Tag: masjidilharam

  • Hujan lebat diramal di Mekah, salji di utara Arab Saudi

    Hujan lebat diramal di Mekah, salji di utara Arab Saudi

    HUJAN lebat disertai ketulan air batu selain ribut petir yang boleh menyebabkan banjir kilat diramal berlaku di kota suci Makkah yang menempatkan masjid paling suci umat Islam iaitu Masjidil Haram.

    Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) Arab Saudi yang dipetik Agensi Berita Saudi (SPA) hari ini memaklumkan amaran hujan lebat yang berlaku sejak petang Ahad kekal aktif sehingga pukul 11 pagi (waktu tempatan) pada Selasa (hari ini).

    Ramalan itu menyatakan, hujan tahap sederhana dan lebat diramal bersama angin kuat, ombak besar serta hujan batu manakala jarak penglihatan pula terhad. 

    “Hujan lebat ini berlarutan di Madinah dan wilayahnya termasuk pantai dan kemudian beredar ke timur di wilayah Riyadh, Hail, Qassim, wilayah timur, timur laut dan utara termasuk wilayah Al-Jouf dan wilayah sempadan utara.

    “Salji lebat diramal di wilayah utara Arab Saudi dan kabus tebal akan terbentuk pada awal pagi Isnin.

    “Orang ramai mesti berhati-hati dan tidak mendekati lokasi air hujan terkumpul untuk memastikan keselamatan mereka,” menurut NCM.

    Sementara itu, Jabatan Tertinggi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi menerusi portal rasminya hari ini memaklumkan bahawa pelan kecemasan menghadapi bencana banjir sudah mula dilaksanakan bagi memastikan keselamatan jemaah umrah dan pengunjung Baitullah.

    Pengarah Keselamatan Masjidil Haram, Hussein bin Hassan Al-Asafi berkata: “lebih 200 penyelia dan 4,000 petugas pembersihan digerakkan bagi membantu melancarkan tugas ini”. – BERNAMA

    Masjidil Haram, ribut, hujan lebat, salji, Arab Saudi

  • Solat jenazah ghaib untuk Siti Sarah di Masjidilharam

    Solat jenazah ghaib untuk Siti Sarah di Masjidilharam

    SIAPA sangka berita sedih pemergian Allahyarham Siti Sarah Raissuddin semalam, telah tersebar hingga ke tanah suci Mekah.

    Perkara itu didedahkan suaminya yang juga pelawak, Shuib Sepahtu menerusi perkongsian video berdurasi satu minit dan 20 saat yang dimuat naik di Instagram miliknya.

    Klip itu menunjukkan seorang imam sedang melakukan solat jenazah ghaib secara berjemaah di Masjidilharam, Mekah.

    Adalah difahamkan solat jenazah ghaib yang diadakan dalam waktu Zohor itu adalah untuk Allahyarham Siti Sarah.

    “Allahuakbar, Allah Maha Besar dapat kiriman video solat jenazah ghaib dalam Masjidil Haram. Allah terlalu sayang awak ibu… Bergembiralah disyurga bidadariku Siti Sarah,” tulisnya ringkas.

    Lepas tujuh jam video itu dikongsikan, ia telah mendapat hampir 2 juta tontonan dan hampir 17,000 komen netizen,

    Kebanyakan komen ditulis warganet pula menunjukkan rasa kagum mereka terhadap amalan-amalan kebaikan yang pernah dilakukan Allahyarham Siti Sarah ketika hayatnya.

    Pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew turut meninggalkan komen beliau:”Allah sayang @shuibsepahtu dan @sitisarahraissuddin, janji Allah itu benar buat orang yang baik dermawan dan taat pada suami dan fikir umat yang ada padanya”.

    Siti Sarah disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) HCTM pukul 5.13 pagi dan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak.

    Allahyarham bersama Shuib dan tiga anak mereka termasuk pembantu rumah sebelum ini disahkan positif Covid-19 pada 27 Julai lalu dan menjalani kuarantin diri di rumah.

    Namun, Siti Sarah yang sarat hamil tujuh bulan mengalami masalah pernafasan dan dikejarkan ke HCTM pada 4 Ogos lalu sebelum menjalani pembedahan mengeluarkan bayi pada 6 Ogos.

    Allahyarhamh selamat melahirkan anak lelaki diberi nama Ayyash Affan.