Tag: mat rempit

  • 76 mat rempit ditahan dalam 206 operasi banteras lumba haram

    76 mat rempit ditahan dalam 206 operasi banteras lumba haram

    SERAMAI 76 mat rempit berusia 16 hingga 36 tahun ditahan polis Pulau Pinang dalam 206 operasi yang dijalankan bagi membanteras kegiatan lumba haram di seluruh negeri itu sejak September tahun lalu hingga 31 Mac lalu.

    Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 5,009 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melibatkan aktiviti lumba haram.

    Menurut beliau, pihaknya turut mengenal pasti beberapa lokasi panas yang kerap dijadikan tempat mat rempit berlumba dan operasi berterusan dijalankan di kawasan terbabit dalam usaha membanteras lumba haram.

    Bagaimanapun tambah beliau, pihaknta mendapati terdapat trend penurunan dalam aktiviti mat rempit sejak kebalakangan ini hasil penguatkuasaan dan pencegahan berterusan polis bersama agensi penguatkuasaan lain sejak Julai tahun lalu.

    ”Namun, masih ada individu yang didapati merempit untuk tujuan berseronok dan tindakan telah diambil kepada individu-individu tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, George Town, Pulau Pinang hari ini.

    Terdahulu, Mohd. Shuhaily mempengerusikan mesyuarat perancangan strategi memerangi lumba haram dan mat rempit peringkat Kontijen Pulau Pinang bersama beberapa jabatan dan agensi di IPD Timur Laut.

    Antara agensi yang terlibat dalam mesyuarat itu antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); Jabatan Alam Sekitar (JAS); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN); Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ; Universiti Sains Malaysia (USM); Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam.

    Dalam pada itu, menurut Mohd. Shuhaily, mesyuarat memerangi aktiviti lumba haram hari ini merumuskan peranan jawatankuasa pencegahan dan penguatkuasaan perlu diteruskan serta dipertingkatkan dengan menambah baik beberapa perkara.

    Antaranya, kata beliau, berkaitan prosedur dan hukuman di bawah Seksyen 81(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 supaya tindakan lebih ketat dikenakan kepada mat rempit dan penggubalan undang-undang khusus ke atas ibu bapa, penjaga (pesalah samseng jalanan) dan penonton.

    Jelas beliau, mesyuarat itu mencadangkan supaya kadar hukuman saman ke atas pengubahsuaian motosikal dinaikkan dan undang-undang supaya tindakan boleh diambil ke atas bengkel pengubahsuaian komponen, struktur dan asas kepada kenderaan digubal.

  • 5 bengkel tumpuan mat rempit ubah suai motosikal di Georgetown dikompaun

    5 bengkel tumpuan mat rempit ubah suai motosikal di Georgetown dikompaun

    MESKIPUN pernah diserbu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dan dikenakan saman tahun lalu, namun pemilik sebuah bengkel motosikal di pusat bandar Georgetown tidak pernah serik menawarkan servis mengubah suai motosikal kepada mat rempit dipercayai untuk tujuan lumba haram.

    Bengkel motosikal itu antara lima buah bengkel yang diserbu JPJ Pulau Pinang dalam Ops Bengkel yang berlangsung lebih tiga jam bermula pukul 1 tengah hari, hari ini.

    Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md. Isa berkata, bengkel di pusat bandar itu antara bengkel yang menjadi tumpuan pemilik motosikal untuk melakukan proses ubah suai secara haram.

    Jelasnya, antara kesalahan yang dikesan dilakukan pemilik bengkel itu ialah mengubah tayar standard kepada tayar ‘sotong’; mengubah ekzos; memasang alat mengawal kelajuan; mengubah sistem enjin, mengubah ‘swing arm’ dan banyak lagi.

    ”Kita mendapati pengubahsuaian yang dilakukan di bengkel motosikal ini mungkin untuk meningkatkan kelajuan motosikal bagi berlumba secara haram.

    “Pemilik bengkel ini juga menjual aksesori motosikal yang diimport yang mempunyai potensi digunakan untuk melakukan proses ubah suai motosikal secara haram.

    ”Harga yang ditawarkan untuk pemilik motosikal melakukan proses ubah suai pula sekitar RM400 dan terdapat 14 motosikal di bengkel ini yang sedang diubah suai ketika serbuan dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas Ops Bengkel itu hari ni.

    Mengulas lanjut, Adenan berkata, secara keseluruhan, sebanyak 66 notis saman melibatkan 30 kesalahan dikeluarkan terhadap lima bengkel motosikal di daerah Barat Daya dan Timur Laut sepanjang Ops Bengkel itu.

    Katanya, Ops Bengkel itu turut dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

    ”Pemilik bengkel motosikal diberikan peluang untuk memperbetulkan semula motosikal yang diubah suai dalam tempoh 10 hari.

    ”Kita juga arahkan pemilik bengkel menghentikan proses ubah suai motosikal secara haram bagi memastikan aktiviti lumba haram tidak berlaku,” katanya.