Tag: maut

  • Remaja Orang Asli maut diserang gajah liar

    Remaja Orang Asli maut diserang gajah liar

    SEORANG remaja lelaki Orang Asli berusia 15 tahun maut dipercayai akibat diserang seekor gajah liar di kebun durian di Kampung Tual di Pos Sinderut, Kuala Lipis, hari ini. 

    Ketua Polis Daerah Lipis, Supt Azli Mohd Noor, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa Andy Yok Manin pada jam 4.30 petang oleh batin kampung itu. 

    “Mangsa dikatakan berada di kebun durian yang terletak kira-kira 30 kilometer dari rumahnya bersama ahli keluarga. 

    “Gajah itu dikatakan terlebih dahulu menyerang di Kampung Regang, namun dapat dihalau penduduk menyebabkan ia menuju ke kebun durian itu,” katanya. menerusi kenyataan, di sini hari ini. 

    Azli berkata keluarga mangsa telah membawa balik mayat mangsa ke rumah selepas serangan gajah itu tamat. 

    Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat. – BERNAMA 

  • Rempuh kerbau, dua penunggang motosikal maut

    Rempuh kerbau, dua penunggang motosikal maut

    DUA lelaki terbunuh selepas motosikal yang ditunggangi merempuh kerbau dalam dua kejadian berasingan di Pekan, awal pagi semalam.

    Mangsa ialah Mohd Azlan Abdul Aziz, 42 dan Muhammad Syafiq Al-Syahmi Suhaime, 18, masing-masing meninggal dunia di tempat kejadian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, dalam kejadian pertama di Kilometer 4 Jalan Pekan-Batu Balik, pada pukul 12.20 pagi itu, Mohd Azlan dalam perjalanan dari arah Batu Balik menghala ke Pekan.

    Katanya, siasatan mendapati apabila tiba di tempat kejadian, mangsa terlanggar kerbau yang berada di tengah jalan sebelum terbabas ke dalam parit di tepi jalan.

    “Berikutan kemalangan itu, mangsa yang bekerja sendiri meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd Zaidi berkata, dalam kejadian kedua di Kilometer Kilometer 4 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, di sini, Muhammad Syafiq Al-Syahmi meninggal dunia selepas terlanggar kerbau yang berada di tengah jalan pada jam 2 pagi.

    Katanya, penunggang motosikal itu dalam perjalanan dari Taman Permata ke bandar Pekan.

    “Penunggang motosikal tercampak ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata, kedua-dua kes disiasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Penonton maut dirempuh kereta di Litar Dato Sagor

    Penonton maut dirempuh kereta di Litar Dato Sagor

    SEORANG lelaki maut akibat dirempuh kereta yang terbabas di Litar Dato Sagor, Kampung Gajah di Pasir Salak hari ini.

    Rakaman kejadian yang tular di media sosial memaparkan dua buah kereta yang sedang berlumba dalam acara permotoran bergesel hingga menyebabkan salah sebuah kereta berkenaan terbabas.

    Lapor Sinar Harian, kejadian itu menyebabkan beberapa individu yang berada di tepi litar segera lari menyelamatkan diri namun mangsa parah akibat rempuhan berkenaan.

    Beberapa orang penonton kemudian dilihat bergegas untuk memeriksa keadaan mangsa sebelum ambulans tiba untuk memberikan bantuan.

    Difahamkan, mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.

  • Polis tunggu laporan forensik bahan letupan

    Polis tunggu laporan forensik bahan letupan

    POLIS sedang menunggu laporan forensik bagi mengenal pasti isi kandungan bahan letupan yang digunakan hingga menyebabkan seorang pelayan sebuah restoran di Pandan Indah, Ampang dekat sini, maut malam tadi.

    Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi berkata setakat ini siasatan kes itu sedang dijalankan merangkumi semua aspek.

    “Kami masih mengesan suspek yang terlibat,” katanya kepada media selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Selangor di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

    Mengulas dakwaan sebuah hantaran yang tular di media sosial, mendakwa bahan letupan itu merupakan buatan sendiri, Sasikala berkata perkara itu juga sedang disiasat. 

    Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun maut selepas bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet keretanya meletup malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata pihaknya menerima panggilan orang awam memaklumkan ada bunyi letupan di tempat kejadian yang berlaku pada 8.55 malam. – BERNAMA

  • Petugas taman hidupan liar maut diserang gajah

    Petugas taman hidupan liar maut diserang gajah

    SEORANG petugas Taman Hidupan Liar Lok Kawi, di Kota Kinabalu Sabah meninggal dunia selepas diserang gajah pygmy, hari ini.

    Difahamkan gajah berkenaan menyerang bahagian perut mangsa berusia 50-an itu dengan kepalanya beberapa kali dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi.

    Ia menyebabkan mangsa cedera bahagian perut sebelum difahamkan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

    Lapor Berita Harian, kejadian turut disahkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin yang dihubungi sebentar tadi.

    Jafry berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada jabatan berkaitan berhubung insiden berkenaan.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata kejadian masih dalam siasatan pihak polis.

    “Saya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian berkenaan ketika ini,” katanya.

    Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim ketika dihubungi, memaklumkan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dan sebarang perkembangan berhubung kejadian akan dikeluarkan dari semasa ke semasa.

  • Lelaki maut, rakan parah motosikal dihempap pokok

    Lelaki maut, rakan parah motosikal dihempap pokok

    SEORANG lelaki maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka dihempap pokok yang tumbang di Jalan Seremban-Tampin, di sini, tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata penunggang, Muhammad Ikram Mohd Yazid, 21, yang beralamat di Jalan Kampung Perigi Jernih, Rembau, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah malam itu.

    Beliau berkata pembonceng yang dikenali sebagai Ammar Zarif Mohamad Junaidi, 18, beralamat di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor pula berada di zon merah Hospital Rembau akibat kecederaan parah di bahagian badan.

    “Kemalangan berlaku semasa motosikal jenis Yamaha FZ150 dinaiki mereka bergerak dari arah Senawang menuju ke Rembau. Setibanya di tempat kejadian, terdapat satu pokok di kiri bahu jalan tumbang lalu menghempap motosikal berkenaan menyebabkan kedua-duanya terperosok ke bawah pokok itu.

    “Lokasi kejadian berbentuk jalan lurus dan mempunyai dua lorong berlawanan arah dan keadaan jalan raya gelap tanpa pencahayaan lampu jalan, serta cuaca ketika itu baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Dua remaja maut motosikal rempuh lori rosak di lorong kecemasan

    Dua remaja maut motosikal rempuh lori rosak di lorong kecemasan

    DUA remaja lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah lori rosak yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 279.6 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di Nilai malam tadi.

    Ketua Polis Negeri Sembilan DCP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata dalam kejadian 11.30 malam itu, penunggang dan pembonceng berusia 18 tahun terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

    “Insiden berlaku apabila tayar kanan bahagian belakang lori yang dipandu lelaki berusia awal 60-an dari Senawang menuju ke Puchong, Selangor, pecah di lokasi kejadian dan lori itu kemudian diparkir di lorong kecemasan dengan memasang tanda amaran segi tiga. 

    “Ketika berada di lorong tersebut, penunggang motosikal didakwa tidak sempat mengelak dan secara tiba-tiba merempuh bahagian kanan lori itu. Siasatan lanjut masih dilakukan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai Insp Siti Syarah di talian 014-5144741 bagi membantu siasatan. – BERNAMA

  • Tiga maut, tiga cedera kemalangan dua kenderaan di Sitiawan

    Tiga maut, tiga cedera kemalangan dua kenderaan di Sitiawan

    TIGA maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jambatan Permaisuri Bainun, Sitiawan, malam tadi. 

    Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan berkata mangsa yang meninggal dunia merupakan pasangan suami isteri dan seorang kanak-kanak lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Saga.

    Beliau berkata dua lagi kanak-kanak lelaki dan perempuan dalam kenderaan yang sama serta pemandu kenderaan SUV jenis Chevrolet mengalami kecederaan.

    “Kita terima panggilan kecemasan pada 11.13 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kenderaan jenis Chevrolet telah terbakar 80 peratus. 

    “Tiga orang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala mangsa yang cedera diberikan rawatan awal dan tiada mangsa yang tersepit,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Menurutnya kesemua mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis manakala yang cedera dibawa ke hospital oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya. 

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi memberitahu Bernama, identiti kesemua yang terlibat dalam kemalangan itu akan dimaklumkan kemudian. – BERNAMA 

  • Wanita warga emas maut pacuan empat roda jatuh sungai

    Wanita warga emas maut pacuan empat roda jatuh sungai

    SEORANG wanita warga emas maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas lalu terjatuh dari jambatan ke dalam sungai di Kampung Bukit Perpat, Wakaf Tapai dekat Marang, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Zain Mat Aris berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 11.19 pagi dan mangsa Zaiton Omar, 64, yang tidak sedarkan diri berjaya dikeluarkan dari kenderaan jenis Toyota Hilux itu oleh orang kampung.

    “Mangsa yang memandu seorang diri telah disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Klinik Pengkalan Berangan yang sampai ke lokasi kejadian,” katanya yang memberitahu mayat mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat.

    Sementara itu, anak angkat mangsa, Wan Rafiyuddin Wan Mohd, 33, berkata sudah menjadi kebiasaan Zaiton memandu ke kampung berkenaan untuk mendapatkan bekalan pisang dan ubi untuk berniaga di gerai pisang gorengnya di Gong Beris.

    “Arwah (Zaiton) baru ambil pisang di rumah saya di Kampung Bukit Perpat…kemudian saya dapat panggilan masuk daripada nombor telefon dia dalam pukul 11.05 pagi, tapi orang lain yang cakap beritahu kereta Hilux jatuh ke dalam sungai.

    “Masa saya sampai di tempat kejadian, orang dah bawa keluar mayat mangsa. Rutin dia setiap hari beli pisang, ubi, cendawan seorang diri tanpa ditemani suaminya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Wan Rafiyuddin berkata ibu angkatnya yang berasal dari Kampung Lubuk Pandan dekat sini, mempunyai seorang anak perempuan yang bertugas di sebuah hospital di Negeri Sembilan. – BERNAMA

  • Mekanik maut, van jenazah dipandu terbabas masuk gaung 7 meter

    Mekanik maut, van jenazah dipandu terbabas masuk gaung 7 meter

    SEORANG mekanik maut selepas van jenazah yang dipandunya hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terjunam ke dalam gaung setinggi tujuh meter di Kilometer 16, Jalan Jemaluang-Mersing dekat Mersing, pagi tadi. 

    Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyril Edward Nuing berkata dalam kejadian pada kira-kira 9.15 pagi di hadapan Institut Latihan Perindustrian Mersing itu, mangsa dikenal pasti sebagai Wan Mohd Nasyarudin Wan Ismaon, 38.

    “Van yang dipandu Mohd Nasyarudin dipercayai dari arah Johor Bahru-Mersing, telah terbabas lalu melanggar besi pembahagi jalan di laluan bertentangan sebelum van berkenaan terjatuh dalam gaung,”  katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Cyril Edward berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pakar perubatan dan jenazahnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Mersing untuk bedah siasat da kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA