Tag: MCA

  • Apabila MCA, Gerakan, DAP senada isu Hadis 40, parti Melayu sewajarnya bersatu

    Apabila MCA, Gerakan, DAP senada isu Hadis 40, parti Melayu sewajarnya bersatu

    guane

    KETIKA rakyat Malaysia sedang membuat persiapan untuk menyambut Ulangtahun Hari Kemerdekaan ke-66 esok, tiba-tiba ada pihak cuba mencetuskan isu kurang harmoni dengan mempersoalkan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi untuk pelajar Islam.

    Isu ini mula tercetus sebaik sahaja MCA dan beberapa Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam cuba ‘mengapikan’ perkara tersebut.

    Ekoran itu, parti politik mewakili orang Cina, Gerakan dan DAP turut senada terhadap isu ini sebelum diredakan dengan pelbagai penjelasan dilakukan oleh banyak pihak termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

    Walaupun isu berkenaan dikatakan telah reda, namun sebahagian besar pengundi Melayu khususnya di Terengganu melihat ia sebagai luka yang bernanah.

    Justeru, banyak pihak menyifatkan isu ini tidak sepatutnya dipersoalkan apatah lagi negara kini sedang berada di bulan kemerdekaan.

    Susulan itu rata-rata orang Melayu termasuk NGO dan pemimpin politik mula marah-marah.

    Antaranya termasuklah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan juga Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang berpendapat isu tersebut tidak wajar dipersoalkan.

    PPIM ketika memberi peringatan kepada pihak terbabit meminta agar kumpulan bukan Islam tidak campur urusan umat Islam.

    Ketua Aktivis persatuan itu, Nadzim Johan dipetik sebagai berkata, tindakan Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) membantah keputusan memperkenalkan subjek berkaitan hadis di sekolah adalah sebagai biadab dan mencabar umat Islam.

    Beliau seterusnya bertanya apa kaitan pendidikan hadis untuk pelajar beragama Islam dengan golongan tersebut kerana kerajaan tidak memaksa pelajar bukan Islam menduduki pengajian berkenaan.

    Sebelum ini, MCCBCHST menyatakan kebimbangan mendalam terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam perlu mempelajari  Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.

    Mereka berhujah bahawa Perkara 12(2) dan Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menghalang rakyat Malaysia menerima arahan dalam mana-mana agama selain agama mereka.

    Ekoran itu, Lim Swee Kuan, pegawai khas kepada Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying, dalam satu kenyataan sebelum ini menjelaskan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang akan diperkenalkan adalah untuk pelajar Islam sahaja.

    Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada 19 Ogos lalu melancarkan modul itu untuk memupuk nilai-nilai daripada hadis Nabi Muhammad di peringkat sekolah.

    Modul itu akan diperkenalkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sebelum dilancarkan ke sekolah awam lain.

    Ia dibangunkan atas saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

    Manakala Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahya pula menyifatkan tindakan MCA dan NGO bukan Islam mempertikaikan Modul Hadis 40 Imam Nawawi sebagai tidak wajar.

    Beliau berkata, modul tersebut ialah sebahagian daripada langkah menerapkan penghayatan akhlak dan nilai murni kepada pelajar berpandukan ajaran Islam dan pihaknya hairan bagaimana perkara sebegini amat ditakuti oleh sebilangan golongan bukan Islam.

    Beliau seterusnya bertanya adakah ia kelangsungan usaha untuk mencucuk jarum Islamofobia dalam negara yang menjadi perjuangan segelintir ahli politik sehingga setiap perkara berkait dengan Islam sangat dibimbangkan oleh kelompok bukan Islam?

    Apapun, ada pihak berpendapat MCA dan Gerakan tidak seharusnya ‘mengapikan’ isu berkenaan kerana ia dilihat seakan ada agenda tertentu daripada parti politik mewikili orang Cina.

    Hal ini kerana sebaik sahaja isu berkenaan timbul, parti politik Cina seperti MCA, Gerakan dan DAP dilihat senada dalam membuat kenyataan.

    Ini menyebabkan ramai yang terkejut, tergaman dan tercenggang apabila MCA dan NGO bukan Islam cuba mempersoalkan Hadis 40.

    Malah isu ini dilihat sangat jelas membuktikan bahawa parti-parti politik Cina tidak boleh dipercayai kerana ia senada dengan DAP berhubung agama Islam.

    Persoalannya, apakah yang dimahukan oleh MCA, Gerakan dan DAP yang dilihat semakin kerap menimbulkan isu membabitkan kaum.

    Kenapa mereka sentiasa mencemburi bangsa Melayu dan agama Islam?

    Penulis berasa terpanggil memperkatakan isu ini memandangkan telah banyak kali golongan berkenaan menimbulkan suasana kurang harmoni dalam masyarakat.

    Malah, isu sekolah Vernakular yang ditimbulkan oleh Persatuan Dong Zong sebelum ini masih belum reda, kini ditambah pula dengan dengan isu Hadis 40.

    Berdasarkan itulah mengapa pengundi Melayu khususnya di Terengganu tidak boleh menerima kehadiran DAP dalam Kerajaan Perpaduan apatah lagi untuk menjalinkan kerjasama dalam politik Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

    Begitu juga dengan MCA, banyak pihak sebelum ini turut mempertikaikan peranannya dalam BN sehingga parti itu turut dikaitkan berlakunya tsunami Cina dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Justeru itu, penulis berharap para pemimpin parti politik Melayu seharusnya celik dan sedar tentang perkara ini.

    Cukup-cukuplah bergaduh dan bermasam muka sesama sendiri yang boleh menyebabkan berlaku banyak perpecahan.

    Sudah sampai masanya semua parti politik mewakili orang Melayu kembali bersatu dan tidak lagi terbelah bagi memastikan parti Melayu terus kuat dan utuh.

    Ini untuk membolehkan parti Melayu dapat mempertahankan kesemua isu berbangkit disebalik suara parti politik Cina yang kelihatan semakin senada.

  • MCA, NGO tak wajar pertikai Modul Hadis 40 Imam Nawawi – Ulamak Pas

    MCA, NGO tak wajar pertikai Modul Hadis 40 Imam Nawawi – Ulamak Pas

    MCA dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam tidak wajar mempertikaikan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi untuk pelajar Islam.

    Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya berkata, pembelajaran dan penghayatan hadis itu bukan suatu kesalahan yang perlu dibimbangkan.

    “Modul tersebut ialah sebahagian daripada langkah menerapkan penghayatan akhlak dan nilai murni kepada pelajar berpandukan ajaran Islam.

    “DUPP hairan bagaimana perkara sebegini begitu ditakutkan oleh sebilangan golongan bukan Islam.

    “Adakah ia kelangsungan usaha untuk mencucuk jarum Islamofobia dalam negara yang menjadi perjuangan segelintir ahli politik sehingga setiap perkara berkait dengan Islam sangat dibimbangkan oleh kelompok bukan Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kementerian Pendidikan (KPM) pada 19 Ogos lalu melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah.

    Kontroversi tercetus apabila Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) membantah hasrat tersebut dan mendakwa ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta hak kebebasan beragama.

    Biro Perhubungan Etnik dan Hal Ehwal Agama MCA pula menggesa kerajaan menangguhkan terlebih dahulu agar ia boleh dibincangkan semula di peringkat Kabinet.

    Ahmad berkata, DUPP memberikan peringatan kepada kelompok tertentu agar jangan mencetuskan sentimen Islamofobia di negara.

    Katanya, pelaksanaan modul itu wajar disokong kerana ia berkait rapat dengan usaha mendekatkan pelajar kepada penghayatan kalam Rasulullah SAW yang merupakan sebahagian daripada panduan wahyu Ilahi.

    “Tidak wajar sekali pertikaian mahupun sebarang bentuk bantahan dikemukakan apatah lagi oleh golongan bukan Islam terhadap modul tersebut.

    “DUPP menyokong teguh langkah KPM memperkenalkan Modul Penghayatan 40 Hadith Imam Nawawi di sekolah-sekolah di bawah kementerian,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • MCA, MIC tak tanding PRN, ini mungkin penamat BN, kata Shahril Hamdan

    MCA, MIC tak tanding PRN, ini mungkin penamat BN, kata Shahril Hamdan

    KEPUTUSAN MCA dan MIC tidak bertanding pilihan raya negeri (PRN) bulan depan mungkin menjadi titik permulaan kepada penamat ‘hayat’ Barisan Nasional (BN), kata bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

    Menurutnya, pendirian dua parti itu berkemungkinan diambil kerana merasakan dipinggirkan UMNO selepas BN menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan, termasuk kerjasama bersama bekas musuhnya Pakatan Harapan (PH).

    “Malah UMNO dilihat lebih gemar bersama DAP berdasarkan kepada perbincangan yang kerap di antara dua parti itu berbanding dengan MCA dan MIC,” katanya.

    Menjawab soalan Khairy Jamaluddin dalam Podcast Keluar Sekejap sama ada perkembangan baharu BN berkenaan boleh menjadi penamat buat komponen berusia 50 tahun itu, Shahril berpendapat, ‘kemungkinan’ itu ada.

    “Kalau saya hendak buat spekulasi, mereka akan menolak MCA dan MIC sampai satu keadaan tiada pilihan buat keduanya seperti MUDA (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) ditolak PH (Pakatan Harapan).

    “MUDA sendiri keluar dan nampak tamak dan gelojoh, kalau MCA dan MIC keluar itu naratif pertama akan dimainkan UMNO,” katanya, memetik laporan FMT.

    Rabu lalu MCA dan MIC mengumumkan tidak bertanding dalam PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan pada 12 Ogos ini.

    Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula menafikan dua parti komponen itu memboikotnya, sebaliknya pemimpin MCA dan MIC menyuarakan komitmen membantu jentera gabungan tersebut pada PRN.

    BN ditubuhkan pada 1973 untuk menggantikan Perikatan dengan parti komponen utamanya terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC.

    Bagaimanapun sejak pilihan raya umum 2008, sokongan terhadap parti itu semakin berkurangan terutama segmen pengundi bukan Melayu dan mencatat keputusan terburuk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila hanya menang 30 kerusi.

  • ‘MCA dimaklumkan supaya bersama PN lepas PRU-15’

    ‘MCA dimaklumkan supaya bersama PN lepas PRU-15’

    TIMBALAN Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon hari ini mendedahkan bahawa pemimpin kanan BN yang tidak dinamakan memaklumkan kepada parti itu supaya bersama Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Pendedahan itu dibuat susulan dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa PN memiliki akuan bersumpah (SD) daripada MCA dan MIC yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

    Mah dalam kenyataannya hari ini, tidak mengesahkan mahupun menafikan jika dua ahli parlimen parti itu ada menandatangani sebarang SD yang menyokong PN.

    “Selepas berakhirnya PRU-15, parti MCA telah dimaklumkan oleh pemimpin-pemimpin kanan dalam BN bahawa BN patut bersama PN bagi membentuk kerajaan berdasarkan kepada keputusan yang dibuat sebelum PRU15 iaitu, No DAP & No Anwar.

    “Situasi sama turut berlaku kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    “Laporan berita juga banyak menyiarkan mengenai sokongan GPS kepada PN selepas mereka dimaklumkan bahawa BN bersetuju menyokong PN,” katanya lapor Malaysiakini.

    Bagaimanapun, BN menafikan perkara itu, dan mesyuarat dewan tertinggi kemudian memutuskan ketika itu untuk kekal sebagai gabungan pembangkang yang berkecuali.

    Pada mesyuarat itu, Mah berkata bahawa Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong juga mencadangkan mana-mana pihak yang telah menandatangani SD yang menyokong PN supaya menariknya semula serta-merta, keputusan yang diterima pakai oleh BN secara keseluruhan.

    MCA dan BN kini menjadi sebahagian daripada kerajaan bersama Pakatan Harapan.

    Muhyiddin dan PN sebelum ini mendakwa mereka mempunyai sokongan 115 ahli parlimen tetapi Anwar kemudiannya berjaya mengumpulkan majoriti di Dewan Rakyat.

    Hadi memetik SD yang didakwa ditandatangani oleh MCA dan MIC dalam usaha untuk membuktikan bahawa partinya tidak ekstrem dan PN menikmati at sokongan parti-parti bukan Islam lain itu.

  • MCA gantung keahlian Tee selama 5 tahun

    MCA gantung keahlian Tee selama 5 tahun

    BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang Datuk Tee Siew Kiong hari ini mengesahkan keahliannya dengan parti MCA digantung selama lima tahun berkuat kuasa Jumaat lepas.

    Tee, 58, yang juga Ketua Bahagian MCA Pontian itu berkata, beliau mendapat salinan surat penggantungan itu menerusi aplikasi WhatsApp daripada kakitangan parti, sehari sebelum sambutan Hari Wesak.

    Beliau berkata, sebab penggantungan yang diberikan parti berkenaan adalah atas tindakannya mengadakan sidang media dan Facebook live pada 25 Feb lepas berhubung namanya tidak dicalonkan oleh parti untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lepas.

    “Saya berasa pelik kenapa parti mengenakan tindakan tegas terhadap saya atas sebab mengadakan ‘live’ (siaran langsung) dan sidang media semata-mata untuk jelaskan kebenaran sahaja (tentang mengapa tidak dicalonkan).

    “Saya juga rasa hukuman ini tidak masuk akal kerana orang lain yang pernah melakukan kesalahan sebelum ini hanya digantung selama setengah tahun hingga tiga tahun sahaja,” katanya kepada pemberita di Johor Bahru hari ini.

    Beliau turut mendakwa, penggantungan itu bersifat peribadi oleh pihak-pihak tertentu yang menyasarkan dirinya susulan pemilihan parti MCA tidak lama lagi.

    Tee yang telah pun bersama parti hampir 40 tahun dan pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan & Kepenggunaan negeri itu, akan mendengar pendapat daripada semua pihak sebelum membuat keputusan dalam masa 14 hari sama ada untuk membuat rayuan atau tidak.

    Pengerusi Yayasan Sultanah Fatimah itu pernah menjadi ADUN Pulai Sebatang sejak 2004 hingga 2018.

    Menurut surat bertarikh 13 Mei yang ditandatangani Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, Tee telah mengkritik kepimpinan parti dan mengeluarkan kenyataan palsu pada sidang media yang turut disiar secara langsung menerusi Facebook semasa PRN Johor.

    Justeru, Majlis Presiden MCA dalam mesyuarat yang diadakan pada tarikh sama, telah menerima pakai laporan dan cadangan daripada Lembaga Disiplin MCA dan selepas perbincangan, memutuskan untuk menggantung keahlian Tee selama lima tahun berkuat kuasa serta-merta.

    Surat itu menyatakan Tee boleh membuat rayuan secara bertulis kepada jawatankuasa pusat parti dalam tempoh 14 hari selepas menerima keputusan itu. – BERNAMA

  • Ketua MCA Pontian dipanggil bicara JK Tatatertib parti

    Ketua MCA Pontian dipanggil bicara JK Tatatertib parti

    KETUA MCA Bahagian Pontian, Datuk Tee Siew Kiong mengesahkan beliau telah dipanggil menghadiri perbicaraan Jawatankuasa Tatatertib MCA susulan tindakannya mengadakan sidang media selepas tidak dinamakan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Beliau berkata, perbicaraan berkenaan diadakan secara dalam talian, esok.

    “Apa yang saya lakukan hanya memohon maaf kepada penyokong dan pengundi secara peribadi serta memberi penjelasan kepada mereka mengenai kebenaran saya tidak dinamakan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri Johor.

    “Oleh itu, saya tetap yakin saya tidak bersalah,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Danga Bay, Johor Bahru hari ini.

    Tee yang juga bekas Penasihat kepada Menteri Besar Johor ke-18, Datuk Hasni Mohammad juga mengesahkan ada menerima surat daripada MCA pusat bertarikh 6 April lepas memintanya hadir ke perbicaraan jawatankuasa itu.

    Katanya, walaupun tidak dapat bertanding pada PRN Johor, beliau tidak pernah berputus asa malah terus memberi sokongan sepenuh hati dan membantu calon-calon Barisan Nasional (BN) di Pontian sepanjang tempoh berkempen.

    Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang selama tiga penggal bermula 2004 itu turut menyatakan kesediaan berdepan sebarang tindakan bakal dikenakan terhadapnya.

    Pada PRN Johor Mac lepas, daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, BN memenangi 40 kerusi dengan UMNO merangkul kejayaan di 33 kawasan, MCA empat manakala MIC tiga.

    MCA menang empat kerusi iaitu Ling Tian Soon (Yong Peng), Tan Eng Meng (Pekan Nanas), Lee Ting Han (Paloh) dan Tan Chong (Bekok). – BERNAMA

  • Padah ugut bapa pemimpin MCA, ah long dipenjara 5 bulan

    Padah ugut bapa pemimpin MCA, ah long dipenjara 5 bulan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG ah long dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Kulai, hari ini setelah didapati bersalah mengugut bapa kepada Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA pada September lalu.

    Tertuduh, Teng Chee Sing, 34, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin.

    Mengikut pertuduhan, lelaki itu telah melakukan perbuatan ugut melalui panggilan telefon dengan mengugut mangsa berusia 58 tahun untuk membakar rumahnya menggunakan nombor telefon persendirian.

    Perbuatan terbabit dilakukan tertuduh di hadapan sebuah bank di Indahpura Kulai pada pukul 12.46 tengah hari, 21 September lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan di bawah Seksyen 506 kanun sama iaitu penjara selama tempoh tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Mahkamah menjatuhi hukuman penjara selama lima bulan terhadap tertuduh bermula dari tarikh dia ditangkap pada 31 Oktober lalu.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edlynn Wong dan tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman, Hidayah Asri.

    Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memaklumkan seorang lelaki ditahan pada pukul 2.45 petang di Taman Abad pada 31 Oktober lalu.

    Suspek ditahan kerana mengugut bapa kepada Chua Jian Boon yang juga Timbalan Pengerusi MCA Kulai. Jian Boon antara pemimpin yang aktif memerangi kegiatan ah long di daerah itu sebelum ini.

    Terdahulu, kediaman Jian Boon di Jalan Sri Putri 1/8, Taman Putri Kulai dan dua keretanya turut disimbah cat merah oleh individu tidak dikenali dalam satu kejadian pada pukul 11.15 malam, pada 7 Oktober lalu.