Tag: mabuk

  • Pegawai polis ditahan disyaki memandu melawan arus, mabuk

    Pegawai polis ditahan disyaki memandu melawan arus, mabuk

    SEORANG pegawai polis ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan melawan arus di Jalan Cheras dekat Kuala Lumpur pukul 4.10 pagi semalam.

    Dalam kejadian itu, sepasukan anggota polis ternampak sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki secara melawan arus.

    “Anggota polis berkenaan bertindak mengejar dan berjaya menahan kenderaan terbabit berhampiran lampu isyarat di persimpangan menghala ke Flat Sri Sabah.

    “Lelaki itu enggan memberikan kerjasama dan telah menghalang anggota polis untuk membuat pemeriksaan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurutnya, lelaki terbabit turut menunjukkan isyarat lucah terhadap anggota polis yang memeriksanya.

    “Semasa proses tangkapan telah berlaku pergelutan, akibatnya lelaki itu mengalami luka dibahagian atas kening sebelah kiri, dia telah dibawa Ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan seorang pegawai polis berusia 35 tahun telah ditahan.

    Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Tular lelaki enggan alih kereta, hambur kata lucah pada wanita

    Tular lelaki enggan alih kereta, hambur kata lucah pada wanita

    TINDAKAN seorang lelaki sengaja menghalang laluan keluar kenderaan lain serta menghamburkan kata-kata berunsur lucah kepada wanita tular di media sosial.

    Perbuatan biadab lelaki itu dipercayai berlaku di kawasan parkir di hadapan sebuah kedai serbaneka di Bandar Springhill, Port Dickson.

    Memetik laporan Harian Metro, seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Din berkata, kejadian yang tular di media sosial itu bermula apabila seorang wanita yang membeli murtabak di premis berhampiran mahu mengeluarkan keretanya dari petak parkir.

    Katanya, wanita itu kemudian menegur tindakan seorang lelaki yang duduk di dalam kenderaan dan enggan mengalihkan kereta Perodua Kelisa dipandu.

    “Keadaan bertambah kecoh apabila lelaki itu tidak mahu beralah dan mengeluarkan kata-kata lucah.

    “Saya difahamkan lelaki itu mabuk berdasarkan wujud tin minuman keras di dalam keretanya.

    “Malah lelaki itu mendakwa dia tidak takut sekiranya mangsa mahu memanggil polis. Keadaan itu berlanjutan hampir 25 minit sebelum lelaki itu beredar,” katanya.

    Dia kemudian menasihati wanita itu membuat laporan polis kerana turut menerima gangguan seksual.

    “Apa yang berlaku petang semalam amat mengejutkan kerana ketika itu orang ramai sedang sibuk membeli juadah berbuka puasa,” katanya.

    Difahamkan mangsa sudah membuat laporan polis di Balai Polis Lukut, petang tadi.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, polis akan menjalankan siasatan susulan video tular berkenaan.

  • Lelaki mabuk, positif ganja langgar dua kenderaan dicekup

    Lelaki mabuk, positif ganja langgar dua kenderaan dicekup

    SEORANG lelaki dipercayai memandu dalam keadaan mabuk, ditahan selepas melanggar dua kenderaan di Jalan Budiman 2, Taman Sungai Mas dekat Kulai, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata dalam kejadian kira-kira 8.15 malam, individu berusia 51 tahun dan memandu Proton Saga itu ditahan di lokasi kejadian.

    Beliau berkata lelaki itu melanggar bahagian belakang dua kereta jenis Proton Persona, namun kemalangan itu tidak melibatkan sebarang kecederaan.

    “Pada awalnya, anggota polis peronda MPV menerima maklumat mengenai individu itu yang ditangkap oleh orang awam berikutan kemalangan terbabit.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati individu itu disyaki dalam keadaan mabuk dan hasil siasatan mendapati dia telah melanggar bahagian belakang sebelah kanan dua buah kereta yang ketika itu berhenti di persimpangan jalan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata suspek positif ganja dan mempunyai rekod jenayah. 

    Kes disiasat mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA  

  • Warga emas antara 23 pemandu mabuk ditahan polis

    Warga emas antara 23 pemandu mabuk ditahan polis

    POLIS menahan 23 individu termasuk seorang warga emas berumur 68 tahun kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi Samseng Jalanan, Op Motosikal/Pelbagai Kesalahan di sekitar ibu negara sejak Jumaat lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata, selain 23 individu berkenaan, pihaknya turut menahan lapan individu kerana menunggang dalam keadaan merbahaya dengan melakukan aksi zig-zag, roket, superman serta bersaing sesama sendiri.

    “Kesemua suspek (lapan individu) berkenaan yang berusia dalam lingkungan 16 hingga 19 tahun telah dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Sementara itu, Sarifudin berkata, tangkapan lain melibatkan seorang individu yang melakukan kesalahan menghalang tugas penjawat awam, seorang disyaki menunggang motosikal curi manakala seorang lagi dipercayai memiliki dadah.

    Beliau berkata, dalam Operasi Motosikal dengan kolaborasi Jabatan Alam Sekitar semalam pula, pihaknya mengeluarkan sembilan saman kepada pemandu hasil ujian terhadap 20 kenderaan kerana tidak mematuhi spesifikasi struktur kenderaan (ekzos) yang ditetapkan.

    Menurutnya, secara keseluruhan 435 jumlah saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan trafik dan 13 motosikal disita atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos) sepanjang tiga hari operasi Samseng Jalanan, Op Motosikal/Pelbagai Kesalahan itu.

    Sarifudin berkata, operasi bermula pada Jumaat dan selesai awal pagi tadi dijalankan di sekitar ibu kota termasuk Jalan Raja Laut, Jalan Genting Klang, Jalan Kuching, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2). – BERNAMA

  • Lima pemandu mabuk ditahan di Johor Bahru

    Lima pemandu mabuk ditahan di Johor Bahru

    POLIS menahan lima lelaki selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Selamat di sekitar kawasan Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), ACP Rupiah Abd Wahid berkata, kesemua individu yang berumur antara 23 hingga 47 tahun itu ditahan dalam operasi yang dilakukan Bahagian Siasatan Perundangan Trafik JBU sekitar pukul 1 hingga 4 pagi.

    “Kita bertindak tegas dan tidak berkompromi terhadap pemandu yang memandu melebihi paras alkohol yang dibenarkan dan operasi kali ini kita berjaya kesan lima pemandu mabuk,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, Rupiah berkata dalam operasi berkenaan seramai 81 individu dan 60 kenderaan diperiksa.

    “Pihak polis akan sentiasa melaksanakan penguatkuasaan dengan tegas demi keselamatan pengguna jalan raya yang lain berada dalam keadaan selamat,” katanya.

    Beliau pada masa sama menasihati pemandu agar sentiasa fokus dan berhati-hati di jalan raya sekali gus mengekalkan pemanduan yang selamat. – BERNAMA