Tag: meninggal dunia

  • Bapa Soh Chin Ann meninggal dunia akibat uzur

    Bapa Soh Chin Ann meninggal dunia akibat uzur

    BAPA legenda bola sepak negara Datuk Soh Chin Ann, Soh Tee Tong, meninggal dunia akibat uzur di Hospital Alor Gajah, awal hari ini.

    Chin Ann ketika dihubungi berkata mendiang bapanya yang berusia 107 tahun mengadu tidak sihat sejak tiga hari lepas apabila tahap kesihatannya merosot kerana hilang selera makan.

    “Kami adik-beradik kemudian membawa bapa ke hospital tersebut (Hospital Alor Gajah) tiga hari lepas dan mendiang disahkan meninggal dunia pada 1 pagi tadi,” katanya.

    Beliau berkata mendiang meninggalkan lapan anak iaitu lima lelaki dan tiga perempuan.

    Katanya jasad mendiang bapanya akan dibawa ke kediamannya di Jalan Kolam, Alor Gajah dan majlis penghormatan terakhir akan dilaksanakan selama empat hari.

    Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali, ketika mengunjungi mendiang pada Januari lepas dilaporkan berkata Tee Tong merupakan individu tertua yang masih hidup di Alor Gajah ketika itu.- BERNAMA

  • Aktres Korea, Yoo Joo-eun meninggal dunia

    Aktres Korea, Yoo Joo-eun meninggal dunia

    AKTRES Korea Selatan yang popular dengan drama siri Joseon Survival Period, Yoo Joo-eun meninggal dunia hari ini dipercayai membunuh diri.

    Rappler.com melaporkan, kematian mendiang yang baru berusia 27 tahun disahkan abang pelakon itu melalui hantaran di Instagram (IG).

    “Pada 29 Ogos 2022, Joo-eun meninggalkan dunia ini untuk ke tempat yang lebih baik. Bagi mereka yang berkelapangan, doakan dia dalam perjalanannya.

    “Atas permintaan terakhir Joo-eun saya berkongsikan hantaran ini,” tulis abangnya sebagaimana lapor portal Soompi.

    Soompi turut berkongsi nota mendiang yang antaranya menyatakan hidup tanpanya mungkin kosong namun tolong hidup dengan berani

    Melalui nota itu, antara lain, Joo Eun meluahkan rasa cinta terhadap bidang lakonan. Namun, mendiang mengaku tidak lagi berupaya melakukannya apabila hanya memberi fokus kepada kerjaya.

    Sementara itu, upacara pengebumian mendiang dilapor akan dianjurkan, Rabu ini.

    Joo Eun memulakan kerjaya seni pada 2018 menerusi drama Big Forest. Mendiang mula dikenali selepas berlakon dalam Joseon Survival Period.

  • Tak sempat ketahui jantina anak, lelaki meninggal dunia tanpa gejala Covid-19

    Tak sempat ketahui jantina anak, lelaki meninggal dunia tanpa gejala Covid-19

    HASRAT seorang suami untuk mengetahui jantina bayi dalam kandungan isterinya tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia selepas disahkan dijangkiti Covid-19 pagi semalam.

    Lapor Harian Metro, pemergian Allahyarham Muhammad Share Selamat, 25, pada awal pagi semalam akibat Covid-19 amat mengejutkan isteri, Nazirah Zulkifli, 22, berikutan ketiadaan gejala wabak berbahaya itu.

    Nazirah berkata, arwah sempat menjamah kambing bakar ketika mereka mengadakan kenduri keluarga di kediaman di Kampung Solok Pantai Rombang, Tanjung Kling, dekat sini, pada malam Sabtu lalu.

    “Arwah tidak menunjukkan sebarang gejala menghidap Covid-19 dan memaklumkan mahu ke Port Dickson, Negeri Sembilan selepas selesai kenduri pada jam 10 malam Sabtu lalu.

    “Arwah pergi bersama beberapa rakan dengan menaiki kereta untuk menikmati makanan laut dan saya tidak menghalang hasratnya itu,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pantai Rombang, hari ini.

    Nazirah berkata, dia amat terkejut apabila abang iparnya, Azmi hadir di kediamannya pada jam 5 pagi semalam memaklumkan suaminya sudah meninggal dunia akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya.

    Menurutnya, dunia tiba-tiba menjadi gelap sebaik saja menerima berita itu tetapi dia menguatkan semangat untuk ke Hospital Port Dickson bagi menguruskan jenazah.

    “Apabila kami tiba di hospital itu, barulah kami mendapat cerita sebenar daripada rakan arwah yang menyatakan ketika mereka makan, arwah tiba-tiba rebah dan pengsan, lalu mereka membawanya ke hospital.

    “Doktor mengesahkan arwah meninggal dunia pada jam 3.30 pagi semalam kerana Covid-19 dan bukan akibat kemalangan jalan raya,” katanya.

    Nazirah berkata, arwah sebelum itu begitu teruja untuk mengetahui jantina bayi pertama hasil pernikahan mereka pada Mac lalu.

    “Kami merancang membuat imbasan kerana kandungan saya sudah mencapai lima bulan sekarang tetapi arwah tidak sempat tahu jantina anaknya, apatah lagi menatap wajah anak.

    “Walaupun pemergian arwah amat mengejutkan saya dan anggota keluarga yang lain, saya reda dengan kehendak Allah yang lebih menyayanginya,” katanya.

    Jenazah dibawa dari Rumah Mayat Hospital Port Dickson pada jam 10 pagi ke tanah perkuburan dengan menggunakan perkhidmatan percuma van jenazah Persatuan Kemanusiaan Tangga Batu (PeKeTB).

    Jenazah dikebumikan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) pada jam 12.30 tengah hari tadi.

    Anggota keluarga arwah dan anak kariah kampung hanya dibenarkan berada di pagar tanah kubur ketika pengebumian dijalankan.

    Sementara itu, Pengerusi PeKeTB, Rahiman Abu Hassan, 53, berkata, ketika membawa jenazah arwah, dia dan anaknya, Nor Iman, 22, serta ahli jawatankuasa persatuan itu, Mohd Yusri Rojan, 48, turut memakai PPE.

    “Kami doakan semoga Allah mengampunkan dosa arwah dan mencucuri rohnya dengan rahmat dan rahim-Nya,” katanya.

  • Pengasas Bookdoc Chevy Beh meninggal dunia

    Pengasas Bookdoc Chevy Beh meninggal dunia

    PENGASAS Bookdoc, Datuk Chevy Beh dilapor meninggal dunia malam Selasa, namun punca kematian tidak didedahkan.

    Memetik laporan Astro Awani, perkara itu disahkan pembangun aplikasi BookDoc menerusi perkongsian di Facebook pada Rabu.

    “Dengan penuh rasa hiba, kami memaklumkan kematian Datuk Chevy Beh – Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif BookDoc.

    “Beliau merupakan usahawan yang dihormati dan disayangi ramai.
    “Ucapan takziah dan doa kepada seluruh ahli keluarga mendiang pada waktu sukar ini,” memetik perkongsian itu.

    Ucapan takziah mula membanjiri media sosial antaranya daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang memuat naik ucapan takziah di akaun rasmi Twitter BAM.

    “Persatuan Badminton Malaysia (BAM) amat berdukacita apabila mengetahui pemergian Datuk Chevy Beh.

    “Presiden, Majlis dan seluruh keluarga BAM mengucapkan salam takziah kepada keluarga mendiang,” menurut muat naik tersebut.

    Chevy memulakan kerjaya sebagai pegawai bank pelaburan bersama firma pelaburan terkenal Amerika Syarikat selepas beliau tamat pengajian di Universiti Harvard.

    Beliau kemudan menyertai BP Healthcare Group selaku Pengarah Urusan sebelum menubuhkan platform penjagaan kesihatan dalam talian dan mobile, Bookdoc pada 2014 bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif Groupon Asia Pasifik, Joel Neoh.

    Di bawah kepimpinan beliau, BP berjaya meningkatkan asas pelanggan mereka melebihi 2 juta orang, meningkatkan jumlah tenaga kerja kepada 1,300 orang.

    Kumpulan itu juga memainkan peranan penting sewaktu proses vaksinasi COVID-19 negara melibatkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

    Selain itu ia juga dilantik sebagai penyedia ujian saringan COVID-19 terhadap pekerja di bawah Program Saringan Prihatin Perkeso.

    Chevy juga merupakan pemain polo terkenal yang pernah menjadi kapten pasukan bawah 21 tahun England.

    Minat yang tinggi dalam bidang sukan menyaksikan Chevy pernah dilantik sebagai ahli Panel Pakar Kementerian Belia dan Sukan.

  • Bekas TMB Kelantan meninggal dunia, dikebumi malam ini

    Bekas TMB Kelantan meninggal dunia, dikebumi malam ini

    BEKAS Timbalan Menteri Besar (TMB) Kelantan, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman meninggal dunia kira-kira pukul 3.40 petang tadi di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

    Menyampaikan perkhabaran itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, Allahyarham, 83, merupakan tokoh yang banyak berjasa kepada negeri itu.

    “Almarhum merupakan tokoh yang sangat berjasa kepada negeri Kelantan khususnya sebagai antara tokoh penting bermula pentadbiran kerajaan negeri di bawah Dasar Membangun Bersama Islam.

    “Bagi pihak kerajaan negeri, saya mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Almarhum. Semoga Allah SWT mengampunkan dan merahmati serta mengangkat darjatnya dalam kalangan orang-orang yang beramal soleh.

    “Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

    Ahmad pada masa sama berkongsi perjalanan kerjaya politik Abdul Halim yang dilantik Timbalan Menteri Besar Kelantan bermula pada 1990 sehingga 2004.

    Allahyarham juga berkhidmat sebagai wakil rakyat bermula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banggol pada 1986 hingga 1995, diikuti Adun Kijang (1995-2004) seterusnya Ahli Parlimen Pengkalan Chepa (2004-2013).

    “Almarhum juga merupakan mantan Bendahari PAS Pusat,” katanya.

    Sementara itu, memetik laporan Harakahdaily, menantu Allahyarham Zuraidin Abdullah bapa mertuanya baru-baru ini mendapat jangkitan kuman di paru-paru dan pernah menghidap penyakit kencing manis dan pelbagai penyakit kronik lain.

    “InsyaAllah solat jenazah akan diadakan di Masjid Kampung Banggol selepas solat Isyak, dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol.

    “Saya bagi pihak keluarga menjemput orang ramai hadir menunaikan solat jenazah di Masjid Banggol selepas solat Isyak malam ini,” katanya yang juga Adun Chetok.

    Allahyarham meninggalkan seorang isteri Datin Aminah Abdullah dan lima anak.

  • Pengasas DAP meninggal dunia

    Pengasas DAP meninggal dunia

    PENGASAS parti DAP, Dr Chen Man Hin, 98, meninggal dunia di rumahnya di Seremban, Negeri Sembilan hari ini.

    Memetik laporan Sinar Harian, perkara itu dikongsi Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin di laman Facebooknya.

    Beliau ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan berita sedih itu diterima daripada ahli keluarga mendiang.

    “Mendiang mempunyai lima orang anak dan difahamkan meninggal dunia di samping keluargnya,” katanya.

    Man Hin merupakan Pengerusi DAP sejak 1966 hingga 1999 dan telah dilantik sebagai penasihat seumur hidup yang pertama bagi parti itu.

  • Ajal ketika daki Gunung Kinabalu

    Ajal ketika daki Gunung Kinabalu

    SEORANG lelaki meninggal dunia ketika mendaki Gunung Kinabalu di Kundasang, Ranau, hari ini.

    Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah dalam kenyataan memaklumkan mangsa yang berusia 51 tahun ditemukan malim gunung di KM 3.2 laluan pendakian.

    “Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) menerima panggilan kecemasan pada 1.23 tengah hari lalu 12 pegawai dan anggota digegaskan ke lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.

    Lelaki itu diberikan bantuan pernafasan menerusi tindakan awal oleh pasukan MOSAR, anggota Taman-Taman Sabah dan malim gunung sebelum dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan pengusung Robertson.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada 4.30 petang,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

  • Pesara tentera cedera ditetak meninggal dunia

    Pesara tentera cedera ditetak meninggal dunia

    BADLISHAH MAT

    PESARA tentera yang bertugas sebagai pengawal keselamatan akhirnya meninggal dunia setelah empat hari menerima rawatan akibat ditetak dengan pedang di Sungai Petani, di sini.

    Mangsa, Ismail Ahmad, 58, menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini pada pukul 6.15 petang ini.

    Ismail dimasukkan ke hospital itu akibat cedera parah di kepala dan tangan kiri selepas ditetak dengan pedang oleh seorang lelaki pada 4 Ogos lalu.

    Dia ketika itu sedang bertugas di tapak projek perumahan di Bukit Bayan, menegur suspek yang menunggang motosikal secara berbahaya di dalam kawasan projek perumahan terbabit.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan mengesahkan kematian mangsa dan pihaknya kini sedang menunggu laporan bedah siasat yang dijalankan di hospital sama.

    Terdahulu, seorang lelaki hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani atas pertuduhan mencederakan mangsa.

    Tertuduh, R. Subramaniam, 41, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

    Dia didapati dengan niat menyebabkan cedera parah terhadap Ismail menggunakan sebilah pedang di kawasan pos pengawal di tapak projek perumahan Siera 4, Bukit Bayan di sini, pada pukul 4.40 petang, 4 Ogos lalu.

  • Mustapha Kamal perintis konsep rumah mampu milik – Muhyiddin

    Mustapha Kamal perintis konsep rumah mampu milik – Muhyiddin

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan keluarga melahirkan perasaan dukacita dengan pemergian tokoh korporat terkenal, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar hari ini.

    Menurut beliau, Allahyarham ialah nama besar yang cukup dikenali dan antara anak Melayu yang berjaya dalam dunia korporat tanah air.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, selaku pengasas syarikat hartanah MK Land, Mustapha Kamal banyak menyumbang dalam pembangunan sektor hartanah negara terutama yang melibatkan pembinaan rumah untuk rakyat.

    “Allahyarham juga antara ahli perniagaan terawal yang merintis konsep pembinaan rumah mampu milik bagi memberi peluang kepada orang ramai memiliki rumah pertama.

    “Marilah kita sama-sama berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang soleh.

    “Saya juga berdoa moga ahli keluarga Allahyarham tabah dan sabar menghadapi saat-saat yang mendukacitakan ini. Al-Fatihah,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Terdahulu, Bernama melaporkan, Mustapha Kamal, 73, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.45 pagi tadi kerana sakit tua.

    Dilahirkan di Kampung Changkat, Pusing, Perak, Allahyarham Mustapha Kamal pernah mendapat jolokan sebagai ‘Raja Perumahan Mampu Milik’ kerana bertanggungjawab membangunkan lebih 12,000 rumah kos rendah di sekitar Selangor dan Perak.

    Mustapha Kamal merupakan pengasas Kumpulan Syarikat EMKAY yang menawarkan rumah mampu milik.

    Syarikat hartanah miliknya itu telah ditukar nama kepada MK Land Holdings Berhad selepas ia disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur pada Ogos 1999.

    Pada awal kerjayanya, Allahyarham yang juga siswazah Universiti Malaya (UM) dan penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Hartanah Lestari) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ijazah Kehormat Doktor Perniagaan dan Keusahawanan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), antara lain pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah di Kuala Kubu Baru, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Petaling antara 1971 hingga 1976.

    Allahyarham juga pernah berkhidmat dalam sektor awam dengan memegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Jabatan Tanah dan Galian, Selangor pada 1978 sebelum menyertai sektor swasta dalam bidang hartanah.

  • Tokoh korporat, Mustapha Kamal meninggal dunia

    Tokoh korporat, Mustapha Kamal meninggal dunia

    TOKOH korporat ternama, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua pada pukul 7.45 pagi tadi.

    Difahamkan, pengasas syarikat hartanah MK Land itu meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN).

    Allahyarham yang berusia 73 tahun akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara hari ini.

    “Buat masa ini jenazah ayah masih di IJN dan pihak keluarga sedang melakukan persiapan untuk proses selanjutnya,” kata anak Allahyarham, Felina, kepada Astro Awani ketika dihubungi.

    Dilahirkan di Kampung Changkat, Pusing, Perak pada 18 Mac 1949, Allahyarham merupakan graduan Universiti Malaya dalam jurusan Sejarah dan menerima Ijazah Kedoktoran dari Universiti Utara Malaysia.

    Allahyarham memulakan kerjayanya dengan berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Daerah dan Tanah Selangor.

    Selepas dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tanah & Galian Selangor, beliau beralih ke sektor swasta dengan memegang jawatan Pengarah Urusan Shah Alam Properties Sdn. Bhd.

    Pada 1983, beliau menubuhkan secara rasminya Kumpulan Syarikat EMKAY yang menawarkan rumah mampu milik, terutamanya kepada pembeli rumah pertama, sehingga beliau digelar ‘Raja Rumah Mampu Milik’.

    Pada Ogos 1999, nama syarikat itu ditukar kepada MK Land Holdings Berhad selepas disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur.

    Setakat tahun 2018, kumpulan itu telah membina lebih 60,000 unit kediaman, komersial dan ruang pejabat dengan keluasan 10 juta kaki persegi dengan nilai pembangunan RM20 bilion.

    Ia juga berjaya menjual lebih daripada 35,000 unit kediaman dengan harga bawah RM100,000 termasuk di Damansara Damai dan Bandar Baru Sungai Buloh.

    Sepanjang kariernya, beliau dikurniakan pelbagai jenis anugerah dan penghargaan termasuk daripada Yang di-Pertuan Agong pada 2002 dan daripada Raja Muda Perak pada 2003.