Tag: Md Alwi Che Ahmad

  • Alwi umum bersara, tidak bertanding dalam PRN

    Alwi umum bersara, tidak bertanding dalam PRN

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad mengumumkan tidak mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada calon muka baru dan dia berpendapat pemimpin politik perlu bersara dengan rekod yang baik.

    “Saya terlibat dengan politik sudah terlalu lama dan mula aktif sejak tahun 1986. Pada tahun 1990 saya diberi peluang untuk memegang jawatan sebagai setiausaha politik menteri, setiausaha politik Perdana Menteri, Ahli Parlimen, ADUN dan beberapa pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC).

    “Sepatutnya kita ambil masa kongsi pengalaman dengan orang baru, latih generasi baharu untuk ambil alih tampuk pentadbiran negara dan itu hasrat saya. Kalau nak bersara…bersaralah waktu rekod kita bagus. Jangan bersara semasa kita sudah kalah, masa orang sudah benci dan buang kita, ” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia, hari ini.

    Alwi yang kini ketua UMNO bahagian Ketereh dipilih sebagai Ahli Parlimen Ketereh pada 2004 dan menjadi Adun tiga kali berturut-turut. Antara 2018 hingga 2019 dia ditugaskan sebagai ketua pembangkang DUN Kelantan.

    Pada pilihan raya umum 2018 dia berjaya mempertahankan kerusi Kok Lanas dengan 48.54 peratus undian.

    Semakan Malaysiakini berdasarkan PRU15 lalu pula mendapati kawasan Kok Lanas berpihak kepada Perikatan Nasional (PN) dengan 63.36 peratus.

    Sementara itu Alwi berkata pemimpin yang sudah melangkau usia 65 tahun dan keatas sepatutnya memberi ruang kepada orang muda, orang baru untuk memimpin negara.

    Katanya, walau bagaimanapun sumbangan masih boleh diberikan dengan baik menerusi latihan, pengkaderan, kursus, berkongsi ilmu, pengalaman dan sebagainya.

    “Anda boleh lihat Tun Musa Hitam, seorang pemimpin yang sentiasa releven tetapi dia tahu masa hendak berhenti. Takkan kita nak pegang (jawatan) sehingga umur 100 tahun.

    “Pada saya, usia 70 tahun sudah maksimum. Saya sedang fikir dan latih orang baru dalam bahagian (Ketereh) saya latih muda. Sebab saya dulu pun macam itu dilatih oleh Tun Musa, Dr Mahathir Mohamad dan ramai lagi semasa bergelar pelajar universiti,” jelasnya.

  • Strategi dan naratif Presiden bawa padah, Zahid undurlah secara terhormat

    Strategi dan naratif Presiden bawa padah, Zahid undurlah secara terhormat

    Oleh DATUK SERI DR MD ALWI CHE AHMAD

    DI dalam mana-mana Sistem Demokrasi Berperlembagaan di Dunia, apabila sesuatu parti politik itu berhadapan dengan keputusan terburuk didalam Pilihanraya Umum Negara.

    Ketua ataupun Presiden parti yang kalah dalam Pilihanraya tersebut perlu mengambil tanggung-jawab sepenuhnya dan meletakkan jawatan, setelah dilihat, ditolak oleh Rakyat.

    Ini sering berlaku di Great Britain dan Negara-Negara Eropah lain, bertujuan untuk memberi ruang serta nafas baru, kepada Parti Politik berkenaan reform dan re-set semula kearah memulihkan imej parti yang telah kalah dalam Pilihanraya.

    Dari segi ini, Presiden UMNO perlu mengambil tanggung-jawab sepenuhnya atas kekalahan Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum ke 15 baru lalu.

    Dato’ Seri Zahid Hamidi perlu mengundurkan diri secara terhormat.

    Ahli-Ahli Parti dan Pemimpin UMNO telah dengan taat mengikuti segala arahan dan naratif Presiden selama ini.

    Strategi dan naratif Presiden yang salah pada PRU ke 15 tersebut membawa padah dan kekalahan paling teruk dalam sejarah UMNO.

    Oleh yang demikian, Dato’ Seri Zahid Hamidi perlu berjiwa besar dan meletakkan jawatan Presiden UMNO seperti Dato’ Sri Najib Razak dan pemimpin-pemimpin politik lain diseluruh dunia sebelum ini, agar dapat memberi ruang kepada pengantinya meneruskan perjuangan parti ini.

    Penulis adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia

  • Buang sikap lama, jangan jejas imej PM – Md Alwi

    Buang sikap lama, jangan jejas imej PM – Md Alwi

    SEMUA pemimpin UMNO seharusnya menjauhi sikap lama mereka yang boleh menjejaskan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan menimbulkan kemarahan rakyat.

    Peringatan itu disuarakan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad berikutan isu terlalu ramai penyokong yang berkerumun semasa Ismail Sabri membuat lawatan kerja di lokasi bencana kepala air di Yan, Kedah, semalam.

    “Macam semalam, viral di Kedah sampai berpuluh buah kereta ikut (PM), dalam kapal terbang. Tidak mengapa, hendak ikut itu bagus tetapi ini imej lama.

    “Imej ini yang menyebabkan orang marah dengan kita, jadi berpada-pada, boleh pergi tapi tak payah menunjuk,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

    Beliau berkata demikian kepada media di luar dewan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas itu menambah, sukar untuk mereka berdepan dengan rakyat jika masih kekal dengan imej lama.

    “Orang akan kata, UMNO berkuasa macam itulah. Itu yang saya tegur sikit, bukan saya ‘jealous’ (cemburu) memang kita semua kena meraikan PM, tetapi bukan cara macam itu.

    “Ini kerumun sampai begitu sekali, sampai jadi viral, ramai tak payah lah. Jagalah imej PM daripada UMNO jika kita nak tahan lama.

    “PM tak salah, takkan PM hendak halau dan marah, tetapi kita kena tahu dan kita tolong jaga imej parti kita,” jelasnya.

    Pada masa yang sama, Md Alwi berharap tegurannya itu tidak disalah faham kerana niatnya cuma ingin menjaga imej Perdana Menteri.

    Beliau berkata, pemimpin-pemimpin UMNO seharusnya sedar bahawa rakyat sentiasa memerhatikan gerak-geri mereka dan usaha menjaga imej Perdana Menteri adalah tanggungjawab bersama.

    “Lagipun, (saya) tidak suka dan tidak seronok tengok komen media sosial yang tak bagus. Dalam masa beberapa hari ini, dah jadi macam dulu-dulu dan sampai tiga batu ikut (konvoi kenderaan yang mengekori). Gembira dan meraikan PM itu bagus tetapi jangan berlebih-lebihan,” ujarnya.