Tag: meninggal dunia

  • Sasterawan Zaharah Nawawi meninggal dunia

    Sasterawan Zaharah Nawawi meninggal dunia

    SASTERAWAN Zaharah Nawawi meninggal dunia di Hospital Pakar KPJ Rawang, Selangor pada 7.55 pagi tadi dipercayai akibat penyakit barah.

    Berita itu dikongsikan anak saudara Allahyarham, Mohd Fadhil Jaffar, menerusi hantaran di Facebook hari ini.

    Mohd Fadhil menyifatkan ibu saudaranya itu sebagai seorang yang disenangi dan selalu berfalsafah serta antara seorang yang berjaya di kalangan adik-beradiknya, selain banyak memberi inspirasi.

    “(Beliau) Banyak memberi inspirasi atas kejayaan beliau yang banyak mendapat pengiktirafan, novelis tersohor dan sasterawan disegani… namun terselit juga kisah duka di sebalik suka.

    “Bertarung ke akhir hayat melawan penyakit barah yang dihadapi… Alhamdulillah… dua minggu lepas sempat kami datang menziarah, terpancar senyuman dan kegembiraan dalam menahan kesakitan melihat generasi dan legasi sekarang walaupun sekadar menumpang kasih sayang anak-anak dan cucu-cucu saudara,” katanya.

    Mohd Fadhil juga mendoakan semoga ibu saudaranya ditempatkan bersama orang yang beriman.

    Katanya, jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya selepas Zohor tadi.

    Zaharah, 82, yang merupakan anak kelahiran Kampung Parit Jawa, Mukim Empat, Batu Pahat Johor, dilahirkan pada 5 Mei 1940 dan mula mengasah bakat dalam penulisan pada usia 12 tahun.

    Pencapaian tertinggi yang diraih Zaharah adalah Anugerah Penulis Asia Tenggara (S.E.A Write Award) pada September 1996 di Bangkok, Thailand menerusi novel Anugerah serta Hadiah Karyawan Sastera Johor, Hadiah Sastera Johor Darul Ta’zim pada 1999.

    Dalam kerjayanya, beliau pernah berkhidmat di Utusan Melayu sebagai wartawan di Mingguan Malaysia dan Anggota Sidang Pengarang majalah WANITA dari 1968 hingga 1976 dengan jawatan terakhir Zaharah di Utusan Melayu adalah sebagai Ketua Redaksi majalah MASTIKA.

    Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Editor Umum Penerbitan Berbahasa Malaysia di Berita Publishing (anak syarikat Kumpulan The New Straits Times) dari 1976 hingga 1985.

    Beliau turut pernah menjadi Editor Urusan di Pustaka Cipta Sdn Bhd pada 1985 hingga 1986 selain pernah menjadi Karyawan Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka dari 1997 hingga 1998.

    Antara novel dihasilkan beliau adalah Panglima Salleh, Selempang Merah; Jalur Sinar di Celah Daun; Azah Aziz: Kartika di Langit Seni; Anugerah; Sehelai Daun Yang Gugur; Haruman Kencana; Bulan dan Mentari; Di Hujung Penantian; Semangat Bunga; Wangian Bukit Peranginan serta Warna dan Wajah. – BERNAMA

  • Isteri Wan Junaidi meninggal dunia hari ini

    Isteri Wan Junaidi meninggal dunia hari ini

    DATIN Seri Feona Sim @ Norjanah, 70, isteri kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta di Kuching pada pukul 6 petang tadi.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat Wan Junaidi malam ini, jenazah Allahyarhamah akan dibawa ke kediaman Wan Junaidi di sini malam ini dan solat jenazah akan diadakan pada pukul 9 pagi esok sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Samariang.

    Allahyarhamah mendirikan rumah tangga dengan Wan Junaidi pada 9 Sept 1972 dan dikurniakan tiga anak perempuan.

    Bernama difahamkan Allahyarhamah meninggal dunia akibat mengalami pendarahan dalaman. – BERNAMA

  • Presiden UAE, Sheikh Khalifa Zayed Al Nahyan meninggal dunia

    Presiden UAE, Sheikh Khalifa Zayed Al Nahyan meninggal dunia

    PRESIDEN Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Khalifa Zayed Al Nahyan meninggal dunia hari ini.

    Memetik laporan Khaleej Times, berita itu diumumkan oleh Kementerian Hal Ehwal Presiden UAE.

    “Kementerian Hal Ehwal Presiden ingin menyampaikan kepada rakyat UAE, dunia Arab dan Islam serta seluruh dunia tentang pemergian Sheikh Khalifa Zayed Al Nahyan, Presiden UAE,” katanya dalam satu kenyataan.

    Allahyarham yang berusia 72 tahun memegang jawatan Presiden UAE dan Pemerintah Abu Dhabi sejak 3 November 2004.

    Baginda dilantik menggantikan ayahandanya, Sheikh Zayed Sultan Al Nahyan yang meninggal dunia pada 2 November 2004.

    Dilahirkan pada 1948, baginda merupakan Presiden UAE yang kedua dan Pemerintah Abu Dhabi yang ke-16.

    Baginda merupakan putera sulung Sheikh Zayed.

    Sejak menjadi Presiden UAE, Allahyarham menerajui penstrukturan semula kerajaan Persekutuan dan kerajaan Abu Dhabi secara besar-besaran.

  • Pelajar lelaki meninggal dunia ketika lari rentas desa

    Pelajar lelaki meninggal dunia ketika lari rentas desa

    SEORANG pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Marang, meninggal dunia ketika sedang menjalani latihan merentas desa pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zain Mat Dris berkata, dalam kejadian pada 8.34 pagi itu, pelajar tersebut, Aman Basri Muhd Rohaizi, 16, dikatakan terjatuh ketika sedang berlari dan pengsan.

    “Berdasarkan temu bual bersama beberapa saksi pelajar sekolah yang sama, mereka telah cuba memberi bantuan pernafasan namun keadaan mangsa semakin lemah.

    “Guru yang bertugas telah membawa mangsa ke klinik Pengkalan Berangan untuk menerima rawatan namun doktor memaklumkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, terdapat luka di bahagian atas kening sebelah kanan, calar di bawah dagu sebelah kiri dan calar di belakang tangan sebelah kiri yang dipercayai berlaku semasa mangsa terjatuh.

    “Bapa mangsa telah membuat laporan polis dan menolak proses bedah siasat dilakukan kerana berpuas hati atas sebab kematian. Beliau juga menyatakan tidak akan mengambil sebarang tindakan sekiranya terjadi perkara berbangkit pada masa akan datang,” katanya.

    Hasil pemeriksaan pada fizikal mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – BERNAMA

  • Bekas Pengarang Urusan Bernama meninggal dunia

    Bekas Pengarang Urusan Bernama meninggal dunia

    BEKAS Pengarang Urusan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Mohamad Nasir Yusoff, meninggal dunia hari ini pada usia 62 tahun.

    Anak sulung Allahyarham, Nur Nadzmi Nasirah Mohamad Nasir berkata, arwah yang menghidap pelbagai penyakit, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5.48 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), selepas mengadu kepenatan sejurus mendarat dari Miri, Sarawak.

    “Selepas turun daripada pesawat, arwah mengadu berasa mengah dan penat sangat lalu meminta untuk baring. Tidak lama selepas itu arwah dah tak ada (meninggal). Arwah baru pulang beraya di Miri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata, jenazah ketika ini berada di Jabatan Forensik Hospital Serdang dan dijangka dikebumikan esok pagi di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang.

    Nasirah yang sedang hamil tujuh minggu, berkata, beliau sedikit ralat kerana arwah bapanya yang sangat gembira dengan berita kehamilannya, tidak dapat melihat cucu yang bakal lahir.

    Mohamad Nasir yang memulakan perkhidmatan di Bernama pada 1 Okt 1983 dan bersara wajib pada 7 Mac 2020, meninggalkan isteri, Halimah Piee dan empat anak, iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki.

    Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Roslan Ariffin menyifatkan arwah sebagai seorang rakan sekerja yang berdedikasi sepanjang berkhidmat di Bernama.

    “Saya kehilangan seorang rakan baik dan berasa amat sedih apabila menerima berita tentang pemergian arwah pagi tadi,” katanya.

    Ketua Pengarang Bernama, Khairdzir Md Yunus pula berkata, Allahyarham, yang pernah bertugas sebagai Koresponden Bernama di Jakarta, Indonesia turut aktif dan memainkan peranan besar dalam merapatkan hubungan antara wartawan serumpun Malaysia-Indonesia semasa beliau masih bertugas di Jakarta mahupun sekembalinya ke tanah air.

    “Ini terutamanya menerusi penglibatan aktif beliau dalam Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) sejak beberapa tahun lepas. Pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar buat dunia kewartawanan serumpun baik di Malaysia mahupun di Indonesia,” katanya.

    Beliau berkata, Allahyarham seorang yang sangat berdedikasi dalam menjalankan apa juga tugasan yang diamanahkan kepada beliau, selain kreatif dan banyak memberi idea terutamanya sewaktu beliau memimpin Meja Rencana.

    Katanya, arwah juga seorang yang peramah, baik hati serta tidak lokek membantu sesiapa baik wartawan lama mahupun yang baharu. – BERNAMA

  • Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah meninggal dunia

    Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah meninggal dunia

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah yang kini memegang jawatan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Hashim Jahaya meninggal dunia di kediamannya dekat Taman Suria, Alor Setar awal pagi ini.

    Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Allahyarham dikatakan meninggal dunia kira-kira pukul 2.30 pagi.

    “Saya dimaklumkan semalam beliau menjalani rawatan dialisis akibat penyakit buah pinggang yang dideritai sejak sekian lama, dan pulang ke rumahnya untuk berehat.

    “Beliau dikatakan merasa letih selepas pulang ke rumahnya sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2.30 pagi,” katanya.

    Tambahnya, pemergian Allahyarham yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah merupakan satu kehilangan besar kepada parti.

    “Beliau meninggalkan jasa cukup besar kepada UMNO dan kami amat terasa akan kehilangannya. Sudah tentu kepimpinan UMNO terutamanua di Kuala Kedah merasakan kehilangan kepimpinan beliau.

    “Kami merakamkan ucapan takziah buat keluarga arwah. Dalam pertemuan terakhir kami pada majlis berbuka puasa UMNO Bahagian Kuala Kedah sebelum ini, beliau sempat menyampaikan ucapan serta tunjuk ajar kepada ahli parti dengan semua itu akan menjadi kenangan buat kami,” katanya.

  • Bekas wartawan hiburan Mustafar AR meninggal dunia

    Bekas wartawan hiburan Mustafar AR meninggal dunia

    TOKOH wartawan hiburan, Mustafar Abdul Rahim atau lebih dikenali sebagai Mustafar AR, 79, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban semalam.

    Perkara itu disahkan anak kedua Allahyarham, Muszaidi Mustafar, 50, menerusi catatan di Facebooknya.

    “Mohon doakan Abah saya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.

    Mustafar yang juga bekas wartawan Utusan Malaysia dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang kira-kira 10 pagi ini.

    Allahyarham meninggalkan seorang isteri Zaini Yusop, 76, dan empat anak iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan berusia 41 hingga 51, serta 15 cucu dan dua cucu tiri.

    Mustafar mula bertugas sebagai wartawan di Utusan Melayu pada 1972 sebelum bersara pada 1998 selain turut menghasilkan beberapa buah buku termasuk Filem-Filem P. Ramlee bersama seniman Allahyarham Datuk Aziz Sattar.

    Sementara itu, Muszaidi ketika dihubungi berkata, bapanya yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung, sebelum ini turut mempunyai masalah kesihatan lain termasuk kencing manis dan darah tinggi namun penyakit jantung hanya dikesan pada Januari lepas.

    “Pertama kali abah dimasukkan ke HTJ adalah pada 19 hingga 24 Jan lepas dan dia dah okay tapi 6 hingga 9 April lepas dia sekali lagi dimasukkan ke HTJ kerana lemah jantung, yang terbaharu di Hospital Rembau sejak 20 April hingga semalam.

    “Bagaimana Allahyarham dipindahkan semula ke HTJ kerana jantung sudah 30 peratus berfungsi dan menjejaskan organ lain serta perlu menjalani beberapa prosedur sebelum ahli keluarga dimaklumkan abah meninggal dunia semalam,” katanya.

    Muszaidi berkata, tiada apa-apa perubahan sebelum bapanya meninggal dunia namun beliau lebih banyak menghabiskan masa dan bergurau dengan dengan anak-anak dan cucunya kebelakangan ini.

    Menceritakan keperibadian bapanya, Muszaidi berkata, Allahyarham adalah seorang yang tegas dan komited serta sentiasa inginkan yang terbaik terutama dalam kerjayanya sebagai seorang wartawan.

    “Kalau bab kerja abah memang serius dan kalau beri idea dia akan pastikan orang terima dan dia juga terima pendapat orang lain, apabila berbincang abah akan cuba menjadikan perkara yang dibincangkan itu direalisasikan,” katanya. – BERNAMA

  • Bekas KSN, Tan Sri Ali Hamsa meninggal dunia

    Bekas KSN, Tan Sri Ali Hamsa meninggal dunia

    BEKAS Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa meninggal dunia di Hospital Dublin, Ireland hari ini.

    Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan perkara tersebut dalam kenyataan media serta mewakili seluruh warga perkhidmatan awam merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

    Beliau menyifatkan Ali sebagai tokoh besar dalam perkhidmatan awam negara.

    “Beliau merupakan anak jati Johor serta dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara ke-13, menyertai Perkhidmatan Tadbir dan
    Diplomatik pada tahun 1981.

    “Menelusuri sejarah gemilang perkhidmatannya, beliau telah menabur bakti di pelbagai kementerian dan jabatan antaranya di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pengangkutan, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri.

    “Sesungguhnya, pemergian beliau di bulan Ramadan yang mulia ini merupakan satu kehilangan besar kepada negara dan perkhidmatan awam.

    “Semoga Allah SWT merahmati dan menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.

    Ali meninggalkan isteri iaitu Puan Sri Rohani Abdullah dan empat orang anak.

    Allahyarham yang berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Negara selama enam tahun mulai dari 2012 juga pernah memegang jawatan sebagai pengerusi Program Perumahan 1Malaysia (PPA1M), ahli Jawatankuasa Pakar Pentadbiran Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN CEPA) dan Pengerusi Institut Integriti Malaysia.

    Sementara itu, memetik laporan Bernama, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Datuk Seri Mohammad Mentek menyifatkan Ali sebagai seorang mentor dan pendengar yang baik.

    “Saya mengenali arwah agak lama, banyak pengalaman saya bersama beliau iaitu sejak saya memasuki kursus kadet pegawai tadbir diplomatik, beliau adalah fasilitator saya. Ia adalah kehilangan besar kepada negara,” katanya yang mewakili warga K-KOMM mengucapkan takziah kepada keluarga Ali.

    “Semoga dipermudahkan segala urusan dan tabah menghadapi cabaran ini, sama-sama kita berdoa agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman,” kata Mohammad selepas merasmikan Program ‘Jom Baca Bersama 10 Minit’ peringkat kementerian di sini hari ini.

    Mengimbau pengalaman bekerja dengan Ali, Mohammad berkata beliau terharu apabila diberi kepercayaan menerajui Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sebagai ketua pengarah sebelum ini.

    “Tan Sri (Ali) adalah seorang yang senang didekati, beliau pendengar yang baik. Beliau juga amat berjasa kepada penjawat awam dari segi urusan kebajikan, kenaikan pangkat dan juga aspek perumahan,” kata Mohammad.

  • Isteri Undang Luak Rembau meninggal dunia

    Isteri Undang Luak Rembau meninggal dunia

    TOK Puan Siti Ramalah Yunus, isteri kepada Undang Luak Rembau, Datuk Lela Maharaja, Datuk Muhamad Sharip Othman meninggal dunia pagi tadi akibat kegagalan buah pinggang.

    Datuk Perba, Abdul Razak Mohd Yassin berkata, Allahyarhamah, 77, meninggal dunia di kediaman rasmi Datuk Undang Luak Rembau kira-kira 9.15 pagi tadi.

    “Jenazah Allahyarhamah akan dikebumikan selepas asar. Allahyarhamah dan Datuk Muhamad Sharip memiliki enam anak lelaki,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Jenazah akan disolatkan di surau Balai Kediaman Rasmi Undang Luak Rembau sebelum dibawa ke Kampung Mungkal, Rembau untuk dikebumikan. – BERNAMA

  • Adik Anwar Ibrahim meninggal dunia hari ini

    Adik Anwar Ibrahim meninggal dunia hari ini

    ADIK kepada Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rusli meninggal dunia pada usia 74 tahun di Hospital Selayang, hari ini.

    Presiden PKR yang juga ketua pembangkang itu memaklumkan perkara berkenaan menerusi laman Twitter hari ini.

    “Adik saya Rusli Ibrahim baru sahaja menyahut panggilan ilahi di Hospital Selayang sebentar tadi. Mohon teman-teman mendoakan rohnya diberikan tempat terbaik oleh Yang Maha Esa,” katanya.

    Difahamkan, Allahyarham Rusli meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira 2.20 petang tadi selepas berada di Hospital Selayang sejak beberapa minggu yang lepas dan jenazah akan dibawa ke Masjid Al-Ubudiah sebelum dikebumikan di tanah perkuburan sekitar Ampang, malam ini. – BERNAMA