Tag: Mazlan Bujang

  • Mazlan Bujang sahkan terima tawaran masuk Warisan

    Mazlan Bujang sahkan terima tawaran masuk Warisan

    BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang mengesahkan beliau menerima tawaran untuk menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

    Walau bagaimanapun, bekas Ketua Bersatu Bahagian Tebrau itu mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

    “Memang ada (terima tawaran) tetapi saya masih tunggu dan lihat…tengok keadaan macam mana,” katanya seperti dilaporkan FMT.

    Sebelum ini, timbul spekulasi mengaitkan beliau dengan Warisan selepas gambarnya dikatakan tersiar seketika di skrin besar pada majlis pelancaran Warisan di Johor, Selasa lalu.

    Mazlan mengesahkan kepada FMT bahawa memang beliau menghadiri majlis anjuran Warisan itu.

    “Saya dulu kawan lama dengan dia (Shafie) dalam UMNO… saya dijemput, saya datanglah sebagai kawan. Masuk tak masuk (Warisan) itu nombor dua,” jelasnya.

    Mazlan turut menafikan dakwaan beliau meninggalkan Bersatu kerana ditawarkan jawatan atau pencalonan oleh UMNO.

    Malah, beliau menganggap kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab.

    “Oh tidak tidak… saya takkan sertai UMNO. Saya nak tolak tohmahan kononnya saya keluar (Bersatu), UMNO yang beri duit,” katanya.

    Pada 27 Januari lalu, Mazlan telah mengumumkan keluar Bersatu berkuat kuasa serta-merta bersama 23 individu lain termasuk pemegang jawatan sebagai ketua cawangan dan ahli jawatankuasa Bersatu Tebrau.

    Mazlan berkata lagi, beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik buat masa ini namun akan memberi sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

  • Tiada kesan pun Mazlan keluar Bersatu – Che’gu Bard

    Tiada kesan pun Mazlan keluar Bersatu – Che’gu Bard

    BERSATU sedikit pun tidak terjejas dengan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wangsa Puteri, Mazlan Bujang keluar parti.

    Pengarah Operasi Jabatan Pilihan Raya Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin berkata, Mazlan sudah sangat lama tidak bergerak bersama parti.

    Beliau mendakwa, jentera parti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan sejak dari awal menjalankan khidmat masyarakat secara berasingan tanpa Mazlan.

    “Malah beberapa program dia dia kelihatan lebih selesa bersama bergerak bersama UMNO dari bersama Bersatu yang juga di mana abangnya merupakan pimpinan UMNO bahagian.

    “Maka Bersatu kawasan tersebut sudah sedia dari awal mempersiapkan jentera sendiri dan kini kawasan Tebrau dipangku oleh Timbalan Ketua Bahagian, Kamaruzzam Abu yang sebelum ini aktif sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersatu Tebrau,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Hari ini, Mazlan dalam sidang media mengumumkan beliau meninggalkan Bersatu dan menyokong Barisan Nasional (BN) di Johor.

    Badrul Hisham turut mendakwa, Mazlan mula buat perangai apabila tidak dicalonkan sebagai Menteri Besar Johor semasa era Pakatan Harapan (PH) dahulu.

    “Kerana itu dia ada masalah peribadi dengan Tan Sri Presiden Bersatu dan mula menyerang dan memperkecilkan Presiden dengan kawan-kawan yang ditemui,” dakwanya.

    Sementara itu, Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi menegaskan pendirian menolak mana-mana bekas ADUN Bersatu yang ingin menyertai semula UMNO.

    “Tindakan ini tidak lain bertujuan untuk mempertahankan kerusi DUN tersebut dengan menggunakan UMNO sebagai medan perjuangan mereka,” jelasnya.

    Dengan penolakan tersebut, Mazlan bakal berdepan kesukaran untuk dicalonkan mewakili BN pada PRN Johor dan tindakannya keluar Bersatu hanya menyempitkan lagi peluangnya untuk terus bergiat aktif dalam politik kepartian.

  • Buat sidang media khas, Mazlan mahu umum keluar Bersatu?

    Buat sidang media khas, Mazlan mahu umum keluar Bersatu?

    KETUA Bersatu Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang akan menjawab desas-desus beliau keluar parti dalam sidang media khas esok.

    Memetik laporan BH, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu berkata, semua pihak diminta menunggu sidang media tersebut.

    “Mana boleh beritahu dulu, tunggu esoklah. Jemput datang untuk buat liputan,” katanya ringkas.

    Pada masa ini, sedang berlegar spekulasi mengenai Mazlan akan menyertai sebuah parti politik lain.

    Khabar angin mengaitkan bekas Pengerusi Bersatu Johor itu bakal bertukar parti semakin hangat diperkatakan selepas media mendapat jemputan sidang media pengumuman khas esok.

    Selain itu, dua lagi ADUN Bersatu difahamkan turut mengikut jejak langkah Mazlan dan menyertai majlis pengumuman itu esok.

    Isnin lalu, Mazlan dilaporkan akan memutuskan masa depan karier politiknya dalam masa terdekat.

    Beliau mendakwa tidak akan bertanding atas tiket Bersatu pada PRN kali ini, berikutan tidak sehaluan dengan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Bersatu Johor.

    Sebelum itu, pada 20 Januari lalu pula, Mazlan dilaporkan bersedia mempertimbangkan untuk bersara daripada dunia politik sekiranya PRN diadakan.

    Beliau sebelum ini, menafikan bakal menjadi wakil rakyat Bebas bagi memberi laluan kepada PRN Johor diadakan.

  • 779 guru tolak vaksin akan diberi kaunseling

    779 guru tolak vaksin akan diberi kaunseling

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    JABATAN Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) mendedahkan terdapat 779 guru di negeri ini yang menolak untuk menerima vaksin Covid-19.

    Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang berkata, mereka akan dibantu dengan diberi penerangan berkaitan kebaikan suntikan berkenaan kepada mereka.

    Setakat ini katanya, seramai 45,448 atau 96.26 peratus guru di Johor sudah menerima dos pertama sehingga 19 Oghos lalu.

    Berdasarkan statistik katanya, seramai 23,746 guru sudah lengkap kedua-dua dos berkenaan.

    “Bagi anggota kumpulan pelaksana (AKP) seramai 6,539 atau 91.43 peratus sudah menerima dos pertama dan 2,816 atau 39.37 peratus sudah lengkap kedua-dua dos.

    “Bagi staf sokongan operasi pula seramai 9,236 atau 71.49 peratus sudah menerima dos pertama dan 7,030 atau 54.42 peratus lengkap kedua-dua dos suntikan vaksin,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini ketika menjawab soalan berkenaan kadar vaksinasi guru di negeri ini yang dikemukakan Nor Hayati Bachok (Amanah-Maharani).

    Dalam pada itu, Mazlan berkata, bagi anggota kumpulan pelaksana (AKP) pula, seramai 6,539 atau 91.43 peratus sudah menerima dos pertama dan seramai 2,816 pula atau 39.37 peratus sudah lengkap kedua-dua dos.

    “Bagi staf sokongan operasi pula, seramai 9,236 atau 71.49 peratus sudah menerima dos pertama dan seramai 7,030 atau 54.42 peratus lagi sudah lengkap kedua-dua dos suntikan vaksin,” katanya.