Tag: Masjid Putra

  • [video] Imam Besar Masjid Putra mohon maaf

    [video] Imam Besar Masjid Putra mohon maaf

    SELEPAS dikritik hebat pengguna media sosial, Imam Besar Masjid Putra, Ikmal Zaidi Hashim malam tadi memohon maaf secara terbuka berhubung kenyataannya mengenai isu layanan dua darjat bagi solat Jumaat di masjid itu, baru-baru ini.

    Menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook Masjid Putra, Ikmal memaklumkan, pihaknya akan memperbaiki keadaan terutamanya pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di masjid berkenaan.

    “Saya Imam Besar Masjid Putra, ingin memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam yang mengetahui kes ini secara jauh mahupun dekat diatas reaksi saya yang dilihat agak keterlaluan berhubung video yang tular di media massa dan sosial pada Jumaat lalu.

    “Dengan rendah hati saya ingin memohon maaf diatas segala keterlanjuran berkenaan dan berazam serta berjanji akan memperbaiki keadaan terutamanya mengenai pelaksanaan SOP di Masjid Putra,” katanya malam tadi.

    Ikmal sehubungan itu mengajak jemaah Masjid Putra agar terus mengimarahkan aktiviti sama ada bagi solat Jumaat atau fardu serta program yang dianjurkan oleh pihak masjid.

    Menerusi satu video yang tular sebelum ini, Ikmal menjelaskan keadaan sebenar berhubung isu tular tersebut dan menyatakan beliau tidak reda dengan penyebaran klip video tersebut.

    Ikmal dilaporkan berkata, Masjid Putra sememangnya memperuntukkan kuota khas untuk VIP sebanyak 10 peratus, iaitu sebanyak 30 tempat daripada kapasiti 300 jemaah yang dibenarkan, dan untuk pegawai kerajaan berpangkat pengarah dan ke atas.

    Beliau dilaporkan turut menggesa individu yang menularkan video itu tampil memohon maaf kepada pihak pengurusan masjid.

  • Dakwaan layanan berbeza, Masjid Putra beri penjelasan

    Dakwaan layanan berbeza, Masjid Putra beri penjelasan

    MASJID Putra di Putrajaya sentiasa berusaha sedaya upaya menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada para jemaah yang terdiri daripada pelbagai kedudukan.

    Penjelasan itu diberi susulan rakaman video yang tular dalam media sosial mendakwa berlaku layanan berbeza terhadap jemaah tertentu dalam menentukan kuota solat Jumaat di masjid berkenaan.

    Kenyataan penuh masjid berkenaan adalah seperti berikut:

    Masjid Putra Putrajaya merujuk sebuah video yang tular mengenai layanan berbeza kepada jemaah yang hadir solat Jumaat pada 10 September 2021 di Masjid Putra.

    Ingin dijelaskan bahawa pengurusan kehadiran jemaah di masjid ini sama ada solat fardu lima waktu atau solat Jumaat adalah mematuhi garis panduan dan ketetapan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

    Bagi solat Jumaat, kapasiti jemaah di masjid ini telah ditetapkan seramai 300 orang.

    Daripada jumlah tersebut, pihak pengurusan masjid turut memperuntukkan sejumlah kuota untuk jemaah tetap yang telah mendaftar lebih awal dan memaklumkan jangkaan waktu ketibaan di masjid bagi memudahkan pihak pengurusan masjid memastikan jumlah kehadiran adalah bertepatan dengan kuota yang dtetapkan.

    Tidak dapat dinafikan, saban minggu Masjid Putra menerima kehadiran para jemaah melebihi kapasiti yang ditetapkan sejak pukul 11 pagi untuk menunaikan solat
    Jumaat.

    Apabila kapasiti jemaah telah mencukupi, pihak pengurusan masjid akan menutup pintu pagar utama masjid menyebabkan jemaah yang hadir kemudian tidak
    dapat memasuki masjid.

    Pihak masjid memaklum dan menasihatkan para jemaah secara baik mengenai perkara tersebut.

    Bagi memelihara nama baik institusi masjid, pihak pentadbiran masjid akan berusaha sedaya upaya menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah yang terdiri daripada pelbagai kedudukan.

    Justeru, kami bersedia mempertingkatkan lagi kualiti pengurusan demi memastikan pelanggan setia kami gembira dan berpuas hati dengan
    khidmat yang diberi.

    Sebarang cadangan dan maklum balas bolehlah menghubungi terus pihak Masjid Putra. Pihak Masjid Putra memohon kemaafan atas kekhilafan yang berlaku dalam hal ini.