Tag: lulus peruntukan

  • Harap kerajaan Pusat lulus peruntukan projek skala besar Perlis – Mohd Shukri

    Harap kerajaan Pusat lulus peruntukan projek skala besar Perlis – Mohd Shukri

    KERAJAAN negeri Perlis berharap kerajaan pusat dapat meluluskan peruntukan sebanyak RM3 bilion dalam melaksanakan 80 projek berskala tinggi di negeri itu selaras dengan konsep Malaysia Madani yang diterapkan ke seluruh negara pada masa kini.

    Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, pihaknya melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) ada memohon peruntukan berkenaan untuk pelaksanaan projek itu

    “Peruntukan itu adalah bertujuan bagi memastikan segala pelaksanaan pembinaan prasarana dapat dilaksanakan sebaiknya demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

    “Malah kita berharap permohonan itu dapat diluluskan selepas ini selaras dengan konsep kerajaan Malaysia Madani yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau menyatakannya ketika ditemui selepas menghadiri Program Rehlah Keluarga Syarikat Air Perlis (RAKERSAP) di Tangki Air SAP Anak Chelong, Bukit Ayer, di Kangar, hari ini.

    Mohd Shukri dalam pada itu turut mengulas berhubung masalah bekalan air di Perlis yang sering menjadi permasalahan utama rakyat.

    Menurut beliau, pihaknya berharap masalah bekalan air itu akan dapat diselesaikan selepas ini menerusi beberapa langkah dan usaha dilaksanakan oleh SAP.

    “Bayaran tunggakan bil air penduduk di negeri ini juga mampu membantu melancarkan operasi SAP dalam memastikan orang ramai dapat menikmati bekalan air bersih mencukupi.

    “Saya menyeru supaya semua pihak dapat selesaikan bayaran tunggakan mereka dengan segera dan pastikan tiada tunggakan bil yang begitu banyak.

    “Selain itu juga, kita dan SAP sedang memantau rapat masalah air tidak berhasil (NRW) selain beberapa punca sudah dapat dikenal pasti menyebabkan berlakunya isu itu.

    “Sekiranya semua masyarakat dapat melaporkan segera kejadian paip pecah, ia dapat membantu dalam menyelesaikan isu NRW ini dengan seberapa segera,” katanya.

  • Kedah hargai PM lulus peruntukan naik taraf dua jeti di Langkawi

    Kedah hargai PM lulus peruntukan naik taraf dua jeti di Langkawi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KERAJAAN negeri Kedah mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan kerana meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi membiayai kos menaik taraf kemudahan Jeti Kuah dan Jeti Pulau Tuba di Langkawi.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, peruntukan itu sudah pun diterima oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) pada Disember 2022.

    “Kerajaan negeri akan memastkan kerja-kerja menaik taraf kedua-dua jeti itu akan dilaksanakan secepat mungkin bagi menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke Langkawi.

    “Sesunguhnya peruntukan ini amat diperlukan bagi memulihkan semula ekonomi pulau bebas cukai yang terjejas teruk sepanjang tempoh pandemik Covid-19 pada 2020 hingga 2021,” katanya.

    Tambahnya, pembangunan jeti itu amat memberi makna kepada penduduk Langkawi khususnya yang sering berulang alik ke tanah besar atas pelbagai urusan.

    “Semoga keprihatinan ditunjukkan ini akan diteruskan dalam pelbagai urusan lain bagi mengeratkan lagi hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan atas semangat dan prinsip federalisme yang tulen,” katanya.