Tag: Maritim Johor

  • Kapal asing terus bersauh secara haram di perairan Johor

    Kapal asing terus bersauh secara haram di perairan Johor

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    BAGAIKAN tiada kesudahan apabila kelibat kapal-kapal dagang terutamanya yang berdaftar di luar negara terus didapati bersauh secara haram di perairan Johor sejak awal tahun ini.

    Terbaharu, sebuah kapal tangki yang berdaftar di Batam, Indonesia ditahan selepas disyaki bersauh tanpa kebenaran pada pukul 8.50 pagi di perairan Johor Timur, semalam.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal itu ditahan di kedudukan 11 batu nautika timur Tanjung Penawar, Kota Tinggi.

    Katanya, kapal berkenaan dikendalikan 18 kru warga Indonesia berumur antara 19 tahun hingga 56 tahun yang mempunyai pengenalan diri sah.

    “Pemeriksaan awal juga mendapati kapal tersebut mempunyai dokumen sah. Nakhoda kapal memaklumkan bahawa kapal tangki tersebut berlayar dari Kalimantan pada 19 Ogos lalu menuju ke Singapura.

    “Kapal berkenaan kemudian telah bersauh pada 26 Ogos di perairan ini tanpa kebenaran dari Pengarah Laut Malaysia.

    “Berikutan itu nakhoda dan ketua jurutera kapal telah dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut bagi kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Nurul Hizam berkata, kesalahan itu boleh mengakibatkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

    Beliau berkata, Maritim Malaysia mengambil serius mengenai sebarang cubaan bersauh tanpa kebenaran terutama di kawasan Johor Timur yang jelas merupakan kawasan perairan Malaysia.

    Tambahnya, nakhoda-nakhoda kapal dinasihati untuk memaklumkan ketibaan dan memastikan mendapatkan kebenaran sekiranya ingin melakukan sebarang aktiviti-aktiviti di perairan Malaysia.

  • Kapal tangki asing ditahan pindah minyak secara haram

    Kapal tangki asing ditahan pindah minyak secara haram

    Abu Ubaidilah Rahman

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menahan sebuah kapal tangki berdaftar di Belize, Amerika Tengah kerana disyaki cuba melakukan pemindahan minyak secara haram pada kedudukan 6.7 batu nautika timur laut Tanjung Balau, Kota Tinggi semalam.

    Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki itu ditahan pukul 3.45 pagi semasa cuba melakukan pemindahan minyak (STS) dengan sebuah kapal di bawah tahanan Maritim Johor yang sedang dalam proses menunggu perbicaraan.

    “Penahanan dibuat susulan maklumat bilik gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar yang mendapat aduan daripada kru kapal berkenaan dipaksa untuk menerima kehadiran sebuah kapal tangki tidak dikenali bagi melakukan aktiviti itu.

    “Zon Maritim Tanjung Sedili mengesahkan status aduan dengan menghubungi kapal yang ditahan sebelum menghantar sebuah kapal serta bot ronda Maritim ke lokasi kejadian bagi mengesan kapal tangki yang dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, seramai 10 kru warga Indonesia berumur antara 24 hingga 60 tahun ditahan, semuanya mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kapal tersebut cuba melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram dengan kapal yang masih dalam tahanan Maritim. 

    Pada masa katanya nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh dan kebenaran melakukan aktiviti pemindahan minyak.

    “Nakhoda dan ketua jurutera kedua-dua buah kapal itu seterusnya dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk sisatan lanjut.

    “Kapal tangki serta kru telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Seksyen 491B (1)(K), menjalankan aktiviti STS tanpa kebenaran. 

    “Sekiranya didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.