Tag: Mahdzir Khalid

  • Peruntukan tambahan RM38j baiki infrastruktur di Yan, Merbok – Mahdzir

    Peruntukan tambahan RM38j baiki infrastruktur di Yan, Merbok – Mahdzir

    RIZQI ZABIDI

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyalurkan peruntukan sebanyak RM38 juta bagi memperbaiki infrastruktiur yang rosak teruk dan musnah dalam kejaian kepala air di Yan dan Merbok pada 18 Ogos lalu.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pertambahan peruntukan itu diluluskan setelah pihaknya mengadakan tinjauan di kawasan terlibat, selain mendengar taklimat daripada pihak berkaitan.

    Katanya, sebahagian besar daripada peruntukan tersebut iaitu RM35 juta akan digunakan bagi menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Tupah selain menyediakan akses bekalan air bersih dan terawat kepada 450 penduduk.

    “Sebanyak RM1 juta daripada peruntukan itu pula akan digunakan untuk membina rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan RM1 juta lagi, untuk bekalan air alternatif.

    “Selain itu sebanyak RM500,000 diperuntukkan untuk program ameniti sosial termasuk membaik pulih titi dan jambatan, RM335,000 bagi membaiki jalan kampung dan RM145,000 bagi membaik pulih empat premis tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas),” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir melawat kawasan terjeas di Yan, hari ini.

    Tambahnya dalam usaha membantu memulihkan kawasan itu, kementeriannya akan mengadakan kolaborasi bersama kerajaan negeri serta pihak-pihak berkaitan bagi menyelaras kerja-kerja yang perlu dilakukan.

    “Ini soal bencana dan disebabkan itu kita tak perlukan masa yang lama untuk mengeluarkan bajet bagi memulihkan keadaan.

    “Untuk membaik pulih rumah-rumah yang rosak contohnya, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) yang merupakan agensi di bawah kementerian ini sudah pun menjalankan kerja-kerja membaik pulih rumah. Difahamkan setakat ini terdapat kira-kira 35 rumah di tepi sungai yang rosak teruk dan insya Allah kerja-kerja baik pulih akan berjalan secepat mungkin,” katanya.

  • Pemerkasaan luar bandar agenda utama Mahdzir

    Pemerkasaan luar bandar agenda utama Mahdzir

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Pemerkasaan masyarakat di luar bandar bakal menjadi salah satu agenda utama yang akan diterapkan ke dalam perancangan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di bawah pimpinan menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    Menurut Ahli Parlimen Padangan Terap itu, pelantikannya sebagai menteri merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul, demi memastikan kelancaran pentadbiran negara dan kemajuan luar bandar serta masyarakatnya.

    Justeru katanya, pengalaman sepanjang berkecimpung dalam dunia politik bakal menjadi bekalan buatnya untuk mencapai matlamat ditetapkan.

    “Dengan rasa rendah diri, saya memohon seluruh rakyat Malaysia mendoakan semoga segalanya dipermudahkan dan negara kita berjaya bangkit serta pulih daripada krisis kesihatan, ekonomi yang sedang dihadapi sekarang dalam tempoh masa terdekat.

    “Saya beriltizam untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini dengan penuh keikhlasan, jujur dan berintegriti demi memastikan negara terus bergerak maju terutamanya dalam usaha menangani pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Setelah selesai mengangkat sumpah di Istana Negara petang tadi, Mahdzir terus menuju ke bangunan Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Putrajaya dan tiba kira-kira pukul 5.45 petang.

    Ketibaan beliau disambut kedua-dua timbalan menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Dauk Hasbi Habibollah serta Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Dr. Ahmad Jailani Mohamed Yunus.

    Mahdzir menambah, beliau menjunjung kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan mengadap bagi Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Kabinet hari ini.

    “Saya mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan diberikan.

    “Saya juga memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah atas pelantikan ini,” katanya.

    Beliau dalam pada itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta seluruh kepimpinan parti.

  • Tidak terima maklumat ganti Shamsul Anuar – Mahdzir

    Tidak terima maklumat ganti Shamsul Anuar – Mahdzir

    NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengesahkan tidak menerima sebarang makluman mengenai desas-desus yang mengatakan beliau dilantik sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli yang baharu.

    “Saya tidak ada menerima sebarang makluman mengenai berita yang disebarkan sejak semalam,” kata Pengerusi Tenaga Nasional Berhad itu di laman Twitter beliau hari ini.

    Beliau pada masa sama turut berkongsi artikel media tempatan yang menyiarkan berita mengenai pelantikan itu.

    Portal media tempatan melaporkan Ahli Parlimen Padang Terap itu dilantik sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli bagi menggantikan Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah yang meletak jawatan serta merta, semalam.

    Menurut Shamsul Anuar, keputusan meletak jawatan itu dibuat dengan mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti.

    “Sebagai ahli UMNO yang patuh dan setia kepada parti, saya dengan ini meletak jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan.

    “Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak dan kepada semua warga Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli.

    “Tumpuan saya selepas ini ialah memberikan fokus kepada tugas sebagai Ahli Parlimen Lenggong dan membantu memperkuat parti dalam menghadapi situasi politik yang semakin mencabar,” katanya.