Tag: makanan

  • Berjuta orang kebuluran akibat kenaikan harga makanan

    Berjuta orang kebuluran akibat kenaikan harga makanan

    KENAIKAN harga makanan telah memburukkan lagi krisis makanan global, lapor Xinhua, memetik agensi bantuan bukan kerajaan Jerman, Welthungerhilfe pada Selasa.

    “Berjuta-juta orang berdepan kebuluran, kerana keluarga tidak lagi mempunyai apa-apa sumber.

    “Kenaikan harga menjadikan keadaan semakin sukar buat golongan termiskin,” kata setiausaha agung Welthungerhilfe, Mathias Mogge.

    Harga makanan meningkat sebanyak 28 peratus pada 2021 di seluruh dunia, dan keadaan diburukkan lagi dengan konflik Rusia-Ukraine, menurut laporan tahunan Welthungerhilfe 2021.

    Jumlah penduduk dunia yang kelaparan meningkat kepada 811 juta setakat ini dan keadaan semakin meruncing di Yaman, Afghanistan dan Selatan Sudan.

    “Selain itu, Madagascar dan negara-negara Afrika Timur turut terjejas teruk. Di negara-negara ini, kemarau yang melanda mempengaruhi “iklim persekitaran,” menurut laporan itu.

    Welthungerhilfe memaklumkan, konflik bersenjata sejak beberapa tahun kebelakangan turut menyumbang kepada punca masalah kelaparan selain faktor perubahan iklim.

    “Peperangan mempunyai kesan besar terhadap sistem makanan sebagai contoh, ladang dibakar, stok makanan dirompak atau penjualan tanaman dihadkan,” menurut laporan itu. – BERNAMA

  • Bersatu gesa kerajaan bendung kenaikan harga makanan

    Bersatu gesa kerajaan bendung kenaikan harga makanan

    BERSATU menggesa kerajaan mengambil langkah yang komprehensif untuk membendung kenaikan harga dan memastikan bekalan barangan makanan dan keperluan harian yang mencukupi.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, fokus utama mesti diberikan kepada usaha-usaha untuk membantu rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.

    “Justeru, Bersatu akan memperluaskan program bantuan prihatin rakyat yang dilaksanakan oleh parti termasuk program kebun komuniti yang kini sedang dilaksakan di beberapa kawasan.

    “Program ini mampu menjana pendapatan penduduk di samping menyediakan bekalan sayuran dan makanan dengan harga yang murah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Kenyataan media tersebut dikeluarkan susulan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

    Sementara itu, Hamzah berkata, mesyuarat MPT Bersatu menetapkan persidangan cawangan parti diadakan mulai 19 Ogos hingga 18 September diikuti persidangan bahagian mulai 8 hingga 9 Oktober, Perhimpunan Agung Sayap pada 10 hingga 11 November dan Perhimpunan Agung Tahunan mulai 12 hingga 13 November.

    “Manakala urusan pemilihan parti di peringkat cawangan akan ditangguhkan ke suatu tarikh tidak melebihi 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan,” jelasnya.

    Beliau turut memaklumkan, MPT Bersatu sebulat suara bersetuju melantik Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad sebagai Ahli MPT yang baharu.

  • Jijik… rider campur makanan halal, tidak halal dalam kotak sama

    Jijik… rider campur makanan halal, tidak halal dalam kotak sama

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PERSATUAN Pengguna Kedah (Cake) menggesa pihak berwajib agar bertindak melakukan sesuatu bagi memastikan makanan halal dan tidak halal, tidak diletakkan dalam kotak penyimpanan sama apabila dihantar oleh penghantar makanan.

    Setiausahanya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu baru-baru ini daripada pengguna perkhidmatan tersebut yang meragui akan kesucian makanan diterimanya apabila perkara itu berlaku.

    “Baru-baru ini kami menerima aduan daripada seorang pengguna yang mendakwa dia menerima makanan tidak halal apabila penghantar makanan tersebut tersilap mengambil bungkusan.

    “Apabila kami membuat penelitian, barulah kami tahu bahawa makanan tidak halal dan makanan halal selama ini rupa-rupanya diletakkan dalam ruang penyimpanan sama yang ada pada kenderaan penghantar makanan,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat di Alor Setar, hari ini.

    Sebagai seorang muslim katanya, sudah tentu tiada siapa yang mahu agar ‘aroma’ makanan tidak halal tersebut masuk ke dalam makanan halal yang diletakkan di ruang penyimpanan sama.

    “Lebih menyedihkan, individu yang membuat penghantaran itu juga merupakan seorang muslim. Jadi perkara sebegini boleh menimbulkan keraguan dari pelbagai sudut.

    “Kami cadangkan supaya diwujudkan sistem agar makanan yang tidak halal tidak dicampur adukkan dengan makanan halal. Selain itu, golongan penghantar makanan juga diharap dapat bertindak dengan lebih prihatin dalam isu ini,” katanya.

    Beliau dalam pada itu turut menyarankan agar Jabatan Agama Islam meneliti perkara tersebut.

    “Pengguna hari ada segelintirnya masih bimbang untuk keluar makan di restoran dan memilih perkhidmatan penghantaran makanan untuk mengelakkan mereka daripada bersesak-sesak.