Tag: Mas Ermieyati Samsudin

  • Mas Ermieyati dilantik pengerusi PAC baharu

    Mas Ermieyati dilantik pengerusi PAC baharu

    AHLI Parlimen Masjid Tanah daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin dipilih sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang baharu.

    Beliau menggantikan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh, yang menyandang jawatan itu sebelum ini.

    Mas Ermieyati menjadi wanita kedua dilantik memegang jawatan itu selepas Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad daripada Barisan Nasional (BN) dari April 2019 hingga Mac 2020.

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengusulkan pemilihan itu di Dewan Rakyat turut menamakan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi daripada Pakatan Harapan (PH) sebagai naib pengerusi.

    Usul itu diterima sebulat suara oleh Ahli Dewan Rakyat, lapor FMT.

    Terdahulu, menurut Aturan Mesyuarat dan Usul-usul Dewan Rakyat hari ini, perdana menteri akan mencadangkan calon bagi lantikan berkenaan.

    Pelantikan itu sebagai meneruskan amalan lantikan pengerusi PAC dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang seperti dalam pentadbiran kerajaan terdahulu, yang mana jawatan berkenaan terdahulu disandang Kah Woh daripada PH.

    PAC ialah jawatankuasa Parlimen yang dibentuk untuk meneliti laporan daripada ketua audit negara dan meneliti kewangan kerajaan serta wang diperuntukkan oleh Parlimen untuk perbelanjaan awam.

    Ia akan dianggotai antara enam hingga 12 ahli yang akan dicalon oleh jawatankuasa pemilihan yang akan ditubuhkan.

  • Cadang pesalah seksual kanak-kanak dipenjara 30 tahun – Mas Ermieyati

    Cadang pesalah seksual kanak-kanak dipenjara 30 tahun – Mas Ermieyati

    SEORANG Ahli Parlimen Pembangkang mencadangkan hukuman penjara bagi kesalahan seksual membabitkan kanak-kanak perlu dinaikkan sekurang-kurangnya 30 tahun termasuk sebatan.

    Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkata, hukuman penjara maksimum 20 tahun bagi kesalahan sedemikian tidak memadai.

    “Kalau dibaca kesalahan dinyatakan bawah Seksyen 15A (1), kesalahan ini amat berat sekali kerana hukuman penjara 20 tahun tidak memadai.

    “Saya melihat apabila terdapat gambar atau video itu dirakam, dan dimuat naik dalam media sosial, ia akan memberikan kesan bukan hanya jangka pendek tetapi jangka masa panjang, waima kanak-kanak itu sudah meningkat dewasa, bahan itu masih berada dalam sosial media,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat.

    Mas Ermieyati pada masa sama mempersoalkan bagaimana mangsa perlu melalui situasi itu sehingga meningkat dewasa yang akhirnya akan memberikan trauma mendalam kepada mereka.

    Menurutnya, perkara sama berlaku dalam Seksyen 15B RUU itu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun bagi kesalahan pemerasan seksual kanak-kanak.

    “Saya rasa hukuman pendek sekali dan tidak beri ketakutan pada pelaku-pelaku lain. Ia harus disertai hukuman sebat, termasuk juga 15A tadi kerana perbuatan ini libatkan menggugat yang boleh guna dorongan, paksaan dan kekerasan,” katanya.

    Katanya, yang merujuk negara jiran iaitu Indonesia mempunyai undang-undang di mana pelaku dimandulkan dengan ubat tertentu menggunakan kimia “castration”.

    “Perkara sama juga pernah dicadangkan oleh India bagi menangani keseriusan dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak,” katanya.

  • ‘Amir Jahari, saya minta maaf, saya akan letak lagu nasyid’, kata Mas Ermieyati

    ‘Amir Jahari, saya minta maaf, saya akan letak lagu nasyid’, kata Mas Ermieyati

    NAIB Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin memohon maaf kepada Amir Jahari, penyanyi lagu Hasrat kerana menggunakan lagu ciptaannya sebagai lagu latar untuk hantaran video semasa berada di Mahkamah Kuala Lumpur susulan pendakwaan kes Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

    Menurut Ahli Parlimen Masjid Tanah itu, beliau sedia menurunkan semula hantaran menggunakan lagu berkenaan dan menggantikannya dengan lagu lain seperti lagu nasyid atau lagu penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

    “Amir Jahari Music saya mohon maaf. Saya akan turunkan post saya dan letak lagu nasyid atau Siti Nurhaliza, artis yang tidak kisah kalau nak pakai lagu dia untuk sosial, kebajikan dan politik,” katanya, hari ini, lapor Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian semasa berucap pada Perhimpunan Agung Srikandi Bersatu 2022 di Menara PGRM, Cheras.

    Mengulas lanjut, Mas Ermieyati turut mengingatkan Amir agar lebih berhati-hati selepas ini dengan meletakkan tanda amaran kepada mana-mana pihak agar tidak menggunakan lagu tema filem Imaginur itu untuk tujuan politik.

    “Satu sahaja pesan saya untuk anak muda seperti Amir Jahari … teruskan berkarya, tetapi kalau kamu tak suka karya kamu itu tidak suka jika digunakan oleh orang politik, letak siap-siap sebelum kamu letak di YouTube dan sebagainya. Letak “Jangan guna lagu aku kalau kamu nak guna untuk tujuan politik”. Jangan bila saya dah post, baru nak letak begitu,” katanya.

    Mas Ermieyati juga faham tindakan artis itu mungkin disebabkan beliau adalah Ahli Parlimen pembangkang.

    “Saya percaya pada industri kreatif di Malaysia, betapa potensi besar di Malaysia untuk kita dapat pendapatan baik melalui usaha anak tempatan yang kreatif sebagaimana Amir Jahari Music.

    “Baru berusia 30 tahun, namun anak muda ini mungkin takut, saya tak tahu. Sebab saya ini ahli parlimen pembangkang orang malu, kau faham tak semua ni? Orang takut dengan kita sebab kita pembangkang. Kamu berjuang untuk rakyat tetapi mereka malu dengan kita. Dosakah saya menghargai muzik?,” katanya.

    Dalam pada itu Mas Ermieyati berkata, hantaran dengan lagu latar itu sebenarnya dimuatnaik oleh seorang anak muda berusia 19 tahun.

    Malah, tindakan itu dilihat untuk menghargai muzik yang secara tidak langsung dapat mengajak orang lain untuk mendengar lagu itu.

    “Yang buat semua muat naik semua ini bukan saya, tetapi anak muda usia 19 tahun, lelaki kerana dia menghargai muzik, segar. Malah, Imaginur adalah filem yang sangat baik. Lakonan mantap dan idea baik.

    “Sebab itu apabila dia menyatakan minta turunkan lagu kerana tidak mahu ada politik dan dia nak saman saya sebab copyright, saya jadi macam garu kepala. Saya tanya mana kamu dapat lagu ini? Dia cakap dari YouTube. Habis tu, kalau dapat dari YouTube tak kan tak nak bagi orang dengar, lagi orang dengar lagi bagus,” tambahnya.

    Wakil pengurusan komposer dan penyanyi Amir Jahari hari ini meminta Mas Ermieyati menarik balik lagu Hasrat yang dimuatkan dalam video menyokong Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Bekas Pengurus Amir, Joe Lee dalam ciapan Twitternya menggesa Mas Ermieyati segera memadamkan lagu tersebut yang digunakan tanpa izin.

  • Petisyen calon BN ditolak, Mas Ermieyati sah Ahli Parlimen Masjid Tanah

    Petisyen calon BN ditolak, Mas Ermieyati sah Ahli Parlimen Masjid Tanah

    MAHKAMAH Pilihan Raya hari ini, mengisytiharkan pemilihan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu adalah sah.

    Memetik laporan Berita Harian, Hakim, Datuk Anselm Charles Fernandis, membuat keputusan itu selepas membatalkan dengan kos terhadap petisyen pilihan raya yang difailkan bekas calon Barisan Nasional (BN) kerusi itu, Abdul Hakim Abdul Wahid, bagi membatalkan kemenangan Mas Ermieyati (responden).

    Dalam keputusannya yang berpandukan Seksyen 36 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, hakim berkata, mahkamah menerima dua daripada empat isu dibangkitkan peguam responden iaitu petisyen difailkan di luar waktu ditetapkan mengikut seksyen 38 akta sama.

    Anselm berkata, mahkamah juga mendapati pempetisyen gagal memperincikan dakwaan rasuah, termasuk fakta bagaimana beberapa individu dinamakan dalam petisyen itu mempunyai hubungan dengan responden atau dilantik sebagai ejennya.

    Pada 3 Januari lalu, Abdul Hakim memfailkan petisyen itu di Mahkamah Pilihan Raya Melaka bagi membatalkan kemenangan Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) atas dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi pada PRU15 lalu.

  • Keputusan bantahan awal petisyen pilihan raya Parlimen Masjid Tanah ditangguh 7 Februari

    Keputusan bantahan awal petisyen pilihan raya Parlimen Masjid Tanah ditangguh 7 Februari

    MAHKAMAH Tinggi Melaka hari ini menangguhkan keputusan bantahan awal petisyen pilihan raya yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) bagi membatalkan kemenangan Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

    Lapor Astro Awani, Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis menetapkan 7 Februari ini sementara mendapatkan hujahan tambahan daripada peguam, Mohd Faizi Che Abu yang mewakili Mas Ermieyati dan peguam Rosfinah Rahmat yang mewakili calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid.

    Hujahan tambahan adalah berkaitan interpretasi rasuah, urusan stem guaman dan pelantikan ejen pilihan raya oleh calon yang bertanding.

    Anselm Charles sebelum ini menetapkan hari ini untuk keputusan bantahan awal petisyen berkenaan.

    Ia selepas, Abdul Hakim pada 3 Januari lalu dilaporkan memfailkan petisyen itu atas dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi pada PRU15.

    Bantahan awal yang difailkan oleh Mas Ermieyati sebagai responden, antara lain mendakwa petisyen tersebut difailkan di luar waktu ditetapkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Selain itu, Abdul Hakim selaku pempetisyen didakwa melakukan kesilapan kerana tidak menamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam petisyen tersebut.

    Pada PRU15 lalu, Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), menang dengan majoriti 4,411 undi dalam pertandingan empat penjuru menewaskan Abdul Hakim, Mutalib Uthman daripada parti Muda dan Handrawirawan Abu Nakar daripada Gerakan Tanah Air (GTA).

  • PN belum putuskan siapa ketua pembangkang

    PN belum putuskan siapa ketua pembangkang

    KETUA pembangkang yang akan mewakili Perikatan Nasional (PN) masih belum diputuskan gabungan itu, kata Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

    Bagaimanapun, beliau menjangkakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal dipilih sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

    “Kebiasaannya ketua-ketua parti akan memegang jawatan (Ketua Pembangkang) itu, contoh Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi PH serta Presiden PKR.

    “Jadi, perkara sama juga akan berlaku terhadap Muhyiddin. Cuma setakat ini, bukan ketua parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Naib Presiden UMNO) pernah memegang jawatan itu. Ia bergantung kepada ketetapan (keputusan) yang dibuat parti.

    “Bagaimanapun, saya tidak pasti ada nama lain yang akan diangkat. Justeru, kita akan berjumpa dengan Presiden minggu depan, maksudnya (keputusan) masih belum dibincangkan atau dicadangkan lagi perkara ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu, Mas Ermieyati turut berpandangan kenaikan status menteri kepada Ketua Pembangkang tidak wajar dijadikan fokus utama.

    Jelasnya, ini kerana bukan pangkat yang dikejar sebaliknya memenuhi tuntutan kerja yang lebih penting.

    “Ketua pembangkang bertaraf menteri itu bukan isu, yang penting keberkesanan menjalankan tanggungjawab tersebut dalam mengemudi dan mengetuai blok pembangkang menjadi pasukan berwibawa,” ujarnya.

    Pada 11 Oktober 2021, media melaporkan Anwar menerima ‘surat kenaikan status’ yang mengesahkan pejabat Ketua Pembangkang itu menikmati kemudahan setara pejabat menteri seperti dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan PH.

    Dalam hantaran di Facebook, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Perdana Menteri, Ismail Sabri dalam mesyuarat kedua jawatankuasa pemandu MoU itu, menyerahkan surat pengesahan kepada Anwar membabitkan perkara itu.

  • [RASMI] Mas Ermieyati pertahan kerusi Masjid Tanah

    [RASMI] Mas Ermieyati pertahan kerusi Masjid Tanah

    KEPUTUSAN rasmi Parlimen Masjid Tanah menyaksikan penyandang kerusi itu dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin menang dengan majoriti 4,411 undi.

    Pada PRU-15 ini, beliau berjaya mendapat 25,604 undi mengetepikan saingan sengit calon Barisan Nasional (BN), Abdul Hakim Abdul Wahid yang mendapat 21,193 undi.

    Calon Muda, Mutalib Uthman hanya meraih 7,445 undi manakala calon Gerakan Tanah Air, Handrawirawan Abu Bakar meraih 507 undi.

    Parlimen Masjid Tanah yang mempunyai 69,174 pengundi berdaftar menyaksikan sebanyak 54,749 jumlah undi atau 79.15 peratus keluar mengundi.

    Mas Ermieyati merupakan penyandang kerusi Masjid Tanah sejak 2013.

  • Mas Ermieyati ikrar berjuang habis-habisan pertahan Parlimen Masjid Tanah

    Mas Ermieyati ikrar berjuang habis-habisan pertahan Parlimen Masjid Tanah

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, mengakui kemampuan calon lawan terutama ditampilkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah itu bagaimanapun berjanji berjuang habis-habisan untuk mempertahankannya.

    “Memang saya memenangi kerusi Parlimen Masjid Tanah pada PRU14 atas tiket BN, dan sekarang saya bersama jentera Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi calon BN.

    “Saya yakin, berkat perkhidmatan yang saya berikan selama menjadi wakil rakyat di kawasan ini sejak 2013, insya-Allah pengundi bijak membuat penilaian,” katanya lapor Berita Harian, hari ini.

    Mas Ermieyati berdepan saingan empat penjuru di kerusi Parlimen itu pada PRU15 yang turut ditandingi Abdul Hakim Abdul Wahid daripada BN, Mutalib Uthman (PH-MUDA) dan Handrawirawan Abu Bakar (PEJUANG).

    Mas Ermieyati berkata, beliau meraikan persaingan itu yang disifatkannya sebagai sebahagian daripada proses demokrasi berparlimen di negara ini.

    Justeru, beliau meminta jentera PN supaya terus bekerja keras bagi memastikan gabungan itu meraih kepercayaan pengundi.

  • RUU jenayah intip, hendap dibentang untuk bacaan kedua Oktober

    RUU jenayah intip, hendap dibentang untuk bacaan kedua Oktober

    RANG undang-undang (RUU) mengenai jenayah intip dan hendap (stalking) akan dibentangkan untuk bacaan kedua di Dewan Rakyat bulan depan.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, RUU itu akan menjadi antara yang terawal dibentangkan apabila Dewan Rakyat bersidang semula pada 3 Okt ini.

    Menurutnya, sesi sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 (2022) Dewan Rakyat akan berlangsung selama 32 hari, sehingga 29 Nov, manakala Dewan Negara akan bersidang selama 11 hari, bermula 21 Nov hingga 7 Dis.

    “Perubahan takwim kali ini bagi membolehkan pembentangan RUU Perbekalan (Belanjawan) 2023 dipercepat,” katanya dalam laporam Free Malaysia Today.

    Bajet 2023 akan dibentangkan pada 7 Okt.

    RUU mengenai jenayah intip dan hendap itu dibentangkan buat kali pertama pada Ogos, membabitkan pindaan kepada Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah.

    RUU itu dirangka bagi melindungi mangsa, khususnya wanita, daripada gangguan di persekitaran fizikal mahupun dalam talian.

  • Bukan hanya wanita, lelaki pun jadi mangsa ‘skodeng’

    Bukan hanya wanita, lelaki pun jadi mangsa ‘skodeng’

    MANA-mana individu tanpa mengira jantina mungkin menjadi mangsa jenayah intip dan hendap.

    Justeru itu, Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan jenayah itu memerlukan kerjasama semua pihak dalam perjuangan diwartakan sebagai akta.

    Memetik laporan Harian Metro, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin berharap sesiapa sahaja, terutamanya lelaki, tampil ke hadapan dan berkongsi dengan pihaknya apa jua yang dialami mereka.

    “Setakat ini saya tidak pernah menerima sebarang perkongsian daripada lelaki, tetapi saya tidak menolak kemungkinan mereka menjadi mangsa juga.

    “Ini kerana jenayah intip dan hendap tidak mengira jantina atau latar belakang seseorang individu pada masa kini.

    “Oleh itu, saya berharap lelaki tidak malu berkongsi, ini adalah masa terbaik untuk kita sama-sama perjuangkan nasib mangsa intip dan hendap yang berhadapan dengan situasi sukar sebegini,” katanya hari ini.

    Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi libat urus bersama Organisasi Masyarakat Sivil (CSO) mengenai penggubalan RUU anti-stalking law itu di Kuala Lumpur.