Tag: mahasiswa

  • 5,694 mahasiswa IPMA terima PerantiSiswa Keluarga Malaysia

    5,694 mahasiswa IPMA terima PerantiSiswa Keluarga Malaysia

    SEBANYAK 5,694 mahasiswa daripada kumpulan B40 Institusi Pendidikan MARA (IPMA) mula menerima peranti di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM).

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementeriannya menerima hampir 10,000 permohonan daripada lima institusi IPMA.

    “Peranti ini diberikan kepada mahasiswa yang layak di bawah Fasa 1 bermula pada 3 September lalu, manakala pengagihan peranti di bawah Fasa 2 pula telah mula diagihkan pada bulan Oktober selepas permohonan Fasa 2 dilanjutkan hingga 30 September lalu”, katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

    Jelas Mahdzir, peranti tersebut diberikan secara hak milik kepada mahasiswa tanpa perlu memulangkannya semula kepada kerajaan.

    Di peringkat IPT KPLB, mahasiswa yang menerima peranti tersebut adalah dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL), University College Agroscience Malaysia (UCAM), Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM), Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dan German-Malaysian Institute (GMI).

    “Kepada mereka yang belum menerima peranti ini, saya akan mengesyorkan kepada Perdana Menteri agar inisiatif perantisiswa ini diteruskan kepada lebih banyak institusi pendidikan di bawah KPLB yang lain.

    “Antaranya seperti Kolej Profesional MARA (KPM), Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan lain-lain IPT KPLB bagi memastikan mahasiswa menerima manfaat daripada inisiatif tersebut,” katanya.

    Mahdzir bergambar kenangan selepas Majlis Penyampaian Perantisiswa Keluarga Malaysia peringkat KPLB di UniKL Kampus Kota, Jalan Sultan Ismail hari ini.

    Terdahulu, Mahdzir merasmikan Majlis Penyampaian Perantisiswa Keluarga Malaysia peringkat KPLB di UniKL Kampus Kota, Jalan Sultan Ismail hari ini.

    Pada majlis itu, seramai 200 mahasiswa dari 5 buah IPMA dari zon tengah melibatkan UniKL MIIT, UniKL Business School, KUPTM KL, KPTM Bangi dan GMI menerima peranti berkenaan.

    Turut hadir, Pengerusi MARA Corporation Sdn.Bhd, Senator Datuk Wira Othman Aziz, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

  • MPPK kemuka 8 resolusi Pelan Pemulihan IPT

    MPPK kemuka 8 resolusi Pelan Pemulihan IPT

    Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) membentangkan lapan resolusi bagi memastikan Pelan Pemulihan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang bakal dibentangkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad lebih berkesan.

    Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, pihaknya menyambut baik perkara tersebut serta berharap ia memberi manfaat kepada mahasiswa serta menjamin keselamatan warga kampus.

    Lapan resolusi tersebut adalah:

    Pergerakan pulang mahasiswa secara pilihan dan berperingkat. Memberi pilihan kepada mahasiswa sama ada mahu pulang ke kampus atau sebaliknya dan pergerakan pulang mahasiswa ke kampus dilakukan secara berperingkat.

    Mengutamakan mahasiswa yang telah mendapat vaksinasi lengkap.

    Menyeragamkan SOP untuk semua IPT bagi urusan pergerakan keluar masuk kampus mengikut kesesuaian dan panduan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN)

    Sesi pengajaran dan pembelajaran secara hybrid (bersemuka dan atas talian).

    Pemberian kit antigen ujian kendiri COVID-19 secara percuma kepada mahasiswa.

    Pemberian insentif diskaun penerbangan atau sewa khas kepada mahasiswa untuk pulang ke kampus.

    Bantuan One-off sebanyak RM300 kepada mahasiswa menerusi Belanjawan 2022.

    Penetapan elaun minimum latihan industri, latihan mengajar dan praktikal sebanyak RM500 menerusi Belanjawan 2022.

    Beliau menambah, MPPK berharap agar lapan resolusi tersebut dipertimbangkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi memastikan semua IPT dapat mewujudkan gelembung kampus selamat dan pada masa yang sama dapat terus menjaga kebajikan mahasiswa.

    “MPPK juga memohon kepada pihak KPT untuk memastikan satu garis panduan yang jelas dan mudah difahami dapat dikeluarkan bagi memastikan mahasiswa dan warga kampus dapat kembali ke kampus dengan selamat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Muhammad Amir Asyraf berkata, MPPK juga berharap agar semua pihak memainkan peranan masing-masing bagi memastikan semua dapat kembali menjalani hidup seperti biasa di kampus.

  • Mahasiswa harap KPT tak ulangi kegagalan sama

    Mahasiswa harap KPT tak ulangi kegagalan sama

    KESATUAN Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berharap Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak akan mengulangi kegagalan yang sama seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

    Menurut kesatuan itu, seiring dengan pelantikan semula Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sebagai Menteri Pengajian Tinggi, mahasiswa sebagai pemegang taruh akan terus meneliti pencapaian KPT bagi memastikan kegagalan sama tidak berulang.

    “Menyedari hakikat bahawa mahasiswa ialah antara kumpulan paling terkesan dalam isu ini, mereka sudah menyampaikan terlalu banyak cadangan, tetapi malangnya, sepi tanpa sebarang maklum balas.

    “Jika diberikan ruang untuk perbincangan, kita yakin bahawa pergerakan dan kesatuan mahasiswa bersedia menghulurkan kerjasama kepada kepemimpinan KPT,” kata kesatuan itu dalam satu kenyataan.

    Mereka turut menggesa KPT agar mempertimbangkan pelbagai cadangan diutarakan pergerakan dan kesatuan mahasiswa dalam merungkai isu pendidikan yang tercetus susulan pandemik COVID-19.

    Kesatuan itu berkata, langkah itu penting berikutan pandemik kesihatan yang mula menular di Malaysia sejak Januari tahun lalu menyaksikan kuliah terpaksa dijalankan secara dalam talian.

    Mereka memberitahu, rangkaian masalah berbangkit timbul, termasuk kebolehlaksanaan proses amali yang lazimnya berperanan untuk mahasiswa menterjemahkan pembelajaran teori kepada praktikal di lapangan.

    “Apa yang berlaku perlu dijadikan pengajaran dan bersama kita harus merintis arus perubahan,” jelasnya.

    Sebagai tanda mewujudkan kerjasama, Kesatuan Mahasiswa UIAM berkata, pihaknya telah mengirimkan surat terbuka kepada KPT.

    Namun, mereka tidak memperincikan tarikh dokumen itu dihantar untuk pertimbangan kementerian.

    Kesatuan itu mendakwa, sehingga kini, mereka tidak mendapat sebarang maklum balas daripada KPT.

    “Sekali lagi, kami ingin tegaskan bahawa mahasiswa sudah penat apabila berterusan terpaksa diheret sekali dalam drama politik saban hari.

    “Sepatutnya, KPT kekal fokus dalam menjalankan portfolio mereka dan buktikan bahawa segenap isu berupaya dirungkai secara tuntas, berbanding kegagalan sama yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

    Sebelum ini, netizen mengecam pelantikan Noraini sambil memberi alasan tersendiri berhubung sikap mereka menolak Ketua Wanita UMNO tersebut untuk memegang semula jawatan Menteri Pengajian Tinggi.

    Pada 6 Ogos lalu, Noraini melepaskan jawatan tersebut serta merta kerana kononnya akur keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 3 Ogos sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Noraini sebelum ini pernah dikritik hebat kerana menganjurkan pertandingan TikTok.

    Ini termasuk memuat naik video TikTok selama 45 saat yang menampilkan dirinya tahun lalu.

  • MPPK: Muhyiddin berjasa, prihatin kebajikan mahasiswa

    MPPK: Muhyiddin berjasa, prihatin kebajikan mahasiswa

    TAN Sri Muhyiddin Yassin telah meninggalkan pelbagai jasa dan bakti kepada seluruh rakyat Malaysia sepanjang perkhidmatannya sebagai orang nombor satu negara.

    Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dalam satu kenyataan berkata, malah di sebalik tanggungjawab dan amanah memegang tampuk kepimpinan negara, bekas Perdana Menteri itu tidak pernah melupakan kebajikan mahasiswa.

    “Ketika pertemuan wakil MPPK bersama Tan Sri (Muhyiddin), 11 Agenda MPPK 2020 telah dibentangkan dihadapan Perdana Menteri yang merangkumi kebajikan mahasiswa khususnya.

    “Tan Sri Muhyiddin Yassin menyambut baik segala usaha dan agenda yang telah dibawa oleh barisan kepimpinan MPPK dan akan diketengahkan kepada kementerian atau pihak bertanggungjawab untuk tindakan lanjut.

    “Hasil usaha ini pastinya akan membawa sinar harapan kepada 1.3 juta mahasiswa di negara ini,” kata MPPK menerusi akaun Facebook rasminya.

    MPPK dalam pada itu merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Muhyiddin atas segala bakti yang diberikan kepada rakyat negara ini khasnya pertubuhan berkenaan.

    “Sekali lagi kami di barisan MPPK merakamkan jutaan terima kasih kepada Tan Sri (Muhyiddin) atas segala bakti yang diberikan.

    “Semoga Tan Sri terus diberikan kekuatan dan ketabahan dalam setiap perkara yang diperjuangkan,” tambahnya.

    Isnin lalu, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mempersembah kedudukannya sebagai ketua kerajaan.