Tag: mangsa banjir

  • Terperangkap atas bumbung rumah, mangsa banjir rayu diselamatkan

    Terperangkap atas bumbung rumah, mangsa banjir rayu diselamatkan

    SEPASANG suami isteri bersama tiga anak dan seorang lagi ahli keluarga terperangkap di atas bumbung rumah mereka di Kampung Jawa, Chaah, dekat Segamat sejak pagi tadi merayu pasukan keselamatan menyelamatkan mereka.

    Ini setelah petempatan itu dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi.

    Memetik laporan Berita Harian, Azizah Bani, 53, berkata, dia terpaksa memecahkan bumbung rumah mereka di Jalan Sidek, berhampiran Masjid Chaah itu sebelum bersama abangnya, suami dan tiga anak memanjat keluar untuk menyelamatkan diri setelah rumahnya mula ditenggelami air, kira-kira 8 pagi tadi.

    Dia turut menggunakan laman Facebook melalui tayangan video secara terus, meminta diselamatkan dengan segera.

    “Saya mohon bantuan segera untuk selamatkan saya sekeluarga atas bumbung ini. Tolong hantar bantuan helikopter dengan kadar segera.

    “Kami sehelai sepinggang, tiada makanan minuman dan basah akibat hujan lebat.

    “Suami saya kesejukan dan tidak dapat menahan rasa sejuk di atas bumbung dengan hujan lebat yang turun tanpa henti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Suami saya kesejukan dan tidak dapat menahan rasa sejuk di atas bumbung dengan hujan lebat yang turun tanpa henti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

  • Helikopter hantar 4 tan makanan bantu mangsa banjir di Kahang

    Helikopter hantar 4 tan makanan bantu mangsa banjir di Kahang

    EMPAT tan bekalan makanan dihantar menerusi dua penerbangan menggunakan helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini, bagi membantu mangsa banjir yang terputus jalan perhubungan di Kahang, dekat Kluang.

    Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrain Md Nor berkata penghantaran bekalan makanan itu untuk kegunaan lebih kurang 660 mangsa yang terdiri daripada pekerja ladang di Ladang Kelapa Sawit Selai dan Ladang Kelapa Sawit Enggang.

    Beliau berkata bekalan makanan itu turut dihantar kepada 240 keluarga Orang Asli melibatkan Kampung Orang Asli Sedohok dan Kampung Orang Asli Pangkalan Tereh.

    “Penerbangan menggunakan helikopter jenis Agusta Westland (AW139) yang dikendalikan juruterbang Supt Mohd Fairuz Jamil dan pembantu juruterbang ASP Shahrizat Shahrudin dari Pasukan Gerakan Udara Pangkalan Semenanjung PDRM.

    “Antara barang yang dihantar termasuk beras, air mineral, gula dan barangan keperluan lain, yang dijangka boleh bertahan empat hingga lima hari,” katanya dalam sidang akhbar di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kahang, hari ini. 

    Bahrain berkata bagi penduduk Orang Asli yang lain termasuk di Kampung Orang Asli Peroh dan Pucur, penghantaran akan dilakukan melalui laluan sungai dalam masa terdekat.

    Beliau juga menambah sekiranya ada mangsa banjir yang juga terputus hubungan jalan (darat), mereka dinasihati supaya sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa terutamanya polis dan pasukan penyelamat agar usaha mengeluarkan dan memberikan bantuan dapat dilaksanakan segera.

    Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat memaklumkan lebih 2,000 pekerja ladang dan penduduk di perkampungan Orang Asli di Kahang, dekat sini, terputus hubungan akibat jalan penghubung ke kawasan berkenaan ditenggelami air akibat banjir.

    Beliau berkata jumlah berkenaan membabitkan 1,700 pekerja di 14 ladang dan 647 penduduk dari enam perkampungan Orang Asli. – BERNAMA

  • Kelantan sumbang RM50,000 bantu mangsa banjir di Kedah

    Kelantan sumbang RM50,000 bantu mangsa banjir di Kedah

    KERAJAAN Kelantan menyalurkan bantuan berjumlah RM50,000 kepada Kerajaan Kedah melalui sumbangan Tabung Serambi Mekah bagi membantu penduduk yang terkesan dengan banjir di kawasan Baling.

    Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, sumbangan tersebut merupakan tanda solidariti dan kebersamaan antara dua kerajaan negeri.

    “Kami (kerajaan Kelantan) merakamkan ucapan takziah kepada mangsa bencana banjir di Kedah yang menyebabkan kehilangan jiwa dan kemusnahan harta benda.

    “Semoga usaha-usaha pasukan keselamatan dan sukarelawan dipermudahkan oleh Allah SWT bagi melancarkan operasi pemulihan pasca bencana,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Bharu Kelantan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Semalam media melaporkan seramai 334 mangsa banjir dari sembilan kampung di Baling dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran banjir melanda kawasan berkenaan.

    Dalam kejadian itu, tiga sekeluarga ditemui maut dalam tragedi banjir dan kepala air di Kampung Iboi, Kupang, Baling.

    Ketiga-tiga jenazah, Salmah Mat Akib, 54, menantunya Nurul Anis Abu Hassan, 23, yang hamil empat bulan dan anaknya Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Charuk Bemban, pada awal pagi ini