salah guna kuasa kerana tidak ada semak dan imbang,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, lapor Free Malaysia Today.

    Mengulas lanjut, Radzi berkata, satu sistem tadbir urus negara yang utuh dan kukuh hendaklah diwujudkan bagi memastikan negara tercinta ini diwariskan kepada anak cucu dalam keadaan kewangan yang baik.

    “Oleh yang demikian, saya mencadangkan agar diwujudkan satu akta menghalang perdana menteri untuk memegang jawatan sebagai menteri kewangan,” katanya.

    Pada masa sama, Ahli Parlimen daripada Bersatu menyentuh pendirian pemimpin Pakatan Harapan yang selama ini “menikus” apabila Anwar melantik dirinya sebagai menteri kewangan.

    Sebelum ini, gabungan PH mencadangkan supaya kedua-dua jawatan itu dipisahkan selepas skandal 1MDB.

    Anwar dikritik oleh ahli politik pembangkang dan kumpulan masyarakat sivil kerana menamakan dirinya sebagai menteri kewangan.

    Kebanyakan mereka berkata, Anwar melanggar ikrar PH dalam manifesto PRU14 untuk menghalang perdana menteri memegang jawatan itu.

    Bagaimanapun, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mempertahankan Anwar dan berkata “keadaan luar biasa” menyebabkan perdana menteri mengambil alih portfolio itu.

    Rafizi juga berkata, Anwar memainkan peranan untuk mengelakkan konflik dalam kalangan gabungan dan parti yang membentuk kerajaan perpaduan.

  • UMNOSISWA tuntut pengasingan portfolio Perdana Menteri, Menteri Kewangan

    UMNOSISWA tuntut pengasingan portfolio Perdana Menteri, Menteri Kewangan

    MAHASISWA UMNO Malaysia (UMNOSISWA) menuntut agar pengasingan portfolio Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Presiden UMNOSISWA, Wan Muhammad Zuhir Ghazali berkata, langkah itu adalah selaras dengan janji Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu untuk melakukan reformasi institusi sekiranya menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Menurut Wan Muhammad Zuhir, keputusan untuk Anwar memegang portfolio Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tidak sejajar dengan prinsip tadbir urus baik seperti yang dilaungkan Ahli Parlimen Tambun itu sebelum ini.

    “UMNOSISWA menuntut agar pengasingan peranan portfolio penting ini, menerusi individu yang sama dapat dibereskan dengan segera.

    “Rakyat perlukan semak imbang yang luwes dan berkesan agar akhirnya istilah ‘good governance’ itu tidak semurahnya dilacurkan begitu sahaja,” katanya dalam kenyataan.

    Mengulas lanjut, Wan Muhammad Zuhir berkata, pelantikan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan dilihat bertentangan dengan pentadbiran sebelum ini.

    Jelas beliau, kerajaan terdahulu berani untuk mengubah tradisi tersebut dengan melaksanakan keterasingan kuasa antara jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

    Jelas beliau, walaupun secara politiknya sukar untuk menamakan Menteri Kewangan dalam Kerajaan Perpaduan, namun itu perlu diasingkan terutamanya bagi memastikan proses semak dan imbang berlaku secara efektif.

    “Sementelahan, Anwar sebelum ini dengan tegas mengisytiharkan perkara tersebut tidak seharusnya berlaku dan ia sebagai agenda utama kepada Kerajaan Perpaduan.

    “Komitmen untuk mengasingkan portfolio tersebut juga telah dibuat dengan jelas jika di amati dalam manifesto pilihan raya PH sebelum ini,” katanya, lapor Utusan TV.

  • Anwar jawat Menteri Kewangan langkah keterbelakang – Radzi

    Anwar jawat Menteri Kewangan langkah keterbelakang – Radzi

    TINDAKAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan Menteri Kewangan adalah satu tindakan yang amat terkebelakang dalam sudut tadbir urus sebuah negara.

    Naib Presiden Bersatu, Datuk Radzi Jidin berkata, langkah itu menunjukkan tidak ada peranan semak dan imbang dalam kerajaan.

    Malah kata beliau, ia juga dilihat tidak selari dengan manifesto termasuk slogan reformasi seperti diperjuangkan PKR yang dinaungi Anwar sebagai presidennya.

    “Apabila Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan, maka tiada lagi fungsi semak dan imbang.

    “Perdana Menteri terakhir yang menjadi Menteri Kewangan ialah Datuk Seri Najib (Razak). Perdana Menteri selepas itu, Tun Dr Mahathir (Mohamad), Tan Sri Muhyiddin (Yassin) dan Datuk Seri Ismail Sabri (Yaakob) tidak memegang portfolio Menteri Kewangan.

    “Bahkan ketiga-tiga Perdana Menteri ini tidak memegang sebarang portfolio menteri,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau semalam.

    Mengulas lanjut, Radzi yang juga bekas Menteri Kanan Pendidikan berkata, Timbalan Presiden PKR juga pernah menulis di Facebook bahawa beliau telah memfailkan satu rang undang-undang (RUU) persendirian untuk menggubal satu akta yang menghalang seorang Perdana Menteri daripada melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan.

    Selain itu kata beliau, di bawah janji 12 dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) bahawa Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain, terutamanya Menteri Kewangan.

    Malah terdapat kenyataan yang pernah dibuat seorang anggota Majlis Presiden PH iaitu Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dalam satu ceramah, apabila tidak bersetuju Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan.

    “Pemimpin PH sendiri dengan sedar tidak bersetuju pelantikan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan. Rakyat Malaysia yang memahami tentang tadbir urus negara pun tentunya tidak bersetuju.

    “Apa yang saya lihat pada masa ini, Perdana Menteri banyak bercakap tentang perkara yang telalu kosmetik untuk menyedapkan telinga rakyat.

    “Sebaliknya perkara prinsip dalam struktur pentadbiran yang telah elok dibentuk sebelum ini bila mana Perdana Menteri tidak memegang jawatan Menteri Kewangan, diketepikan.

    “Di mana reformasi yang sentiasa dilaungkan? Adakah reformasi hanya slogan bila jadi pembangkang?” katanya.