Tag: lucah

  • Haqiem Stopa didakwa simpan gambar, video lucah bekas kekasih

    Haqiem Stopa didakwa simpan gambar, video lucah bekas kekasih

    SEORANG pencipta kandungan yang mempunyai sejuta pengikut dalam aplikasi TikTok, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini atas pertuduhan menyimpan gambar dan video lucah bekas kekasihnya dalam dua telefon bimbit.

    Haqiem Stopa atau nama sebenarnya Muhammad Sadzri Hakim Jaafar, 22, didakwa menyimpan gambar dan video lucah wanita berumur 21 tahun itu di dalam galeri telefon bimbit jenama Iphone 13 Pro Max dan Iphone 7 Plus miliknya di sebuah rumah di Rawang pada 4.30 petang, 9 Dis lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 292 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi mencadangkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Mohd Faiz Fahmy Abdul Razak mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya perlu menanggung ibu bapa yang uzur.

    Majistret Nur Hafizah Rajuni membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 23 Feb tahun depan.

    Pada 10 Dis lepas, media melaporkan lelaki itu ditahan polis pada Jumaat lepas kerana disyaki mengugut untuk menyebarkan gambar lucah bekas kekasihnya. – BERNAMA

  • Penghantar makanan mengaku salah hantar gambar, video lucah

    Penghantar makanan mengaku salah hantar gambar, video lucah

    SEORANG penghantar makanan e-hailing mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dua pertuduhan membuat dan menghantar gambar serta video lucah menggunakan aplikasi Instagram, dua tahun lepas.

    Muhammad Khair Ma’ani, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

    Mahkamah menetapkan 19 Jun depan untuk mendengar fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman.

    Lelaki itu didakwa menggunakan aplikasi Instagram dengan nama mkdaniel__ secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berbentuk gambar dan video lucah sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di Blok C, Taman Ungku Tun Aminah di sini, kira-kira 8.50 pagi, 25 Jan 2020.

    Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Nur Nazhzilah Mohammad Hashim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA

  • Lelaki Kanada didenda RM100 tunjuk isyarat lucah, RM700 tak pakai pelitup muka

    Lelaki Kanada didenda RM100 tunjuk isyarat lucah, RM700 tak pakai pelitup muka

    SEORANG lelaki warga Kanada didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini kerana menunjukkan isyarat lucah kepada pengawal keselamatan sebuah pasar raya dan tidak memakai pelitup muka, dua minggu lepas.

    Majistret S. Mageswary menjatuhkan hukuman itu terhadap Theberge Travis Lee, 44, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan itu dan memerintahkan tertuduh dipenjara 15 hari jika gagal membayar denda.

    Tertuduh didenda RM100 atau sehari penjara untuk pertuduhan pertama manakala pertuduhan kedua dia didenda RM700 atau dua minggu penjara dan lelaki itu membayar denda berkenaan.

    Bagi pertuduhan pertama, Travis Lee didakwa melakukan perbuatan kurang sopan dengan menunjukkan isyarat jari tengah kepada Padam Giri dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan di sebuah pasar raya di Jalan Ampang di sini, pada 9.30 malam, 16 April lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100, jika sabit kesalahan.

    Lelaki itu juga didakwa tidak memakai pelitup muka di pasar raya berkenaan yang merupakan tempat dalam kawasan tempatan jangkitan yang bukan bertujuan untuk melakukan mana-mana perkara yang diperuntukkan di bawah Peraturan 17 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2022.

    Kesalahan itu yang didakwa dilakukan pada masa dan tarikh yang sama boleh dihukum di bawah Peraturan 18(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2022, yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

    Terdahulu, Peguam Jayananda Rao memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya yang bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas baru sahaja bekerja di negara ini dan perlu menanggung tiga kakaknya yang berada di Kanada.

    “Anak guam saya memohon maaf dan kesal atas tindakannya yang melulu itu serta berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” katanya menambah ini merupakan kesalahan pertama tertuduh.

    Timbalan Pendakwa Raya Wardah Nasuha Safian memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

    Pada 17 April lepas, tular sebuah video berdurasi 18 saat dimuat naik dua pemilik akaun TikTok memaparkan tindakan agresif lelaki itu terhadap pengawal keselamatan di pasar raya berkenaan. – BERNAMA

  • Penyelia mengaku bersalah muat naik gambar, video lucah

    Penyelia mengaku bersalah muat naik gambar, video lucah

    SEORANG penyelia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana memuat naik kandungan gambar dan video lucah lima tahun lalu.

    Tertuduh, Ahmad Tarmizi Mohd yang berdepan dengan dua pertuduhan membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Nooriah Osman.

    Sejurus pengakuan direkodkan, Nooriah menetapkan 28 Februari depan sebagai tarikh fakta kes dan hukuman serta membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, pemuda berusia 28 tahun itu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang lucah dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan menggunakan perkhidmatan aplikasi Google Drive dan dilihat pengadu pada pukul 12 malam, 11 Mei 2017 di sebuah rumah di Kampung Sena, Kuala Terengganu.

    Bagi pertuduhan itu, Ahmad Tarmizi didakwa di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia, Nazrul Nizan Mohd Zameri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Penolong pengurus ladang dituduh hantar komunikasi lucah

    Penolong pengurus ladang dituduh hantar komunikasi lucah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang penolong pengurus ladang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menghantar komunikasi lucah kepada seorang individu, dua tahun lalu.

    Tertuduh, Mohd. Afif Ramlan, 36 membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Hakim, Sharifah Norazlita Syed Salim Idid di Mahkamah Sesyen 5 Aor Setar.

    Bersandarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang kini sudah pun berkahwin didakwa secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lucah kepada seorang individu dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.

    Komunikasi bersifat lucah itu telah dibaca individu berkenaan pada 19 Jun 2019 kira-kira pukul 11.59 malam di sebuah premis di Taman Uda, Jalan Sultanah di Alor Setar.

    Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi Dan Multimedia 1988 (Akta 588) oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malayia (SKMM), Nazrul Nizam Mohd. Zameri manakala tertuduh diwakili peguam, Dr. Mohamad Sofee Razak.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama iaitu penjara tidak lebih setahun atau didenda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

    Hakim menetapkan 9 Januari depan sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes tersebut.